Tajuk : AGAMA BUKAN SEMBERONO
Penulis : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit : R Dimensi
Tahun terbit : 2017
Jumlah muka surat : 191
Harga : RM25
Buku tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) ini menyentuh pelbagai topik, tetapi dengan tema yang sama iaitu menentang kemalasan berfikir khususnya dalam perkara berkaitan agama.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, semberono bermaksud tidak hati-hati (tidak difikirkan baik-baik), sembarangan sahaja, kurang teliti. Sesuai dengan tajuk buku ini, penulis mengajak kita berfikir dengan baik dalam setiap perkara berkaitan agama dan bukannya menerima secara semberono.
Sikap kita yang malas berfikir dan menerima segalanya secara semberono inilah yang membuka ruang eksploitasi oleh golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.
Antara topik yang menarik perhatian saya di dalam buku ini - Apabila Ceramah Motivasi Mula Merepek. Penulis menghuraikan beberapa hal berkaitan isi ceramah ahli motivasi (yang merepek) :
1. Menyuruh isteri sentiasa memohon agar suami menghalalkan makan minum yang diberi. Sedangkan menurut syarak, sudah menjadi tanggungjawab suami memberikan isteri makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Perkara yang sudah menjadi tanggungjawab, tidak lagi perlu kepada memohon halal. Sebaliknya, suami yang sepatutnya memohon maaf jika gagal memenuhi tanggungjawab tersebut. Begitu juga isteri, hanya perlu memohon maaf jika dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.
2. Anak tidak cemerlang belajar disebabkan sumber wang pendapatan bapa yang tidak halal. Sedangkan dalam Islam, dosa hanya ditanggung oleh orang yang melakukan dosa itu saja. Bapa berdosa kerana mendapatkan sumber wang yang tidak halal, tetapi nafkah yang diberi kepada anak adalah halal diterima kerana ia kewajiban seorang bapa kepada anak.
3. Membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa pada setiap pagi akan mendatangkan rezeki. Padahal tiada bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyebut kelebihan begini. Allah memberikan kita rezeki bukan disebabkan kita membaca ayat tertentu, tetapi Allah memberikan kita rezeki sesuai dengan kehendak-Nya. Bagi saya, amalan membaca surah al-Fatihah untuk ibu bapa memang sesuatu yang baik dan wajar dilakukan dengan ikhlas sebagai satu doa untuk insan yang kita sayang, bukan dengan niat untuk mendatangkan rezeki.
Banyak lagi topik menarik yang dihuraikan, ia membuka fikiran dan menambah kefahaman saya mengenainya. Antara topik lain yang terdapat dalam buku ini :
- Apabila Mimpi dan Ilham Menjadi Hujah
- Kalimah Allah : Emosi dan Realiti
- Kebaikan Mungkin Membawa Ke Neraka
- Antara Mencintai Tanahair dan Mencintai Penguasanya
- Pandai Dakwah Belum Pandai Siyasah
Buku Agama Bukan Semberono ini merupakan bahan bacaan yang bagus untuk kita selaku umat Islam. Tambahan lagi di zaman kepesatan teknologi maklumat yang memudahkan segala info (termasuk yang palsu) mudah disebarkan. Buku ini membuatkan kita memahami agama dan memandu cara fikir yang betul dalam menilai sesuatu. Malas berfikir? Akibatnya kita akan terus berada dalam kejumudan dan terdedah kepada eksploitasi.
Keluasan menerima pendapat adalah ajaran agama yang mesti kita manfaatkan. Kebenaran itu merentasi sempadan agama, mazhab, kumpulan dan lain-lain. Namun Islam sebagai al-din adalah kebenaran mutlak. - petikan buku Agama Bukan Semberono, halaman 103
.
Syukran..buku yg bermanfaat..
ReplyDeletekdg2 kita suka terikut-ikut..semoga setiap amalan & tindakan kita dlm kerangka agama..
benar, jangan sekali guna kan sebahagian dari hukum agama untuk kepentingan dan keselesaan kita sendiri, perlu faham agama dan hukum secra menyeluruh
ReplyDeletebaru baca teaser, saya dah berkenan ni, insyaallah akan cari
ReplyDeleteBuku yang bermanfaat
ReplyDeletemcm2 ustaz dah ada sekarang ni .. asalkan yg diseru ke arah kebaikan. kita ikut.
ReplyDeletetopik topik ni banyak disebut dalam ceramah agama. Harap tak ada yang mengambil mudah hal ni.
ReplyDeleteBanyak perkara yang kita perlu pelajari dalam hal keagamaan. benarlah, ilmu yang kita ada hanya setitik dari air lautan!
ReplyDeleteMemang kena berhati-hati sebarkan maklumat supaya tidak silap.
ReplyDelete