Catatan Trip ke Jepun 🇯🇵
Hari Selasa, 3 Disember 2024 | Berlepas ke Jepun 🛫
Hari Rabu, 4 Disember 2024 | Tiba di Narita Airport 🛬
Entri pertama saya bagi siri catatan trip ke Jepun. Jemput baca entri pengenalan —> Kembara ke Negara Matahari Terbit.
Sebelum itu, mari kita panjatkan kesyukuran dengan perkembangan terkini gencatan senjata di Gaza yang akan mula berkuat kuasa pada hari Ahad ini, 19 Januari 2025. Alhamdulillah!
Walau tempohnya cuma 50 hari, tetapi ia cukup melegakan bagi mereka yang berada di medan peperangan. Bersama-sama kita terus mendoakan masa depan yang lebih baik bagi mereka di sana.
Penerbangan Dari KLIA ke Narita Airport
Saya dan Encik Suami tiba di KLIA, Terminal 1 pada pukul 8 malam. Penerbangan kami menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijadualkan berlepas pada pukul 11.35 malam.
Pintu pelepasan di C37. Perlu naik shuttle bus dari terminal utama sebab aerotrain (APM - automated people mover system) masih belum beroperasi.
Pesawat Airbus A330-300 kelas ekonomi dengan susunan tempat duduk 2-4-2. Memang rasa lebih selesa bila dapat duduk berdua saja. Barisan sebelah kami - deretan empat buah kerusi, kosong tanpa penumpang.
Tersedia skrin untuk hiburan sepanjang penerbangan. In-flight Wi-Fi pun disediakan juga, tapi bila dah connect dan cuba guna macam tak boleh pulak. Saja mencuba, bukan nak layan telefon pun. Tadi dah puas menguap dan terlelap semasa menunggu masa untuk masuk pesawat, jadi masuk je pesawat memang nak cepat melelapkan mata.
Beberapa detik menghampiri pukul 12 tengah malam, barulah pesawat kami berlepas meninggalkan tanah air. Terlewat sedikit dari jadual, entah apa sebabnya.
Satu jam kemudian, pramugari datang menghulurkan dua helai borang - Disembarkation Card untuk urusan imigresen dan Customs Declaration untuk urusan kastam. Isi siap-siap dan simpan untuk kegunaan sewaktu tiba di Jepun nanti.
Tak lama kemudian, hidangan pertama diedarkan. Semuanya habis saya makan walau mata mengantuk. Sedap! Lepas makan, kita layan mata jelah. Nak tengok luar pun bukan nampak apa - gelap.
Hidangan kedua pula diedarkan pada pukul 4.30 pagi. Agak kecewa sebab saya tak dapat menu Pre-Order Meal, cuma dapat menu yang sama dengan penumpang lain.
Menurut pramugari, pada sistem cuma nama Encik Suami saja yang request Pre-Order Meal. Padahal masa buat tu memang kami dah pastikan untuk kami berdua. Entahlah. Encik Suami offer tukar dengan hidangannya, tapi saya tak minat pulak dengan pilihan makanan Encik Suami.
Nasi lemak yang saya makan ni pula terasa ada butiran nasi yang masih mentah. Saya makan jelah malas nak mengadu pada Encik Suami. Bila Encik Suami makan untuk merasa, dia tanya saya - nasinya masih ada yang mentah ya?
MasyaAllah indah sungguh pemandangan ketika cahaya siang mulai kelihatan. Masa ni pukul 5.18 pagi waktu Malaysia.
Saya menunaikan solat Subuh setelah berwuduk dengan menggunakan botol spray di tandas pesawat. Sebenarnya, ketika ini sudah pun di hujung waktu Subuh. Saya kurang teliti memahami dan menjaga waktu solat memandangkan ini pengalaman pertama kami perlu menunaikan solat ketika dalam penerbangan. Sepatutnya perlu tunaikan solat lebih awal, iaitu sebaik saja selepas menikmati hidangan nasi lemak tadi.
Macam mana kita nak tahu bila masuknya waktu solat ketika dalam penerbangan? Saya merujuk laman halaltrip.com. Buat carian lebih awal sebelum pesawat berlepas. InsyaAllah nanti saya buat entri khusus bab solat dalam penerbangan ni.
Selain merujuk laman halaltrip.com, saya turut bertanya kepada pramugari untuk kepastian. Agak lama barulah pramugari kembali dengan jawapan - kita akan mendarat tak lama lagi. Lebih kurang begitu ayatnya. Ketika itu saya dah pun selesai menunaikan solat. Apa pun, saya hargai usaha beliau yang cuba membantu saya.
Hari sudah terang, daratan jelas kelihatan di bawah. Saya rasa sangat teruja dan juga berdebar.
Alhamdulillah pesawat yang kami naiki selamat mendarat di bumi Jepun kira-kira pukul 7.19 pagi waktu tempatan (6.19 pagi waktu Malaysia) setelah terbang selama kira-kira 6 jam 20 minit.
Pesawat mendarat di Narita Airport yang terletak di Chiba prefecture (negeri).
Urusan imigresen sedikit mengelirukan serta perlu beratur panjang, tetapi tidak berlaku sebarang masalah. Saya kemudiannya berurusan dengan seorang pegawai imigresen lelaki yang kelihatan begitu santai bertugas - gaya rambutnya kelihatan seperti tidak terurus dan mulutnya sedang mengunyah sesuatu. Rasanya ini kali pertama saya berurusan dengan pegawai imigresen yang begitu santai. Tiada sebarang pertanyaan, sekejap saja selesai urusan pasport.
Alhamdulillah semua urusan selesai dalam tempoh kurang satu jam tanpa sebarang masalah. Cuma selepas ambil bagasi tu saya rasa sedikit cemas bila menyaksikan beberapa buah beg penumpang lain dihidu oleh anjing pengesan. Sebenarnya, tak perlu cemas pun sebab kami tak bawa sebarang makanan berbau atau apa-apa barang terlarang. Kami datang Jepun cuma bawa bekalan roti dan kekacang.
Tandas di Narita Airport. Selama ini saya cuma dengar cerita berkenaan kecanggihan tandas di Jepun. Akhirnya dapat juga saya menggunakan tandas canggih ni (sila klik foto untuk paparan lebih jelas).
Lega sungguh bila ke negara yang ada menyediakan kemudahan untuk bersuci menggunakan air. Pertama kali memanglah tak biasa, kena ambil sedikit masa untuk membaca tulisan dan memerhati simbol yang ada.
Boleh pilih untuk cuci bahagian depan atau belakang, juga boleh laras tahap tekanan air. Segan orang dengar bunyi yang tak sepatutnya? Tekan butang ‘privacy’, akan keluar bunyi aliran air yang juga boleh dilaras tahap kekuatan bunyi. Canggih kan? 😀
Dari lapangan terbang, seterusnya kami menaiki tren menuju ke hotel penginapan di Nippori. Bersambung pada catatan akan datang.
Benda yg paling uncle tak gemor... bila kena isi borang2 atas flight! Kan?
ReplyDelete