Thursday, 27 October 2022

Alam Tercemar Apabila Iman Tercalar

Tajuk entri ini merupakan tajuk bagi salah satu bab di dalam naskhah Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu, penulisan oleh Hasrizal Abdul Jamil. Alam tercemar apabila iman tercalar. Kata-kata yang tepat dan jelas. Menyentuh soal pencemaran alam, ia merangkumi pelbagai aspek termasuklah aspek menjaga kebersihan persekitaran kita.

Islam adalah agama yang menitikberatkan kebersihan. Setiap kali sebelum menunaikan solat, kita perlu membersihkan diri. Bukan setakat berwudhuk, kita juga perlu memastikan tiada kotoran najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Begitu lengkap Islam mendidik umatnya dalam soal kebersihan.

Tapi sayang, kita mungkin melakukan semua itu sekadar satu ritual agama. Bukan sebagai satu penghayatan rohani dan kefahaman yang jelas - bahawa menjaga kebersihan itu adalah tuntutan agama Islam yang kita imani. 

Saya kongsikan beberapa foto berkenaan isu penjagaan alam sekitar :

Kempen Bawa Balik Sampah Anda
Saya suka dengan pendekatan ‘Kempen Bawa Balik Sampah Anda’, papan tanda kempen ini saya temui sewaktu mendaki Bukit Keluang, Besut. Satu usaha yang sangat baik - memberi pendidikan kepada masyarakat. Saya dapati kawasan puncak bukit di sini bebas sampah. Syabas kepada pihak yang berkenaan.

Alam sekitar adalah amanah dari Allah
Satu lagi notis peringatan yang menarik perhatian saya, di lokasi yang sama iaitu Bukit Keluang. ‘Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan amanah dari Allah Yang Maha Esa’. Terima kasih kepada pihak berkenaan yang telah memberi peringatan begini. Terkadang kita lupa bahawa segala yang kita nikmati hanyalah pinjaman dan amanah (perkara yang diberi kepada kita untuk menjaganya).

Pantai Bukit Keluang
Manakala di kawasan pantai Bukit Keluang ini pula, saya dapati longgokan sampah di merata tempat. Sayang sekali, kawasan pantai yang indah dengan panorama pulau-pulau kecil ini dicemari dengan sikap tidak peduli kita menjaga kebersihan sekitar. Masalah sikap pengotor ini ada di mana-mana, cuma kebetulan dalam entri ini saya ambil contoh di pantai Bukit Keluang yang baru saja saya kunjungi pada bulan lepas.

Pantai Bukit Keluang
Longgokan sampah di sana-sini. Saya dapati, hampir semuanya adalah sisa selepas aktiviti perkelahan. Kumpul sampah dalam plastik sampah tu dah bagus. Tapi bila ditinggal begitu saja, jadi tarikan kepada anjing liar yang berkeliaran mencari makan. Sudahnya, semua sampah bertaburan begini.

Entah kenapa kita tak boleh berfikir bahawa sampah mesti dibuang ke dalam tong sampah? Tak ada tong sampah di situ? Maka bawalah balik sampah kita dan uruskan secara betul. Mentaliti mengharap orang lain (pekerja pembersihan) menguruskan sampah kita adalah mentaliti yang salah dan tak menepati didikan agama kita.

Seperkara lagi, sebaiknya jika kita berkelah gunakanlah cawan dan pinggan guna semula, bukan jenis pakai buang. Kenapa? Itulah usaha kita untuk mengurangkan sampah dan mengurangkan masalah pencemaran alam yang terhasil daripada sisa plastik dan polisterin. Penggunaan bahan plastik dan polisterin juga memberi kesan buruk kepada kesihatan kita dalam jangka masa panjang. Boleh buat carian di internet berkenaan perkara ini, lepas tu kita mungkin berfikir dua kali apabila perlu menggunakan bekas plastik dan polisterin.

Gunakan bekas pakai buang hanya jika benar-benar perlu saja. Kita mungkin tak mampu tinggalkan sepenuhnya penggunaan bekas pakai buang, tapi kita mampu mengurangkan penggunaannya. Sekurang-kurangnya kita ada usaha menjaga alam yang dipinjamkan Tuhan kepada kita.

Memetik kata-kata penulis dalam bab Alam Tercemar Apabila Iman Tercalar, buku Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu :

Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah. Lebih kuat iman, kuatlah kita menjaga alam sekitar. 




11 comments:

  1. Sayang betul kawasan yg cantik tapi pengunjung tak sama-sama jaga kebersihan. Mungkin dah terbiasa kami kalau jalan ke mana-mana memang bawa plastik sampah sendiri, kalau takde tong sampah buang dekat rumah je

    ReplyDelete
  2. Mereka ini tidak kisah bukan tempat tinggal mereka jadi tidak ambil berat.

    ReplyDelete
  3. tu lah kumpul sampah dlm plastik sampah tu dah elok dah tapi biarkan mcm tu mmg jd habuan anjing liar lah.. habes nampak tak bersih dah kawasan tu T__T

    ReplyDelete
  4. Permandangan yang tak indah bila pergi tepi pantai. Tak faham juga kenapa susah sangat nak buang sampah dalam tong sampah. Ada papan tanda peringatan mesra tu dah bagus dah. Sepatutnya begitulah kan, kurangngkan penggunaan yang kitar semula tu. Guna cawan dan bekas dari rumah lebih bagus elakkan sampah begini terbiar.

    ReplyDelete
  5. the key word is .... education...

    ReplyDelete
  6. Setuju dengan entry ini. Tak faham kenapa ada orang expect ada pekerja untuk kemas sampah di tempat awam macam pantai dan taman. Ingat ni mall ke. Lepas tu bising bila tempat dah tak cantik macam dulu. Salahkan majlis perbandaran la, PM la. Eh.

    ReplyDelete
  7. ruginya pemandangan cantik dicemari dgn sampah-sarap...moga dpt kita mendidik diri & keluarga menjaga kebersihan alam sekitar..

    ReplyDelete
  8. dari anak-anak kecil kita kena terapkan kat dorang... jangan sesuka hati buang sampah merata-rata, selit sampul gula2 dimana-mana. use your leg, walk to the rubbish bin.

    ReplyDelete
  9. Kebersihan sebahagian daripada iman.
    Tak dinafikan memang banyak sampah sarap dibuang di merata tempat. Kadang rasa malu, negara terkenal tapi penyakit pengotor masih menebal.

    ReplyDelete
  10. Satu yang saya nampak bagus sekarang ni kat restoran makanan segera pakat pandai dah kemas meja sendiri..
    Alangkah baiknya lepas ni kita semua pakat ada kesedaran jaga kebersihan kat tempat pulak kan.

    ReplyDelete
  11. Sampah kita, patutnya kitalah yang uruskan.. Bukan mengharap orang lain.. Sayang bila sampah yang sudha dibungkus elok kemudiannya diserakkan haiwan..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****