Tuesday, 4 February 2025

Masjid Nusantara, Akihabara

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI PERTAMA - RABU, 4 DISEMBER 2024


Selesai menikmati hidangan di Nikoniko Mazemen, kami menuju ke Masjid Nusantara yang terletak di seberang jalan untuk aktiviti ziarah masjid dan menunaikan solat jamak. Ketika ini, masuk waktu solat Zohor pada pukul 11.31 pagi dan Asar pada pukul 2.09 petang.

[Info] Masjid Nusantara mula beroperasi pada tahun 2019. Operasi masjid ini digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan warga Indonesia yang menetap di Jepun. (Sumber : visit-chiyoda.tokyo)

 

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Masjid Nusantara terletak di bangunan tempat kami duduk menunggu giliran masuk restoran. Terdapat sebuah papan tanda masjid - Masjid Nusantara Akihabara.

Mulanya keliru juga, mana satu pintu masuk ke masjid? Kami ikut panduan anak panah pada papan tanda masjid - menuju ke bahagian sisi bangunan.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Di sinilah pintu masuk menuju ke Masjid Nusantara yang terletak di aras 5, Yamaume Building.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Kami naik lif dan keluar di aras 4 - ruang solat muslimah, dari situ Encik Suami mendaki anak tangga untuk ke ruang solat lelaki di aras 5.

Semasa kami keluar lif, seorang lelaki muda berwajah Jepun menyapa kami dalam bahasa Indonesia. Lelaki tersebut menunjukkan pintu ke ruang solat muslimah - pintu sebelah kiri sebaik melangkah keluar dari lif.

Sebelum masuk, perlu buka kasut. Tak boleh bawa ke dalam, ia bertujuan menjaga kebersihan sebab ruangan yang ada sangat terhad.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Sebaik membuka pintu, kita akan terus nampak singki begini. Inilah tempat berwuduk. Ketika inilah kita perlu betul-betul amalkan cara berwuduk dengan aliran air paip yang kecil dan melakukan gerakan perlahan - supaya kurang percikan air di sekitar kawasan.

Di sini juga terdapat sebuah tandas yang terletak berhampiran tempat berwuduk.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Inilah ruang solat muslimah. Terdapat sebuah skrin besar di bahagian hadapan yang memaparkan ruang solat lelaki - tempat imam dan saf pertama. Tentunya untuk kegunaan ketika solat fardu berjemaah. Kami sampai di sini  kira-kira pukul 12.30 tengah hari, di luar waktu solat fardu berjemaah.

Telekung dan sejadah juga disediakan, tapi saya lebih selesa pakai kepunyaan sendiri. Saya bawa telekung jenis ringan dan sejadah nipis yang sesuai untuk bermusafir. Tuala kecil dan tisu pun saya bawa sendiri, lepas berwuduk lap kering bahagian anggota wuduk supaya telekung tak jadi lembab dan berbau tak sedap.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Sudut bahagian belakang ruang solat muslimah. Siap ada hiasan bergantungan. Juga ada kamera CCTV di sini - satu di hadapan dan satu di belakang. Pandai-pandailah kita jaga aurat dan jaga kelakuan ya.

Masjid Nusantara Akihabara Tokyo Jepun
Sudut untuk pengunjung mencoret sesuatu. Kira macam guest book. Rata-rata pengunjung yang mencoret di sini datang dari Malaysia dan Indonesia.

Buku surah Yasin dan naskhah al-Quran.

Alhamdulillah saya berkesempatan ke masjid ini bagi menyaksikan sendiri perkembangan agama Islam di Jepun - sebuah negara dengan agama utama penduduknya Shinto dan Buddha. Selain Masjid Nusantara, kami juga berpeluang ziarah ke tiga buah masjid lain.

Seronok dan senang hati bila jumpa masjid di tempat asing, terasa bagai ada saudara di sini. Saya juga sangat kagum dengan kesungguhan mereka yang mendirikan rumah Allah di Jepun - khususnya para sukarelawan warga Indonesia yang telah berusaha membangunkan Masjid Nusantara. Bersama-sama kita gunakan kemudahan yang disediakan ini dengan baik dan hulurkan sumbangan ke dalam tabung masjid.







2 comments:

  1. Thanks for sharing Ujie. Kami tak sempat ke Akihabara. Memang teruja dapat ke masjid sana kan.

    ReplyDelete
  2. Allahuakbar! Begitu indahnya Islam di seluruh pelusuk dunia. Beruntung Ujie dapat singgah solat di sini. Agaknya yg muka Jepun tu berasal dari Indonesia dan kerja kat sana agaknya ya.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****