Friday, 24 April 2026

Aktiviti Sepanjang Menginap di Belum Rainforest Resort, Gerik

Sebelum meneruskan catatan kembara di Bumi Haramain, saya selesaikan dulu catatan percutian di Belum Rainforest Resort.

Berikut merupakan aktiviti yang kita boleh lakukan sepanjang menginap di sini :

⏵ EKSPLORASI SEKITAR KAWASAN PENGINAPAN
Belum Rainforest Resort, Gerik
Kawasan resort luas dengan bentuk muka bumi berbukit. Terasa penat jugalah tapi seronok dapat memerhati dan menikmati keindahan lanskap di sini.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Jalan-jalan menikmati keindahan tasik dengan air berwarna kehijauan.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Aktiviti kegemaran saya - memotret flora.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Perhatikan juga di atas pokok ya 😁


⏵ MORNING WALK
Belum Rainforest Resort, Gerik
Jalan-jalan menikmati suasana pagi di sini.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Pemandangan sekitar pukul 7.10 pagi.


⏵ AKTIVITI LAIN YANG TIDAK BERBAYAR
Belum Rainforest Resort, Gerik
Lawatan ke Rumah Temenggor. Rumah ini terletak berhampiran Hornbill Restaurant. Bolehlah masuk untuk menyaksikan rupa rumah kampung dan selitan sejarah laluan Timut-Barat.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Mini gimnasium di ruang terbuka. Lokasinya di rooftop penginapan Chengal.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Bersebelahan dengan ruang legar terdapat kaunter yang menempatkan Recreational Centre, welcome drink dan jualan makanan ringan/makanan segera. Di sini juga tersedia dua buah meja dengan beberapa permainan seperti papan catur.

Welcome drink yang sedap! Kali pertama merasa minuman ni ketika kami baru tiba untuk mendaftar masuk.

Belajar main catur dengan Encik Suami sambil menikmati minuman, tapi yang mengajar pun dah lama tak main - dah tak ingat sangat 😆

Terdapat satu lagi Game Centre yang terletak di bangunan penginapan Chengal - berhampiran tangga menuju ke restoran. Selain itu ada juga Reading Area dan kita boleh lakukan aktiviti mencerap bintang (stargazing) di rooftop penginapan Chengal.

Belum Rainforest Resort, Gerik
Paling menarik - rainforest infinity pool.

Saya tak pandai berenang, masuk kolam renang cuma untuk bermain air dan duduk di hujung kolam sambil menikmati panorama alam.


⏵ AKTIVITI BERBAYAR
Kadar caj aktiviti bermula dari RM15/seorang.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Tujuan kami ke sini hanya untuk bersantai dan berehat dalam suasana alam semula jadi, tak bercadang nak buat aktiviti merentas hutan selama berjam-jam yang memerlukan banyak tenaga. Saya cuma berhasrat nak buat aktiviti Night Trekking, tapi nampaknya tak ada rezeki - laluan hutan untuk Night Trekking masih dalam proses penyelenggaraan.

Sebagai ganti, kami buat aktiviti Elephant Spotting. Aktiviti ini dibuat pada waktu malam. Kami berdua bersama dua orang pelancong tempatan menaiki sebuah van pelancong yang dipandu melalui jalan utama dan masuk ke beberapa laluan kecil.

Sekali lagi, bukan rezeki kami - kumpulan kami gagal menemukan kelibat gajah. Rasa sedikit kecewa tapi memang dah sedia maklum aktiviti Elephant Spotting tak semestinya akan dapat nampak gajah. Bila difikir semula, takut juga kan kalau betul-betul jumpa gajah liar depan mata. Tengok di zoo sudahlah 😄

Najis gajah di Lebuhraya Timur Barat
Foto najis gajah yang kami temui pada siang hari, masa ni saya dan Encik Suami keluar dari resort - memandu ke arah Jeli kemudian berpatah balik. Nak patah balik kenalah masuk laluan kecil yang ada di tepi jalan, jumpalah dengan longgokan najis ni. Fuh, mujur tak jumpa tuan punya najis 😅

Dalam kawasan resort, terdapat sebuah jeti tempat bermulanya aktiviti air. Pilihan aktiviti air - bamboo rafting, stand up paddle board dan kayak. Teringin pula nak cuba berkayak di Tasik Temenggor, jadi masa hari pertama tiba tu kami terus buat tempahan slot kayak untuk pagi hari kedua. InsyaAllah catatan aktiviti berkayak dalam entri khusus.

Banyak aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke Belum Rainforest Resort ni. Perlu rancang awal kerana aktiviti seperti fishing trip dan jungle trekking tu kita kena bawa keperluan sendiri. Juga lebih bagus jika kita buat tempahan awal aktiviti tersebut bagi memastikan semuanya berjalan lancar.







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****