Selamat menjalani ibadah puasa buat semua sahabat blog 😊. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan di sepanjang bulan Ramadan ini serta dapat melakukan ibadah yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Beberapa hari menjelang Ramadan, saya sibuk menemani Encik Suami ke sana sini. Hari Jumaat pagi kami bertolak ke KL, kemudian bermalam di rumah NS. Esoknya hari Sabtu sambung urusan Encik Suami, selepas itu barulah kami bergerak pulang ke rumah Perlis.
Penat sungguh rasanya bila melakukan perjalanan jarak jauh dan dalam masa singkat. Syukur juga diumumkan 1 Ramadan jatuh pada hari Ahad, kalau hari Sabtu tentu rasa lebih sukar sebab sedang dalam perjalanan jauh.
![]() |
Jambatan Sultan Yusuf, Teluk Intan, Perak. |
Semalam petang dalam perjalanan balik - mulanya kami masuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kemudian masuk pula laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebab Encik Suami perlu ke Sitiawan, Perak. Laluan di sini lebih tenang dan lapang dengan pemandangan ladang sawit terbentang luas di kanan kiri jalan.
Pukul 7.13 pagi tadi - Masya Allah...warna langit nan indah di rumah Perlis. Suasana nyaman dengan udara sejuk. Tapi semasa entri ini ditaip, udara di sini panas kering dengan suhu 35℃.
Jadual waktu permulaan puasa dan waktu berbuka bagi kami di negeri Perlis. Biasanya jadual begini akan nyatakan 'waktu imsak', tapi di Perlis terus dinyatakan 'waktu permulaan berpuasa'.
Bagus juga buat begini sebab masih ada orang keliru dengan menyangka kena berhenti makan minum sebaik tiba waktu imsak. Sebenarnya waktu imsak merupakan waktu berjaga-jaga (bagi kita selesaikan makan sahur), kita masih boleh makan minum selagi belum masuk waktu Subuh. Waktu permulaan berpuasa adalah bila masuknya waktu Subuh.
Pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi negeri Perlis sebanyak RM9. Cuma satu kadar sahaja, tiada pilihan bayaran mengikut jenis beras dimakan. InsyaAllah tahun ni merupakan tahun kedua kami suami isteri bayar zakat fitrah di sini. Tahun lepas kadar zakat fitrah sebanyak RM10.