Monday, 10 March 2025

Bahagian 2 | Melawat Perkampungan Warisan Budaya di Oshino Hakkai, Oshino

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2024

Jemput baca catatan terdahulu --> Bahagian 1 | Melawat Perkampungan Warisan Budaya di Oshino Hakkai, Oshino.


Encik M bawa kami untuk melihat kolam seterusnya dan selepas itu kami dibawa berjalan-jalan di sekitar kawasan perkampungan ini.

Oshino Hakkai Japan
Kami tak pergi ke semua 8 buah kolam kerana kesuntukan masa. Kalau nak pergi semua kolam, boleh ikut je tanda arah tersedia.

Oshino Hakkai Japan
Jalan-jalan menikmati suasana kampung orang Jepun. Satu pengalaman yang berbeza dan menarik! Sebelah kiri kami tu aliran sebatang sungai yang sangat bersih.

Oshino Hakkai Japan
Lalu belakang rumah orang. Kemas dan bersih.

Oshino Hakkai Japan
Musim luruh, daun semua tak ada tapi nampaknya pokok-pokok ini tetap berbuah dan berbunga.

Oshino Hakkai Japan
Berfoto kenangan di sebuah jambatan dengan latar pepohon musim luruh dan rumah penduduk. Nampak cuaca panas, tapi sebenarnya udara sangat sejuk.

Oshino Hakkai Japan
Pepohon tanpa daun, tapi tetap nampak menarik.

Oshino Hakkai Japan
Foto kenangan kami suami isteri bersama keluarga Encik A. Cantik pemandangan dari jambatan ini - aliran sebatang sungai yang bersih dan puncak Gunung Fuji. Kalau bernasib baik - cuaca sesuai, boleh dapat foto dengan puncak Fuji yang lebih jelas kelihatan.

Oshino Hakkai Japan
Suka betul saya tengok kampung mereka - selain pemandangan indah, kawasan ini juga begitu kemas dan bersih. Tak nampak sampah puntung rokok atau plastik minuman bersepah.

Rumah-rumah di sini pula ada rekaan tradisional dan banyak juga rumah moden, semuanya nampak menarik.

Oshino Hakkai Japan
MasyaAllah...cantik sungguh pemandangan puncak Fuji dari sudut ini. Masa ni dah pukul 4 petang, cahaya matahari mulai menghilang maka puncak Fuji nampak lebih jelas.

Oshino Hakkai Japan
Berfoto di sini pun menarik juga, lebih kurang macam foto di lokasi terkenal - bangunan kedai serbaneka Lawson di bandar Fujikawaguchiko dengan puncak Fuji di belakangnya. 

Oshino Hakkai Japan
Masa ni kami dah sampai ke bahagian depan semula - kawasan tumpuan utama pelancong. Kiranya, tadi kami berjalan-jalan di kawasan perkampungan ini dalam satu pusingan.

Kami berfoto kenang-kenangan di sini sebelum menuju masuk ke bangunan yang menjual pelbagai jenis makanan dan barangan cenderamata.

Oshino Hakkai Japan
Entah makanan apa. Boleh merasa sebelum membeli. Tapi kami cuma tengok jelah.

Oshino Hakkai Japan
Encik M kata Peach Green Tea ni sedap dan kalau baca bahan-bahannya memang tak ada yang meragukan. Kami beli beberapa bungkus sebagai oleh-oleh. Harga sebungkus lebih kurang RM24, ada 12 pek kecil di dalamnya.

Kisahnya, ada seorang kawan Encik Suami yang terima teh ni dan isterinya suka sangat dengan rasanya. Disebabkan dah suka, kawan tadi sanggup belikan di Shopee dengan harga sebungkus sekitar RM100! Tapi kalau dikira-kira, harga tersebut tentulah berbaloi berbanding kos nak terbang ke Jepun.

Oshino Hakkai Japan
Suasana di bahagian luar bangunan kedai, terdapat laluan bersambung ke bahagian tengah kolam.

Kalau boleh nampak dalam foto di atas, di suatu sudut terdapat ramai orang berkumpul - di situlah terletaknya paip yang membekalkan air segar dari Gunung Fuji. Airnya boleh diminum terus. Kita perlu bawa bekas air sendiri untuk menikmati air tersebut secara percuma atau boleh juga membeli yang dah siap dibotolkan.

Kami tak rasa nak mencuba dan tak rajin nak ambil bekas minuman dalam kenderaan, jadinya tak merasalah air dari pergunungan ini. Dalam perjalanan pulang ke Tokyo kami berborak dengan Encik A (beliau beli yang siap dibotolkan), katanya air tersebut rasa sedap segar. Terus saya rasa menyesal sebab tadi tak mencuba minum atau membeli sebotol.

Oshino Hakkai Japan
Pukul 4.40 petang. Langit mulai gelap. Tiba masanya untuk kami beredar dari sini dan kembali ke Tokyo.

Oshino Hakkai Japan
Suhu semakin rendah. Patutlah saya rasa semakin sejuk dan rasa kering kulit.

Saya rasa tak puas walau dah seharian di Yamanashi Prefecture ini - saya belum puas menatap indahnya Gunung Fuji serta banyak lagi tempat menarik yang belum sempat kami lawati. InsyaAllah ada rezeki, kami akan kembali lagi dan pastinya akan bermalam supaya dapat lebih santai menikmati keindahan alam di sini.

Dalam perjalanan kembali ke Tokyo, masing-masing keletihan dan tertidur. Sesekali saya terjaga dan memerhati keadaan di luar - ada ketikanya aliran trafik tidak begitu lancar.

Tiba di Tokyo, keluarga Encik A turun di Akihabara - mereka nak shopping di Yodabashi Akiba. Manakala kami berdua bersama Encik M menuju ke sebuah restoran halal di Asakusa untuk makan malam. 







1 comment:

  1. Menariknya tempat lepak kat kolam tu. Syok samtai-santai kat situ. Teringin juga nak merasa air Gunung Fuji.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****