Catatan hari Ahad, 12 Januari 2025.
Setelah lebih setahun menetap di Perlis, baru kali ini saya dan Encik Suami berkunjung ke pasar pagi yang terkenal di sini iaitu Nat Pokok Getah. Pasar pagi ini terletak di Pauh, Arau dengan jarak perjalanan sejauh 20 km dari rumah kami.
Nat dalam dialek tempatan merujuk kepada pasar pagi. Kenapa namanya Nat Pokok Getah? Ini kerana ia beroperasi dalam kebun getah. Tapi mungkin terlalu ramai peniaga, manakala ruang yang ada (dalam kebun getah) tak mencukupi, maka ramai juga peniaga yang berjualan di tepi jalan besar.
Kami tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi, sudah agak lewat. Kebetulan masa ni cuaca sedikit mendung dan baru saja lepas hujan gerimis. Jadinya walaupun dah pukul 10 pagi tidaklah rasa panas dek terik matahari.
Beginilah suasana jalan raya di Nat Pokok Getah - sesak dengan kenderaan yang bergerak perlahan dan gerai jualan memenuhi bahu jalan. Di kanan dan kiri jalan nampaknya terdapat beberapa kawasan yang dijadikan tempat parkir. Saya tak pasti sama ada ia percuma atau berbayar.
Kami parkir di tempat yang terletak sebelum kawasan nat - kereta kami pusing ikut jalan lain untuk berpatah balik ke sini. Perlu berjalan kaki jauh sedikit tapi dapatlah ruangan parkir yang selesa dan selamat untuk kenderaan kita.
Bayaran RM3 sekali masuk. Servis di sini juga bagus - ada petugas jaga jalan setiap kali kita keluar/masuk dan tunjukkan ruang parkir kosong.
Dari tempat parkir, kami berjalan kaki menyeberangi jalan raya seterusnya melewati deretan gerai jualan di bahu jalan. Lepas tu barulah kami tiba di kawasan jualan dalam kebun getah.
Wah! Memang lain macam suasana pasar di sini. Khemah-khemah jualan berada di bawah pokok getah menjadikan suasana lebih redup. Tambahan pulak masa ni cuaca sedikit mendung, saya rasa selesa berjalan di sini.
Sebelum sampai sini, saya cakap dengan Encik Suami - saya tak ada apa nak dibeli, datang sini cuma nak tengok suasana 😝
Tapi, awal-awal lagi saya dah berkenan dengan pokok orkid berbunga 12 kuntum ni. Maka, duit RM55 bertukar tangan. Acara jalan-jalan di pasar baru saja bermula, kami tinggalkan pokok orkid ni untuk diambil sewaktu balik nanti.
Giliran Encik Suami pula membuat pembelian. Bila dah menetap di kawasan kampung, memang menjadi keperluan memiliki beberapa jenis pisau dan parang.
Kami masuk ke kawasan jualan barang terpakai dan barang antik. Rata-rata barang jualan di pamerkan atas tanah beralaskan kanvas.
Pelbagai jenis peralatan elektrik turut dijual.
Eh, buku terpakai pun ada!
Belek punya belek, saya berkenan dengan sebuah buku berjudul Duri dan Api. Buku kumpulan sajak-sajak pilihan karya Sasterawan Negara - Usman Awang ini merupakan cetakan ketiga tahun 1972. Kondisi buku ini masih elok - tiada helaian yang koyak atau tertanggal.
Jika 53 tahun lalu harganya cuma RM2.70 (cetakan harga tertera di belakang kulit buku), hari ini saya bayar nilainya sebanyak RM20. Hasil carian saya selepas itu mendapati buku ini turut dijual dengan harga sekitar RM40 hingga RM45. Manakala bagi cetakan kedua, ia dijual pada harga RM80!
Dari kawasan jualan barangan, kami melintas jalan raya untuk ke kawasan jualan makanan dan barang dapur (bahan kering dan basah) pula. Pengunjung lebih ramai bertumpu di sini.
Kami beli kuih apam, entah apa nama apam jenis ni.
Asam jawa kepal. Saya beli bawang di gerai ni sebab nampak elok cantik bawangnya, padahal bawang di dapur masih ada lagi 😄
Pelbagai jenis pes masakan - CT Rempah Giling Kodiang. Penjualnya seorang lelaki dan seorang perempuan muda begitu ramah menerangkan pes jualan mereka. Saya beli beberapa jenis pes di sini. Bekas kecil RM6 dan bekas besar RM12.
Jomlah kita balik! Hampir satu jam kami jalan-jalan di sini dengan jarak 1.25 km pergi/balik dan 1,814 langkah - data dari smart watch. Itu pun kami tak pergi ke semua tempat.
Terasa rugi saya tak ke sini lebih awal - dah pindah lebih setahun, tapi sekarang baru sampai 😅. Nat Pokok Getah bukan saja unik kerana berada dalam kebun getah, tetapi menarik kerana menawarkan hampir segala-galanya! Pendek kata, pasti ada sesuatu untuk setiap pengunjung yang datang.
Nat Pokok Getah hanya beroperasi pada hari Jumaat dan Ahad, dari pukul 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Sebaiknya datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan masalah mencari parkir, juga menghindari terik matahari.
Kalau boleh, pakai juga kasut yang sesuai sebab kita berjalan di tanah yang tidak rata - terutamanya bila berjalan di kawasan jualan barangan terpakai dan antik. Dan kalau tak mahu terlalu sesak, elakkan datang pada musim cuti sekolah atau cuti umum.
Berkunjung ke Perlis? Masukkan Nat Pokok Getah dalam itinerari kalian untuk merasai suasana pasar pagi yang unik! Carian Google Maps - Nat Pokok Getah.
Best dan unik, Pasar Pagi dalam kebun getah. Macam2 ada tu, seronok nya dapat pergi. Apam tu first time tengok bentuk macam tu. Apam nenas pun sama, mesti sedap.
ReplyDeleteKita pernah tengok Mak Cella datang sini, katanya kena datang pagi² lagi redup. Kalau tengok sama macam pasar lambak cuma uniknya dalam kebun getah. Pokok orkid tu nanti mesti dapat kawan tu tak lama lagi.
ReplyDeleteAlaa bestnya Ujie kalau pii pasar malam jualan sayur dan makanan kampung gini, unik lak tu dalam kebun getah.. teringin nak pi, in syaa allah
ReplyDeletefuh..! betul-betul rare. ni kalau tak kene gaya, ad yang anggap seperti perkampungan bunian tau.. heheh
ReplyDeleteOwh... Itu ke maksud Nat?
ReplyDeleteSy pun belum sampai lagi sini. Balik kampung sentiasa penuh jadual dgn keluarga.
ReplyDeleteTapi diakui NPG ni mmg terkenal dan menarik 👍🏻
Kebun getah sapalah yang jadi tapak nat ni.
ReplyDeleteDah tak payah norehlah kutip hasil sewa tapak