Friday, 10 January 2025

Pengalaman Kali Pertama Bawa Jojo Jumpa Doktor

Dalam entri terdahulu, saya ada menyebut berkenaan Jojo - seekor kucing jantan yang sering bertandang ke rumah dan kini menjadi sebahagian daripada kehidupan saya dan Encik Suami.

Jujurnya, saya langsung tiada pengalaman mahupun pengetahuan dalam hal penjagaan kucing. Sedikit demi sedikit saya belajar perihal kucing - pemakanan, penjagaan kesihatan dan tingkah laku kucing menerusi pembacaan di internet dan perbualan dengan orang terdekat yang juga memelihara kucing.

Jojo saya biarkan bebas di luar seperti kehidupannya yang biasa. Di luar rumah saya sediakan bekas minuman, bekas makanan dan ‘bilik tidur’ - sebuah khemah comel. Cuma ada ketikanya Jojo masuk ke rumah tetapi dengan pemantauan. Kalau terlepas pandang, pernah juga Jojo kencing di sisi rak dalam rumah. Aduhai!


JOJO DEMAM

Hari Ahad, 5 Januari 2025 | Jojo mula menunjukkan perubahan sikap. Hidangan malam isi ayam rebus yang biasanya licin dimakan, kali ini cuma dimakan sebahagian saja.

Hari Isnin, 6 Januari 2025 | Seperti selalunya selepas waktu Subuh, saya atau suami akan buka pintu rumah dan Jojo akan meluru masuk. Macam biasa, kami hidangkan isi ayam rebus untuknya. Sama seperti malam tadi, Jojo cuma makan sebahagian saja dan kemudian terus menuju ke rak buku (ruang menyorok kegemarannya) dan tidur di situ. Biasanya, pagi begini dia aktif - berguling-guling di kaki kami, sibuk nak main gigit kaki dan mengesel-geselkan kepalanya.

Dan seterusnya, di sepanjang hari dia kelihatan lemah dan tak aktif - tiada bunyi mengiau, tak sibuk mengejar itu ini, tak sibuk menjilat/membersihkan badan. Jojo hanya duduk diam atau tidur di luar rumah, tak berjalan ke mana-mana seperti biasa. Selera makannya juga semakin berkurang.

Malamnya bila saya pegang badannya, terasa panas berbanding biasa. Saya agak Jojo demam, walaupun saya ragu-ragu - kucing ada demam macam orang juga kah?

Hari Selasa, 7 Januari 2025 | Keadaan kesihatan Jojo semakin memburuk - makan dan minum cuma sekadar menjamah dan badannya semakin lemah - boleh rasa badannya lembik bila diangkat.

Jadinya lewat petang tersebut selepas Encik Suami balik dari kerja, kami bawa Jojo ke klinik veterinar buat kali pertama. Sebenarnya kami memang bercadang nak bawa Jojo ke klinik untuk dapatkan vaksin dan rawatan kutu, seterusnya buat pemandulan. Tapi nampaknya pengalaman pertama Jojo ke klinik disebabkan dia sakit 😕

Jojo tak senang duduk, mungkin pengalaman pertamanya naik kenderaan.
Pet carrier saya beli menerusi Shopee - harganya RM31.47, baru je diterima kira-kira pukul 4 petang. Segera saya pasang dan bawa Jojo duduk di dalamnya supaya serasi. Saya buat pembelian pet carrier ni pada 3hb. lalu, sebelum Jojo sakit. Syukurlah sangkar ini sampai tepat pada masa ia benar-benar diperlukan.

Berdebar rasa sebab pertama kali bawa kucing ke klinik dan perlu menempuh perjalanan sejauh 21 km. Dari mula perjalanan, Jojo mengiau dengan suara lemah dan sesekali ‘tangannya’ menjulur keluar. Saya rasa kasihan bercampur lucu.

Berlaku sedikit drama, di pertengahan perjalanan tiba-tiba pintu sangkar terbuka! Mungkin sebab pergerakan kereta dan kedudukan kerusi yang tidak sekata, ditambah dengan Jojo yang sibuk berusaha untuk keluar. Jojo segera keluar dan menuju ke depan. Tak sempat saya tangkap, dia terus naik atas dashboard kereta. Kelam-kabut saya berusaha untuk menangkapnya. Mujurlah Encik Suami dapat kekal tenang mengawal pemanduan.

Saya tangkap dan letak Jojo di riba saya supaya dia tenang. Kemudian, kami berhenti di tempat yang selamat dan masukkan kembali Jojo dalam sangkar. Kali ini, saya pangku sangkar tersebut bagi memastikan pintu tak terbuka dan Jojo rasa lebih selamat. Dan kali ini juga, Jojo lebih tenang tanpa sebarang bunyi. Fuh!

Jojo duduk diam dengan muka cuak sedang menunggu giliran jumpa doktor 😀. Eh, perasan tak yang alas warna hitam tu terbalik? Dah sampai rumah baru saya tersedar silap letak 😆
Pukul 6 petang kami tiba di Calico Veterinary Clinic yang terletak di Arau. Staf klinik maklumkan ada sembilan orang sedang menunggu giliran dan tak dapat terima kami sebab klinik tutup pada pukul 6.30 petang. Saya pun buatlah ayat kasihan - kucing sakit dan saya datang dari jauh. Staf klinik masuk berjumpa doktor dan syukurlah kami diterima. Lega satu hal.

Kos rawatan Jojo (sila klik untuk paparan lebih jelas).
Pukul 7.11 malam, Jojo selesai terima rawatan. Jojo tenang je tanpa drama sepanjang proses rawatan. Doktor yang merawat - seorang perempuan muda dan pembantunya seorang lelaki sangat cekap dan mesra mengendalikan Jojo. Doktor panggil kucing - adik. Comel je dengar 😁

Hasil pemeriksaan dan jenis rawatan yang diberi :
  • Berat Jojo 3.88 kg
  • Jojo demam - suhu 40℃.
  • Ada kutu babi, doktor buangkan.
  • Suntik ubat demam.
  • Beri ubat antibiotik, multivitamin dan makanan guna picagari.
  • Sapu ubat kutu/hama/cacing di bahagian tengkuk kucing.

Alhamdulillah, lega rasanya bila dah bawa Jojo jumpa doktor. Dah sihat nanti barulah boleh atur masa untuk vaksin dan pemandulan (hanya boleh dibuat selepas vaksin kedua). 

Suatu pengalaman baru buat kami yang tak pernah ada pengalaman hantar anak jumpa doktor, tapi kali ini kami masuk berdua ke bilik rawatan sebab bawa anak bulu 😄

Setakat pagi tadi - hari Jumaat, kesihatan Jojo semakin membaik. Setelah tiga hari perlu dipujuk/paksa untuk makan, Subuh tadi Jojo meluru masuk rumah menuju ke bekas makanannya. Perkembangan yang baik walau nampak masih belum aktif seperti biasa. Alhamdulillah! Semoga Allah kurniakan kesembuhan buat anak bulu saya.






.

4 comments:

  1. Alhamdulillah, syukur Jojo semakin membaik, semoga Jojo betul² sembuh. Demam pasal kena gigit kutu babi ke, Jojonya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin…

      Saya tanya soalan ni jugak kat doktor, jawabnya…ada kemungkinan. Sebab banyak jugak kutu babi doktor buang, ada dalam 5 ekor gitu.

      Delete
  2. nasib baik akak cepat perasan,sakit sangat kot kena gigit kutu babi smp demam...lps ni sentiasa sihat ye Jojo,doakan selalu mama papa (nak panggil apa ni kak?haha)
    saya masih terbayang2 amber,masih terngiang2 suara manja dia,masih rindu :(

    ReplyDelete
  3. Jangankan demam, sakit jantung pun boleh. Kucing arwah mak saya dulu, mati sebab sakit jantung la. Kucing kakak saya pula, kena buat dialisis, macam manusia. Semoga Jojo cepat-cepat sembuh.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****