Saturday, 22 February 2025

Makan dan Solat di Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KEDUA - KHAMIS, 5 DISEMBER 2024


Dari Oishi Park, kenderaan kami menuju ke Masjid Fujikawaguchiko bagi menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan makan tengah hari. Dekat je jarak di antara dua tempat ni, iaitu kira-kira 4.7 km. 

Sempat saya memotret Gunung Fuji dari dalam kenderaan sewaktu kami sedang melalui Kawaguchiko-ohashi Bridge. 

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Pukul 12.12 tengah hari, kami tiba di Masjid Fujikawaguchiko. Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, di sini juga terdapat sebuah kafe. Jadinya kalau ke sini kita boleh makan dan solat di bawah satu bumbung. Alhamdulillah...memang mudah! 

Sejarah ringkas Masjid Fujikawaguchiko :
  • Pembinaan masjid ini merupakan inisiatif oleh Japan Halal Certification Promotion Organization (JHCPO) bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim yang berkunjung ke Yamanashi Prefecture, khususnya di Fujikawaguchiko.
  • Mula beroperasi pada bulan November 2020.
  • Ruang solat boleh memuatkan seramai 200 orang jemaah.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Sebaik kaki melangkah masuk ke bangunan masjid, kita akan terus jumpa kafe - ada kaunter jualan dan set meja kerusi. Tak begitu banyak menu ditawarkan, tetapi apa yang ada dah memadai bagi kami mengisi perut yang lapar. Pelayan di kaunter pula mungkin orang Pakistan, yang pasti bukan orang Jepun.

Untuk info, kafe masjid ini beroperasi mulai pukul 10 pagi sehingga pukul 7 malam.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Lega rasanya bila dapat masuk ke dalam bangunan sebab ada alat pemanas.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Di sudut belakang sebelah kanan, terdapat rak jualan pelbagai produk.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Di sudut belakang sebelah kiri pula merupakan laluan menuju ke ruang solat masjid.

Sementara menunggu pesanan makanan kami siap, saya pergi menunaikan solat. Kasut perlu dibuka dan letak di rak tersedia. Saya berjalan di satu lorong - di sebelah kiri terdapat deretan tandas dan tempat wuduk (berasingan bagi lelaki dan perempuan) dan di sebelah kanan merupakan ruang solat.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Ruang solat Masjid Fujikawaguchiko. Terdapat rak rendah sebagai pemisah ruang antara jemaah lelaki dan perempuan. Tenang dan selesa dapat menunaikan solat di sini. Alhamdulillah!

Semoga Allah mengurniakan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat kepada semua pihak yang telah berusaha mendirikan masjid ini dan menghidupkan operasi masjid. Ianya merupakan satu sumbangan besar buat komuniti Muslim di sini dan buat para musafir.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Tempat wuduk perempuan. Perhatikan rekaan seperti kolah, jadinya air wuduk tak membasahi lantai. Rekaan yang sangat praktikal bagi mengatasi masalah basah dan lantai jadi licin di tempat wuduk.

Selesai menunaikan solat, saya kembali ke ruangan kafe. Rupa-rupanya makanan yang dipesan baru saja tiba. Mujurlah saya tak duduk menunggu saja. Ketika ini juga dah agak ramai pelanggan yang datang, tadi cuma kumpulan kami yang berada di sini.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Entah apa nama menu ni, masakan jenis pasta. Sedap memuaskan selera. Macam biasa, Encik Suami memesan dua jenis hidangan berbeza untuk kami kongsi berdua.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Satu lagi makanan - kebab. Ada dua saiz, Big/1,000 yen dan M/800 yen. Ada pilihan rasa, antaranya - original, spicy, teriyaki dan wasabi. Kalau tak silap, kami ambil perasa teriyaki. Saya agak kurang suka makan kebab sebab biasanya kalau makan selalu dapat yang tak kena selera. Tapi kebab yang saya makan ni sangat sedap. Recommended!

Selesai makan - sementara menunggu yang lain siap urusan makan/solat/tandas, saya keluar dari bangunan masjid ini untuk melihat-lihat kawasan sekitar. Bukan senang nak sampai ke sini, rugilah kalau duduk saja tak memerhati hal-hal baru.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Jalan raya di hadapan masjid. Jalan raya di sini tidak begitu lebar dan tak banyak kenderaan lalu-lalang (hasil pemerhatian saya yang cuma seketika di sini).

Masjid ini terletak berhadapan dengan Tasik Kawaguchi, tapi bukanlah nampak jelas tasik di depan masjid. Kita kena berjalan kaki sedikit. Di seberang jalan ini juga terdapat sebuah kawasan parkir yang luas, mungkin untuk pengunjung yang nak bersiar-siar di kawasan tasik dan melawat tarikan pelancongan di sekitarnya.

Kalau nak penginapan yang berhampiran dengan Masjid Fujikawaguchiko, mungkin boleh menginap di Kawaguchiko Lakeside Hotel - bangunan bumbung merah pada foto di atas. Kalau menginap di situ, boleh berjalan kaki untuk makanan halal di masjid dan bersiar di tasik. Ada banyak lagi penginapan lain di sekitar masjid, saya sebut satu ni je sebab memang nampak jelas dari hadapan masjid.

Masjid Fujikawaguchiko, Fujikawaguchiko
Tadi foto betul-betul depan masjid, ini pula hasil foto selepas saya bergerak jauh sedikit. Sebelah kiri tu bangunan masjid, bersebelahan dengan tempat latihan sukan (entah sukan apa). Cantik pemandangan alam di sini.

Di suatu sudut (keluar pintu bangunan masjid, pandang sebelah kanan), saya nampak deretan vending machine minuman. Salah satunya begitu menyerlah dengan ciri-ciri budaya Jepun.

Fujikawaguchiko manhole cover
Sempat juga saya berfoto dengan penutup manhole yang cantik ni. Sebelum ini cuma baca cerita orang berkenaan penutup manhole unik di Jepun, sekarang saya dapat saksikan sendiri. Kagum sungguh, benda buat tutup lubang je pun jadi bahan seni yang menarik!

Motif pada penutup manhole ini menggambarkan Gunung Fuji, Tasik Kawaguchi dan Kawaguchiko-ohashi Bridge. Bunga-bunga tu tak pasti entah gambaran bunga apa. Hasil Google Lens, tertera tulisan atas bermaksud - Kawaguchiko Town dan tulisan bawah gagal diterjemah.

Kenapa Jepun buat penutup cantik begini? Boleh baca info menarik di japaninsides.com.

Sebelum beredar dari sini, kumpulan kami berfoto kenangan di hadapan masjid. Sebelah kami itulah kenderaan yang membawa kami seharian ke sana sini - sebuah MPV Toyota Alphard. Cukup luas dan selesa.

Ke mana pula selepas ini? Kami ke tempat yang membuat saya begitu teruja menyaksikan warna dedaun musim luruh 🍁🍂







5 comments:

  1. Sungguh luar biasa
    konsep bangunan masjidnya unik dan menarik. Bersih pula
    Pengunjung pasti betah berlama-lama
    saya suka kebab
    Nuansa budaya jepang yang masih terjaga

    ReplyDelete
  2. Bagusnya dah ada masjid ni :D kadang rasa terharu bila negara yg majoritinya bukan islam pun ambil berat tentang tourist muslim

    ReplyDelete
  3. Masuk je bangunan masjid memang best sebab panas sikit. Dapat pulak makan sebab lapar. Masa kami sampai, penuh meja. So kami solat dulu. Lengang sikit selepas tu. Cantiknya foto Mt Fuji yang Ujie snap ni. Rindu kan nak ke sana lagi.

    ReplyDelete
  4. Jarang jumpa manhole ada warna kan?

    ReplyDelete
  5. Bagus reka letak lantai wudhuk tu macam sinki yang dalam, kan. Tidaklah terpercik air sampai ke lutut rasa sy. Nampak sedap pasta Ujie tu, sy pun suka kadang pesan dua makanan berbeza, nanti boleh tukar² rasa.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****