Hari ini genap setahun saya dan Encik Suami menetap di negeri paling utara di Semenanjung Malaysia. Banyak pengalaman baru yang saya lalui, juga banyak hal yang membuat diri saya berubah dari kebiasaan hidup sebelumnya.
Kalau sebelum ini saya perlu hadap kerenah manusia (merujuk situasi ketika saya menetap di rumah PP), tapi di sini saya perlu hadap kemunculan pelbagai haiwan di sekeliling rumah dan di dalam rumah. Saya perlu biasakan diri melihat cacing besar, lipan besar, pelbagai jenis siput merata-rata di lantai/dinding/cermin tingkap (mujur semuanya di bahagian luar rumah) dan pelbagai jenis serangga lain yang tak diketahui entah apa namanya. Setahun berlalu, saya tidak lagi menjerit takut tapi sesekali menjerit kecil kerana terkejut.
Saya juga sudah berani berhadapan dengan cicak - makhluk yang paling menyusahkan hidup saya kerana setiap hari perlu bersihkan tahi cicak di banyak tempat. Saya jadi berani kejar dan bunuh cicak - sembur dengan racun atau pepah dengan penyapu. Beberapa bulan lalu, kemahiran saya meningkat lagi - saya tangkap cicak dengan menggunakan penyepit panjang. Hilang rasa geli, takut atau kasihan. Entah sudah berapa banyak cicak mati ditangan saya ๐ฌ
Tapi setakat ini saya masih belum berani menguruskan - lipan besar, anak mengkarung dan anak biawak yang masuk dalam bilik air. Sebab ruangnya sempit, gerun pulak membayangkan haiwan ni lari ke arah saya ๐
Saya juga sudah membiasakan diri dengan kondisi rumah yang agak kurang sedap mata saya memandang. Sebuah rumah lama yang cukup luas dengan lima buah bilik - ada ‘cacat’ di sana sini dan sukar pula untuk saya pastikan semuanya dalam keadaan sentiasa bersih. Sebagai langkah mengurangkan kerja pembersihan, kami cuma gunakan tiga buah bilik sahaja - satu bilik tidur kami, satu bilik untuk tetamu dan satu bilik simpan barang-barang kami. Pendek kata, saya sentiasa ada banyak kerja pembersihan perlu dilakukan di rumah ini. Jauh beza ya sewaktu menetap di rumah yang baru di bina dan berada dalam kawasan bandar ๐
Apa perasaan saya setelah setahun di sini?
Alhamdulillah setakat hari ini saya rasa jauh lebih gembira berbanding menetap di tempat lain sebelum ini. Mungkin kerana suasana kehidupan di sini yang begitu dekat dengan jiwa - saya suka alam semula jadi. Siang dan malam sentiasa mendengar irama alam - cengkerik dan bunyi pelbagai jenis burung. Saya juga sukakan kehidupan yang jauh dari suasana sibuk. Saya temui ketenangan dan bahagia di sini.
Tentang kekurangan lain, semuanya bukanlah suatu hal besar. Di mana pun kita berada, sentiasa ada cabaran tersendiri. Semuanya bergantung kepada tahap toleransi kita terhadap satu-satu hal.
Beberapa foto kenangan sewaktu baru berpindah :
Pertama kali saya ternampak biawak besar ini semasa keluar rumah nak menyidai pakaian. Foto ini dirakam menerusi tingkap rumah, si biawak tak sedar saya memerhatikannya. Gerun juga saya bila tengok kuku tajamnya.
Suasana kehijauan dan jajaran bukit batu kapur - lanskap alam yang menambat hati saya.
Mamu Zabidi Char Kuey Teow - tempat makan pertama kami selepas berpindah ke sini. Lokasinya di sebelah Masjid al-Husna, Batu Bertangkup kira-kira 5 km dari rumah kami. Batu Bertangkup - nama tempat yang cukup klasik! Masa hari-hari awal berpindah tu saya tak memasak sebab fokus hal membersihkan rumah, makanya hampir setiap senja di sinilah kami menjamu selera sambil memerhatikan kehidupan masyarakat sekitar.
Foto hari ini :
Rutin saya hampir setiap pagi - morning walk di kawasan rumah. Sekarang ni matahari terbit seawal pukul 7.05 pagi. Awal pagi lagi sinaran matahari dah memancar terang. Menitik peluh di muka walau saya cuma melangkah kurang 1 km.
Alhamdulillah…setahun sudah berlalu. Semoga hari-hari saya seterusnya di sini menjadi momen indah dalam perjalanan hidup saya.
cntik betul gambar side mirror tu..
ReplyDelete