Sambungan entri Sedim Rainforest Resort, Kulim | Penginapan Di Tengah Hutan
Alhamdulillah, cuaca cerah pada pagi hari Sabtu. Bolehlah saya menikmati keindahan alam di sini dan dapatlah memotret foto dalam suasana terang. Semalam sampai dah lewat petang, foto semuanya suram jelah.
Selain datang menginap di sini, terdapat pilihan aktiviti berbayar yang boleh kita lakukan. Antaranya, aktiviti merentas hutan dan water rafting. Berkenaan aktiviti, bolehlah bertanya lanjut kepada pengurus resort. Memandangkan kami cuma berdua, rasa kurang seronok ambil aktiviti berbayar dan kosnya pun lebih tinggi. Jadinya kami cuma buat aktiviti sendiri - bersantai menikmati suasana alam semula jadi di sini.
Bilik no. 7 & 8. |
Dah siang, bolehlah memotret foto bilik penginapan kami. Bilik kami no. 7. Kereta parkir di belakang bilik.
Semua bilik penginapan menghadap Sungai Sedim. |
Suasana resort di waktu pagi. Tenang. Saya terbau masakan, rupa-rupanya ada beberapa kumpulan pengunjung yang sedang masak-masak di luar. Penginapan di sini tak termasuk sarapan pagi, jadinya memang kena sediakan makanan sendiri. Kalau nak beli di luar, mungkin jauh jugak nak ke kawasan kampung.
Ruang makan resort. |
Penginapan kami sudah termasuk sarapan pagi, sebab masa tu katanya promosi sempena hari terakhir Outdoor Expo. Menu sarapannya cukup ringkas - bungkusan nasi lemak, roti putih dan minuman panas.
Sarapan pagi dengan suasana alam semula jadi. |
Masa ni tak ada orang lain pun yang sedang makan di sini. Kami memilih duduk di sudut hujung menghadap aliran sungai. Suasana yang cukup tenang, telinga menikmati deruan air sungai dan mata melayan hijau alam. Nasi lemak yang kami makan pun sedap rasanya. Kalaulah ada gorengan telur mata, tentu lebih nikmat.
Selesai makan, kami mula berjalan-jalan di sekitar kawasan ini.
Antara laluan yang terdapat di resort. |
Cahaya matahari pagi menembusi celahan pokok. Indah!
Masih awal pagi. Tiada seorang pun pengunjung berada di sungai. Saya ambil kesempatan berfoto. Selepas itu, kami keluar dari kawasan resort dengan berjalan kaki melalui jambatan di belakang saya (rujuk pada foto).
Aliran Sungai Sedim. |
Pemandangan aliran Sungai Sedim dari atas jambatan. Ditambah pula dengan cahaya lembut matahari yang menyimbah bumi dan bunyi deruan air, suasana pagi di sini sangat mempesona. Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini untuk kita nikmati dan renungi hikmah penciptaanya.
Aliran Sungai Sedim. |
Masih lagi foto aliran sungai dari atas jambatan, cuma berbeza sudut.
Kami kemudiannya berjalan mengikut laluan tersedia. Sambil mata memerhati tumbuhan yang ada di sekitarnya.
Walaupun tak melakukan aktiviti merentas hutan, laluan santai di sini masih mampu memberi kepuasan buat saya. Saya rasa puas hati dan gembira dapat memerhati pokok-pokok besar dan tinggi begini. Terdapat juga pokok tinggi yang berbuah lebat di batang pokok. Unik. Nak tengok rupa pokok? Insya Allah saya akan tunjukkan dalam entri catatan ke Tree Top Walk Sungai Sedim.
Laluan tadi membawa kami sehingga ke sebuah kawasan parkir awam dan bangunan terbengkalai. Nampaknya seperti bangunan kedai. Teruskan ke depan sikit lagi, sampailah ke jalan di mana terdapatnya pintu gerbang besi dan sebuah pondok kawalan. Sempatlah kami berborak ringkas dengan seorang pengawal keselamatan wanita yang sedang bertugas.
Selepas itu kami berpatah balik ke resort. Nak merasa mandi sungai pulak. Juga masih ada satu lagi tempat nak dituju sebelum kami balik rumah, iaitu Tree Top Walk Sungai Sedim.
Kawasan berbatu dan cetek airnya. |
Masa ni dah ada pengunjung lain di sungai. Tempat ni luas dan ada pilihan nak kawasan air cetek atau yang dalam.
Kami pakai aqua shoes, kuranglah rasa sakit tapak kaki memijak batuan di sini. Di bahagian tengah sungai tu arusnya lebih deras, saya duduk di batu pun boleh rasa bergerak di tolak arus.
Sememangnya Sungai Sedim jenis sungai arus deras, sebab itulah ia sesuai untuk aktiviti water rafting. Disebabkan itu juga, ada lokasi/lubuk yang tidak selamat untuk kita bermandi-manda. Apa lagi kalau tiba musim hujan, paras air meningkat. Sudah banyak kejadian lemas berlaku di Sungai Sedim. Jadinya kalau ke sini, kena berhati-hati dan pilihlah kawasan yang selamat ya.
Air sungai yang cantik, jernih dan sangatlah sejuk! Kali ni kami tak beria sangat mandi sungai, sebab tak mahu badan penat sangat. Ceritanya, di saat akhir sebelum ke Sedim ni encik suami dapat arahan kena pergi Johor. Perlu bertolak esok pagi sebab perjalanan jauh dari utara ke selatan.
Ini pula sudut pandang bilik-bilik penginapan dari sungai.
Saya tertarik dengan batang pokok yang penuh lumut ni, sebab ada pokok sakat dan deretan cendawan yang tumbuh. Inilah masalah saya, semua tumbuhan nampak menarik 😄
Mata saya fokus mencari cendawan. Seronok dapat tengok cendawan pelbagai bentuk dan warna.
Jumpa satu jenis lagi. Cantik menyerlah warna kuning oren.
Aktiviti water rafting di Sungai Sedim. |
Selepas puas menikmati dingin air sungai dan berjalan di sekitar resort, kami balik ke bilik penginapan. Mandi, bersiap, kemas barang masuk dalam kereta dan check-out sekitar pukul 11 pagi. Semasa di luar bilik penginapan, saya ternampak sekumpulan orang yang baru saja memulakan aktiviti water rafting. Sempatlah saya memotret dari kejauhan. Seronok tengok.
Jambatan besi yang menghubungkan resort dengan kawasan parkir taman eko rimba. |
Kami check-out awal sebab nak ke Tree Top Walk yang terletak tak jauh dari resort. Cuma perlu berjalan kaki dari resort menyeberangi jambatan besi ke kawasan parkir Taman Eko Rimba Sungai Sedim. Pintu masuk Tree Top Walk terletak di hadapan taman eko rimba.
Alhamdulillah, tamat cuti-cuti alam semula jadi kami di Sedim Rainforest Resort. Sangat seronok sebab begitu dekat dengan alam semula jadi. 24 jam dapat menikmati bunyi deruan air sungai. Juga melayan mata dengan keindahan pokok-pokok hutan yang berada di sekeliling resort. Semuanya menjadi satu bentuk terapi jiwa.
Satu saja yang tak seronok di sini - keadaan bilik penginapan yang kurang selesa kerana tidak diselenggara dengan baik. Kalau boleh terima atau tak kisah dengan keadaan bilik penginapan yang begitu dan cuma mahukan suasana, maka resort ini memang tempat yang cukup menarik buat pengujung yang mahu menikmati keindahan Hutan Lipur Sungai Sedim yang terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Inas.
Video berdurasi 1:31 minit memaparkan perjalanan masuk ke resort, suasana di resort dan keindahan Sungai Sedim.
Subhanallah!
ReplyDeleteSaya benar-benar terpegun dengan alam ciptaan-Nya!
Saya pun akan rasa kecewa kalau dapat tempat penginapan yang ttidak diselenggara dengan baik. Hilang mood dibuatnya.
Mula-mula masuk bilik tu, saya agak terkejut dan memang hilang mood jugaklah. Lepas tu keluar tengok suasana sekitar yang cantik, terubat rasa.
DeleteBestnya kalau dapat mandi-manda di sini
ReplyDeleteSejuk! Hehe
DeleteSedap mata memandang lokasi ni .
ReplyDeleteAlam semula jadi yang memberi ketenangan.
DeleteNampak kehijauan dan pokok-pokok tinggi yang rimbun. Cantik-cantik gambar yang diambil.
ReplyDeleteTerima kasih NA. Tempat dah cantik, sudut mana ambil pun semua menarik.
DeleteBaca entri Ujie ni pun, dah rasa aman tenteram, dengar bunyi air sungai. Deras juga airnya.
ReplyDeleteKat Perak di Gopeng, air sungai dia macam ni juga, pun ada aktiviti white water rafting. Pernah cuba. Memang seronok, walau mula-mula menakutkan. ^_^
Wah..seronok Nur dah merasa water rafting. Saya teringin jugak, tapi tak ada geng. Tak seronok la berdua.
DeleteCantiknya pemandangan yg Kak Ujie ambik. Dah terbayang2 bunyi burung2 berkicau, bunyi unggas dan serangga, air sungai mengalir dan menghirup udara di sini :)
ReplyDeleteTerima kasih Carneyz. Waktu pagi gini memang mempesona dan cantik untuk kita ambil gambar.
DeleteSubhanallah, memang cantik. White water rafting Sedim ni memang famous, tapi saya bukanlah orang yang suka aktiviti lasak. Geram tengok air sungai tu. sini takde tempat camping ke kak?
ReplyDeleteKalau nak camping kat resort ni boleh, di kawasan berhampiran tebing sungai. Boleh guna tandas dan plug point di ruang makan resort. Harga kalau tak silap akak, RM30/tapak.
DeleteAtau kalau ambil bilik penginapan, boleh berkhemah di kawasan berhampiran bilik. Harga lebih rendah. Kalau tak silap RM15.
Selain tu, ada banyak campsite kat bawah (di luar hutan simpan) berhampiran kawasan kampung. Tapi sungainya mungkin tak secantik di bahagian atas ni.
dapat berkhemah mesti lagi best ni. tapi kena bawak sleeping bag 3 lapis. hehe
DeleteHarus berlapis-lapis tu Sal, akak tidur dalam bilik pun pakai sleeping bag 😅
DeleteFuh! Terngiang-ngiang lah bunyi hutan tu!
ReplyDeleteTerngiang-ngiang rasa seram ke tenang tu?
DeleteDapat bayangkan pagi pagi suasana dia macamana. Indah, udara segar bau hutan, bunyi bunyian fauna, hilangkan segala kekusutan! Tengok air macam tu rasa nak berendam lama lama atau duduk tepi rendam kaki pun best dah rasa. Pagi pagi confirm air sejuk sampai ke tulang. Bagus akak dah prepare kasut khas. Dapat juga merandai ke dalam air.
ReplyDeleteAla.. sayangnya bilik tak diselenggara dengan baik..
ReplyDeleteSeronok bila berehat di kawasan sebegini.. Tenang dan damai je.. Jauh dari kebisingan kota..