Sunday, 9 March 2025

Hidangan Ramadan dan Basikal Raya

Terasa pantas sungguh masa berlalu, sekejap je kita dah pun berpuasa pada hari ke-8. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hidangan berbuka kami berdua biasanya ringkas - dua jenis makanan, sejenis minuman sejuk dan sejenis minuman panas. Nasi berlauk pula biasanya dimakan hanya pada waktu sahur. Itu pun lauknya cuma sejenis. Potongan buah pula hampir setiap kali makan akan dihidang.


▶ HIDANGAN BERBUKA DAN SAHUR 1-7 RAMADAN
Tak banyak foto yang sempat saya ambil sebab biasanya menghidang di saat akhir hampir masuk waktu berbuka. Waktu sahur pula mata mengantuk, nak makan pun mengantuk apa lagi nak ambil foto makanan. Tak larat aih...

Berikut antara hidangan berbuka dan sahur kami :

Minuman lai chi kang buat sendiri - isinya cendawan putih (snow fungus), barli, kurma merah, bunga lily, buah kundur, chia seed dan buah laici. Buat sendiri boleh letak isi pilihan kita dan tahap kemanisan sesuai selera kita.

Minuman jus buah tembikai kuning - saya kisar buah tembikai dengan sedikit minuman soda sebab buah tembikai kuning ni rasanya tawar. Saya tambahkan juga buah laici.

Lauk daging landak masak lemak cili api. Tentunya bukan saya yang masak menu eksotik begini, nak siang daging landak pun saya tak pandai. Kuah masak lemak cili api ni nampak agak cair kurang santan, tapi rasanya cukup sedap sesuai selera kami. 

Murtabak - buat sendiri guna roti paratha. Percubaan pertama saya buat murtabak, resepi carian internet. Terhangus pulak saya masak.

Keropok lekor Losong - kami borong dari kedai Seehat Store di Nilai sewaktu balik rumah NS tempoh hari.

Kuih pulut panggang (orang utara panggil pulut udang) - Encik Suami beli dari kawan tempat kerja. Beli banyak terus buat stok, simpan dalam chest freezer. Harganya RM1 satu, lembut pulutnya dan sedap dengan aroma daun pisang dipanggang. Intinya penuh dan rasanya sedap sesuai dengan selera kami.

Bubur lambuk - ada orang tolong ambil di Masjid al-Husna, Batu Bertangkup. Isinya memang tak meriah, tapi rasanya sangat sedap!

Setakat hari ini, kami belum pergi ke bazar Ramadan sebab lokasinya jauh. Masak dan makan sajalah apa yang ada - stok bahan memasak dan makanan frozen penuh dalam chest freezer.

Alhamdulillah atas segala rezeki kurniaan-Nya.


▶ BASIKAL RAYA
Bukanlah nak pergi berhari raya naik basikal, tapi sebab beli masa bulan puasa jadi kita panggil 'basikal raya'. Heheh...

Semalam, hari Sabtu pagi kami ke Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk ambil basikal lipat yang Encik Suami beli beberapa bulan lepas. Masa beli tu belum ada stok.

Antara basikal lipat yang dijual di Rodalink.

Sejak berkahwin, ini merupakan kali pertama kami beli basikal. Encik Suami beli sebuah saja dulu. Kalau nanti saya minat berbasikal juga, bolehlah menambah sebuah lagi. Tapi rasanya saya tak minat, saya lebih suka berjalan sebab mudah nak memerhati alam dan memotret itu ini. Kita tengoklah nanti ya.

Jambatan Kedua Pulau Pinang - foto diambil sewaktu dalam perjalanan balik ke Perlis.

Hujung minggu ini nampaknya tak ramai orang di jalan raya. Kami singgah di RnR pun lengang, masuk tandas hanya saya seorang. Mungkin sebab bulan puasa dan hujung minggu lepas masing-masing dah balik kampung untuk berpuasa 1 Ramadan bersama keluarga.







5 comments:

  1. Beberapa hari lepas saya pun buat murtabak sendiri gunakan roti paratha. Sedap sangat. Rasa hendak buat lagi.

    ReplyDelete
  2. Betul, di Johor kita panggil Pulut Panggang, sampai Kedah jadi Pulut Udang. Ingatkan nak beli basikal utk beraya, hahahah.

    ReplyDelete
  3. Time berbuka mesti nak ada minuman sejuk.

    ReplyDelete
  4. wahhh kat mana dapat daging landak tuuuu
    sy dah lama teringinnnn nak makan...

    ReplyDelete
  5. Cepat kan masa berlalu. Sedar tak sedar dah masuk minggu kedua Ramadan. Syok la dapat basikal baru tu.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****