Jumaat | 14.08.2020
Hari Jumaat lalu, suami mesej dari tempat kerja mengajak saya makan di Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak. Balik dari kerja, suami ambil saya di rumah dan kami terus bergerak ke bahagian pulau melalui Jambatan Kedua.
Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak ni terletak di Kampung Teluk Tempoyak Kecil, Bayan Lepas. Kita akan melalui jalan yang berbukit, berliku dan agak sempit sebelum tiba di satu kawasan perkampungan. Bangunan Medan Ikan Bakar ini terletak agak tersorok dicelah rumah penduduk dan sebuah gelanggang sukan. Memang meriah dengan sorakan orang-orang yang sedang bermain di waktu petang.
Ruangan parkir ada disediakan bersebelahan bangunan, tapi tidaklah begitu luas. Kami akhirnya parkir di tepi jalan di kawasan rumah penduduk, tapi bukanlah di jalan masuk rumah orang.
Menjadi kelebihan tempat makan ni, lokasinya terletak di tepi laut. Walaupun bukanlah lautan membiru, ia tetap menyenangkan. Sambil menikmati hidangan, sambil melihat laut lepas. Dari sini juga kita boleh melihat Jambatan Kedua.
Menu pilihan kami - sotong celup tepung, mee sup, set cucur udang dan dua gelas air buah. Semuanya dari gerai jualan berbeza. Saja nak cuba macam-macam, sebab tu tak pilih menu ikan bakar. Lagi pulak dari hari tu saya dok teringin nak makan sotong celup tepung, Alhamdulillah dapat makan yang sedap di sini. Tepung rangup dan sotong lembut! Harga sepinggan tu RM10, lepas tu rasa tak cukup dan menambah sepinggan lagi 😄. Alasannya, lain kali tak datang sini lagi sebab nak mencuba tempat lain pulak. Menu yang lain tu semuanya biasa-biasa saja bagi pendapat saya, kecuali kuah kacang untuk set cucur udang tu memang sedap!
Secara keseluruhannya tempat ni memang best untuk makan-makan sebab ada pemandangan laut, tetapi ada kekurangan dari segi ruangan parkir yang terhad dan masalah paling utama - kebersihan. Walaupun baru dibuka pukul 6 petang dan kami datang awal waktu, tapi saya lihat lantai dan meja dalam keadaan tidak bersih. Begitu juga sinki, sangat kotor. Nampak seperti tiada rutin pembersihan selepas beroperasi dan sebelum memulakan perniagaan. Apa yang saya nyatakan ni berdasarkan pemerhatian pada hari saya datang ya, tak taulah kot pada hari lain memang bersih. Harapnya para peniaga di sini dapatlah meningkatkan tahap kebersihan tempat ni.
Ok, bagi kawan-kawan yang nak mencuba makanan di sini bolehlah buat carian ‘Medan Ikan Bakar Teluk Tempoyak’ di Google Maps. Beroperasi dari pukul 6 petang sehingga 11 malam, setiap hari kecuali Isnin.
menggoda sotong celup tepung tu kak, tapi kalau bab kebersihan memang serik nak datang lagi
ReplyDeleteBestnya makan2 di tepi laut...suka sotong celup tepung yg lmbut & rangup..berbaloi sbb sedap..
ReplyDeleteselalunya tempat makan ceruk2 la sedap. hahaha tetiba craving sotong celup tepung..
ReplyDeleteKalau ada kotor2 tu yang seriau sikit kan sis
ReplyDeletesotong goreng tepung tu memang kuantiti sebegitu ke? pada saya agak sedikit dengan harga 10 hengget sepinggan
ReplyDeletecantik environmen makan tepi laut.. srnk ny kalau dapat ke pulau pinang lagi...
ReplyDeletekalau ke sana boleh singgah umah kak uji... ;)
DeleteSedap-sedapnya menu! Makan pula di tepi pantai siap dengan minuman sejuk! Nyamannya ditiup bayu laut...ooohhh!
ReplyDeleteKalau makan di medan ikan bakar, semua menu sedap sedap dan berbaloi. Dapat makan yang fresh tu memang satu nikmat lah.
ReplyDelete