Showing posts with label My Biz. Show all posts
Showing posts with label My Biz. Show all posts

Saturday, 9 January 2021

Dapat Hadiah ‘Top 10 Ejen Dropship Buku JT’ untuk Disember 2020

JADI EJEN DROPSHIP JUAL BUKU
Saya mula mendaftar untuk jadi ejen dropship buku Jejak Tarbiah (JT) sekitar bulan Oktober 2019. Tujuannya supaya saya dapat membeli buku untuk diri sendiri dengan harga diskaun ejen 😀.

Namun akhirnya pada bulan Mei 2020, saya mulai fokus untuk menjual melalui Instagram (buat satu akaun khas untuk menjual). Sejak tu bermulalah kerja-kerja mempromosi buku hampir setiap hari di Instagram, status WhatsApp dan juga di grup-grup jual-beli buku di Facebook. Bukan kerja mudah, apa lagi ini pertama kali saya beralih arah ke dunia perbukuan (sebelum ni saya reseller tudung). Jual buku nampaknya tak ‘selaju’ jual tudung, memang seksa juga saya nak mendapatkan pembeli. Tapi, usaha tetap dilakukan hari demi hari.


GIVEAWAY UNTUK ‘TOP 10 EJEN DROPSHIP’
Menariknya di JT, setiap bulan akan ada ganjaran hadiah barangan (barang berbeza setiap bulan) untuk 10 ejen dropship dengan jualan buku paling banyak. Tentunya hadiah bukanlah matlamat para ejen, tapi bila ada hadiah dan senarai ‘top 10’ ni kita jadi bertambah semangat menjual. Duit komisyen dapat, hadiah pun dapat!

Setiap awal bulan biasanya pihak JT akan keluarkan poster hadiah yang bakal diberikan. Ni poster untuk bulan Disember 2020.

AKHIRNYA...

Alhamdulillah 🤩! Seronok rasanya bila tengok nama sendiri ada dalam senarai di atas. Maklumlah, baru pertama kali merasa masuk senarai ‘Top 10’ setelah berbulan lama aktif menjual.

Hari Khamis petang sampailah hadiah untuk saya. Tempat ke-7 dapat headphone mic. Kebetulan saya belum ada benda gini, jadinya memang sesuai sangatlah dapat.

Sebenarnya, saya ada sedikit rasa sedih bila jualan bulan Disember saya tak mencapai sasaran yang saya tetapkan sendiri. Dapatlah menjual 53 buah buku dengan nilai jualan sebanyak RM1,076.25 (nilai jualan agak rendah sebab ada diskaun 15% - 50% sempena jualan akhir tahun). Tapi lepas tu jadi gembira semula bila berjaya jugak masuk senarai. Menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus menyebarkan buku di kalangan masyarakat.

Pihak JT juga buat bayaran komisyen kepada ejen secara tetap pada/sebelum 5 hb. setiap bulan, tanpa ada nilai minima. Itu yang bagus. Alhamdulillah duit komisyen bulan Disember pun saya dah terima pada 4 hb. lalu, dapatlah RM296.45. Tak perlu pegang stok, tak ada risiko kerugian, tak perlu buat kerja membungkus dan mengepos...ok sangat bagi saya. Ada ejen lain yang mampu meraih komisyen sehingga RM1,000, memang hebat!

*Saya catat di sini dengan agak terperinci untuk rujukan sendiri pada masa akan datang.


Wednesday, 1 July 2020

Menjual Untuk Membeli

Balik rumah Negeri Sembilan hujung minggu lalu, saya sempat singgah membeli buku di galeri Jejak Tarbiah yang terletak di Bangi.



Lima buah buku yang menjadi pilihan saya kali ini - buku oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Shahriman Jamalullayl dan Hafizul Faiz. Semuanya dibeli menggunakan hasil komisen menjadi ejen jualan buku Jejak Tarbiah. Saya menjual buku untuk membeli buku 😊


Thursday, 30 April 2020

Kenangan Kesibukan Berniaga Online di Bulan Ramadhan

Hari ini hari ke-7 kita menjalani ibadah puasa. Juga hari ke-2 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020.

Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya, di mana saya sibuk dengan urusan jualan tudung secara online (kadang-kala ada juga tambahan jualan baju dan anak tudung berdagu). Ramadhan tahun ini saya bebas dari rutin buat iklan di Facebook dan Instagram, kemaskini stok di blog jualan, melayan juga menerima pesanan pelanggan di WhatsApp, Facebook dan Instagram, membeli stok jualan, memeriksa stok tudung yang diterima, melakukan kerja pembungkusan untuk di pos, menulis borang pengeposan dan memastikan tudung selamat sampai ke tangan pelanggan. Fuh!

Saya hadkan masa melayan pelanggan sehingga jam 11 malam sahaja (sama ada pada bulan puasa atau hari-hari biasa), tetapi mula melayan pelanggan seawal waktu sahur (pada bulan puasa). Biasanya pada bulan puasa, pelanggan lebih aktif membuat pembelian pada waktu lewat malam dan waktu sahur membawa ke selepas Subuh.

Setiap tahun, memang saya alami kesibukan luar biasa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Lebih tepat, kesibukan bermula sebelum puasa dan semakin berkurang pada pengujung puasa. Pada masa ini sahajalah peluang untuk menjana pendapatan lebih tinggi dari biasa. Rekod jualan bulanan tertinggi adalah pada tahun 2017 iaitu melebihi RM10,000. Tahun tersebut juga mencatatkan rekod paling cemerlang sepanjang saya menjual secara online, dengan jualan menghampiri RM72,000. Tapi jangan salah faham pulak ya, itu adalah nilai jualan dan bukan nilai keuntungan yang diraih.

Biarpun taklah begitu banyak, tetapi untuk saya yang bekerja sendiri dari rumah ia sudah cukup memuaskan hati. Memang sangat penat, kadang sampai lenguh jari-jemari melayan pelanggan tak henti-henti.

Sehinggalah pada tahun lepas (2019), saya memutuskan untuk berhenti dari menjadi reseller tudung setelah melakukannya selama 6 tahun. Saya ada dua alasan - hilang minat dan permintaan yang semakin kurang (mungkin atas faktor kelembapan ekonomi semasa, persaingan pengeluar tudung yang makin banyak dan perubahan minat pelanggan). Maka, tahun 2019 menjadi tahun terakhir saya berniaga di bulan puasa.

Dan mulai tahun 2020, saya meneruskan jualan sebagai ejen dropship (tak pegang stok, cuma ambil pesanan dan urusan pos di buat oleh pembekal) sekadar untuk membantu regular customer mendapatkan tudung. Pada awalnya saya nak berhenti sepenuhnya, tapi bila dah lama berniaga tudung ni kita ada pelanggan biasa yang tetap cari kita untuk membeli. Maka, saya masih kekalkan medium jualan saya di Instagram. Manakala di Facebook dan blog semuanya saya tutup. Saya juga tak lagi aktif membuat iklan, sekadar meletakkan gambar produk di Instagram untuk pelanggan pilih.

Kat bawah ni gambar-gambar aktiviti jualan tudung saya sekitar tahun 2016 - 2018. Saya letak sini sebagai kenangan.

Bungkusan stok tudung yang baru diterima. Biasanya menggunakan kurier servis City Link. Kalau terlampau banyak, saya akan pergi ambil sendiri di Gombak.

Sebelum beli stok, saya ambil pesanan pelanggan terlebih dahulu. Saya ada wujudkan broadcast di WhatsApp untuk para pelanggan yang pernah membeli daripada saya (saya masukkan mereka dengan izin dan kerelaan mereka). Mudah saya broadcast sebarang promosi/tudung terkini. Jadinya kita taklah beli kurang atau lebih berbanding permintaan. Macam tudung dalam gambar ni, 67 helai daripada 101 helai sudah pun ada tuan punya. Bakinya untuk jualan terbuka di blog/Facebook/Instagram.

Selepas setiap helai tudung diperiksa, barulah boleh bungkus mengikut pesanan pelanggan. Sekali lagi letih jari dek menulis maklumat pelanggan pada borang pos. Mujur juga untuk bahagian maklumat penghantar sudah sedia dicetak oleh pihak Pos Laju (saya buka akaun dengan Pos Laju).

Dah siap bungkus, letak dalam bakul di luar rumah. Tunggu posmen datang ambil. Tapi kan datang tak tentu masa, jadinya susah untuk saya sentiasa menunggu. Saya tinggalkan pesanan begini. Lama-lama saya dah tak perlu tunggu, posmen dah tau buka pagar sendiri, ambil bungkusan dan tinggalkan borang salinan untuk saya. Sangat mudah! Sebagai tanda penghargaan, pernah beberapa kali saya berikan biskut raya kepada mereka.

Inilah rak putih menempatkan stok jualan saya. Tak jumpa pulak gambar berwarna, jadiklah yang ni sekadar untuk kenangan. Sekarang rak ni dah kosong, tinggal beberapa helai tudung yang belum terjual.

Ok, selesai sudah catatan kenangan menjual tudung. Tiada lagi kesibukan serupa pada tahun ini. Barulah saya boleh kembali aktif menulis blog, dah tak sibuk kerja. Rutin Ramadhan kali ni pun turut berubah, saya dah boleh tidur seawal pukul 10 malam dan lebih masa untuk aktiviti sendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas segala rezeki dan pengalaman ini.





Monday, 10 October 2016

'Remove Background' Gambar dengan PowerPoint

Gambar yang jelas dan menarik memang sangat penting untuk pemasaran 'bisnes online'. 
Nak gambar cantik, mestilah kena pandai 'edit' kan...

Gambar ni saya ambil sendiri di dalam rumah, berlatarkan dinding rumah. Gelap, tak menarik. 
Setakat guna PhotoScape, memang tak boleh nak 'remove background' gambar di bawah ni.


Nak 'remove background', biasanya orang guna Photoshop. Tapi malangnya saya 'buta' Photoshop. Sebelum ni memang ada yang bagitau kita boleh 'remove background' guna PowerPoint je. Pun saya tak reti nak godek, sebab orang bagitau secara bertulis je. Susah nak paham.

Sehinggalah baru-baru ni ada kawan kongsikan di Facebook, tutorial 'edit' hanya menggunakan PowerPoint. Saya terus cuba buat, ikut je langkah demi langkah yang ditunjukkan pada gambar. 
Hasilnya....

Alhamdulillah...suka sangat! Mudah je! 
Lepas jadi begini, barulah saya sambung 'edit' guna PhotoScape. 
Terima kasih banyak-banyak untuk saudara Ahmad Syamim yang sudi buat tutorial bergambar dan kongsikan untuk umum. Insya Allah banyak pahala mengalir untuk beliau atas asbab memberikan ilmu ni. 

<<< Yang nak belajar, boleh terus klik DI SINI. >>>

* untuk makluman, fungsi 'remove background' ni hanya ada PowerPoint 2010 dan ke atas sahaja. *



Nota : Entah kenapa, tiba-tiba je bloglist 'hilang' di kedua-dua blog saya (blog ini dan blog bisnes). Nampaknya ambil masa jugaklah untuk saya 'add' satu persatu semula. Huhuhu..


Monday, 7 March 2016

MB2000 : Membangkit Semangat, Memperkemas Strategi


Aktiviti hujung minggu saya, Sabtu lalu...
Menghadiri seminar MB2000 dari awal pagi sehingga lewat malam.
Seharian. Letih. Tapi seronok!

Sebuah seminar berkenaan perniagaan dan pemasaran.
 Di bawah bimbingan Tuan Faisal.
Banyak yang saya pelajari. Banyak yang perlu diperbaiki.
Matlamat semakin jelas. Semangat bangkit kembali.

Bertemu pula dengan mereka yang sama aspirasi.
Memang mengujakan!

--------------------------------------------------------------------------------

Saya memang syorkan jika korang nak join seminar ni. Sangat sesuai untuk mereka yang baru nak menceburi perniagaan, juga yang telah ada peniagaan. Bila join seminar ni, kita tambah ilmu dan tambah semangat tau! Yang berminat, boleh tengok-tengok kat SINI.

Monday, 15 February 2016

Bila Pelanggan Tak Mahu Wang Baki...


Sepanjang saya menjalankan bisnes online, dah banyak kali jugak pelanggan saya tak mahu terima wang baki. Kebiasaannya, wang baki saya sertakan dalam bungkusan Pos Laju. Tapi ada masanya, saya terlepas pandang dan terlupa selitkan dalam bungkusan. Ada kalanya jugak, pengeposan diuruskan secara langsung dari pembekal. Makanya, cara yang ada adalah dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pelanggan. Tak susah pun, cuma klik je menggunakan perbankan internet.

Saya : Boleh bagi nombor akaun untuk pulangkan baki?

Pelanggan : Tak pelah..tak payah pulangkan. Akak halalkan je..

Saya : Eh, tak bolehlah gitu. Takpe, saya transfer je tak susah.

Pelanggan : Tak pe..kalau rasa tak selesa, masukkan je kat mana-mana tabung derma. Jangan susah hati.

Begitulah...ada jugak yang kata untuk belanja saya minum kopi! Belanja jarak jauh gitu..hehee. Memang saya rasa tak selesa, juga segan sebenarnya. Dan menjadi polisi bisnes saya untuk tak membawa baki pelanggan bagi pembelian seterusnya. Mestilah saya ada alasan kenapa buat gitu kan.

Bila berjumpa dengan kes-kes begini, saya tersenyum sendiri. Mereka membuatkan saya rasa bahagia (bercampur hairan sebenarnya), dek keluhuran hati mereka. Bukan setakat seringgit dua, kadang kala sehingga berbelas ringgit yang mereka halalkan. Saya doakan mereka murah rezeki, dan Insya Allah akan saya panjangkan rezeki yang ada kepada insan lain pula.


Nota : Jangan salah faham pulak ya, bukan nak suruh korang jangan ambil wang baki sendiri. Sekadar bercerita tentang sikap sesetengah sahabat pelanggan saya je. ^_^ 

Monday, 1 December 2014

Memulakan Disember di Muadzam Shah, Pahang

Memulakan Disember 2014 di Muadzam Shah, Pahang. Bergerak dari Pajam, N. Sembilan selepas Asar semalam. Sepanjang perjalanan hujan renyai. Alhamdulillah takde kesesakan, cuma tak boleh laju sebab hujan.

Sampai Muadzam Shah dah pun dekat jam 8 malam. Kita cari tempat makan dulu, perut dah lapar sangat. Saya dapati bandar ni memang tak sesak langsung. Cuma 'sesak' dengan burung di atas bangunan dan najis burung yang bersepah di tangga-tangga depan premis. Hati-hati bila melangkah!

NAK MAKAN KAT MANA?


Ternampak restoran yang menarik dari luar ni...JENTAYU KOPITIAM. Siap ada papan tanda tulisan Jawi, tapi tak sempat ambil gambarnya. Deko dalam restoran ni kira menarik. Persekitaran pun bersih dan layanan pantas. Rata-rata pelanggan adalah perempuan muda remaja (budak UNITEN kot). Lelaki macam takde pulak. Pelik gak, budak lelaki makan kat mana ek?

Saya dan suami masing-masing order Mee Goreng Mamak, minuman panas Hazelnut dan Latte. Harga berpatutan bagi saya, cuma rasa Latte tu tak berapa ok kat tekak saya. Mee Goreng Mamak dia sedap, cuma terlalu banyak. Lain kali kena beli satu pinggan je, pastu mintak satu pinggan kosong. kita kongsi dua orang. Hehee..

Jadinya, kalau korang nak cari tempat makan kat Muadzam Shah ni bolehlah ke Jentayu Kopitiam. Lokasinya sebaris dengan premis Avon. Tak berapa jauh dari Tong Villion Hotel dan Masjid Jamek.

NAK MENGINAP KAT MANA?


Bandar Muadzam Shah ni tak besar mana pun, jadi pilihan penginapan juga terhad. Kalau nak selesa, boleh menginap kat TONG VILLION HOTEL ni. Sebuah hotel baru yang terletak berhampiran Masjid Jamek dan bersebelahan dengan pasaraya Tunas Manja (senang kita nak cari barang/makanan).

Rekaan dalaman bilik penginapan ni memang moden. Menarik! Kat bilik air ada bathtub dan rain shower. Bolehlah berangan main air hujan macam masa kecik-kecik dulu kan. Gambar rain shower yang best tu takde ya. Boleh buat carian kat Internet, pastu pasang kat rumah sendiri. Lagi yang best..WIFI dia lajuuuu. Jimat kuota porta-wifi saya!

Apa yang tak best? Bilik ni takde peti sejuk. Untuk saya yang nak menginap dua hari, agak perlu jugak peti sejuk. Tapi tu hal kecik je. Lagi yang tak best? Sarapan dia sangatlah ringkas. Macam pagi tadi makanan beratnya nasi goreng dan spaghetti je. Jadinya, kami sambung makan roti canai cicah kari kambing kat kedai lain pulak.

Keseluruhannya, okey je menginap sini. Sebelum ni suami dah beberapa kali menginap di Wawa Inn (sebab Tong Villion belum wujud), sayangnya keadaan bilik & bilik air kotor. Tapi tak taulah kalau sekarang dah elok. Untuk yang nak menginap di Tong Villion Hotel, boleh hubungi 09-4521001. 

PAGI YANG BERKABUS


Bandar Muadzam Shah ni penuh kabus, mungkin sebab masih banyak hutan/pokok. Suka saya tengok kabusnya yang banyak, bergerak di sebalik bukit. Tenang! Macam gambar di atas, diambil dari tingkap bilik penginapan kami. 

Pagi tadi jugak, sempat lagi pergi pos bungkusan-bungkusan pelanggan. Inilah kelebihan bisnes online, boleh berjual dari mana-mana dan boleh pos dari mana-mana. Yang penting bawak barang jualan dan flyer poslaju. Mana yang tak bawak, kita pos bila dah balik rumah nanti. Yang penting kena bagitau awal kat pelanggan.

~ ni bukan saja jalan-jalan tau, cuma ikut suami bertugas. Macam biasa...orang pergi kerja, saya duduk sorang dalam bilik. ~

Monday, 17 November 2014

Hati-Hati Jika Terima Mesej Fb Ini

 
Baru-baru ni ramai kawan-kawan niaga yang terima mesej seperti di atas. Ini sebenarnya satu penipuan. Bila kita klik link diberi, dia akan minta maklumat lanjut akaun Facebook dan maklumat akaun bank/kad kredit.
 
Ada sorang rakan niaga yang dah terkena. Dia kehilangan RM800, tapi entah macam mana transaksi RM800 tu gagal. Alhamdulillah selamat duitnya.
 
Jadinya, kalau ada yang dapat mesej begini sila abaikan. Laporkan kepada pihak Facebook dengan klik 'Report as Spam or Abuse'.

-----------------------------------------------------------------------
 
...untuk peminat tudung Turki cotton...
http://almaribajuaisyah.blogspot.com/2014/11/promosi-november-2014-tudung-bidang-50.html
KLIK untuk lebih lanjut ^_^


Tuesday, 4 November 2014

Tips Bisnes : JANGAN Bagi HUTANG!


(ini kes sekitar dua minggu lalu..)
Ini luahan seorang penjual online di salah satu grup fb saya. Simpati dengan masalah yang dialaminya. Saya pun seorang penjual online, saya faham sangat nilai RM200 untuk seorang peniaga kecil-kecilan. Nilainya agak besar dan boleh beri kesan kepada pusingan modal bisnes. Tanpa wang pusingan, bisnes mungkin akan terhenti!

Dari awal saya memulakan bisnes online, PRINSIP BISNES yang saya pegang antaranya JANGAN BERI HUTANG! Saya pernah menjadi agen jualan kepada satu produk yang 'boleh jual', tetapi akhirnya syarikat terbabit gulung tikar. Pemiliknya memberitahu yang dia sudah kehabisan modal pusing. Ramai agen yang mengambil produk secara hutang, dan akhirnya menyepi diri.

Pengalaman saya sendiri, memang ada pelanggan yang meminta barang di pos dahulu dan berjanji akan bayar esok pagi. Alasan, tudung nak pakai cepat tapi harini tak sempat keluar ke bank untuk bayar. Secara baik, saya menolak permintaan sebegini. Saya katakan ini polisi bisnes saya - bayaran sudah diterima, barulah barang boleh dipos.

Untuk penjual di atas, saya doakan dia sudah mendapat haknya. Semoga kes ini menjadi pengajaran buatnya. Sebenarnya, bukanlah tak boleh bagi hutang terus. Tapi mesti ada syarat - beri hutang hanya kepada orang yang kita percaya dia boleh bayar, dan orang itu mestilah yang selalu kita jumpa. Saya sendiri ada menjual barang secara hutang, tetapi dengan dua syarat tadi Alhamdulillah belum ada masalah.

Thursday, 10 July 2014

Blogger Eita, Promosi Jualan Raya & Mereka Yang Terus Tertindas

Entri ni mengandungi tiga perkara, sengaja saya catatkan sekaligus. Maklumlah, sekarang saya agak kurang rajin menulis blog. Kalau tunggu tulis satu-satu, memang tak terbuat jawabnya.
 
BLOGGER EITA
Terima kad raya comel dari sahabat blogger - EITA. Seingat saya dah 3 tahun berturut Eita hantar kad raya pada saya. Walaupun Ramadhan tahun ni dah bergelar isteri, masih tak lupa kad raya untuk saya. Terima kasih banyak-banyak pada Eita! Inilah kad raya pertama tahun ini (dan mungkin jugak satu-satunya). Bila dapat kad raya ni, terus terasa aura Hari Raya!
 
 
PROMOSI JUALAN RAYA
Promosi kat butik maya saya, bermula hari ni. Kepada yang cari t-shirt labuh (untuk penyusuan dan yang hamil pun ada), tudung cotton empat segi (bidang 50 & 60), wide shawl dan tudung saiz sehingga XXL bolehlah jenguk-jenguk di SINI. 
 
Tawaran yang diberi ni memang istimewa, kalau waktu biasa diskaun 10% tu saya beri untuk belian minima 5 helai. Sekarang ni cuma perlu belanja RM100 sahaja! Kepada yang lelaki mungkin boleh beli sebagai hadiah hari raya untuk yang tersayang (memang sudah beberapa kali pelanggan lelaki membeli tudung/baju dari saya, untuk yang tersayang pastinya).
 

MEREKA YANG TERUS TERTINDAS
Rasanya kita semua dah pun tahu apa yang berlaku di Gaza pada bulan Ramadhan ini. Mereka terus-terusan diserang tanpa halangan dan pembelaan dari kuasa besar dunia. Hati kita pedih, sedih dengan apa yang menimpa saudara Muslim kita di sana.
 
Jadinya, apa boleh kita bantu dikejauhan ini? Boikot produk Israel (tak mampu semua, sebahagian atau sedikit pun jadilah), kirimkan doa & solat hajat buat kemenangan mereka (ini paling mudah!) dan hulurkan dana buat mereka. Pastikan ianya ke NGO yang dipercayai seperti Aqsa Syarif (banner di atas).
 
Anda boleh membantu dengan menyalurkan sumbangan melalui 5 pakej berikut:

1) Pakej Iftar (RM50/set)
2) Pakej Sahur (RM20/set)
3) Pek Makanan (RM300/set)
4) Hadiah Hari Raya (Eid Gift) (RM150/set)
5) Tabung Kecemasan (Perubatan dan keperluan asas lain)

Salurkan sumbangan anda atas nama "Aqsa Syarif Berhad" melalui
=Maybank Islamic (551575-004299)
=Bank Islam (1209-20100-34904)

Sila hantarkan maklumat pembayaran kepada projects@aqsasyarif.org.my. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: +603-8733 4636 atau +6013 744 4760.
 

 

Wednesday, 16 April 2014

Tak Pakai Tudung, Tapi Jual Tudung?

Ni bukan nak cerita pasal wanita Islam yang tak bertudung tapi pandai menjual tudung. Yang tu kes lain. Yang saya nak cerita adalah mengenai KESUNGGUHAN dan MINAT. Kalau kita memang ada minat dalam bisnes, kita hampir mampu menjual semua barang/servis. Kalau kita memang ada kesungguhan, kita hampir mampu berjaya dalam apa jua bidang. Macam tulah kisah rakan niaga saya yang lelaki. Lelaki, tapi bukak page Fb jual tudung! Sambil buat tugas hakiki, sambil-sambil layan pelanggan di Fb. Siapa pun tak tahu si penjual tu lelaki. Tak perlu pakai tudung pun, dia mampu jadi penjual tudung. Hakikatnya juga, dah beberapa orang tauke pembuat tudung yang saya temui adalah LELAKI! Dan ada yang mahir bercerita mengenai jenis material tudung apa yang cantik dan kurang cantik, rekaan yang sesuai untuk tudung labuh dan lain-lain lagi. Kalau minat berbisnes, apa pun boleh jadi!

Saya sendiri, asalnya tak yakin nak jual tudung. Sebab saya cuma pakai tudung empat segi je. Sedangkan tudung yang perlu dijual semua jenis tudung segera (sarung dan siap!) dan shawl. Macam mana nak jual, kalau diri sendiri pun tak pakai? Itu bukan halangan, kita cuba! Atas galakkan suami, saya mulai menjual tudung selepas musim raya aidilfitri tahun lepas (2013). Dan sekarang, saya dah mula suka pakai tudung sarung (yang saya jual) sebab mudah, cepat dan selesa (tanpa pin sana sini). Tapi tudung empat segi tetap saya pakai. Yang masih saya tak pandai pakai adalah shawl. Ya, saya jual shawl tapi tak pernah pakai shawl. Kalau ada yang bertanya mengenainya (cth: senang tak nak bentuk kat muka?), cepat-cepat saya tanya dengan rakan niaga yang pakai shawl tersebut. Mereka pun pantas membantu, selesai masalah.

Shawl Alina (jenama Modern Hijab...tauke seorang lelaki ya..)

p/s : Bagi korang yang nak mendapatkan BAUCER RM50 membeli-belah di blogshop saya, boleh join GA DIANA RASHID. Kot ada rezeki korang.



Thursday, 26 December 2013

Model Baru Saya!

 
Sesi photoshoot bersama model baru...pagi tadi.
 
Model baru...mannequin yang dibeli semalam dengan harga promosi RM188. Sebelum tu ada tanya kat kedai lain, dapat RM198. Ada kawan beli di GM Klang harganya RM240. Saya beli di KST Display System Sdn. Bhd., kedainya terletak di Nilai 3. Ada 3 buah cawangan lagi: Bandar Botanic, GM Klang (ada dua di Klang, Selangor) dan di Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur. Saje tulis kot ada yang mencari.
 
Masuk kedai ni ada bermacam-macam produk untuk keperluan para peniaga. Harga pun macam tak mahal je. Insya Allah lain kali saya nak beli rak aluminium pulak, nak susun stok tudung dan baju kat rumah.  
 
Ok, kerja seterusnya yang menanti...ukur tudung, edit gambar sebelum publish dan di buka untuk jualan.  Leceh jugak kerjanya, tapi kalau dah minat tak terasa sangat.


Wednesday, 17 July 2013

Misi Mencari Model Tudung

Baru-baru ni saya rasa nak pelbagaikan jualan online saya, maka saya tambahkan TUDUNG sebagai salah satu produk. Saya ambil satu rekaan dahulu sebagai permulaan. Bila nak jual online, kenalah ada model yang nak menggayakan tudung tu. Yang pasti bukan saya. Jadinya saya pergi ke Nilai 3 dengan misi mencari 'patung separuh badan dengan kepala'

Pergi ke kedai pertama, ada patung yang saya cari tu. Harganya RM80 untuk yang berdiri pakai besi. Tapi saya tak berkenan dengan muka patung tu. Tambahan lagi kening dah sedikit tanggal, stok lama kot. Nak tengok yang lain, takde stok pulak kata pekedai tu. Pergi ke kedai kedua (sebelah 7 Eleven), eh dah takde pulak kedainya. Buntu jap.

Lepas tu baru teringat, tadi ada terpandang signboard NIKOREX Display Products kat kawasan kedai yang baru di buka kat Nilai 3 ni. Nama tempat tu  STREET MALL. Masa saya sampai tu kedai lain memang belum bukak sebab masih baru lagi. Kedai Nikorex tu je yang bukak. Tapi sebab dia baru bukak kedai, banyak stok belum sampai. Termasuklah 'patung separuh badan dengan kepala' yang saya mahukan. Pilihan kedua, kenalah saya beli je 'kepala patung' untuk tudung. Nanti bila ada stok yang saya mahu, pekedai tu akan call

Kepala patung kat kedai ni ada dua jenis - yang bersolek tebal dan yang bersolek nipis. Setiap jenis ada dua saiz - kepala dewasa dan kepala kecik sikit (kanak-kanak kot). Makanya, saya ambil kepala dewasa yang bersolek nipis. Harganya RM24. Tak pasti murah ke mahal, yang pasti saya rasa harga tu munasabah dengan produknya. 

Siap ada bulu mata...

Rupa model tudung saya...

*kalau nak tengok-tengok tudung ni, boleh klik SINI ya.