Thursday, 30 January 2025

Catatan 8 Hari 7 Malam | 19 - 26 Januari 2025

Selama 8 hari 7 malam saya bersama Encik Suami ke sana ke sini. Bila dah balik rumah, banyak pulak urusan rumah tangga nak dikerjakan. Masa senggang yang ada saya gunakan untuk betul-betul berehat, sebab itu saya ambil masa lama untuk kembali mencatat di blog.

Ke mana saya selama 8 hari 7 malam yang lalu?
Rumah Perlis ⟶ Hotel di Shah Alam, Selangor (2 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak Mentua di Batu Pahat, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Perlis.

⏵ AHAD, 19 JANUARI 2025
Selepas menunaikan solat Subuh (sebelum kami bertolak ke Shah Alam), suasana awal pagi di rumah kami jadi sedikit huru-hara dengan kehadiran seekor ular berbisa - ular katam tebu!

Ular katam tebu. Foto hasil carian internet.
Ular berbelang warna hitam putih sedang melingkar di kawasan singki dalam bilik air yang jarang digunakan. Saiznya tidaklah besar dan panjang seperti dalam foto di atas, tapi itulah ular paling panjang pernah masuk ke rumah kami. Menakutkan! Syukurlah bukan saya yang membuka pintu bilik air ketika itu, tetapi Encik Suami. Entah apa reaksi saya kalau jadi orang pertama yang nampak si panjang berbelang ni.

Hasil bantuan jiran, ular katam tebu berjaya dibawa keluar. Alhamdulillah!

Set minum petang di kafe hotel.
Perjalanan dari rumah Perlis ke De Palma Hotel Shah Alam sejauh 497 km mengambil masa kira-kira 6 jam 20 minit. Kami menginap di sini selama dua malam atas urusan kerja Encik Suami.


⏵ SELASA, 21 JANUARI 2025
Kami bermalam di rumah NS pula - waktu siangnya Encik Suami ada urusan kerja di kawasan berhampiran. Waktu malamnya, kami berjalan kaki ke deretan kedai di hadapan kawasan perumahan untuk ke kedai dobi (mesin basuh rumah NS yang rosak masih belum dibaiki) dan makan malam.

Setelah kira-kira 10 tahun usia taman perumahan kami, akhirnya bangunan kedai siap dibina dan mula beroperasi pada tahun lepas.

Kami menyusuri deretan kedai di sini buat kali pertama. Saya perhatikan terdapat beberapa buah kedai runcit, beberapa buah kedai makan, kedai dobi, kedai cuci kereta dan farmasi. Di kawasan tapak parkir pula terdapat gerai tolak menjual burger dan sate. Wah, lengkap semuanya!


⏵ RABU, 22 JANUARI 2025
Awal pagi, kami bertolak balik kampung di Johor - balik rumah Mak saya di Pontian. Beberapa hari sebelumnya, saya sempat membuat tempahan kuih-muih dari seorang jiran - kaswi gedik dan apam mekar.

Bawa balik kuih-muih untuk dimakan bersama ahli keluarga yang ada di rumah Mak. Kebetulan kakak yang menetap di Merlimau, Melaka pun balik kampung.

Pokok pisang hiasan Musa Ornata
Cantik warna jantung pisang ni - pokok pisang hiasan (Musa Ornata) di laman rumah Mak.

Perkembangan kesihatan Mak saya | Mak masih tak mampu bergerak sendiri. Sekarang menggunakan katil hospital boleh laras yang dipinjam dari YB DUN Kukup. Mulai 12 Januari lalu, kami dapat seorang pembantu untuk Mak yang cekap melakukan tugasan. Alhamdulillah!

Disebabkan Mak tak boleh bergerak, kami dapatkan khidmat home visit doctor dari Poliklinik QMS Pontian. Hasil pemeriksaan, menurut doktor - ada kemungkinan saraf yang mengawal otot kaki terhimpit disebabkan masalah Scoliosis. Tiada rawatan khusus dapat dilakukan. Doktor mencadangkan Mak saya menjalani fisioterapi secara berterusan (untuk info - sebelum ini Mak pernah menjalani fisioterapi di Ifix Physio. Entrinya DI SINI).

Upah pembantu Mak - RM1,500 sebulan. Caj home visit doctor - RM325. Caj home visit physiotherapy - RM60 satu sesi. InsyaAllah sesi fisoterapi akan bermula esok - Jumaat, 31 Januari. Saya catatkan secara terperinci di blog sebagai rujukan akan datang.


⏵ KHAMIS, 23 JANUARI 2025
Waktu tengah hari, kami bergerak ke kampung Encik Suami di Batu Pahat

Cantik warna merah menyala cili bulat dilaman rumah mak mentua saya.

Mee Bandung Odeon
Mi bandung Odeon.
Hari Jumaat - kami bersama beberapa ahli keluarga lain makan mi bandung di Mee Bandung Odeon yang terletak di bandar Batu Pahat.

Mee Bandung Odeon merupakan medan selera yang menempatkan deretan gerai jualan. Nama Odeon pula diambil dari nama pawagam yang suatu masa dahulu beroperasi di bangunan sebelah meden selera ini.

Rupa dan rasa mi bandung di sini berbeza dengan mi bandung Muar. Mi bandung Odeon tidak kuat rasa juga aroma udang dan lebih rasa lemak kacang tanah. Sedap menurut cita rasa saya. Cuma tahap kebersihan medan selera dan gerai di sini perlu dipertingkatkan.


⏵ SABTU, 25 JANUARI 2025
Jumaat malam Sabtu, kami kembali bermalam di rumah Mak saya. Hari Sabtu ada majlis perkahwinan dua orang anak saudara saya di Pontian. 

Pada Disember 2024 dan Januari 2025, menyaksikan empat orang anak saudara saya mendirikan rumah tangga. Terasa diri semakin tua bila seorang demi seorang anak saudara berkahwin.

Semoga Allah memberkati rumah tangga anak-anak saudara saya - Izam, Hafiz, Najib dan Fahmi bersama pasangan masing-masing.


⏵ AHAD, 26 JANUARI 2025
Sabtu malam Ahad, kami bermalam di rumah NS.

Pagi Ahad yang sejuk dengan hujan mencurah bumi. Tunggu hujan reda tapi makin bertambah lebat, akhirnya kami bergerak jugalah dalam suasana hujan lebat.

Salomak Sampodeh Nilai
Pukul 9.30 pagi, kami singgah makan sarapan di kedai makan jiran - Salomak Sampodeh di Desa Cempaka, Nilai. Saya suka nasi lemak di sini - cukup lemak rasa nasinya. Kedainya juga bersih.

Perjalanan balik ke rumah Perlis tidak begitu lancar, aliran trafik agak sesak di beberapa tempat dan juga terdapat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah ketika jam menghampiri pukul 7.30 malam. Kepulangan kami disambut oleh Jojo si kucing jantan - mengiau dan terus menuju depan pintu bersedia untuk masuk rumah 😄






.

22 comments:

  1. Maaakkk.... ular tu! Takut tengok.
    Bawa-bawa berehat dahulu Ujie. Pelan-pelan update blog.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya kak…kena rehat, baru ada mood nak update blog 😀

      Delete
  2. Ular katam tebu ni berbisa, hati2 ye PU. Mungkin boleh tabur belerang keliling rumah sbg langkah cegah ular masuk rumah.
    Semoga bonda diberi kemudahan hendaknya 🤲🏻
    Comelnya cili bulat tu , tak pernah lagi jumpa ...
    Tahniah dan Selamat Pengantin Baru utk anak⁴ saudara PU serta pasangan masing² 🌹

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih PH 💙
      Saya pun baru pertama kali tengok cili bulat tu 😀

      Delete
  3. Cili bulat tu nak benih dia hahahaha.. comey la pulak.. takut bebudak nampak ingtkan berries hahaha.. ular tu Allahu nasib la tak kena bisanya.. apa pun syukur selamat... Semoga mak sihat kembali.. empunya blog kena ada masa utk berehat.. insyallah moga semua urusan dipermudahkan Allah..Aminn..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benih kena mintak mak kat Johor nun 😄
      Takpe, biar bebudak rasa. Sekali rasa, taubatlah dia 😂
      Terima kasih atas doa Afif.

      Delete
  4. Ular tu aihhh geli seram nya tengok.

    Perjalanan tu, dapat rasakan nya. Ikut suami outstation dll memang ukur jalanraya. Semoga dipermudahkan segala urusan & mak segera sembuhnya. Aamiin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah kan…dah macam dekat pulak KL tu dok berulang 😅
      Terima kasih doanya.

      Delete
  5. Ya allah cantik betul warna ciptaan Allah tu. Tak pernah tengok warna ular macam tu. Tapi tu lah memang menjerit la saya kalau jadi kat saya. Warna cili bulat tu pun cantik. Terang merahnya. Warna jantung pisang tu pun cantik sangat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya masa mula-mula saya tengok tu pun, terdetik eh…cantiknya berbelang! Lepas tu baru rasa adui seram sebab kalau ular cantik biasanya berbisa.

      Delete
  6. Kaaaaak, ya Allah sampai merinding badan saya lihat ularnyaaa 😭😭😭. Pastilah terbayabg2 ini tiap masuk kamar mandi kan ... Skr ini tiap baca ttg ular masuk rumah, saya betul2 takut. Jadi suka liat dulu sebelum benar2 masuk. Macam waktu itu melingkar dalam toilet. Ya Allah takut lah memang.

    Syukurlah tak ada yg terkena bisa dia yaa.

    Semoga Mak bisa cepat pulih. Apapun pastilah kita usahakan yg terbaik untuk orangtua kan.

    Baca ttg salomak sampodeh, okelaah saya catat dulu, memang tertarik nak coba nasi lemaknya 😄. Setelah dicek, lumayan jauh juga kalo dr KL yaa 😄

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Fanny. Sekarang ni bila masuk je bilik air tu, akak jadi terbayang dan ragu-ragu nak masuk. Lepas tu memang sibuk check semua tempat bimbang ada yang menyorok.

      Terima kasih doa Fanny.

      Ya, memang jauh dari KL. Tapi di KL pun banyak juga pilihan kedai nasi lemak yang sedap.

      Delete
  7. Lama bermusafir ya.
    Harap emak Puan Ujie ada perubahan positif lepas dapat rawatan yang dicadangkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah. Terima kasih doa NA. Kami usahakan apa termampu.

      Delete
  8. aduhhhh seramnya mmbygkan ular katam tebu masuk dlm rumah! mujurlah dpt keluarkan dgn baik selamat semua ye.. waaahh cili bulat tu menggoda!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang seram dan rasa tak selamat. Ini kali pertama ular berbisa masuk rumah.

      Delete
  9. pernah menginap kat hotel de palma tu ms baru lps pkp....
    masa tu rasa mcm sunyiiiii sgt
    hehehe

    barakallahulakum utk semua mempelai...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekarang dah meriah. Dapat pulak bilik tingkat bawah, tambah meriah dengan bunyi bising dari jalan 😅

      Terima kasih doa Anies.

      Delete
  10. sy suka kuah mi bandung mcm tu...
    rasa sedap je nak menghirup sampai licin hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Macam suami akaklah tu, dok hirup sampai licin 😄

      Delete
  11. Seram tengok ular katam tebu ..berbisa tu ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukur sangat tak jadi apa-apa yang buruk haritu. Memang seram bila tau ni ular berbisa, patukannya membawa maut.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****