Monday, 10 February 2025

Seketika di Tapak Geowarisan - Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang

Catatan hari Ahad, 9 Februari 2025.

Jalan-jalan pagi Ahad, saya ajak Encik Suami ke Gua Kerbau yang terletak di Kodiang, Kedah. Jarak perjalanan dari rumah kami adalah sejauh 26 km. Sebelum ke Kodiang, kami isi perut sarapan pagi dengan nasi lemak dan pek nga gulai ikan di Arau Kopi.

Saya selit sedikit berkenaan nama Kodiang - dialek tempatan menyebutnya 'Kokdiang' bukan 'Kodiang'. Apa sejarah disebalik sebutan nama yang berbeza dengan ejaan? Tidaklah saya ketahui.

Dari jalan utama, kami memasuki jalan kampung menuju ke Gua Kerbau. Pemandangan di sini indah dengan aliran sebatang sungai di sebelah kanan dan bukit batu kapur serta hamparan sawah padi di sebelah kiri jalan.

Jarak dari jalan utama melalui jalan kampung sehingga tiba di kawasan gua tidaklah jauh. Tapi nampaknya tiada kawasan parkir khusus untuk pelawat. Kami parkir di hadapan pintu masuk menuju ke gua, berhampiran tempat permainan kanak-kanak. Kehadiran kami disambut oleh kucing-kucing jalanan dan bau najis kucing yang agak kuat. Perlu berhati-hati melangkah.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian hadapan gua.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Jom baca info berkenaan tapak geowarisan (geologi warisan) Gua Kerbau. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Info ringkas | Kawasan Gua Kerbau sangat istimewa kerana terdapat kesan takik lautan kuno yang terbentuk akibat hakisan ombak sekitar 7,000 tahun lalu. Pelbagai jenis fosil lautan turut ditemui di sekitar kawasan gua ini.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian dalam Gua Kerbau. 

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Struktur kesan takik laut kuno (ancient sea notch). Masya Allah unik sungguh alam ciptaan Allah.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Struktur batu berbentuk kerbau yang terdapat di dalam gua. Foto dirakam dari dua sudut berbeza - bahagian hadapan dan belakang struktur. Ia terbentuk begini kesan paras laut kuno dan pembentukan stalagmit.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Pemandangan dalam gua dari sudut berbeza. Terdapat beberapa laluan menuju ke bahagian atas gua, tapi kami tak naik. Cukuplah sekadar membuat pemerhatian di sini dan di sekitar kawasan bukit.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Kami meneroka bahagian luar gua pula - ada laluan pejalan kaki tersedia di tepi bukit. Saya perhatikan banyak juga binaan bangku dan wakaf di sini.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Terdapat banyak bongkah batu di sekitar kawasan ini. Saya suka perhatikan keunikan bentuk bongkah batu.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Selain Gua Kerbau, terdapat banyak juga lubang-lubang kecil yang lain. Saya tak berani nak menjenguk, cukuplah merakam foto dari luar lubang.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Bahagian belakang bukit. Terdapat laluan pejalan kaki sehingga ke hujung sana, tapi keadaan nampak kurang selamat untuk kami terus meneroka. Kami berpatah balik menuju ke tempat parkir kenderaan.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Tadi berjalan kaki ikut laluan tersedia di tepi bukit, kali ini kami berjalan kaki ikut laluan tepi sawah padi. Indah sungguh pemandangan!

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Tak rugi datang ke sini, dapat eksplorasi Gua Kerbau dan dapat pula menikmati keindahan sawah padi terbentang. Suasana kampung yang mendamaikan.

Tapak Geowarisan Gua Kerbau, Bukit Mulong, Kodiang
Masa ni pukul 10.45 pagi. Kalau waktu senja tentu lebih cantik suasananya.

Kunjungan yang berbaloi bagi peminat alam semula jadi, khususnya mereka yang suka memerhati struktur geologi - seperti saya 😁

Tapi sayang sekali, tapak geowarisan Gua Kerbau ini nampaknya tidak diurus dengan baik oleh pihak berkuasa. Sampah sisa makanan bersepah di sana sini. Keadaan bertambah buruk dengan kehadiran kucing-kucing jalanan yang mungkin mencari makan dari timbunan sampah. Mentaliti masyarakat juga harus berubah - gua sebagai warisan alam, bukan tempat berkelah makan-makan.

Tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah 2025. Tapi nampaknya Gua Kerbau menjadi kawasan tarikan pelancongan yang terbiar dan dilupakan. 







4 comments:

  1. kawasan gua kalau dapat angel dan pencahayaan yang sesuai memang cantik sangat kan jadi bahan photography

    ReplyDelete
  2. Best nya explore Gua Kerabu walaupun tak ke dalam. Dengan sawah padi yang luas. Cantiknya Subhanallah. Dulu sebut Kodiang ikut ejaan, kawan2 asal Utara gelak kat kita. Kokdiang kata mereka.

    ReplyDelete
  3. Bukan tempat tarikan pelancong agaknya sebab di belakang bukit itu ada sebahagian yang Puan Ujie nyatakan kurang selamat.
    Apapun memang cantik pemandangan di sekitar Gua Kerbau.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****