Friday, 9 September 2022

Perjalanan Dari Pulau Pinang Ke Terengganu Melalui Lebuhraya Timur Barat

JUMAAT | 02.09.2022

Kebiasaannya, pada waktu cuti sekolah saya dan encik suami akan mengelak untuk ke tempat-tempat tumpuan ramai. Kita beri peluanglah kepada keluarga yang mempunyai anak bersekolah untuk berjalan-jalan, disamping itu dapat juga mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Tapi berbeza dengan cuti sekolah kali ini, adik-beradik encik suami merancang untuk berkumpul di Besut, Terengganu. Lokasi dipilih kerana ada salah seorang daripada mereka yang baru saja berpindah dari Sabah ke Terengganu. Kiranya sambil berjumpa ahli keluarga, kami dapat menziarahi tempat baru di mana adik ipar sekeluarga menetap.

Disebabkan lokasinya yang agak jauh dan laluan yang tak biasa kami lalui, encik suami ambil cuti pada hari Jumaat dan Isnin. Jadinya hari Jumaat perjalanan pergi, hari Sabtu & Ahad aktiviti bersama keluarga, manakala hari Isnin perjalanan balik. 4 hari 3 malam, cukup masa dan tidak tergesa-gesa. Bolehlah santai menikmati perjalanan dan singgah sana sini.


Perjalanan Melalui Lebuhraya Timur Barat

Saya agak teruja dengan trip kali ini kerana kami akan melalui Lebuhraya Timur Barat buat kali kedua, setelah melalui jalan ini buat kali pertama sekitar 14 tahun lalu. Sudah terlalu lama.

[Info]
Lebuhraya Timur-Barat (Laluan Persekutuan ) mula dibina pada tahun 1967. Proses pembinaannya kerap kali terganggu akibat perbuatan khianat pengganas komunis yang sering sahaja menyerang hendap pekerja binaan sepanjang Perang Insurgensi Komunis ataupun Darurat Kedua dari tahun 1967-1989, menyebabkan pembinaan lebuh raya ini memakan masa yang sangat panjang. Malah, semasa lebuh raya ini dibuka pun pihak tentera mengawal ketat lebuh raya ini dan pemandu hanya boleh menggunakan lebuh raya ini pada waktu siang sahaja dan perlu melapor diri setiap kali menggunakannya.

Hari ini, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE: E15) sepanjang 17 km merupakan laluan masuk utama ke Lebuhraya Timur-Barat dari arah Koridor Utara atau Bandar Raya George Town (Pulau Pinang) yang melibatkan laluan Butterworth (Pulau Pinang) - Kulim (Kedah) - Baling - Gerik (Perak) - Jeli (Kelantan) - Tanah Merah - Machang - Pasir Puteh.

Secara keseluruhannya, Lebuhraya Timur Barat membabitkan laluan sepanjang 313.7 km bermula dari Baling, Kedah melalui Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan.
(Sumber rujukan : Wikipedia, Harian Metro & Facebook @lebuhrayatimurbarat)

Perjalanan kami bermula waktu pagi dari rumah di Simpang Ampat, PP masuk ke Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan selepas itu terus saja tak perlu belok mana-mana sejauh 290 km. Sehinggalah tiba di penghujung jalan simpang tiga, ada pilihan belok kiri untuk ke Pasir Puteh/Kota Bharu dan belok kanan untuk ke Jerteh/Kuala Terengganu. Kami membelok ke kanan untuk ke Besut.

Saya kongsikan beberapa foto di laluan Lebuhraya Timur Barat :

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Kupang, Kedah
Pemandangan indah hijau alam dilatari langit biru dan awan putih. Laluan yang berliku selalunya menyajikan keindahan alam yang mempesona.

Semi Terowong Lebuh Raya Timur Barat
Semi terowong di Gerik, Perak
Kita akan melalui dua buah binaan semi terowong (rockshed). Seingat kami, dulu cuma ada satu saja semi terowong di laluan ini. Nampaknya sekarang dah ada dua semi terowong. Boleh tonton video di hujung entri ini untuk ‘merasai’ pengalaman melalui semi terowong.

Apa tujuan binaan semi terowong begini? Tujuannya untuk melindungi jalan raya dari runtuhan tanah bukit (sebelah kanan dalam gambar). Jadinya kalaupun terjadi tanah runtuh, tidaklah terputus laluan penting ni.
 
Jambatan Tasik Temenggor Lebuh Raya Timur Barat
Jambatan Tasik Temenggor di Gerik, Perak
Satu lagi keunikan di laluan Timur-Barat ini - terdapat dua buah jambatan yang merentasi Tasik Temenggor di mana terdapat sebuah pulau kecil di sini, iaitu Pulau Banding.

Maksudnya, jambatan ini menjadi penghubung di antara tanah besar-pulau-tanah besar. Tapi kami tak perasan pun sedang masuk-keluar pulau! Kecuali jika kita lihat peta, barulah jelas mana tanah besar dan mana pulau.

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Jeli, Kelantan
Perjalanan yang mempesona buat saya kerana disajikan pemandangan hutan dan perbukitan di kanan kiri jalan. Maklumlah, laluan Timur-Barat ini merentasi Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa. Jadi memang puaslah saya menikmati keindahan hutan dan merasai udara yang nyaman sewaktu menurunkan tingkap kereta.

Lebuh Raya Timur Barat
Lokasi : Jeli, Kelantan
Sepanjang perjalanan, kami melalui empat lokasi yang terdapat sekatan jalan raya termasuk satu daripadanya tidak ada pihak berkuasa yang bertugas. Dalam gambar ni merupakan lokasi sekatan jalan raya yang terakhir.

Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di Besut, Terengganu sekitar pukul 2.50 petang. Jumlah masa perjalanan kami adalah sekitar 7 jam 30 minit dengan jarak sejauh 341 km, termasuk berhenti di beberapa tempat untuk makan atau sekadar melihat-melihat.

Kami singgah di dua tempat yang saya rasa menarik di laluan Lebuh Raya Timur Barat, iaitu Hentian Royal Belum dan R&R Amiza Titiwangsa. Menarik kerana pemandangannya, boleh lihat dalam video di hujung entri ini. Catatannya InsyaAllah pada entri akan datang. 


Info & Panduan

Sedikit info/panduan bagi kalian yang belum pernah melalui Lebuhraya Timur Barat :
  • Walaupun laluan ini dipanggil ‘lebuh raya’, ianya bukanlah seperti Lebuhraya Utara Selatan di mana kita perlu bayar tol dan terdapat banyak hentian rehat. Di Lebuhraya Timur Barat, tiada tol dan tiada hentian rehat dengan kemudahan tandas percuma.
  • Terdapat dua tempat hentian untuk kita berhenti rehat, makan, solat dan ke tandas iaitu di Hentian Royal Belum dan R&R Amiza Titiwangsa. Kedua-duanya terletak di Gerik, Perak. Bayaran sebanyak 50 sen dikenakan untuk menggunakan tandas.
  • Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan kerana ada tempat yang tiada liputan talian telefon 🚫, ini menyukarkan untuk kita mendapatkan bantuan.
  • Pastikan minyak diisi penuh sebelum melalui jalan ini kerana tiada stesen minyak di tengah hutan (Gerik-Jeli).
  • Laluan ini juga merupakan laluan gajah. Terdapat beberapa papan notis memaklumkan tindakan yang perlu kita lakukan sekiranya tiba-tiba gajah memunculkan diri. Antaranya - jangan buat sebarang perlakuan yang menarik perhatian gajah seperti membunyikan hon, menyalakan lampu kenderaan atau datang dekat untuk merakam foto.

Ada lagi yang lain? Boleh tambah di ruangan komen. Berkenaan keadaan jalan raya pula, bagi pendapat kami jalan di laluan ini berada pada keadaaan yang baik. Cuma ada beberapa tempat laluan memotong (dua lorong) yang tiada papan tanda bermula/berakhirnya dua lorong, agak bahaya bila tengah memotong  tiba-tiba jadi satu lorong. Seperkara lagi, kita perlu berhati-hati kerana ada tempat yang bahu jalannya mendap/runtuh. Maklumlah, kita sedang melalui perbukitan memang sentiasa ada risiko begitu.



Video berdurasi 01:23 minit memaparkan perjalanan di laluan Lebuhraya Timur Barat.





11 comments:

  1. Inilah jalanraya yang saya dan keluarga lalu, everytime balik kampung suami di Tumpat. Dulu, ada je petronas di Pulau Banding tu, tapi bila dia buat Belum Resort tu, tutup terus. Di R&R Titiwangsa tu dulu, pernah terserempak dengan babi hutan. Waktu tu, pagi lagi, takde ramai orang. Gajah pun pernah nampak, tepi jalan lepas R&R tu. 7 jam 30 minit sampai ke Terengganu kira ok la tu. Kalau sesak, boleh lebih 8 jam, kalau ada accident atas bukit tu. Memang kena hati-hati lalu situ. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fuh..seram jugak ya Nur nampak gajah liar. Patutlah ada menara pemerhati hidupan liar di sebelah kanan lepas R&R tu. Memang kawasan laluan dia rupanya..

      Ya, Alhamdulillah tak sesak jalan masa pergi dan balik tu.

      Delete
  2. Terima kasih puan, berkongsi sejarah pembinaan lebuhraya ni. Rajin buat research 👍
    PH pernah lalu, tapi lama sangat dah hihi ... Yg ingat pun pasal gajah je, sbb first time lalu highway ada papan tanda amaran gajah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama PH 😉
      Alang2 saya cari untuk pengetahuan sendiri, kongsi teruslah di entri.

      Delete
  3. Hehe baru sahaja lalu hari Rabu masa pergi Jeli. Itulah cantik pemandangan gunung dan tasik. Rasa turun naik. Mencabar juga laluan ini.

    P.S: Tiada rezeki pergi Masjid Razaleigh masa balik lalu Guna Musang. Terlepas 3 km dan kami pun nak cepat balik. Hehe solat di Petronas Guna Musang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan NA...cantik pemandangan.

      Masjid Razaleigh tu saya pun masih belum sempat singgah..hehe

      Delete
  4. Suka sangat bila lalu kawasan penuh dengan kehijauan.. Rasa tenang je..

    ReplyDelete
  5. Memang cantik view. Kalau saya pun turunkan tingkap. Lagi feel dari air-cond.terima kasih berkongsi info

    ReplyDelete
  6. Tenang drive sambil tengok kehijauan yang cantik.

    ReplyDelete
  7. pernah lalu tapi lama dulu, pergi KB naik bas dari kuala kangsar...cantik view, penuh kehijauan..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****