Wednesday, 14 June 2023

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah

Balik Pulau, Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan buah durian. Hari Sabtu lalu, buat kali pertama (semenjak saya dan encik suami berhijrah ke PP pada tahun 2020) kami berkesempatan ke Balik Pulau bagi menikmati ‘raja buah’.

Kami ke Anjung Indah, sebuah kawasan dataran yang terletak di laluan P14 Jalan Tun Sardon. Saya pernah menulis berkenaan tempat ini sewaktu kunjungan kami pada musim pandemik tahun 2021, boleh baca di DI SINI

Kalau dulu kami datang tempat ini keadaannya sunyi, kali ini suasana meriah dengan aktiviti jual beli durian. Pesta durian! Di sekeliling dataran terdapat deretan gerai menjual durian. Penjual Melayu dan Cina menawarkan pelbagai varieti buah durian. Banyak juga varieti dengan nama yang asing dan susah saya nak ingat sebab bunyi sebutan seakan bahasa Cina.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Beginilah suasana di Anjung Indah. Masa ni cuaca sedikit mendung. Kami berjalan dari satu gerai ke satu gerai, melihat-lihat varieti buah durian dan harga yang ditawarkan. Setakat yang saya perasan, harga lebih kurang sama di setiap gerai. Contohnya, durian kampung RM10/kg. 

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Encik suami sibuk memilih durian untuk dibeli, saya pulak leka memerhati sekitar 😄. Saya nampak sebatang pokok durian dengan buah bergayutan di bahagian belakang deretan gerai. Seronok tengok.

Memang banyak pokok durian di sekitar sini, sebab itulah Balik Pulau terkenal dengan durian. Sepanjang perjalanan tadi pun, terdapat kebun-kebun durian di tepi jalan dan juga gerai jualan durian. Tapi kalau di Anjung Indah ni lebih mudah sebab ia tempat berkumpul para penjual durian. Nak parkir kenderaan pun lebih mudah, ada ruangan.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Masa untuk makan durian! Ada meja di sediakan di setiap gerai jualan, bolehlah kita makan terus di sini. Kalau dapat isi buah yang tak elok, boleh terus tukar lain. Kami turut diberi air minuman saiz kecil setiap seorang.

Buat pertama kali kami mencuba durian varieti Black Thorn. Harganya? Durian yang encik suami beli ni RM70/kg. Rata-rata gerai lain menjual dengan harga RM80/kg. Yang ni murah sikit mungkin sebab bukan buah baru, masa kami sampai buah dah tak banyak di gerai pilihan kami ni.

Harga sebiji durian ni lebih RM100! Encik suami teringin nak merasa durian varieti Black Thorn. Itu yang dia ‘pejam mata’ membayar. Gitulah peminat durian kan, mahal pun sanggup bayar.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Durian varieti Duri Hitam (D200) atau lebih terkenal dengan nama Black Thorn. Buahnya berbentuk bulat.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Isinya berwarna kuning keemasan dan sangat tebal. Saya tak boleh nak makan banyak. Yang ni kami tak habiskan makan, minta masuk bekas untuk bawa balik.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Selain Black Thorn, encik suami beli juga durian varieti lain. Tapi tak ingat namanya sebab nama yang asing didengar. Harganya RM25/kg. Isinya warna kuning dan tebal. Yang ni kami makan habis sebiji.

Uniknya buah durian, lain varieti lain rasanya.

Semasa kami sedang menikmati durian, langit jadi semakin gelap dan sesekali kilat memancar. Pokok-pokok di sekeliling kawasan meliuk ditiup angin. Tak lama kemudian, suasana sekitar mulai berkabus.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Pukul 12.40 tengah hari, suasana berkabus di Anjung Indah.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Kami makan durian di gerai ini - YB Durian Balik Pulau.

Anjung Indah Balik Pulau
Terasa nyaman suasana di sini.

Makan Durian Balik Pulau di Anjung Indah
Anjung Indah terletak di kedudukan tinggi. Dari sini kita boleh menyaksikan pemandangan lautan. Jadinya tak hairan jika tempat ini boleh dipenuhi kabus begini. Seronok dapat menyaksikan kabus bergerak perlahan di sekitar saya. Jarang dapat merasa suasana begini kalau tak ke Cameron Highlands. Rezeki hari ini, datang makan durian dan dapat pula menikmati suasana berkabus.

Alhamdulillah, tertunai sudah hasrat nak makan durian Balik Pulau. Bukanlah hasrat yang besar, tapi sementara menetap di PP ni, haruslah mencuba makan durian Balik Pulau. Nak ke sini juga? Boleh buat carian di Google Maps - Anjung Indah Balik Pulau. Tapi saya tak tahulah jualan durian ni bila akan berakhir.


Video berdurasi 15 saat, suasana berkabus di Anjung Indah.








16 comments:

  1. Bestnya kak siap ada kerusi meja lg utk menikmati durian.. meriah

    ReplyDelete
  2. Tudiaaa...
    Cantiknya isi durian black thorn.
    Macam-macan variety durian kan Ujie. Alhamdulillah, dapat merasa juga.

    ReplyDelete
  3. mana mana pun musim durian laa nii kan, kat area kak ana ni ada yang jual sebiji rm1 sampai jemmed laa jalan , tak tahu laa hat mana yang rm1 tu kak ana tak pii pun hehe :)

    ReplyDelete
  4. Boleh tahan harga BT Balik Pulau. Di Johor hari tu, RM60 sekilo.

    ReplyDelete
  5. Geramnya tengok isi durian tu Kak Ujie, cantik dan tebal je! Peminat durian sanggup bayar mahal asalkan durian sedap. Kat KL dah banyak gerai durian tepi2 jalan tapi kiteorang je belum menyinggah lagi.

    ReplyDelete
  6. dana tak makan durian lagi kak tahun ni, tahan napsu ahhaahah takut makan sikit tertambah2... dana suka semua jenis durian dari kampung sampai ke yang mahal, tapi paling suka yang ada rasa pahit2

    ReplyDelete
  7. Wow! Bau sampai sini....! hehehehe

    ReplyDelete
  8. Bestnya Ujie.. suasana berkabus, sambil makan durian. Mahal juga ye, durian black thorn. Cantik kuning isinya.

    ReplyDelete
  9. Perghh..Terliur nengoknya Kak 🤩 Kalaulah dapat merasa jugak..Sedapnyaaaa! Ya, peminat durian, apa pun bolehhhh dibayar...Haha

    ReplyDelete
  10. black thorn femes kt sini...bestnya suasana, tak panas, dah tengahari pun masih berkabus...subhanallah..

    ReplyDelete
  11. Mantab buah duriannya kak..terlihat sudah matang pasti lezat banget..sayapun suka durian walau tak banyak..empat bijipun sudah cukuplah 😀

    ReplyDelete
  12. Sy penggemar durian kampung; manis2 pahit2 tu yg sedap bg saya :)

    ReplyDelete
  13. Saya pula baru rasa durian Musang King minggu lepas. Sayapun makan tidak beria sangat sekadar 2-3 biji.
    Ya betul itu sementara ada peluang tinggal di PP, baik ambil kesempatan mencuba durian di Balik Pulau. Boleh cerita pengalaman pada orang lain.

    ReplyDelete
  14. wah syoknya makan durian..leeya ada adik duduk balik pulau tapi masih belum berkesempatan nak makan durian kat sana

    ReplyDelete
  15. perghhhh mantapnyaaaa duri hitam👍👍👍 ok laa harga mcm tu sblm ni beratus juga kan?

    seronoknya dpt mkn durian puas2... hehehe hanya peminat durian je yg faham perasaan tu heheh

    ReplyDelete
  16. Musim durian ni saya teringin makan buah durian udang merah tak dapat². Teringin juga rasa black thorn tu. Di Seremban tak silap RM60/kg. Menggoda betul isi durian tu. Area kedai macam area Diva BB TikTok tu.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****