Tuesday 18 October 2022

Konica POP EF-80 | Kamera Pertama Saya

Kenangan Kamera Filem Gulung

Semasa berada di sekolah menengah berasrama di Negeri Sembilan, saya sudah menyimpan keinginan untuk memiliki sebuah kamera. Seronok tengok beberapa orang kawan yang mempunyai kamera (tak pasti kepunyaan sendiri atau milik keluarga), mudahlah mereka nak merakam gambar di kelas, di asrama dan sewaktu beraktiviti di luar sekolah. Siapa yang memiliki kamera, maka banyaklah gambar kenangan yang dapat dirakam.

Ketika itu juga, kita tak boleh merakam gambar sesuka hati kerana kamera menggunakan filem gulung. Kita perlu membeli filem gulung tersebut dengan pilihan untuk 12 kali, 24 kali atau 36 kali rakam. Kemudian, selepas habis merakam perlu pula membayar kos mencuci filem di kedai gambar.

Selepas beberapa hari, barulah kita boleh datang kembali ke kedai gambar untuk mengambil gambar yang telah dicuci. Dengan gambar yang terhasil, barulah boleh menjual gambar kepada kawan-kawan yang berminat. Mula-mula, susun gambar (ikut nombor di filem) di dalam album gambar yang diberi oleh kedai gambar. Kemudian, sertakan nombor pada gambar dan kawan-kawan bolehlah buat senarai pesanan gambar nombor mana yang dikehendaki. Selepas tu kembali ke kedai gambar untuk proses mencuci filem sekali lagi. Kosnya bergantung kepada jumlah kepingan gambar yang kita nak cuci. Lebih banyak, lebih murah harganya.


Berjaya Memiliki Sebuah Kamera Kompak

Selepas tamat peperiksaan SPM pada penghujung tahun 1995, saya terus cari kerja. Tak berlengah, semalam baru je sampai rumah di Johor dan hari ini terus pergi memohon kerja di sebuah kilang elektronik yang terletak tak begitu jauh dari rumah. Esoknya saya terus memulakan kerja.

Dapat je gaji pertama, saya membeli sebentuk cincin emas sebagai tanda gaji pertama. Manakala gaji kedua, saya membeli sebuah kamera yang telah lama diidamkan. Macam banyak je gajinya kan? Ya, memang agak banyak untuk seorang remaja yang tiada tanggungan. Maklumlah, kerja syif malam selama 12 jam. Kerja keras, hasil pun lebih. Insya Allah bab kerja tu saya akan cerita di lain entri. Nanti terlampau panjang meleret pulak entri mengenai kamera pertama saya ni.

Konica POP EF-80
Inilah kamera pertama saya. Alhamdulillah! Kamera kompak point & shoot jenama Konica model POP EF-80. Sejujurnya, saya tak tahu langsung pasal ciri-ciri kamera. Bagaimana saya membeli? Saya minta tolong abang saya belikan di kedai. Saya beri wang sebanyak RM200 dan minta belilah apa-apa kamera dengan bajet diberi. Saya sendiri tak berkesempatan nak ke kedai. 

Konica POP EF-80
Saya suka kamera ni sebab ada tetapan tarikh. Jadinya gambar yang terhasil nanti ada cetakan tarikh bila gambar dirakam. Cara nak tetapkan tarikh, kita tekan pada butang-butang kecil di belakang badan kamera ni. Kamera ni menggunakan kuasa bateri, seingat saya setiap kali menukar bateri kita perlu betulkan tetapan tarikh.

Konica POP EF-80
Beginilah rupa ruangan untuk kita pasang kemera gulung. Kena pandai pasang dan berhati-hati, tersilap langkah boleh rosak filem.

Konica POP EF-80
Saiz kamera sedang-sedang saja, tak besar dan tak kecil. Ringan. Mudah dipegang dan dibawa ke mana-mana.

Konica POP EF-80
Dengan kamera ini dapatlah saya merakam detik kenangan bersama kawan-kawan kerja kilang, seterusnya semasa zaman universiti dan sehingga berkahwin. Kamera ini juga memberi khidmat kepada kawan dan ahli keluarga lain yang meminjamnya daripada saya. Kamera yang sangat berjasa!

Kamera Konica POP EF-80 ini menjadi kamera pertama dan terakhir milik saya yang menggunakan filem gulung. Ia ‘bersara’ setelah saya memiliki sebuah kamera digital. Hari ini, kamera digital tersebut juga sudah lama tidak saya gunakan. Dengan adanya teknologi telefon pintar dengan kemampuan kamera yang cukup baik dan memang dibawa ke mana-mana, membuatkan saya memilih untuk tidak menggunakan kamera digital tersebut. Ia mungkin berguna jika saya melalui satu perjalanan yang panjang dan perlu menjimatkan bateri telefon.

Hari ini, kamera Konica POP EF-80 milik saya ini sudah pun dikategorikan sebagai kamera vintage. Kamera terpakai ini dijual pada harga sehingga RM300 bagi pasaran Malaysia.


Kenangan kamera Konica POP EF-80 dalam bentuk video. Saya ambil dari YouTube. Bagi yang tak pernah tahu cara pasang filem gulung, bolehlah tonton video ni.





21 comments:

  1. dulu dana pun pernah ada jenama konika kak... memang paling bestla kalau ada kemera ni. Kalau nak raya standby beli bateri dengan filem banyak-banyak sebab nk guna ambil gambar banyak kan heheheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memori sungguh kan…bukan senang nak bergambar zaman tu 😄

      Delete
  2. Saya ada juga kamera guna filem gulung masa darjah 6 hadiah untuk keputusan UPSR.
    Wah! Puan Ujie masih simpan kamera lama. Saya punya sudah hilang. Adik guna dan dia terhilangkannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah…seronoknya NA, hadiah UPSR dapat kamera!

      Alhamdulillah masih simpan, banyak kenangan dengan kamera tu.

      Delete
  3. Sangat nostalgia!
    Impian zaman remaja sy ialah utk memiliki sebuah kamera tp tak pernah kesampaian, hinggalah dah kahwin baru mampu beli sebuah kamera digital.

    ReplyDelete
  4. Dulu ada juga kamera. Kamera digital Olympus. Dah rosak dekat lensanya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama jenama dengan kamera digital saya sekarang ni - Olympus.

      Delete
  5. wahhhhh! memang kenangan betul kamera jenis filem gulung mcm ni!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kamera kenangan yang dah merakam banyak kenangan..hehe

      Delete
  6. Wah, kamera legend ni. Zaman sekolah dan belajar dulu rasanya anak orang kaya je mampu ada kamera. Dulu reti pasang roll filem tapi sekarang lupa dah. Huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab tak kaya, tu akak gigih kerja lepas SPM nak beli camera dan kumpul duit persediaan masuk U 😁

      Delete
  7. Kamera legend ni. Dulu masa kemas kemas barang rumah ada jugak jumpa kamera ni tapi tak tahulah mana perginya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena kemas2 lagi sekali la tu Fiza, baru jumpa 😄

      Delete
  8. Nostagia betul zaman guna kamera filem ni. Saya takde kamera sendiri masa zaman belajar, kena pinjam kamera kawan kalau nak ambik gambar tak pun klu ada outing ramai2 bagi duit kat kawan utk cuci gambar sekali hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gitulah dulu kan, memang biasa pinjam kamera dan kongsi cuci gambar. Hehe

      Delete
  9. Huyyyoooo, menarikk...Masih disimpan ke tu... Saya ada satu kamera tapi jenis yang terus keluar gambonya.. menang giveaway dapat... tak pernah ada niat nak beli macam Konica ni... Tapi suka masuk dalam kamera kamera filem gini.. Hehee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya Nona. Akak masih simpan sampai sekarang 😀

      Nona dapat instant camera tu. Best jugak, akak tak pernah guna instant camera.

      Delete
  10. Saya pernah guna kamera yang menggunakan filem ini.. Kamera pertama saya kamera digital.. Dibeli untuk merakam majlis kahwin sendiri.. Tapi sekarang dah tak tahu kedudukannya dimana.. Sebab dah ada telefon bimbit..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****