Thursday, 7 January 2021

Bila Mengemas Gerobok Lama...

Penghujung bulan Disember lalu, Alhamdulillah saya dan suami berkesempatan balik ke kampung kami di Johor setelah berbulan lama tak menjenguk orang tua kami.

Antara kerja yang kami berjaya selesaikan kali ini - menggantikan gerobok buku yang dah dimakan anai-anai dengan gerobok baru. Gerobok lama ni bahagian kakinya pun dah dimakan anai-anai. Bahagian para di dalam gerobok pun hampir runtuh. Kalau sekali pandang memang nampak elok je gerobok tu.

Tugas pertama, pergi beli gerobok baru. Kami beli di sebuah kedai perabot yang terletak berhampiran simpang jalan ke Parit Semerah, Pontian. Jika dari bandar Pontian, ia terletak di sebelah kiri jalan sebelum lampu isyarat ke Parit Semerah. Ada jalan kecil je untuk masuk ke kedai ni. Berbanding beberapa kedai perabot lain yang kami dah pergi, kedai ni lebih banyak pilihan dan menawarkan harga yang lebih rendah. Cuma tak dapat hantar hari yang sama sebab jadual penghantaran dah penuh untuk hari tersebut.

Tugas kedua, proses keluarkan isi gerobok lama. Pilih mana yang layak dibuang dan mana yang kekal disimpan. Suami tukang keluarkan isi gerobok, saya pulak tukang pilih-pilih dan asingkan buku ikut kategori. Lepas keluarkan isi gerobok, suami bawa keluar gerobok lama tu ke luar rumah.

Proses yang lama - memilih buku. Jadi lama sebab hampir tiap buku saya belek, ambil gambar jika ada yang mencuit hati dan share di grup WhatsApp adik-beradik. Adik-beradik 9 orang, jadinya ada macam-macam buku dengan macam-macam contengan yang boleh jadi bahan ketawa. Yang tu tak boleh letak di blog, marah pulak kakak/adik saya...haha! Kat sini saya letak sikit sebagai kenangan dari masa lalu.

Tersenyum sendiri bila jumpa buku kamus ni, hadiah dari sekolah rendah saya. Masa dulu memang agak selalu naik pentas pada hujung tahun untuk terima hadiah. Tapi itulah...sama ada sebab cemerlang subjek Bahasa Malaysia (sekarang sebut Bahasa Melayu) atau sebab jadi antara peminjam buku terbanyak di perpustakaan sekolah. Lain-lain memang tak ada, seingat saya la.

Inilah antara kitab sekolah agama kami. Kitab begini sama ada kena beli sendiri atau kadang-kala ada juga disediakan di sekolah. Tapi leceh la sebab nak kena berebut dengan budak lain tiap kali nak guna, lebih mudah ada sendiri.

Antara isi kitab. Tulisan jawi sepenuhnya, kecik-kecik pulak. Entah macam mana dulu boleh pulak belajar. Sekarang kalau cuba baca mau merangkak membaca sambil menguap ngantuk...haha! Kitab dengan rupa begini kami guna dari darjah 1. Nak tak nak dari kecik kena pandai baca jawi, sebab sistem sekolah agama Johor dulu kalau tak lulus darjah maka tak boleh naik darjah seterusnya. Kadang ada yang dah bertahun duduk di darjah yang sama sebab tak lulus, kesian juga.

Disebabkan keunikan sistem ni, maka dalam satu-satu kelas tu akan ada pelbagai peringkat umur. Satu lagi keunikan sistem ni, tak kisah umur berapa untuk kita mula masuk sekolah agama. Macam saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa saya masuk darjah 3 sekolah rendah. Kebanyakkan kawan-kawan saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa mereka masuk darjah 2 sekolah rendah.

Jadinya saya cuma sempat sampai darjah 4 sekolah agama (iaitu masa saya darjah 6 sekolah rendah), tak sempat sambung sampai Darjah Khas (peringkat paling tinggi sekolah agama Johor) sebab sekolah menengah saya dah masuk asrama. Jadinya sempatlah saya menghadap kitab Mutaal Badrin masa di darjah 4 tusebuah kitab yang lebih besar dan tebal! Yang ni memang saya sentiasa mengantuk tiap kali buka. Gitulah cabaran belajar agama.

Majalah tahunan sekolah pun banyak. Ni saya ambil satu majalah setiap sekolah dan ambil gambar sebagai kenangan.

Selain buku, ada juga pingat, piala dan plak di dalam gerobok lama ni.  Yang ni plak kemenangan hadiah ketiga sempena Gerai Makan Paling Bersih peringkat Majlis Daerah Pontian kepunyaan Allahyarham Bapak. Bapak saya dulu berniaga kedai makan di bandar Pontian. Merasalah saya hidup sebagai anak peniaga makanan - ke warung membasuh pinggan, melayan pelanggan, mengemas kedai. Warung Bapak lah sumber kewangan membesarkan kami 9 beradik.

Akhirnya...inilah saja yang saya pilih untuk disimpan dalam gerobok baru nanti. Yang lain perlu dibuang sama ada sebab dimakan anai-anai (seram tengok lubang sekata je dari muka depan kulit buku sehingga ke isi dalam buku), atau sebab dah terlalu lusuh bercerai isi buku. Untuk tugas menyusun di gerobok baru nanti akan dilakukan oleh seorang kakak saya sebab gerobok sampai lagi 2 hari, saya dah takde di kampung.

Ginilah kalau mengemas gerobok lama, memang betul-betul lama membelek buku. Haha. Apa pun syukur selesai satu misi di kampung, mak pun senang hati dapat tukar gerobok baru.




.

18 comments:

  1. Saya pun pelajar sekolah agama di Johor masuk darjah 1 sekolah agama ketika saya darjah 2 di sekolah kebangsaan. Susah betul, Bahasa Arab selalu gagal.
    Wah simpan lagi buku-buku sekolah. Saya punya dah hilang ketika pindah-randah. Kenangan betul.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sukatan pelajaran sek agama Johor memang tinggi, pernah jugak gagal utk subjek Bahasa Arab tu. Kalau lulus pun biasanya cukup makan je..haha

      Delete
  2. sama lah kak ana pun balik kg awal2 lepas kebenaran dulu duk mengemas rumah mak abah di kampung. Bestnya Ujie masih ada simpanan majalah sekolah tu, kak ana punya mmg ada setiap tahun tapi lepas reno rumah entah ke mana hilang ghaib terus dah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah..seronok nampak majalah dari sekolah yang dah ditinggalkan 25thn lalu..

      Delete
  3. nak mengemas then nak pilih yg mana still nak simpan..susah ni.. huhuhu ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Serba salah kan...ikutkan semua sayang, takmo buang.

      Delete
  4. Alhamdulillah dapat balik kampung akhirnya. Teringat pulak kenangan sekolah agama tengok kitab kitab tu. Masih elok lagi, eloklah simpan lagi :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selagi boleh, memang kekal simpan untuk kenangan.

      Delete
  5. mengulit kenangan kan bila kemas-kemas ni jumpa barang lama ^_^

    ReplyDelete
  6. Kenangan tu, barang lama. :)

    ReplyDelete
  7. kami kalau balik kampung pun selalu kemas2 rumah, ada je apa2 yang nk dibuang/diubah ke. ada jugak jumpa barang2 lama.buku lama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan..lepas tu mak akak bising..barang-barang banyak kena buang..haha

      Delete
  8. wak dulu tahun 1990an penah dok taman zalina dpn hospital pontian tu.. ada satu kedai runcit cina dpn simpang jln semsrah tu.. nyonya tu laki bini pinter ngomong jowo.. 😅😅😅

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****