Friday, 2 October 2026

Dari Kuala Lumpur ke Kuala Dungun

Catatan hari Rabu, 16 September 2026.

Saya dan Encik Suami mendaftar keluar dari STEG Hotel, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi. Hari ini kami akan memulakan perjalanan ke Pantai Timur. Tetapi sebelum itu kami ke Bangsar, selesaikan sedikit urusan di sana.

Menghampiri pukul 1 petang, barulah kami bergerak meninggalkan KL. Keadaan jerebu hari ini nampaknya lebih teruk berbanding hari-hari sebelumnya. Jalan raya agak lengang, mungkin masing-masing berehat di rumah saja sempena cuti umum Hari Malaysia.

Memasuki Terowong Genting Sempah yang terletak di Banjaran Titiwangsa. Ia menghubungkan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang.

Melalui Lebuhraya Pantai Timur. Keadaan berjerebu dan hujan di beberapa tempat.

Pukul 5.50 petang, kami exit di Kuala Dungun. Alhamdulillah lega rasanya bila dah keluar lebuh raya, sebolehnya kami tak mahu bergerak waktu malam. Walaupun belum waktu senja, suasana di sini sudah pun gelap.

Kuala Dungun menjadi destinasi persinggahan kami sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Tujuannya untuk berehat dan menziarahi adik Encik Suami yang baru menetap di sini. Tiba di Kuala Dungun, kami terus saja ke rumah adik yang tinggal di kuarters sekolah.

Kami tak berlama di rumah adik, sebelum Maghrib dah bergerak ke penginapan di Ombak Beach Inn. Sengaja kami tak bermalam di rumah adik sebab nak merasa penginapan berhampiran pantai, bangun pagi bolehlah terus jalan-jalan di pantai. Catatan berkenaan penginapan kami di entri khusus.

Warung Santai Pantai, Pantai Sura
Warung Santai Pantai - kedai makan yang terletak berhampiran dengan tempat penginapan kami. Kawasan pantai terletak di seberang jalan.

Pukul 8 malam kami keluar makan di sini, jalan kaki je. 

Makan bersama adik Encik Suami sekeluarga. Anak-anak mereka tiga orang berada di asrama, tinggallah seorang si bongsu di rumah.

Pilihan saya - kuetiau basah/berkuah dan telur mata. Sedap, tak masin.

Selesai makan, kami kembali ke bilik penginapan. Ada misi seterusnya - mendobi. Sebelum tu, saya asingkan pakaian yang kecil letak dalam mesh laundry bag. Dah siap semua, masukkan dalam beg Ikea saiz besar.

Dobi Pantai Sura
Pukul 9.50 malam - tiba di kedai Dobi Pantai Sura. Kami jalan kaki je ke sini. Jaraknya lebih kurang 130 meter dari penginapan. Kami lalu jalan besar, jadinya perlu berhati-hati dan bawa lampu suluh bersama. Bimbang pemandu kenderaan tak perasan kita berada di bahu jalan.

Dobi Pantai Sura
Alhamdulillah kedai dobinya dalam keadaan baik dan bersih. Banyak mesin basuh dan mesin pengering disediakan. Mesin minuman pun ada.

Selesai mendobi, balik bilik teruslah melipat pakaian dan susun dalam beg. Sejak memulakan perjalanan dari Perlis pada hari Sabtu lalu, baru kali ini kami basuh pakaian. Memang banyaklah. Siap mengemas sudah pun melewati tengah malam. Fuh! Penat sungguh.







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****