Showing posts with label Internet/Komputer. Show all posts
Showing posts with label Internet/Komputer. Show all posts

Thursday, 24 March 2022

Normalisasi dan Hilangnya Sensitiviti Beragama


Normalisasi dan Hilangnya Sensitiviti Beragama

Sedari kecil hasil didikan oleh ibu ayah juga guru di sekolah, kita tahu tentang apa itu malu, apa itu aurat, perbuatan apa yang salah dan perbuatan apa yang betul. Kita tahu membuka pakaian (baik lelaki atau perempuan) di khalayak awam adalah perkara memalukan, kita tahu pasangan berkelakuan secara intim di khalayak awam adalah salah dan memalukan, kita tahu apabila seorang wanita Muslimah berjoget di khalayak awam adalah salah dan begitulah seterusnya.

Tetapi hari ini dalam era kecanggihan teknologi, kita terdedah dan mampu melihat segala perbuatan yang salah, perbuatan yang berdosa dan perbuatan yang memalukan, hampir pada setiap masa. Semuanya menjadi tontonan umum. Mula-mula kita rasa, eh…tak senonohnya pakaian si polan ni ketat sana sini, eh…tak malunya berpeluk intim suami isteri pun nak tayang, atau, eh…iklan jual pakaian ‘muslimah’ tapi bukan main modelnya berjoget . Itu mula-mula.

Esok, lusa dan hari-hari seterusnya, mata kita mula terbiasa dengan perbuatan-perbuatan tersebut. Hati mula menerima itu semua sebagai kebiasaan zaman sekarang. Atau fikiran mula memproses, alah biarlah. Dosa masing-masing kot. Proses normalisasi telah berlaku!

Dan selepas itu yang lebih parah, tiada lagi penolakan di dalam hati kita pada perbuatan yang salah lagi berdosa. Kita sudah hilang sensitiviti dalam beragama! Kita tak lagi merasa apa yang salah adalah salah dan perbuatan yang salah harus ditegur. Biarpun selemah-lemah teguran hanya mampu bergumam sendiri atau terdetik di dalam hati, itu cukup menandakan kita masih ada sensitiviti beragama.

Solusinya? Marilah kita belajar mengawal diri (lebih tepatnya mengawal mata) daripada melihat perbuatan tersebut. Unfollow, unlike, scroll laju-laju atau apa sajalah yang membuatkan mata kita jangan dibiasakan dengan melihat perbuatan yang salah. Ingatkan diri dan ahli keluarga apa yang boleh dilihat dan apa yang perlu dihindari. Mari kita jaga mata, demi menjaga agama.


*Penulisan ini juga sebagai peringatan buat diri saya sendiri kerana setiap hari kita perlu cuba memperbaiki diri.




Thursday, 13 October 2016

Tertipu Dengan Penjual Online?

Buat pertama kalinya saya tertipu sewaktu berurusniaga secara online. Dalam pada berhati-hati, terkena juga akhirnya! 

Kisah ni bermula sebelum bulan Ramadhan lalu. Saya sibuk mencari sesuatu sebagai free gift untuk pelanggan bisnes online saya. Sehinggalah terjumpa satu kedai di Instagram ni, buat pin cushion dengan harga murah. Cuma RM2 satu dengan belian minima 30 pin cushion, siap free delivery! 

Murah ni, boleh percaya ke? Saya terfikir juga hal ni. Tambahan pulak, tengok Instagram dah berbulan tiada update. Saya tinggalkan komen di situ, dan segera dibalas. Terus rasa yakin untuk meneruskan urusniaga...sambil berfikir - kalau kena tipu pun tak banyak amaunnya. Bolehlah cuba...


25 Mei 2016 saya buat bayaran (mujur bayar separuh). Menurut penjual tu, pin cushion akan siap dalam masa DUA minggu. Saya pun menunggu....

Cukup masa, masih belum siap lagi 6 biji. Saya menunggu lagi. Tapi rupa-rupanya...itulah kali terakhir dia membalas WhatsApp saya! 

Saya mencuba segala cara - semua panggilan telefon, mesej dan panggilan WhatsApp, SMS, komen di Instagram...tiada berbalas! Mesej di WhatsApp siap double tick blue, namun masih tiada respon. Baru-baru ni pun saya cuba telefon dia, pun tak berjawab. 

Pada mulanya saya bersangka baik, telefon dia rosak atau dia sakit teruk. Tapi setelah berbulan-bulan lamanya dia menyepi (dalam tempoh masa tersebut saya masih cuba telefon dan WhatsApp), terpaksalah saya catatkan hal ini di blog untuk kita semua ambil pengajaran dan peringatan. Bukan kerana duit RM30 yang saya nak kecohkan, tapi saya nak pembeli lain berwaspada dengan penjual tersebut. Semoga saya adalah yang terakhir terkena begini oleh penjual tersebut.


APA TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL JIKA TERTIPU BEGINI?
Kita boleh buat aduan Polis, untuk tujuan rekod bertulis dan sebagai dokumen sokongan untuk urusan aduan ke agensi berkaitan. 

Atau/dan boleh terus buat aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan bayaran serendah RM5 untuk memfailkan tuntutan. Info lanjut berkenaan TTPM boleh klik DI SINI. 


Jadinya kenapa saya tak failkan tuntutan? Sebab nilai kerugian saya cuma RM30, tak berbaloi rasanya untuk saya buka fail dan perlu pulak menghadiri pendengaran tuntuan. Bagi korang yang mengalami kerugian yang lebih besar, sangatlah digalakkan untuk buat tuntutan. 


Nota : 
Pendedahan begini tidak termasuk dalam larangan membuka aib orang lain tau. 
Ia dibenarkan untuk tujuan orang lain berwaspada dengan orang tersebut.

Monday, 10 October 2016

'Remove Background' Gambar dengan PowerPoint

Gambar yang jelas dan menarik memang sangat penting untuk pemasaran 'bisnes online'. 
Nak gambar cantik, mestilah kena pandai 'edit' kan...

Gambar ni saya ambil sendiri di dalam rumah, berlatarkan dinding rumah. Gelap, tak menarik. 
Setakat guna PhotoScape, memang tak boleh nak 'remove background' gambar di bawah ni.


Nak 'remove background', biasanya orang guna Photoshop. Tapi malangnya saya 'buta' Photoshop. Sebelum ni memang ada yang bagitau kita boleh 'remove background' guna PowerPoint je. Pun saya tak reti nak godek, sebab orang bagitau secara bertulis je. Susah nak paham.

Sehinggalah baru-baru ni ada kawan kongsikan di Facebook, tutorial 'edit' hanya menggunakan PowerPoint. Saya terus cuba buat, ikut je langkah demi langkah yang ditunjukkan pada gambar. 
Hasilnya....

Alhamdulillah...suka sangat! Mudah je! 
Lepas jadi begini, barulah saya sambung 'edit' guna PhotoScape. 
Terima kasih banyak-banyak untuk saudara Ahmad Syamim yang sudi buat tutorial bergambar dan kongsikan untuk umum. Insya Allah banyak pahala mengalir untuk beliau atas asbab memberikan ilmu ni. 

<<< Yang nak belajar, boleh terus klik DI SINI. >>>

* untuk makluman, fungsi 'remove background' ni hanya ada PowerPoint 2010 dan ke atas sahaja. *



Nota : Entah kenapa, tiba-tiba je bloglist 'hilang' di kedua-dua blog saya (blog ini dan blog bisnes). Nampaknya ambil masa jugaklah untuk saya 'add' satu persatu semula. Huhuhu..


Tuesday, 20 January 2015

Whoops, that's an error.

Semalam, masa jenjalan blog kak hainom OKje...dalam entrinya dia bagitau ada masalah nak ke blog saya. Ingatkan masalah nak bukak blog, tak berapa faham. Lepas tu kak Zakie pulak bagitau kat ruangan komen entri saya, barulah faham. Terima kasih kak Hainom dan kak Zakie, kalau tak bagitau memang tak perasan hal ni.

Bila saya sendiri try klik 'blogger profile' saya, terpaparlah begini...


Kesannya, kalau ada yang nak ke blog saya melalui link 'blogger profile' (yang ada nama dan gambar blogger bila kita tulis komen tu), memang tak bolehlah sebab terpapar macam kat atas ni je. Dan yang teruknya, saya tak boleh nak edit profile sendiri! Kira dah takde kuasa ke atas 'diri sendiri' je tau.

Semalam dah macam-macam usaha buat...clear cache, scan virus dan entah apa-apa lagi, semua gagal. Kalau korang ada yang pernah alami atau tau cara atasinya, mohon share ya.

Thursday, 20 November 2014

Buat DOSA Dengan 'WhatsApp'

Korang yang ada aplikasi chat 'WhatsApp' tentu ada banyak grup. Saya sendiri ada 10 grup. Ada yang perempuan je, dan ada yang bercampur lelaki dan perempuan. Ada grup memang seronok, jauh di mata tapi dekat di hati. Boleh kongsi gambar dan borak macam-macam hal. Saya yang duduk dalam rumah pun, boleh borak dengan kawan-kawan/jiran-jiran/adik-beradik yang duduk diserata Malaysia (malah ada yang di luar negara). Maklumat pun lebih mudah disebar/diterima. Tapi disebalik kebaikan aplikasi ini, pasti terselit keburukan yang membawa kita kepada DOSA. Antaranya :
 
1- Sebarkan khabar yang kita tak pasti kebenarannya, dan membuat orang lain panik. Kecuali kita share untuk tanya kepastian dari kawan-kawan tu lain kes. Cth : Menurut Jabatan Meteorologi, dalam masa tiga hari akan datang, kawasan Lembah Klang akan dilanda hujan ribut yang boleh menyebabkan puting beliung. Rupa-rupanya Jabatan Meteorologi takde pun bagi notis begitu.
 
2- Sebarkan mesej berantai yang tidak selari dengan Islam. Cth: Jika anda sebarkan mesej ini kepada 10 orang rakan, anda akan terima kebaikan dalam tempoh 2 jam. Jangan kata saya penipu, jika anda belum cuba. Siapalah kita untuk mengatasi kuasa Allah, sampai boleh beri janji yang orang lain akan dapat kebaikan dalam tempoh 2 jam?
 
3- Sebarkan gambar-gambar tidak sopan/membuka aurat. Cth: gambar lelaki beraksi gedik seperti perempuan, gambar perempuan berpakaian mendedahkan aurat. Walaupun tujuan untuk suka-suka, ingatlah bahawa ada Allah yang memerhatikan kita. Tiap mata yang memandang, kita dapat saham dosa selaku orang yang sebarkan.
 
4- Sebarkan keburukan orang lain, dengan tujuan untuk menjatuhkan reputasi seseorang. Kalau tujuan beri amaran supaya orang lain berhati-hati jangan sampai tertipu dengan orang tertentu, itu bolehlah. Tapi hati-hati jangan sampai terlebih mengata.
 
5- Kita yang masih beristeri/bersuami, memanggil isteri/suami orang dengan panggilan manja & mesra. Cth: sayang, honey. Walaupun niat bergurau, tapi ia membuka kepada jalan maksiat hati. Ia juga pasti melukakan hati pasangan kita jika diketahui.
 
6- Kita yang masih beristeri, memuji-muji kecantikan isteri orang. Cth: makin mengancam la Meah sekarang ni!, Piah ni dari zaman sekolah sampai sekarang masih tetap cantik! Alasan sama macam kes no. 5  di atas.
 
7. Leka chat sehingga mengabaikan tugasan hakiki di tempat kerja dan di rumah. Cth: pekerjaan belum selesai, tapi sibuk chat di waktu kerja.  Balik rumah pun sibuk chat, sampai tak sempat bermesra dengan anak isteri/suami. Selain berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab, hal ni boleh membuatkan rumahtangga hilang bahagia.
 
Ada lagi? Korang boleh tambah. Sama-sama kita fikir, renung dan nilai diri sendiri. Kadang tu memang kita terlupa, leka dengan keseronokan teknologi. Kita taubat, beringat. Yang penting, nak buat apa pun fikirkan pandangan Allah yang tak pernah tidur dan sentiasa memerhatikan kita.
 

Monday, 17 November 2014

Hati-Hati Jika Terima Mesej Fb Ini

 
Baru-baru ni ramai kawan-kawan niaga yang terima mesej seperti di atas. Ini sebenarnya satu penipuan. Bila kita klik link diberi, dia akan minta maklumat lanjut akaun Facebook dan maklumat akaun bank/kad kredit.
 
Ada sorang rakan niaga yang dah terkena. Dia kehilangan RM800, tapi entah macam mana transaksi RM800 tu gagal. Alhamdulillah selamat duitnya.
 
Jadinya, kalau ada yang dapat mesej begini sila abaikan. Laporkan kepada pihak Facebook dengan klik 'Report as Spam or Abuse'.

-----------------------------------------------------------------------
 
...untuk peminat tudung Turki cotton...
http://almaribajuaisyah.blogspot.com/2014/11/promosi-november-2014-tudung-bidang-50.html
KLIK untuk lebih lanjut ^_^


Tuesday, 22 April 2014

Gambar-Gambar Mesra Suami Isteri...Salah Ke?

Ada orang yang rajin letak gambar mesra dia dan pasangan di Facebook.
Pasangan yang halal...suami dan isteri.
Gambar berpeluk-pelukan, laga-laga pipi.
Nampak mesra dan intim sekali!

Kalau sesekali mungkin kawan-kawan boleh terima.
Kalau kerap sangat, kawan pun mula meluat.
Timbullah kata-kata..
...macam dia sorang ada bini...
...macam dia sorang ada laki...
...macam dia je yang bahagia!

Eh, salah ke? Kan pasangan yang halal?

Secara asasnya, memang tak salah sebab suami isteri.
Tapi kita kena fikir dari sudut agama dan pandangan masyarakat.

Agama mengajar kita sifat MALU. Malu itu tanda orang beriman.
Budaya Melayu kita turut mendidik sifat MALU.
Maka, selitkanlah rasa malu itu dalam diri kita.
Simpanlah gambar-gambar intim untuk tatapan sendiri.
Tak perlulah umum tahu bagaimana kita berpeluk dengan pasangan!

Dan...gambar sebegini mampu mengundang kemungkinan lain.
Kemungkinan yang negatif...fikir-fikirkanlah!


p/s: entri ini tidak ditujukan kepada sesiapa, sekadar pandangan saya. Mohon maaf jika ada yang terasa ya. Berbeza pandangan...itu biasa.



 

Wednesday, 18 December 2013

'Pendrive' Tiruan?

Pendrive storan 128G jual serendah RM9! Murah sangat-sangat. Tapi awas! Harga yang terlampau menarik pasti bersebab. Korang mungkin terbeli pendrive storan tiruan. Anak sedara saya pun dah terkena. Masa kami sama-sama ke Pasar Pagi Temerloh awal bulan ni, ada sorang lelaki jual pendrive yang sangat murah. Anak-anak sedara pun tertarik nak membeli. Saya dan suami tak halang, walaupun kami sangsi kenapa murah sangat.
 
Baru-baru ni, anak sedara bagitau pendrive tu 'bermasalah'. Dan selepas tu barulah saya jumpa artikel berkenaan pendrive tiruan ni. Memang sah la dah kena tipu!
 
----------------------------------------------------------------------------- 

Sedikit info berkenaan pendrive storan tiruan yang saya 'copy & paste' dari amanz.my.:
 
Storan tiruan merujuk kepada storan kapasiti rendah yang telah digodam, jadi ia boleh menunjukkan jumlah storan yang lebih besar daripada yang sepatutnya hadir di dalam storan USB tersebut.
 
Storan seperti ini akan mengatakan ia mempunyai kapasiti yang telah diperbesarkan pada sistem operasi, yang mana ia akan memberitahu jumlah storan yang salah sekiranya kita melihat properties storan ini. Storan tiruan boleh beroperasi secara normal pada kapasiti rendahnya akan tetapi sekiranya ia mencapai tahap kapastiti ‘sebenarnya’, file di dalamnya akan mula corrupt dan turut berpotensi menghilangkan data secara besar-besaran.
 
Untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci, korang bacalah sendiri kat amanz.my ni ya. Untuk pengetahuan supaya kita tak tertipu.
 
 

Thursday, 19 September 2013

Sebaran PALSU

Sekarang ni memang mudah kita nak sebarkan info/ilmu. Nampak macam betul atau bagus, cepat je tangan kita klik 'SHARE' (kalau kat facebook). Tapi yang macam betul atau bagus tu terkadang adalah tipu atau palsu! Antara sebaran palsu...

-----> saya copy dari fb Dr Abu Anas Madani. HARAM hukumnya jika kita menyebarkan hadis palsu (satu pendustaan terhadap Rasulullah sallallahu a'layhi wasalam). Antara ciri-ciri hadis palsu- ganjaran yang berlebih-lebihan.
Hati-hati menyebarkan tulisan ini, banyak maklumat palsu di sandarkan kepada Nabi SAW.
Untuk isteri ............
1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

7) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)
“Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yng difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.
Dan ingatlah wahai wanita, semua itu terangkum di dalam suatu perkataan iaitu "TAAT"

-----> saya copy dari fb Sahabat Halal. 

Bukan poster kat atas yang palsu tau, tapi isi ceritanya - McD Haram, itu yang palsu. Saya antara yang masih bertahan memboikot McD, atas sebab isu Palestine. Tapi, tidaklah saya mengatakan McD haram dimakan. Jika ada yang ragu-ragu (halal atau haram), maka dia perlu meninggalkannya terus.


-----> kadar bayaran Poslaju pun ada yang buat sebaran palsu, entah apa motifnya. Saya nampak sebaran ini di fb (ada orang share). Saya penjual online, memang selama ni caj untuk Semenanjung adalah RM6 bagi 500g pertama. Bila saya selidiki, pihak Poslaju ada buat pengumuman ini adalah sebaran palsu.



Kesimpulannya:
Selidik sesuatu sebelum kita 'SHARE'. Pastikan ia betul, baru share. Rujuk terus ke pihak berkenaan, contoh: bab makanan halal/haram terus cari JAKIM (Halal Malaysia), bab Poslaju terus cari Poslaju. Kalau bab agama, pastikan share dari page orang yang kita percaya dia arif agama. 

Kata kuncinya - FIKIR SEBELUM BERTINDAK.


p/s: jangan sampai takmo share benda baik pulak lepas ni, cuma peringatan untuk kita agar berfikir sebelum share. 

Thursday, 4 July 2013

"Contact Me"

"Contact Me" ada terletak di sebelah kanan blog saya ni.
Rasa nak pasang tercetus lepas baca entri Cik Tom.
Tujuan pasang tentulah nak memudahkan orang contact saya.
Kot ada yang nak berhubung secara lebih tertutup...melalui e-mail lebih mudah.
Dan lagi bukan semua orang ada akaun Google atau blog (untuk komen pada entri).

Kenapa tak letak je alamat e-mail? Sama je tujuannya kan...
Sebab saya tak mau e-mail saya jadi mangsa spam.
Bila letak secara terbuka, mulalah ada e-mail yang buat semak.
Macam e-mail biz online saya yang hari-hari terima banyak spam.
Kalau terus masuk kotak spam tu okeylah, tapi banyak jugak yang masuk inbox.

Setakat ni ada yang menghubungi saya untuk bertanya hal tertentu.
Semuanya berkaitan entri yang saya tulis (entri lama).
Tanya pasal umrah murah, cuti-cuti Perlis.
Orang TV3 pun ada jugak...tanya pasal pakcik jual sate.
Harap-harap jawapan saya dapat membantu mereka.


Friday, 15 February 2013

Guinness Malaysia

Hairan...apa pasal anak-anak sedara saya LIKE page ni:


Saya pun mesej salah seorang darinya, bagitau yang dia mungkin dah TER'LIKE' page arak ni.


Jawapannya...memang dia ada LIKE sebab sangkakan tu page:


Laaa...itu kisahnya! 
Dia ingatkan tu 'Guinness World Record' - Malaysia.
Ni mesti kes main LIKE apa yang kawan LIKE.
Tak klik pun page tu untuk tengok yang sebenarnya.
Budak-budak...^___^

Tuesday, 5 February 2013

Cara Nak Dapatkan LIKE Banyak


Dulu-dulu ingatkan semua LIKE yang terlampau banyak pada entri blog, Fb status dan Fb page adalah asli. Rupa-rupanya boleh bikin. Macam ada seorang blogger tu bagitau (lupa sape), dia pun mula-mula buat gitu. Sekali orang tekan LIKE, terus jadi 10. Tapi lepas tu dia dah tak buat, rasa tak jujur. Sekarang ni orang sibuk pulak nak ada LIKE banyak-banyak kat Fb status / Fb Page melalui cara yang tak jujur (auto like).

Memang betullah tu kan. Buat apa nak menipu cuma untuk dapat rasa bangga dan gembira. Sebenarnya kita akan lebih gembira dan rasa puas bila dapat LIKE yang asli. Biarpun sedikit cuma. Dan jangan lupa, menipu itu mendatangkan dosa! 


p/s: Maaf jika ada yang terasa. Sekadar menulis sebuah kebenaran.

Wednesday, 21 November 2012

MySolat

 
 
Aplikasi MySolat untuk pengguna Android.
Aplikasi yang sangat membantu saya kala ini.
Lokasi resort tempat saya 'berumah' ni tak memungkinkan mendengar laungan azan.
Jadinya untuk mengingatkan saya masuknya waktu solat, saya gunakan aplikasi ni.
Untuk waktu Subuh dan Maghrib, saya set kepada 'azan penuh'.
Untuk waktu solat lainnya, saya set 'takbir pendek'.
Mudah diguna, boleh pilih lokasi dan cara notifikasi.
Ia juga tak memerlukan internet, kecuali sebulan sekali untuk update waktu solat.
 
Terima kasih teknologi dan pembuat aplikasi ni!
 
p/s: Bila dengar laungan azan kat Tv, rasa rindu pulak pada laungan azan kat surau rumah. Dengar azan pun ada nikmat tersendiri tau. 
 


Wednesday, 3 October 2012

Fb : Tempat Lucutnya Pakaian 'MALU'

Ya...itulah laman Facebook (Fb),
Tempat ramai insan melucutkan pakaian MALU,
Walau mengaku diri seorang Muslim berbangsa Melayu.

Malu itu perlu pada situasi tertentu,
Adat Melayu menerapkan sifat malu,
Didikan Islam juga memberatkan perlunya malu.

Mana MALU kamu jika mendedahkan segala...
Luahan rindu pada kekasih yang belum halal,
Ayat-ayat marah pada suami sendiri,
Hinggalah cebisan kisah dalam kamar suami isteri!

Sungguh...
Bukan salah Fb tapi salah diri sendiri.
Ayuh, pakailah pakaian MALU kamu!


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
"Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya".
(Riwayat Bukhari)

Tuesday, 7 August 2012

KR1M

Komputer riba 1Malaysia

Komputer Riba 1Malaysia (KR1M) ni merupakan satu projek penting di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI- National Broadband Initiative) yang telah dilancarkan pada 24 Mac 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia bertujuan untuk mencapai sasaran penembusan jalur lebar pada kadar 50% menjelang akhir 2010. Kumpulan sasaran- 65% untuk pelajar yang kurang berkemampuan dan 35% untuk golongan berpendapatan rendah. Pendapatan isi rumah mestilah RM3,000 ke bawah. Setiap isi rumah hanya layak untuk 1 unit KR1M sahaja.


Cara memohon:
Permohonan boleh dibuat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau di pejabat kawasan DUN /Parlimen masing-masing.

*sebarang pertanyaan boleh terus tanya kat SKMM. Saya tau setakat ni je.


p/s: Balik kampung raya nanti bolehlah bagitau keluarga/sedara mara yang mana berkelayakan supaya memohon KR1M ni. Peluang dah ada, cuma kena usaha sikit.

Monday, 16 July 2012

PIKOM PC Fair 2012

Petang semalam berkesempatan ke PC Fair 2012 yang bertempat di KL Convention Centre (KLCC). Malas sebenarnya nak bersesak ke tempat begini, tapi gagahkan juga sebab nak temankan suami mencari barangnya. Kelebihan beli gajet di PC Fair ni, biasanya harga ditawarkan lebih rendah sedikit dan ada free gift untuk belian kita. Lagi satu bolehlah update diri sendiri tentang gajet yang ada dipasaran. 


(1) Melukis guna Galaxy Note...menarik dan cantik! Sama macam melukis potret biasa, kena ada model duduk depan pelukis. Rasanya servis ni free, sebab ada di booth Samsung.
(2) Beli laptop skin untuk netbook saya..RM16. Pendrive water proof 8G..RM22. Eneloop mobile booster (portable battery) 5000mAh...RM190. Tujuan saya nyatakan harga adalah untuk memudahkan korang atau sesiapa yang nak buat perbandingan harga sebelum membuat belian.


Keluar dari bangunan dah lewat senja. Tersangatlah ramai orang dari pelbagai bangsa. Yang paling tak best bila tengok remaja kita (lelaki/perempuan) masih duduk berkumpul...ada yang menari-nari, ada yang sedang bertepuk tangan sambil menyanyi. Senja...waktu untuk pulang ke rumah bagi remaja yang kelihatan masih sangat muda ni.


Menara Berkembar...di waktu senja. Menyaksikan pelbagai ragam manusia.

Sunday, 15 July 2012

Jaga ADAB Muslim Kita...

(sumber: IKRAM MALAYSIA)


Tambahan: 
Begitu juga sebelum kita klik 'LIKE', pastikan perkara-perkara di atas dulu ya.
Anda 'LIKE'...bermakna anda menyokong/bersetuju dengan perkara tersebut.

Nota:
*sikap Mahmudah- sikap baik
*amar makruf nahi mungkar- menegakkan (makruf) kebaikan/kebajikan dan mencegah (mungkar) kejahatan/keburukan.

p/s: Peringatan ini buat saya juga. Semoga Allah mengampuni dosa lalu, mari kita buka lembaran baru.

Monday, 28 May 2012

Kuliah Secara 'Live Streaming'

Kuliah malam tadi...di Shah Alam.
(Sumber: Fb UAI)
Malam tadi dapat tengok kuliah UAI di Shah Alam, Selangor secara 'live streaming'. Pertama kali sebenarnya. Sebelumnya langsung tak boleh bukak, mungkin masalah internet. Memang puas hati sebab jelas gambar dan suara, macam kita sama-sama berada kat sana. 

Macam biasalah, bahagian paling disukai...bila UAI jawab soalan. Sedikit ringkasannya (ayat olahan sendiri, tak ingat yang tepat):

Soalan: Bertemu kawan perempuan yang dah lama tak jumpa, dia peluk dan cium/laga pipi. Saya tak menolak sebab nak jaga air mukanya. Bolehkah?
Jawapan: Tak boleh, lelaki dan perempuan yang bukan mahram (halal berkahwin) haram bersentuhan. Kena menolak. Antara air muka manusia dengan perintah Allah, Allah yang kena dahulukan. Kecualilah kalau kita menolak, muka dia betul-betul jatuh...ni setakat air muka saja (part ni memang lawak cara UAI sampaikan).

Soalan: Betulkah dalam dunia ni ada 7 orang lagi yang muka serupa kita?
Jawapan: Tiada mana-mana hadis atau ayat quran yang menyatakan begitu. Tapi memang tak mustahil sebab Allah berkuasa menjadikannya. Tak payah fikir pasal benda ni. Ia cuma kajian orang tertentu.

Soalan: Batalkah wudhuk kalau tersentuh kemaluan?
Jawapan: Batal kalau sentuh pada bahagian telapak tangan sahaja (termasuk hujung jari), sebab ia perkara yang membatalkan wudhuk. Tapi kalau sentuh berlapik kain atau sentuh dengan bahagian atas tangan atau bahagian lain takde masalah. (UAI juga ada terangkan mana bahagian yang disebut kemaluan, sebab ada yang salah faham.)


Tu jelah sedikit perkongsian pagi ni. Memang tak ngantuk bila dengar kuliah UAI, sentiasa menyelitkan lawak jenaka dalam menyampaikan ilmu.

Monday, 5 March 2012

Tango

sumber: Google

Bukan tarian tango ya, tapi ia aplikasi untuk smartphone. Tango membolehkan kita buat panggilan suara, panggilan video dan mesej video secara PERCUMA. Yang penting handphone kita ada kemudahan INTERNET. Antara kelebihan lain aplikasi ni, secara automatik ia akan memaparkan senarai kenalan kita yang sama-sama ada Tango. Lihat gambar kat bawah. Jadinya kita boleh terus berhubung dengan mudah dan secara percuma dengan mereka ni. 

Sumber: Google

Untuk pengguna smartphone Samsung, boleh ambil aplikasi ni dari Market. Untuk smartphone lain, maaf saya tak pasti. Kalau nak tahu lebih lanjut, sila KLIK DI SINI. Kalau tak silap untuk PC pun dah ada.


p/s: Saya pun baru-baru ni je tau dan try gunakannya. Nampaknya Tango lagi best dari Skype.

Monday, 9 January 2012

Jahil Di Zaman IT

Tahu 'Surat Berantai'? Zaman saya sekolah dulu memang pernah dapat surat begini. Isinya berkisar keagamaan, bila membacanya kita rasa surat tu sangat bagus sebab berbicara mengenai agama. Lagi-lagi kita yang membacanya ni agak jahil agama. Kemudian di hujung surat dinyatakan yang kita perlu sebarkan surat tu, dengan ancaman jika tidak kita mendapat bencana! Ramailah yang takut dan mula buat salinan (photostat) untuk edarkan pada kawan yang lain. Betul-betul bencana sebab terpaksa keluar duit buat photostat surat tu banyak-banyak. Tapi masa tu saya tak buat sebab sayang duit..

Bila tiba zaman SMS, tersebar pulak benda yang sama dalam bentuk SMS! Ada yang bagitau saya, dia sebarkannya sekadar suka-suka dan bukan sebab percaya isi SMS tu. Saya tak percaya jawapan tu!. Untuk apa buang duit jika sekadar suka-suka? Pastinya dia percaya dan takut dengan ancaman di penghujung SMS.

Dan kini bila IT kian berkembang, saya menerimanya pula di Facebook! Sungguh tak percaya...masih ada yang jahil benda begini di zaman IT. Asal ada unsur agama, terus nak sebarkan.

sedikit petikan isi 'surat berantai'

Kenapa tak boleh percaya?
  • TAK LOGIK. Bagaimana sepucuk surat boleh menjamin manfaat/bencana dalam hidup kita? Macamana dia nak tahu kita dah sebarkan atau belum? Sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa ke atas kita hamba-Nya.
  • TAK KENAL SIAPA PENGIRIM ASAL. Memang dia ada sebut nama orang tertentu, tapi kita tak kenal siapa dia. Bagaimana kita boleh mudah percaya pada orang yang tak dikenali? Kemudian mudah saja ikut arahan dia.

Jadinya, teman-teman sila jangan sebarkan jika terima surat berantai. Jangan jadi JAHIL DI ZAMAN IT! Nasihatkan juga anak, adik dan kawan-kawan yang percaya pada perkara begini. Menjadi agen penyebar pada perkara yang salah juga turut mengheret kita ke kancah dosa.