Sunday 10 November 2024

Menikmati Hidangan Makan Malam di Xinding Beef Noodles, Guangzhou

[Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Petang terakhir kami di Guangzhou - dari Muzium Liwan kami menuju ke sebuah kedai makan halal untuk menikmati hidangan makan malam. Kami makan malam awal sebab selepas ini akan ke hotel penginapan yang terletak agak jauh dari sini - hotel berhampiran lapangan terbang.

Kami ke Xinding Beef Noodles yang terletak di tepi jalan besar.

Ketika ini kira-kira pukul 5.20 petang. Keadaan lengang tanpa pelanggan lain di dalam ruang kecil kedai makan ini, tetapi dua orang tukang masak lelaki nampaknya sedang sibuk memasak - saya dapat lihat menerusi dinding kaca pemisah ruang makan dengan ruang memasak.

Seorang perempuan - bertudung dengan cara nampak kedua belah telinga, memberikan kami buku menu.

Buku menu.

Antara pilihan menu di sini. Kami serahkan sepenuhnya urusan memilih hidangan makan malam kami kepada kawan Encik Suami. Kami tak biasa dengan masakan Cina, jadi keliru nak memilih entah masakan jenis  apa yang sedap.

Minuman pilihan kami, ambil sendiri dari peti sejuk berhampiran meja makan. Perhatikan bahagian penutup botol minuman soya - siap ada lubang untuk masukkan straw. Sangat memudahkan!

Sementara menunggu hidangan kami siap, semakin ramai pelanggan yang masuk ke kedai sehingga hampir penuh semua tempat duduk yang ada. Syukurlah kami tiba lebih awal. Kelihatan juga bungkusan-bungkusan pek di bawa keluar dari ruang memasak. Oh, patutlah tadi sibuk memasak rupanya sebab sedang menyiapkan pesanan makanan bungkus.

Alhamdulillah tak lama menunggu, satu demi satu hidangan kami tiba…

Black fungus dengan hirisan daging. Black fungus yang saya beli di Malaysia bersaiz besar - perlu dipotong untuk masuk dalam masakan, tetapi yang ini saiz kecil - nampak lebih menarik masakan menggunakan black fungus saiz begini. Mungkin juga ada di Malaysia tetapi saya tak perasan sebab jarang membeli black fungus.

Entah apa namanya masakan timun ni. Sedap rasanya dan rangup potongan timunnya.

Tu dia….lima jenis masakan semuanya 😄. Ada satu lagi sup dumpling tak ikut berfoto. Saya rakam foto sebarangan saja sebab segan ada kawan Encik Suami.

Awalnya terkejut jugak saya tengok banyak lauk sayuran - tiga jenis sayuran dengan kuantiti yang banyak. Tapi bila makan, wah….sedap semuanya! Lauk lada benggala pun sedap tau 😋

Cuma satu jenis masakan yang saya tak boleh nak makan banyak - telur berwarna hitam. Mungkin sebab baru kali pertama jadinya tak biasa dengan rasa telur tersebut.

Nasi dihidang dalam mangkuk, hidangan cara orang Cina. Atas nasi ditabur dengan bijan hitam. Nasi ini sepatutnya dimakan menggunakan chopsticks, tapi saya tak pandai guna chopsticks maka terpaksalah bersusah payah sedikit - makan nasi menggunakan sudu lauk/sup. Saya perhatikan kawan Cina Encik Suami, laju je suap nasi ke mulut guna chopsticks

Pandangan dari luar kedai tempat kami makan - kedainya dengan papan tanda warna hijau kuning. Tadi masa kami tiba di sini, jalan raya tidaklah sesak begini. Mungkin sebab dah melepasi pukul 6 petang, jalan raya dipenuhi dengan kenderaan orang balik kerja.

Menurut pendapat saya dan Encik Suami, masakan di kedai ini - Xinding Beef Noodles merupakan yang paling sedap di antara tempat makan halal yang pernah kami cuba di Guangzhou ini. Kalau ditakdirkan ke Guangzhou sekali lagi, pasti kedai makan ini menjadi pilihan kami.







16 comments:

  1. Kalau makan guna chopstick tu kena suap laju², kalau tak nanti nasi jatuh sebelum sampai ke mulut. Sebab tak biasa makan laju, sy pun lebih selesa guna sudu aje. Nampak sedap² hidangannya, kawan suami Uji agaknya suka makan sayur ya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh..iyelah, patutlah kawan tu suap kemain laju 😁

      Agaknyalah kan...sayur je berjenis-jenis.

      Delete
  2. Syukurlah ada restoran halal.. Senang nak makan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah Guangzhou tak susah cari makan halal sebab ramai jugak Muslim di sini.

      Delete
  3. Samalah kita, tak pandai guna chopsticks juga 🤭
    Anyway semua nampak sedap. Banyak sayuran, saya pun pasti suka dgn hidangan ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. PH penggemar sayuran 👍
      Saya tak gemar, tapi kali ni betul-betul sedap, saya boleh makan banyak 😀

      Delete
  4. LM tak reti pakai chopstik.selalu anggap remeh bila anak semua guna sebab ada garfu.sampai la masa dinner company hubby last year diberi chopstik , nak ambik makanan terus berdebar. mujur suami ambikkan makanan dan selamber je makan pakai sudu yang diberi untuk sup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adeh..kalau saya pun mau berdebar, nak ambik pun kena guna chopsticks eh?

      Mungkin kita kena belajar guna chopsticks jugak kan LM, mudah bila terkena situasi gitu. Taklah rasa kekok.

      Delete
  5. Sedapnya nampak food semua especially black fungus tu.

    ReplyDelete
  6. Black fungus tu suka juga. Rasa dia kenyal2 rangup. Kalau makan kat sana pasti dia bagi chopstick.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah, ada chopsticks je tak ada sudu biasa tu 😄

      Delete
  7. Ooohhhh... yg hitam2 tu bijan ke? Selalu nampak cam tu

    ReplyDelete
  8. Sayur tu nmpk sedapp
    Sekbaik kena dgn selera

    ReplyDelete
  9. Telur hitam maksudnya telur pitan yg sudah diperam lama ya kak? Saya justru sukaaa sangat itu 😄😍😍. Kalo ke resto Chinese di jakarta, pasti pesen telur pitan kakk memang ada.

    Masakan Chinese selalunya menepati cita rasa. Kalo dah bingung nak makan apa, pasti Chinese foods lah. Black fungus saya malah jarang ketemu yg besar, selalunya yg di sini jual size kecil. Jadi mudah memang nak makan, tak payah di iris. Yg besar ada, tapi susah sikit cari.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****