Wednesday, 19 March 2025

Catatan Pagi Hari Ketiga di Tokyo

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KETIGA - JUMAAT, 6 DISEMBER 2024

Sambungan dari catatan terdahulu --> Gyumon Halal Ramen, Asakusa


Setelah dua malam kami menginap di Art Hotel Nippori Lungwood, tiba masanya kami perlu bertukar hotel penginapan. Rasa malas sungguh nak bertukar penginapan sebab dah cukup selesa menginap di sini, tapi terpaksa jua sebab tak ada kekosongan untuk hari berikutnya.

Dari penginapan di Nippori kami berpindah penginapan di Ueno pula.


▶ MENDAFTAR KELUAR DARI ART HOTEL NIPPORI LUNGWOOD, NIPPORI

Art Hotel Nippori
Pemandangan dari jendela bilik pada pukul 6.30 pagi.

Waktu Subuh di sini kira-kira pukul 5.06 pagi, lepas solat Subuh kami sambung tidur/rehat dan kemudian mengemas beg. Pesan Encik M, jangan keluar awal pagi kalau tak mahu bersesak naik tren dengan orang Jepun pergi kerja. Waktu paling sesuai adalah selepas pukul 11 pagi.

Disebabkan kami nak naik tren dengan membawa bagasi, jadinya kami keluar dari hotel pada pukul 10 pagi. Tak terlalu awal dan tak terlalu lewat.

Nippori Jepun
Kami berjalan kaki menuju ke Nippori Station. Langit cerah dengan suhu 13℃. Hembusan angin membuatkan udara terasa sangat sejuk.

Nippori Fabric Town - Nippori terkenal dengan deretan kedai yang menawarkan pelbagai jenis fabrik, aksesori dan kelengkapan menjahit. Tapi kami tak sempat pun nak berjalan-jalan melihat kedai-kedai yang ada di sini. Kalau kalian minat menjahit, sesuai sangat menghabiskan masa di sini.

Dari Nippori Station kami naik tren ke Ueno Station. Perjalanannya mudah sebab tak perlu bertukar tren, cuma naik satu tren JR Yamanote Line dengan kadar tambang sebanyak 146 yen.


▶ UENO STATION
Agak terpinga-pinga juga kami sewaktu tiba di Ueno Station - jauh lebih moden dan besar berbanding Nippori Station. Tak mudah bagi kami mencari pintu keluar menuju ke hotel walaupun dah ikut panduan pada Google Maps.

Kami bergilir mencari - seorang tunggu bagasi dan seorang lagi berjalan mencari di manakah Shinobazu Gate untuk kami keluar menerusi Ikenohata Exit.

Ueno Station
Suasana di Ueno Station. Di lokasi saya berdiri menunggu, ada beberapa orang/kumpulan yang juga nampaknya sedang mencari-cari arah 😅. Masing-masing pegang telefon sambil mata memandang papan tanda yang ada.

Ueno Station
Alhamdulillah...akhirnya jumpa juga jalan yang dicari. Ikut laluan begini. Di kanan dan kirinya terdapat deretan tempat penyimpanan dan juga mesin minuman.


▶ AKIBAT TERLUPA PILIH 'WHEELCHAIR ACCESSIBLE'
Keluar dari Ueno Station, kami gunakan Live View (real-time navigation) pada Google Maps sebagai panduan menuju ke hotel penginapan.

Halakan kamera telefon ke depan dan ikut saja arah anak panah. Bagi memudahkan langkah, Encik Suami bawa kedua-dua bagasi kami dan saya pula fokus cari arah.

Terdapat dua tempat bertangga. Satu perlu naik tangga dan satu lagi turun tangga. Tinggi mana? Boleh lihat pada foto di atas dan di bawah.

Ueno Park
Turun tangga, kemudian melintas sebatang jalan kecil. Hotel penginapan kami APA Hotel terletak di seberang jalan. Masih awal, belum boleh mendaftar masuk. Kami tinggalkan bagasi di lobi hotel. Pihak hotel beri kod QR rekod penyimpanan bagasi, nanti masa nak ambil boleh terus imbas kod QR tersebut.

Tadi sewaktu berjalan menuju ke hotel, saya perasan orang-orang berjalan membawa bagasi dari suatu arah. Maksudnya, mereka tak melalui tangga seperti kami.

Barulah saya perasan - tadi semasa pilih mod berjalan kaki, saya terlupa pilih 'trip options - wheelchair accessible'. Jarang berjalan kaki bawa bagasi, jadi terlupa buat pilihan untuk mengelak laluan bertangga. Tepuk dahi!


▶ AMEYOKO SHOPPING STREET
Dari hotel penginapan, kami berjalan kaki menuju ke Ameyoko Shopping Street. Lokasinya berhampiran dengan Ueno Station. Kali ini kami dah tahu nak ikut jalan mana - tak perlu ikut laluan bertangga tadi.

Ameyoko Shopping Street
Ameyoko Shopping Street. Tengok nama pun dah tahu ini tempat apa.

Ameyoko Shopping Street
Kami tiba di sini lebih kurang pukul 11 pagi. Tempat ini meriah dengan pengunjung. Pelbagai barang jualan ada di sini - antaranya barangan cenderamata, pakaian dan beg. Barang basah seperti ikan, sotong kurita dan daging pun ada dijual di sini. Kedai makan pun ada juga.

Ameyoko Shopping Street
Kami jalan-jalan di bahagian luar je, tak masuk kedai dalam bangunan. 

Ameyoko Shopping Street
Mesin mainan kapsul pun ada di sini. Tertera notis supaya pelanggan memulangkan kapsul kosong. Sepanjang berada di Tokyo, mesin ini sangat mudah ditemui di mana-mana. Siap ada kedai besar yang hanya dipenuhi dengan mesin mainan kapsul. Mulanya saya sangka ia mainan untuk kanak-kanak (seperti di negara kita), tapi rupa-rupanya ramai pembeli dewasa.

Ameyoko Shopping Street
Lalu kedai jual buah, kami beli buah anggur hijau dari Takayama, Gifu Prefecture berharga 2,800 yen. Terasa mahal harganya, tapi Encik Suami beli juga. Sedap rangup buahnya. Teringin juga nak beli buah strawberi tapi kami baru nak berjalan-jalan, tak sesuai bawa buah strawberi ke sana sini.

Menariknya buah-buahan di sini, semuanya buah tempatan. Siap ada nama tempat asal buah tersebut. Teringat kata Encik M, orang Jepun utamakan buah tempatan.

Semasa berjalan-jalan di sini, kami jumpa sebuah gerai menjual kebab dengan tanda halal. Mulanya kami nak juga singgah cuba makan, tapi langkah kaki terhenti bila perasan mereka turut menjual minuman arak. Saya rasa ragu-ragu pula tentang pemahaman penjual berkenaan kebab halal. Lagi pula di Tokyo terdapat banyak pilihan kedai makan halal, tak makan di sini nanti boleh makan di tempat lain.


▶ LELAKI MESIR BANTU KAMI KE TOKYO CAMII (TOKYO MOSQUE)
Dari Ameyoko Shopping Street kami menuju ke Tokyo Camii (Tokyo Mosque) untuk aktiviti ziarah masjid dan menunaikan solat Jumaat.

Dari Ueno Station, kami perlu menaiki dua tren - Tokyo Metro Ginza Line dan Tokyo Metro Chiyoda Line dengan kadar tambang sebanyak 252 yen.

Ueno Station --> Omote-Sando Station --> Yoyogi-Uehara Station

Ueno Station
Tokyo Metro Ginza Line - kami berada di G16 Ueno menuju ke G02 Omote-Sando. Perjalanan mengambil masa 25 minit.

Tujuan saya catatkan di blog dengan agak terperinci kerana saya tak buat entri khusus berkenaan penggunaan tren di Tokyo. Sistem tren di sini complicated - tak mudah untuk saya faham dan terangkan semula. Tetapi tidaklah terlalu sukar untuk kita bergerak sendiri dengan adanya panduan Google Maps.

Ueno Station
Platform menunggu tren Ginza Line di Ueno Station.

Omote-Sando Station
12.05 tengah hari - tiba di Omote-Sando Station. Turun tangga untuk tukar tren Chiyoda Line.

Dalam tren Chiyoda Line menuju ke Yoyogi-Uehara Station. Masa ni orang tak ramai, bolehlah ambil foto untuk kenangan. Kalau tengah penuh, memang sangat sesak sampai nak tengok skrin atas tu pun susah.

Paparan skrin terdapat dalam bahasa Jepun dan bahasa Inggeris.

Tiba di Yoyogi-Uehara Station, macam biasa perlu rujuk Google Maps bagi panduan perjalanan ke masjid. Sedang kami memerhati papan tanda di stesen mencari arah pintu keluar, tiba-tiba seorang lelaki mendekati Encik Suami dan memberi salam.

"Mosque?", tanya lelaki tersebut.

Uehara
Pukul 12.20 tengah hari.
Tujuan kami sama, jadinya kami ikut saja langkah kaki beliau. Kami berjalan keluar stesen, seterusnya menyusuri tepi bangunan, melintas jalan besar sehinggalah tiba di perkarangan masjid. Sebelum berpisah, kami ucapkan terima kasih kepada beliau.

Alhamdulillah...Allah datangkan pertolongan buat kami melalui lelaki Mesir tadi. Waktu solat Jumaat bermula pada pukul 12.45 tengah hari. Tanpa bantuan beliau, kami mungkin sampai lewat. Maklumlah baru pertama kali ke sini, setiap langkah perlu merujuk Google Maps.

Azan pertama berkumandang ketika saya selesai berwuduk dan sedang berjalan menuju ke ruang solat perempuan.

.

InsyaAllah catatan pengalaman ziarah dan solat Jumaat di Tokyo Camii bersambung pada entri seterusnya.







10 comments:

  1. Umur² macam ni sy seronok baca pengalaman Ujie. Terasa saya pun terikut turun tangga tu rupanya ada laluan lain ya, hihi. Kalau sy mmg sesat barat lagi teruk dr Ujie. Sedapnya strawberry Jepun tu, merah menyala.

    ReplyDelete
  2. Nak sangat pergi Nippori Fabric Town tapi tak sempat. Oh tak perasan pulak ada trip options dalam Google maps kalau jalan kaki. Thanks for sharing. Hubby ni suka angkat bag dari heret bag, layan je lah.

    ReplyDelete
  3. Saya baca blog Ujie ni la baru tahu tentang option wheelchair accessible tu. Kalau saya pun, mesti cangak bangak cari arah keluar dari stesen. Alhamdulillah, bantuan tiba di saat perlu.

    ReplyDelete
  4. memudahkan untuk yg rtravel ke sana kan... teringin nak ke sana.. insyaAllah suatu hari nanti

    ReplyDelete
  5. Saya jadi ingat pas ke Tokyo hari terakhir. Kami juga nak pindah penginapan. Pergi PAgi2 supaya dapat seat di kereta. Kami pikir begitu.. ternyataaaaa, kereta penuuuuuh dengan orang2 lokal yg nak pergi kerja 🤣🤣🤣🤣.

    Ya Allah baru disitu saya merasakan badan didempet kiri kanan depan belakang , saya tak payah pegangan Krn banyak yg menghimpit, jadi tak mungkin jatuh. Belum lagi kami bawa bayi dan koper besar 🤣🤣🤣.

    Lalu pas turun kereta, susah sangat kak. Dan kasiannya ada nenek2 jatuh pas kluar. Saking penuh sangat. Sejak itu memang tak nak pergi PAgi2 pakai kereta biasa hahahaha.

    Di Ueno, ameyoko shopping street, ini ada toko tas langganan saya. Waktu itu saya beku anello bag banyak buat oleh2 team saya di kantor. Owner-nya ramah sangat dan suka bagi diskount. Lokasinya itu sebelahan Ama toko kebab halal.

    Jangan2 itu toko kebab yg Kaka lihat 😁

    Buah2 di jepang walau mahal tp tiap hari suka saya beli sebab memang worth it lah. Sedap sangat. Rangup dan manis kan.

    Saya setuju sistem kereta di jepang itu mudah utk dilalui. Saya lebih bisa baca peta rute kereta di jepang drpd korsel. Kalo korsel bagi saya rumit sangat.

    ReplyDelete
  6. Jenuh juga nak usung bagasi turun tangga, tinggi juga nampaknya tu. Takpa la PU, exercise :D

    ReplyDelete
  7. Rasanya kalau tempat bukan Islam majoriti ini memang ada pilihan makanan halal tapi hidang arak.
    Kalau saya kena ada orang mahir kawasan tersebut untuk tunjuk jalan setiap tempat atau pengangkutan yang kena ambil.
    Oh!Ya, Puan Ujie solat Jumaat sekali.

    ReplyDelete
  8. tepuk dahi hehehe.. bersyukurnya rasa bila Allah hantar org baik-baik memudahkan urusan semasa travel di negara org hehe

    ReplyDelete
  9. Seronok dapat berjalan tengok negara orang.

    ReplyDelete
  10. Cabaran juga turun tangga sambil bawak luggage cam tu

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****