Tuesday, 21 January 2025

Naik Keisei Skyliner Airport Express ke Nippori Station

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI PERTAMA - RABU, 4 DISEMBER 2024

Jemput baca catatan terdahulu —> Penerbangan Dari KLIA Ke Narita Airport.

Dari lapangan terbang, kami menuju ke hotel penginapan di Nippori yang terletak sejauh 72 km. Masih awal pagi, memang tak boleh mendaftar masuk hotel tapi boleh tinggalkan beg sementara kita berjalan-jalan.

Apa pilihan pengangkutan yang ada untuk ke hotel?
Dengan bantuan aplikasi Google Maps - terpapar senarai pengangkutan yang boleh kita pilih lengkap dengan kadar tambang dan tempoh perjalanan. Sangat mudah! Ini jauh berbeza dengan pengalaman kami semasa ke Guangzhou, China - tiada paparan pilihan pengangkutan.

Kami pilih untuk menaiki Keisei Skyliner Airport Express kerana ia menawarkan perjalanan lebih pantas iaitu kira-kira 45 minit perjalanan, lebih selesa dan lebih mudah kerana tak perlu bertukar tren. Naik satu tren dan lepas tu jalan kaki untuk sampai ke hotel.

Kalau nak lebih mudah terus sampai depan pintu hotel, boleh pilih naik e-hailing tapi kena bersedia membayar kadar tambang lebih tinggi berbanding naik tren.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Kaunter beli tiket di sebelah kiri.

Saya jaga beg, Encik Suami pula ke kaunter membeli tiket. Petugas di kaunter boleh berbahasa Inggeris, jadinya tiada masalah komunikasi. Selain pembelian di kaunter, tiket juga boleh dibeli secara online di skyliner.ec.keisei.co.jp atau beli awal melalui Klook - ada tawaran diskaun tapi perlu buat pengiraan sama ada berbaloi atau tidak dengan kadar tukaran wang semasa. 

Kos tambang dari Narita Airport ke Nippori Station - 2,580 yen seorang

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Di platform menunggu tren.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Tiket tren. Ada tulisan bahasa Inggeris, mudahlah nak faham maklumat perjalanan. Tertera nombor tempat duduk dan koc (car) yang perlu dinaiki. Masa berlepas pada pukul 9.11 pagi.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Kami menunggu di sini - car 3 boarding point.

Keisei Skyliner Airport Express
Beginilah rupa dalam tren Keisei Skyliner Airport Express.

Keisei Skyliner Airport Express
Foto ni mungkin nampak sedikit pelik sebab hasil foto zoom-out.
Ada tempat khas letak bagasi berhampiran pintu masuk koc. Tapi kami letak je di tempat kami duduk sebab ruang kakinya luas. Beg galas kami letak di ruangan atas tempat duduk. 

Keisei Skyliner Airport Express
Kedudukan kami di koc ke-3 (warna biru pada gambar rajah). Kedudukan fire extinguisher, emergency intercom, AED - automated external defibrillator dan tandas juga dipaparkan pada gambar rajah. Mudah nak cari bila diperlukan. 

Mata mengantuk, tapi saya rasa rugi kalau melelapkan mata tak dapat lihat pemandangan di luar. Kenalah tahan mata demi menikmati pengalaman pertama menyaksikan rupa negara Jepun.

Dapat menyaksikan perubahan warna dedaun pada penghujung musim luruh.

Cantik dan bersih sungainya.

Ada ketikanya, tren berhenti untuk memberi laluan kepada tren lain. Sepanjang perjalanan saya menyaksikan beberapa jenis tren melalui landasan sebelah.

Bangunan rumah penduduk.

Tak terasa masa berlalu bila mata leka menikmati pemandangan di tempat yang asing. Macam sekejap je perjalanan, tren tiba di destinasi iaitu Nippori Station - stesen yang terletak di Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.

Keluar dari stesen, barulah terasa udara sejuk sungguh! Kami kemudiannya terpinga-pinga mencari arah mana satu nak dituju. Walaupun ada panduan pada Google Maps, tapi tidaklah terlalu mudah.

Pendek cerita, akhinya kami jumpa juga arah mana satu patut dituju. Dari pintu stesen, kami perlu menuruni anak tangga yang jauh ke bawah 😅

Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.
Cabaran tangga pertama buat kami yang baru tiba di Jepun. Ini cuma permulaan, selepas ni banyak lagi anak tangga perlu didaki/dituruni.

Kalau tadi saya perhatikan orang turun/naik tangga ni dengan membawa bagasi. Kali ini giliran kami pula bawa turun bagasi melalui tangga ini. Kami bawa dua buah bagasi - Encik Suami bawa turun satu persatu ke bawah.

Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.
Dari tangga tadi, kami berjalan menuju ke Art Hotel Lungwood dengan mengikut panduan Google Maps. Tak begitu jauh dan mudah sebab jalanan di sini tak sibuk dan laluan pejalan kakinya luas (rujuk foto di atas).

Encik Suami pula suka rela nak bawa semua beg kami - dua buah bagasi saiz 20” dan 24” serta sebuah beg galas, dapatlah saya berjalan santai memerhati suasana sekitar. Kalau ikutkan, tak perlu bawa banyak beg untuk isi keperluan kami berdua selama lima hari di Jepun. Tapi kami sengaja bawa lebih sebab ada niat nak shopping. Eh, bukan niat saya tapi niat Encik Suami sebab tu dia sanggup heret bagasi 😄

Awal-awal saya dah cakap pada Encik Suami - saya bukan orang yang suka shopping semasa travel dan saya tak ada apa nak beli di Jepun. Setakat beli satu dua barang sebagai kenangan, cukuplah! Betul ke tak? Kita tengoklah nanti 😆







5 comments:

  1. Sa tengok tangga tu...terfikir..bab turun tu rasanya kurang masalah..tapi risau lutut sakit..bila tengok bab mendaki tu...halah..halah......mampu ke SA mendaki tangga tinggi tu...acaner nak pi Jepun ni...kebanyakkan yang SA baca pengalaman travel ramai update bab tangga tinggi baik di Jepun mahupun di Korea...

    ReplyDelete
  2. untungnya encik suami akak bawakkan bagasi! boleh jln lenggang kangkung nikmati suasana hehehe

    ReplyDelete
  3. Pandai betul la dia berjalan. Kalau sy mahu menangis tepi landasan keretapi, hahaha.

    ReplyDelete
  4. Bagusnya panduan tiket dia, ada bagitau gerabak mana, dan di tempat tunggu train pun dia bagitau naik kat mana. Sangat bermanfaat, kan.
    Birunya sungai dia. Kat malaysia, sungai kaler teh. Hihi..
    Patut orang jepun kurus-kurus ye, banyak tangga. :D
    Hahaha... iye la, takkan tak beli barang kot, dah la jarang pergi, negara orang. :D

    ReplyDelete
  5. Kami selalu bawa luggage 28" kalau travel jauh sebab selalunya agak lama kami travel kt tempat tu. Naya la kalau nak kena angkut turun naik tangga tinggi mcm ni.. haha bertabahlah ceritanya. Thanks for the info !

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****