Tuesday, 8 September 2020

Menikmati Ikan Lunak di Cafe Rumah Sungai Bonda Rozita

Selama ni saya cuma tahu mengenai Rumah Hutan Bonda Rozita, tapi rupa-rupanya ada satu lagi iaitu Rumah Sungai Bonda Rozita. Saya ni sebenarnya tak mengikuti mana-mana akaun media sosial bonda Rozita, sebab tulah saya tak berapa tahu.

Kedatangan saya ke sini pun secara tak sengaja, sekadar menemani suami yang ada urusan di sini. Itu pun kami tahu lokasi tujuan sewaktu dalam perjalanan. Pada awalnya cuma tahu perlu keluar tol Tanjung Malim (kami dari Pulau Pinang).

Rumah Sungai Baitun Nahri, Bonda Valley
Rumah Sungai ini terletak di Jalan Batang Kali - Genting Highlands. Ada papan tanda tertera ‘Bonda Valley’ di sebelah kiri jalan. Tapi kalau ikut Google Maps dia akan bawa ke depan lagi sikit, terlajak. Jadinya mata kena perhati sendiri papan tanda tadi ya.

Masa kami sampai sini, hujan mulai turun dan terus lebat. Tak dapatlah saya melihat-lihat taman indah di sini. Tapi memang cantik, kemas. Mata saya tertumpu pada Sansevieria (juga dikenali sebagai pokok Lidah Jin, Lidah Mak Mertua, Snake Plant) ni, kalau tak silap ni jenis Sansevieria Moonshine.

Cafe Rumah Sungai (Warung Bonda). Sementara suami dengan urusannya, saya bawa diri ke sini. Kebetulan perut memang tengah lapar, bolehlah saya cuba makan di sini.

Rupa bahagian dalam yang ringkas tapi menarik. Terdapat satu ruangan menjual pelbagai produk bonda Rozita. Saya masuk melihat-lihat, tapi tak membeli apa-apa.

Kat sini takde pelayan datang ambil pesanan makanan kat meja kita, kena ke kaunter ni untuk melihat menu dan buat pesanan.

Pekerja di kaunter bagitau cuma ada Set A dan Set E je untuk hari ini. Setiap set untuk hidangan 2 orang, saya pulak cuma nak makan seorang. Jadinya saya boleh pilih mana-mana menu daripada dua set yang ada tadi (a la carte).

Duduk merenung ke luar tingkap sambil menunggu hidangan, menikmati pemandangan sekitar Rumah Sungai di waktu hujan. Kawasan yang luas dan penuh kehijauan. Menyegarkan mata.

Tak terlalu lama menunggu, hidangan saya pun sampai. Tapi terkejut jugaklah sebab saiz ikan ni agak besar untuk saya makan. Rasanya susuai untuk 2-3 orang makan. Saya dok fikir kalau bagitau seorang je makan, akan diberi saiz sesuai. Tapi silap saya jugaklah tak bertanya awal. Nampak je menu ikan lunak, terus rasa teruja nak mencuba. Haha!

Inilah rupa ikan lunak. Ikan digoreng garing, dipotong dua dan dibelah dua dari sisi. Jadinya ada empat bahagian. Rasanya? Pada cubitan pertama, saya rasa macam makan ikan masin. Tapi lepas tu rasa lemak-lemak, sedap! Keseluruhan ikan adalah lembut, kita boleh makan semua bahagian termasuk tulang ikan. Sebab tu namanya ikan lunak (bermaksud lembut, empuk).

Bila makan ikan lunak goreng yang masih panas dan cecah pulak dengan air asam gula aren (dalam mangkuk tu), memang menambah nikmat! Tak perlu lauk lain pun, cukup ikan lunak ni dan nasi putih. Minum pulak air kedondong asam boi, memang gandingan yang sesuai! Satu je yang tak memuaskan selera saya - lauk sambal kering kentang, sebab kentangnya dah agak lemau.

Alhamdulillah kenyang makan, tapi saya cuma mampu habiskan dua daripada empat bahagian ikan lunak. Selebihnya saya minta bungkus. Kos hidangan saya ni RM50.50. Terasa mahal! Tapi mengenangkan usaha bonda Rozita menghasilkan ikan lunak yang sedap dan menyediakan tempat makan yang selesa, kira sesuailah.

Info ringkas :
Ikan lunak merupakan menu istimewa dari Rumah Terapi Alam Bonda Rozita. Ikan lunak adalah ikan Susu yang diperap dengan pelbagai herba dan dimasak dengan periuk tekanan tinggi sehingga ia menjadi sangat lembut hingga ke tulang.

Gula Aren (yang digunakan sebagai bahan membuat pencecah air asam gula aren) adalah gula yang dihasilkan melalui proses mengetuk air nira dari pohon Aren (Arenga Pinnata Merr).

Rumah Sungai Baitun Nahri juga menawarkan penginapan dan servis urutan, yang ni saya tak tau info lanjut sebab saya datang makan je. Info lanjut boleh didapati di laman web bondavalley.com atau lihat di akaun media sosial bonda Rozita.

Untuk kawan-kawan yang nak ke sini, boleh buat carian ‘Rumah Sungai Baitun Nahri’ di Google Maps.


14 comments:

  1. boleh tahan harganya ye kak,, tapi ikan lunank tu memang agak susah nk buat rasanya... dana selalu tengok kt ig rumah2 bonda tapi tak pernah sampai...

    ReplyDelete
  2. Tak pernah makan ikan lunak. tapi ikan goreng garing siap ada sambal tu kira sedap dah tu. Harga boleh tahan juga tu. Teringin nak ke sini tapi tu lah tak sampai sampai lagi.

    ReplyDelete
  3. Haha mahal betul harga set ikan lunak itu. Kalau saya terkejut beruk.
    Cantik kawasan sekitar, buatkan kita hendak lepak lama-lama.

    ReplyDelete
  4. Wah..dah samapai erk sini..SA teringin sangat nak pergi....

    ReplyDelete
  5. Sedapnye ikan lunak cafe bonda. Teringin sgt nk p sana

    ReplyDelete
  6. selaku juga lalu lalang sini kalau ke bentong atau genting, belum pernah singgah lagi,owh ikan lunak tu ikan susu rupanya nampak sedap tu Ujie :)

    ReplyDelete
  7. Mak saya dah lama teringin nak ke rumah sungai bonda rozita nih..harap satu hari boleh bawa dia ke sana nnt..

    ReplyDelete
  8. menarik kawasannya..penuh kehijauan...teringin nak pi dua2 Rumah Hutan & Rumah Sungai..

    ReplyDelete
  9. Mahal jugak harga nya...xabis mmg kne bungkus kak ujie😂..ingt harga biase2. Ummi rajin gak ikot ig / fb bonda rozita sb die ade kongsi bnyk petua utk kesihatan..

    ReplyDelete
  10. Bila saya baca di FB Bonda Rozita tentang ikan lunak itu,katanya ikan lunak itu ikan susu. Kalau di Sabah kami panggil ikan bolu. Memang sedap dan saya suka sangat makan ikan itu. Harga RM50 lauk ikan lunak itu memang mahallah bagi saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh...selalu baca kat blog Amie pasal ikan bolu tu, memang teringin nak merasa.
      Rupanya sama dengan ikan lunak..hehe. Memang sedap. Tapi sini mahal, tak dapat makan selalu macam Amie kat sana.

      Delete
  11. Assalamualaikum nak tanya
    Kalau kita pergi makan saja boleh tak kita meronda kawasan rumah penginapan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa alaikum salam, setahu saya tak boleh. Sebab saya nampak ada notis makluman hanya pengunjung yang menginap saja boleh berada di kawasan penginapan.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****