Friday, 23 September 2022

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut

AHAD | 04.09.2022

Satu lagi aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke Bukit Keluang adalah aktiviti eksplorasi landskap formasi yang dapat dilihat di kaki bukit ini. Pada awalnya, saya diberitahu ada gua-gua kecil di kaki bukit ini. Kedengaran biasa-biasa saja. Tetapi apabila saya berkunjung sendiri ke sini, ternyata bukan hanya gua-gua kecil tetapi saya menyaksikan kepelbagaian landskap formasi kesan hakisan ombak yang cukup menakjubkan!

Mungkin kerana saya mudah terpesona melihat alam semula jadi, maka saya memandang landskap alam di kaki Bukit Keluang ini sebagai sesuatu yang sangat menarik. Banyak foto yang ingin saya kongsikan kerana semuanya terlihat indah di mata saya. Tetapi cukuplah 13 keping foto di bawah sebagai pelengkap catatan pengalaman saya.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
1. Pemandangan Bukit Keluang dari jauh.
Cuaca sedikit mendung, titisan halus hujan membasahi bumi pada ketika ini. Tapi orang ramai masih beraktiviti di sini seperti biasa. Termasuklah saya dan encik suami yang meneruskan hasrat untuk melihat sendiri gua-gua kecil di sini buat kali pertama.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
2. Pelantar laluan kayu.
Kami berjalan menuju ke kaki Bukit Keluang. Seterusnya melalui pelantar laluan kayu yang tersedia untuk ke pintu gua. Perlu berhati-hati melangkah kerana ada bahagian yang sudah rosak.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
3. Pemandangan indah dari pelantar laluan.
Dari pelantar laluan, kita perlu menuruni tangga untuk meneruskan eksplorasi.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
4. Gua yang pertama.
Kalau tak berminat nak meneruskan eksplorasi dan sekadar nak melihat dari jauh pun boleh juga. Dari atas pelantar laluan ni kita boleh nampak dua buah lubang gua.

Sayangnya, kedua-dua gua ini jadi tempat orang berkelah. Patutlah dari jauh saya nampak kepulan asap keluar dari kaki bukit, rupanya mereka sedang memanggang makanan. Menurut pendapat saya, kurang sesuai gua dengan nilai warisan alam sebegini dan menjadi tumpuan pelancong dijadikan tempat berkelah apa lagi aktiviti masak-memasak. Kita yang datang dari jauh ni tak berpeluanglah nak berfoto dalam gua. Tambahan pula ia mungkin menjadi penyumbang sampah yang saya lihat bersepah-sepah di sekitar kawasan ini.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
5. Rupa bahagian dalam salah sebuah gua.
Saya masuk ke dalam perut gua untuk melihat-lihat. Tapi kena tahan nafas sikitlah dengan asap orang memanggang makanan.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
6. Batuan unik.
Saya tertarik dengan batuan di pesisir pantai di sini, kalau diteliti ia semacam campuran beberapa jenis batuan yang diadun. Unik dan sangat menarik.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
7. Melalui celahan batuan untuk ke bahagian lain.
Kami meredah air laut untuk ke bahagian lain pula. Seterusnya kami perlu melalui celahan batuan (dalam gambar). Ada bahagian yang sempit, saya perlu jalan mengiring dan tegakkan badan. Tapi kalau tak muat, kita boleh saja merangkak di laluan bawah yang lebih luas.

Terasa sejuk sewaktu saya melalui celahan batuan ini. Sambil tu mata saya tetap membelek permukaan batuan yang unik.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
8. Fosil kerang-kerangan?
Di pertengahan laluan, langkah saya terhenti apabila terlihat permukaan batuan yang berbeza dari yang lain. Eh, macam bentuk kerang-kerangan. Jari-jemari saya meraba-raba permukaan tersebut, memang bukan permukaan batuan seperti yang lain. Adakah ini yang dikenali sebagai fosil? Menarik untuk diketahui.

Fosil : tinggalan (sisa) jasad haiwan atau tumbuhan zaman purba (prasejarah) yg kini mengeras dan tertanam di dlm bumi (batuan dsb): mengenal dan menghuraikan hal purba drpd keterangan ~ dan bukti lain; terfosil telah menjadi fosil: rangka binatang yg ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
9. Landskap alam yang indah.
Sebaik badan melepasi celahan batuan, kami seakan berada di suatu tempat yang asing. Landskap formasi yang lebih indah menanti.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
10. Pantai tersembunyi.
Pantai di sini lebih tenang, tak ramai pengunjung.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
11. Unik.
Masya Allah…kagum saya menyaksikan kejadian alam di sini. Kesan hakisan ombak yang menghasilkan pelbagai bentuk landskap di pesisir pantai Bukit Keluang. Banyak gua-gua kecil terhasil, juga batuan pelbagai rupa.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
12. Gerbang yang indah, juga sampah yang menyakitkan mata.
Landskap seperti gerbang yang cukup menarik. Foto ini boleh saja saya edit supaya tak kelihatan sampah sarap tersebut, tapi saya biarkan ia kekal kerana ia adalah sebahagian daripada apa yang saya saksikan di sini.

Keindahan Landskap Formasi Bukit Keluang, Besut
13. Lagi landskap alam yang unik.
Kalau ada masa, mahu saya teruskan eksporasi ke bahagian lain. Tapi nampaknya kami tak boleh berlama-lama di sini. 40 minit saja kami di sini.

Bagi peminat alam semula jadi, lokasi ini antara tempat yang perlu dikunjungi jika datang ke Besut. Cuma semasa kunjungan saya tempohari, tempat ini terlalu banyak sampah sarap plastik minuman dan bekas makanan. Menyakitkan pandangan. Saya tak pasti sama ada sampah ini wujud kerana dibawa ombak atau perbuatan pengunjung yang tak bertanggungjawab. Siap ada plastik sisa minuman bergantungan di dinding gua. Mungkin pihak berwajib perlu meletakkan papan notis pendidikan supaya pengunjung membuang sampah di tempat yang betul.

Seperkara lagi, saya juga berharap adanya papan info yang menerangkan kejadian landskap geologi di sini. Ianya sebagai satu langkah kesedaran ilmu geologi kepada pengunjung yang datang. Dengan ilmu, kita akan lebih menghargai alam semula jadi dan menginsafi kehebatan kuasa Allah SWT.



Video berdurasi 0:48 minit. 






10 comments:

  1. Boleh buat rombongan pendidikan sambil tunjuk batuan dan terangkan proses yang berlaku.
    Sayang betul ada sampai. Inipun kena terangkan untuk hargai alam sekitar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada beberapa kajian tentang geologi di Bukit Keluang. Boleh google taip: Kajian batuan bukit keluang. Ada banyak maklumat yang diperoleh di sini untuk menambah ilmu pengetahuan tentang formasi konglomerate di Bukit Keluang. Tk

      Delete
    2. Terima kasih perkongsian. Saya dah buat carian.
      Batuan yang nampak seperti adunan beberapa jenis batuan itulah yang dipanggil formasi konglomerate. Harap betul pemahaman saya.

      Delete
  2. cantik sangat kak, paling best boleh berteduh sambil berkelah di gua-gua yang ada.

    ReplyDelete
  3. menarik...batu-batuan & kerang-kerangan yg melekat di gua..unik...

    ReplyDelete
  4. Subhanallah cantik dan banyak tempat menarik ye Bukit Keluang ni.
    Fossil kerang-kerangan tu cantik sangat!

    ReplyDelete
  5. Sempit laluan celah batu tu. Unik! Macam teritip pun ada, di dinding tu. Kena bawa torchlight, masuk gua.
    Sedih kan, orang kita suka buang sampah merata-rata. Saya pun dah malas nak jogging tepi laut kat Teluk Batik tu. Ada bau makanan basi, plastik dan bekas makanan. Entah bila orang kita nak pandai jaga kebersihan.

    ReplyDelete
  6. Terengganu memang cantik tapi dari segi jaga kebersihan dan kesedaran kitar semula kurang penguatkuasaan. Sayang kan. Tempat cantik dah macam ni oversea

    ReplyDelete
  7. Terima kasih kongsi pengalaman, ilmu pengetahuan dan keindahan alam ciptaan-Nya. Subhanallah!

    ReplyDelete
  8. SubhanaAllah.. Cantik sangat.. Gabungan batu-batuan yang pelbagai tu buatkan ianya lebih menarik.. Tapi memang tak patutlah berkelah dan memasak disitu.. Tak boleh orang lain nak berjalan-jalan dan melihat-lihat..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****