Monday, 3 October 2022

Kunang Pesisir Morten

 
Kunang Pesisir Morten
Judul : KUNANG PESISIR MORTEN
Penulis : Raiha Bahaudin
 Penerbit : JIWA
Tahun terbit : Cetakan pertama 2021
Jumlah halaman : 233

Kunang Pesisir Morten, sebuah novel yang sudah lama saya tahu judulnya kerana ia telah pun diterbitkan buat kali pertama pada tahun 2015 oleh penerbitan Dubook Press. Pun begitu, baru sekarang saya membacanya setelah memiliki naskhah yang diberi nafas baru oleh rumah penerbitan JIWA. Kulit bukunya lebih segar dengan ilustrasi yang menggambarkan isi cerita - kisah persahabatan tiga kanak-kanak iaitu Adi, Dhiya dan Lim.


SINOPSIS
Kunang Pesisir Morten membawa kisah persahabatan seorang kanak-kanak lelaki bernama Adi bersama seorang kanak-kanak perempuan genius bernama Dhiya dan kemudiannya menjadi trio dengan kehadiran Lim, seorang kanak-kanak lelaki berbangsa Cina dari kampung seberang sungai. 

Latar kisah novel ini bermula pada tahun 1984 di Kampung Morten, Melaka. Memetik kata-kata penulis (menerusi Adi selaku watak yang menceritakan kisah mereka) di awal bab bagi menggambarkan suasana Kampung Morten pada ketika itu :
“Pada waktu ini, ketika ini, kau masih dapat melihat barisan tandas kayu perca bersusun hodoh di atas persisiran lumpur Sungai Melaka. Kami di sini sering berjalan tegak tanpa menoleh ke arah jamban kayu itu kerana berasa ngeri dan seram. Lebih malang lagi, kau tidak perlu mengintai pun untuk melihat mereka membuang air besar di celah lompong papan. Bahan buangan itu pasti sahaja akan mencebur masuk ke dalam sungai, terapung buat seketika sebelum melarut dan tenggelam.” - halaman 1.

Kembara persahabatan mereka bertiga penuh warna-warni - suka duka, detik cemas, debaran dan nilai persahabatan. Paling indah, persahabatan mereka telah berjaya merapatkan jurang dua bangsa yang hanya dipisahkan oleh sebatang sungai.

Demi memenuhi impian Dhiya untuk memiliki tiub cat akrilik Rowney, mereka bersama-sama menjayakan jualan kuih cucur udang resepi ibu Adi dan popia nyonya resepi keluarga Chen. (Ah…saya pula yang terliur setiap kali perkataan cucur udang dan popia disebut-sebut dalam novel ini.)

Demi membebaskan Lim dari pertuduhan jahat, Dhiya sekali lagi menunjukkan sisi geniusnya bersama Adi dalam usaha mereka menjejaki pencuri sebenar barang pusaka Haji Ibrahim. Berjayakah mereka?

Bagaimanakah pengakhiran kisah persahabatan mereka bertiga?

Kunang Pesisir Morten
Isi novel Kunang Pesisir Morten

PERKARA MENARIK DI DALAM NOVEL
Sepanjang pembacaan, terdapat banyak perkara menarik yang membuatkan karya oleh Raiha Bahaudin ini saya anggap hebat. Antaranya :
  1. Penulis menyelitkan fakta sejarah dengan gaya penceritaan yang santai. Antaranya, berkenaan penubuhan tabika KEMAS (halaman 27), sejarah keturunan Cina peranakan (halaman 100) dan sejarah jalan & bangunan di Melaka (halaman 157).
  2. Babak yang menggambarkan realiti hidup rakyat bawahan (halaman 56).
  3. Pengetahuan tentang pementasan opera Cina - jenis watak, maksud pemilihan warna kostum dan solekan (halaman 61).
  4. Pengetahuan asas lukisan (halaman 71).
  5. Ilmu bisnes (halaman 88).

KANAK-KANAK GENIUS?
Ada kalanya saya sukar menerima kepintaran Dhiya anak jalanan berusia 9 tahun dalam menyelesaikan pelbagai persoalan, begitu juga kelicikan watak Tam (yang juga anak jalanan). Pemikiran skeptikal saya ini disangkal oleh penulis menerusi penjelasan berkenaan kanak-kanak pintar dengan bakat luar biasa pada halaman 202. Tersenyum sendirian saya ketika membaca perenggan tersebut yang seolah-olah ditujukan buat saya.


KISAH BENAR ATAU SEKADAR FIKSYEN?
Selesai membaca novel ini, saya tertanya-tanya adakah kisah ini diangkat dari kisah benar atau fiskyen semata? Ini kerana gaya penceritaan yang sangat jelas, seolah-olah ia benar-benar terjadi. Juga disertakan kepingan foto Kampung Morten sekitar tahun 80-an di hujung naskhah.

Hasil carian saya menemukan jawapan penulis berkenaan soalan di atas. Kata beliau, “Jadi cerita itu benar atau fiksi? Ahh. Itu kau putuskan sendiri”.

Apa yang pasti, penulis memang membesar di Kampung Morten. Jadinya itu satu kelebihan buat beliau untuk menghasilkan penceritaan yang jelas, ditambah dengan keupayaan imaginasi serta pengetahuan luas dan penggunaan laras bahasa yang sedap dibaca. Maka hasilnya, lahirlah sebuah novel yang menurut saya luar dari kebiasaan novel yang ada di Malaysia. Ia mengingatkan saya kepada novel dari seberang karya Andrea Hirata - Laskar Pelangi.


MENGAPA PERLU BACA NOVEL INI?
Kunang Pesisir Morten, sebuah kisah yang berpijak di bumi nyata. Novel yang berisi - ada ilmu, ada kritikan sosial, ada semangat perpaduan antara kaum, ada harapan-harapan dan ada memori zaman kanak-kanak saya yang juga bebas bermain ke sana sini. Menikmati naskhah ini juga membuatkan saya mencari kebenaran fakta sejarah, skandal politikus dan mendengar lagu nyanyian David Bowie.

Apa lagi mahu saya katakan? Kalian nikmatilah sendiri novel hebat ini! Tetapi suka saya ingatkan, cita rasa pembaca adalah berbeza. Jadi, bacalah apa-apa buku pun tanpa meletakkan sebarang jangkaan awal. Kalian baca, kalian buat penilaian sendiri.

Seperkara lagi, tak sabar saya nak menonton supertele Pesisir Morten, hasil adaptasi novel ini. Walaupun katanya ada banyak perubahan cerita, tetapi sekurang-kurangnya dapat juga karya sebagus Kunang Pesisir Morten diangkat ke layar TV.





19 comments:

  1. baca sinopsis pun dah macam menarik aje kisahnya

    ReplyDelete
  2. menariks nya jalan cerita novel ni..tambah2 pasal persahabatan..nice! tq for sharing yer

    ReplyDelete
  3. menarik utk dibaca.. semoga bermanfaat bt akak

    ReplyDelete
  4. Rasa berdasarkan kisah benar.
    Kalau saya akan terbuai-buai membayangkan latar masyarakat ketika itu apabila membacanya.
    Kebetulan tadi saya dengar lagu-lagu 80-an memang mengimbau kenangan.

    ReplyDelete
  5. Kreatif jalan ceritanya. Gaya penulisan pun nampak menarik.

    ReplyDelete
  6. wahh dh lama wak x baca buku novel camni.. kg morten melaka tu wak penah g mlm2 mmg cantik 🌙🌙

    ReplyDelete
  7. Menarik nampaknya novel ni 😍

    ReplyDelete
  8. Banyak paparan menarik seperti fakta sejarah yang diselitkan dalam novel ini kan Ujie.

    ReplyDelete
  9. Antara novel favourite saya. Memang kisah yang menarik. Mungkin kisah benar walau tak 100%

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sekarang jadi antara novel favourite akak jugak. Hehe. Akak pun fikir mungkin diinspirasikan dari kisah benar.

      Delete
  10. Apabila baca sinopsis yang anda nyatakan, saya pasti ini adalah novel yang agak baik

    ReplyDelete
  11. Alaaa... uncle lama tak baca buku!

    ReplyDelete
  12. Menarik kisahnya. Oh! kampung Morten di Melaka ada macam-macam kisah kawan-kawan di sana. Jalan cerita yang menarik macam nyata selalunya adalah berdasarkan pengalaman sendiri. Sekadar pandangan peribadi.

    ReplyDelete
  13. Kalau ini kisah benar, mesti Dhiya tu adalah watak sebenar penulis. Chey wah spekulasi. Banyaknya buku Ujie dah baca. Boleh tengok library buku ujie? Mesti besar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Takde la taraf library, rak buku je. Hehe. Tapi rak tu kat rumah NS. Sekarang pindah sementara kat Penang, semua buku simpan dalam kotak plastik je. Senang angkut pindah.

      Delete
  14. Baca tajuk saya terus teringat Kg Morten Melaka. Rupanya memang Kg Morten Melaka. Dalam teka teki lah ni samada dari kisah benar atau fiksyen.

    ReplyDelete
  15. Terus saya tandakan buku ini di bahagian 'want to read' Goodreads saya.. Manalah tahu satu hari terjumpa, bolehlah saya dapatkan.. Menarik sungguh sinopsis dan review akak..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****