Wednesday, 28 September 2022

Seketika di Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli

Catatan kisah pada hari Isnin, 5 September 2022 yang lalu.

Dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke PP, saya dan encik suami berkesempatan singgah di Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng atau biasa disebut Gunung Reng saja.

Gunung Reng terletak di laluan Lebuhraya Timur-Barat, kira-kira 15 km dari pekan Jeli, Kelantan. Gunung Reng dapat dilihat dengan jelas dari laluan utama. Juga ada papan tanda tertera Gunung Reng. Dari jalan utama kita perlu masuk ke dalam sedikit. Tak jauh pun dari laluan utama, mudah saja nak sampai sini.

Sebelum ke Gunung Reng, saya dah pun buat carian berkenaan tempat ini. Ramai mencadangkan menu Laksa Sarang yang terdapat di salah sebuah kedai makan di sini. Jadinya selain nak melihat bagaimana rupa Gunung Reng yang pertama kali saya tahu namanya menerusi majalah Al-Ain, saya juga teringin nak mencuba Laksa Sarang di sini.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Ada pilihan kawasan parkir - di bawah berhampiran sungai atau naik atas sikit di kaki Gunung Reng.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Gunung Reng, Jeli, Kelantan.
Beginilah rupa Gunung Reng yang merupakan bukit batu kapur dengan gua-gua di dalamnya. Selain kawasan parkir, di sini juga terdapat kedai-kedai makan. Sebelum meneruskan penjelajahan, kami memutuskan untuk menikmati Laksa Sarang terlebih dahulu.

Laksa Sarang, Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Laksa Sarang dan cendol.
Disebabkan tiada info mana satu kedai yang menjual Laksa Sarang, saya mengambil sedikit masa untuk memerhati kedai-kedai yang ada. Siap teliti foto yang orang kongsikan untuk memerhati kalau ada memaparkan rupa kedai, meja kerusi yang bagaimana atau apa-apa saja yang boleh dijadikan petunjuk. Gigih kan…haha! Akhirnya, kami menghampiri sebuah kedai yang ‘disyaki’ dan bertanya menu yang ada sebab tiada menu dipaparkan di kedai ini. Alhamdulillah…memang kedai yang tepat.

Kami memesan semangkuk cendol dan semangkuk Laksa Sarang. Kita cuba satu dulu. Lepas tu, terus tambah pesanan lagi semangkuk Laksa Sarang sebab lepas mencuba beberapa suap ternyata memang sedap! Mi yang digunakan bukanlah mi laksa beras yang yang kenyal tu. Kami kurang gemar makan laksa mi kenyal. Laksa Sarang ni menggunakan mi halus. Kuah laksanya sedap, tambahan pula bila dimakan bersama telur sarang. Memang memenuhi cita rasa. Alhamdulillah.

Bagi yang nak mencuba Laksa Sarang ni, boleh ke kedai makan dengan petunjuk berikut - kedai di kedudukan kedua akhir dan agak setentang dengan binaan wakaf di kaki Gunung Reng (rujuk foto ke-2). Kedai di sini dibina sebuah-sebuah dan tidak selari kedudukannya. Juga tiada nombor kedai yang terpapar. Itu yang susah sikit nak mencari.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Laluan ke pintu gua.
Ok, perut dah kenyang barulah kami jalan-jalan tengok apa yang ada di taman rekreasi Gunung Reng ni. Kami menuju ke pintu gua. Di bahagian depan gua ada disediakan wakaf dan taman permainan kanak-kanak. Terdapat juga papan sejarah Gunung Reng. Tetapi saya fikir, ia bukanlah sejarah sebaliknya mitos atau kepercayaan setempat.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Wajib tutup aurat. Gewe?! Jauhi khalwat.
Seperkara yang menarik perhatian, di sini terdapat papan notis supaya menutup aurat dan jauhi khalwat serta hukuman yang bakal dikenakan. Bagus ada peringatan begini, sekurang-kurang ada usaha di peringkat pemerintah. Yang tak tahu, jadi tahu dan yang tahu tapi terlalai, jadi beringat semula. Pun begitu, bukan hanya adik kakok yang perlu menutup aurat kerana abe (orang lelaki) pun ada batas aurat juga ya.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Di hadapan pintu gua.
Jom masuk gua.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Gua di Gunung Reng.
Terdapat anak-anak tangga simen untuk kita mendaki ke atas. Ada anak tangga yang nampaknya licin dan basah kesan titisan air yang turun dari bumbung gua. Semakin ke atas, bau najis kelawar semakin kuat menusuk hidung saya. Jadinya saya ambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakian ke atas. Tak rajin pula nak ke kereta ambil pelitup hidung mulut.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Perhatikan formasi pada bumbung gua. Setiap gua mempunyai keunikan tersendiri.
Encik suami dengan membawa lampu suluh naik bersendirian ke atas untuk melihat-lihat.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Foto pintu gua dari sudut pandang dalam gua.
Encik suami memotret foto pintu gua dari atas. Saya menanti di tangga bawah. Bersama saya ada seorang budak lelaki usia remaja. Terjadi sedikit perbualan ringkas antara kami. Antara soalan budak lelaki ini - ada pocong kat sini? Sebabnya beliau terbaca contengan ‘pucong’ di dinding gua. Saya katakan, orang yang melakukan vandalisme tu mungkin berasal dari Puchong, Selangor. Hehe. Yelah, tak kanlah saya nak kata iyaa ada pocong!

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Mini zoo rusa.
Satu lagi tarikan di sini, terdapat mini zoo yang menempatkan sekawan rusa. Lokasinya tak jauh dari pintu gua tadi.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Salah seekor rusa yang terdapat di mini zoo.

Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng, Jeli
Aliran Sungai Pergau.
Aliran Sungai Pergau di sebelah Gunung Reng juga antara tarikan di sini. Terdapat wakaf-wakaf dan bangku disediakan berdekatan sungai. Juga ada penjaja yang menjual makanan dan minuman berhampiran sungai. Ramai juga pengunjung berkeluarga yang sedang bermain air di sini. Memang sesuai untuk budak kecil kerana sungainya tohor dan aliran airnya perlahan saja. Kalau orang dewasa kira tahap celup kaki sajalah.

Selain gua yang kami masuki tadi, saya nampak ada satu lagi pintu gua di bahagian sisi berhadapan dengan sungai. Tapi kami tak masuklah. Di sekeliling Gunung Reng ini juga nampaknya tersedia laluan bersimen, sesuailah untuk sesiapa nak joging atau melakukan senaman jalan kaki.

Pendek kata, Taman Rekreasi Cahaya Ibadah, Gunung Reng ini menawarkan pelbagai aktiviti riadah untuk seisi keluarga secara percuma! Lengkap dengan kemudahan asas. Persekitaran juga nampaknya dijaga baik dan bersih. Juga ada Laksa Sarang yang sedap. Makanan lain pun mungkin sedap juga, cuma saya tak sempat nak mencuba.

Dari Gunung Reng, kami singgah solat di Masjid An-Nur, Gunung Reng yang terletak tidak jauh dari laluan masuk ke Gunung Reng. Cantik pemandangan masjid dengan latar belakang Gunung Reng tersergam. Terdapat kemudahan tandas yang bersih dan berkeadaan baik, juga wakaf-wakaf di perkarangan masjid. Nampaknya ramai juga yang berhenti rehat dan makan di wakaf tersedia.




28 comments:

  1. Laaaa.... Tak boleh la unlce nak bawak gewe uncle kat sini? Eh? hahaha

    ReplyDelete
  2. mesti dia pakai mee laksa yang segar kot kak, belah kelantan kan banyak laksa segar. Cantik pemandangan gua tu dari luar, dari dalam tak berapa gemar. Dulu masa muda-muda rajin jugak jalan masuk gua tapi dah lama-lama tak minat pulak aktiviti tu, sebab gelap dan kadang bau tahi kelawar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh…tu mi laksa segar. Akak tak tau…hihih

      Delete
  3. Cantik dan terjaga nampaknya Gunung Reng dan kawasan sekitarnya .. laksa sarang tu menggoda selera :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syabas kepada pihak yang jaga tempat ni, sedap mata memandang.

      Delete
  4. Sedap nama taman rekreasinya. Cahaya Ibadah gitu. Memang cantk dan mendabaikan. Boleh pulak tetiba ada rusa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...unik namanya, berbeza daripada taman rekreasi lain.

      Delete
  5. SubhanAllah, cantiknya pemandangan dekat Sg Pergau tu. Mesti tenang je kan. Dah lama tak masuk gua, kali terakhir pergi ke Gua Mulu.
    Patut la diberi nama laksa sarang, ada telur sarang rupa-rupanya. Tak boleh bayangkan macamana rasanya, kena pegi sana sendiri baru tau.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kat KL ada jugak tu Laksa Sarang.
      Wah...Carneyz dah masuk gua Mulu. Teringin jugak nak ke sana. Kalau Gua Niah tu akak dah pergi, memang menarik.

      Delete
  6. Nampak menonjol Gunung Reng.
    Gigih cari kedai laksa sarang. 2 tujuan.
    Apapun kagum sebab gigih juga mencari tempat tarikan walaupun untuk pulang ke rumah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya saya ternampak papan tanda Gunung Reng masa dalam perjalanan pergi. Itu yang berhajat nak singgah masa perjalanan balik. Hehee

      Delete
  7. Dah tu, gambar kedai takde ke Ujie? Tengok sarang dalam laksa tu, nampak sedap dan tak berminyak. Rupa2nya banyak sungguh Taman Rekreasi kat Kelantan ye. Gunung Reng ni mcm Gunung Lang juga kot. Batu kapur.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takde gambar kedainya Lyd. Segan nak ambik, ada sekumpulan orang tengah makan kat kedai tu. Bila dah jauh sikit, lupa pulak nak ambik dari jauh 🤦‍♀️

      Ha ah, sama macam Gunung Lang, bukit batu kapur.

      Delete
  8. sedapnya laksa...telur sarang tu serap kuah laksa, menambah kesedapsn.....ada gua, sungai, rusa...mmg menarik..

    ReplyDelete
  9. memang seronok msuk gua......dekat dengn nature

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setiap gua ada keunikan tersendiri, itu yang menarik untuk diterokai.

      Delete
  10. Menarik jika dapat explore dalam gua

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...saya tak bawak apa2 kain pulak untuk tutup hidung. Tak jadi nak explore lebih jauh.

      Delete
  11. Menarik juga ni. Selalu balik kampung belah wife, dok lalu je. Tapi tak pernah singgah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasalah gitu kan...kalau balik kampung, kita nak cepat sampai kampung, tak singgah mana2.

      Delete
  12. Ooo... ada laksa sedap rupanya, di Gunung Reng. Biasa lalu, tak pernah singgah. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti boleh la singgah, cuba makan Laksa Sarang..kot kena selera Nur.

      Delete
  13. cantik sungguh view gua. Teringin pula nak makan laksa hujan2 ni hehe.

    ReplyDelete
  14. Mujur betul kedainya. Tempting tengok semangkuk laksa sarang tu. Menarik juga taman rekreasi Gunung Reng ni ada macam-macam tarikan. Cantik panorama dan pintu gerbang gua tu. Unik! Boleh tengok haiwan juga. Seronok berlamaan kat sini.

    ReplyDelete
  15. Handsome betul rusa tu.. Susah juga nak mencari gerainya ye.. Kalau ditandakan pasti lebih mudah dituju.. Bagus peringatan tu diletakkan.. Moga adalah negeri lain jadikan contoh dan buat..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****