Monday, 25 November 2024

Warung Tepi Sawah 2769, Kangar

Pagi hari Sabtu lalu, saya dan Encik Suami ke sebuah tempat makan yang terkenal di Perlis iaitu Warung Tepi Sawah 2769 yang terletak di Kampung Bohor Janggus, Kangar, Perlis. Walaupun tempat ini cukup terkenal, tetapi ini merupakan kali pertama kami ke sini. Saya sebenarnya kurang berminat ke tempat yang menjadi tumpuan terlalu ramai orang, sebab tu saya ambil masa cukup lama untuk rajinkan diri mencuba makan di sini iaitu setelah setahun menetap di Perlis 😄

Perjalanan dari rumah kami mengambil masa kira-kira 35 minit dengan jarak 29 km. Jauh juga nak sampai ke sini. Gigih kami keluar awal pagi untuk menjadi antara yang awal tiba di Warung Tepi Sawah. Hari hujung minggu di Perlis, sana sini tempat makan terkenal akan dipenuhi dengan pengunjung dari luar Perlis.

Alhamdulillah kami tiba sebelum pukul 8 pagi, masih boleh dapat parkir dengan mudah di ruang parkir berbayar. Masalah utama di sini - tiada ruang parkir khas dan percuma untuk pelanggan. Pelanggan perlu parkir di bahu jalan - berbahaya dan ganggu lalu lintas. Kami memilih untuk parkir di tanah lapang yang terletak betul-betul di sebelah Warung Tepi Sawah dan membayar caj RM2 sekali masuk.

Dari jauh nampak macam ada kenduri - banyak kenderaan parkir di bahu jalan. Di bahu jalan ini juga ada penjual buah salak dan penjual produk tempatan - ikan pekasam dan belacan.

Ruang parkir berbayar. Sebelahnya itulah bangunan dua tingkat Warung Tepi Sawah.

Sebaik melangkah masuk, kita akan nampak deretan gerai jualan. Konsep di sini - layan diri. Terdapat 10 buah gerai yang menjual pelbagai makanan. Kita perlu beli dan bayar terus di gerai, kemudian perlu tunggu atau datang sekali lagi untuk ambil makanan yang dipesan.

Antara makanan yang di jual - nasi lemak bungkus, lempeng, bubur nasi dan pelbagai pilihan kuih dalam pek kecil.

Alhamdulillah masih ada meja untuk kami berdua duduk di bahagian bawah. Dapatlah kami menikmati sarapan dengan pemandangan indah sawah padi menghijau dan banjaran bukit.

Encik Suami beli nasi kambing bakar, harganya RM17. Nasinya banyak tapi keras 😅. Daging rasa sedap tapi ada bahagian lembut dan ada bahagian liat.

Pilihan saya - roti sarang burung special (roti canai + telur mata + daging), harganya RM7. Sedap lembut rotinya, tapi kuahnya agak cair tak kena dengan cita rasa saya.

Minuman saya - teh tarik yang sangat manis! Memang tak habis diminum.

Selesai bersarapan, kami berjalan-jalan menikmati keindahan alam di sini. Sebelum tu, sempatlah saya bantu ambilkan foto pasangan yang datang jauh dari Kuala Selangor. Katanya, mereka pertama kali ke sini. Kami pun pertama kali juga, pada hal menetap di Perlis 🤭

Pengalaman pertama saya berjalan di antara petak sawah padi 😀. Indah sungguh pemandangan di sini, sawah padi menghijau dengan berlatarkan Banjaran Nakawan - perbukitan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand.

Kalau kalian teringin nak menikmati hidangan pagi dengan suasana kampung dan pemandangan sawah padi serta perbukitan, bolehlah cuba makan di sini. Carian Google Maps - Warung Tepi Sawah 2769. Bagi kami pula, agak kurang berminat untuk datang lagi ke sini.







1 comment:

  1. Trip ke Perlis beberapa 2-3 tahun lepas kot, ada yang suggest ke sini tapi tak sempat. Sama lah kita, kalau kuah roti canai cair, macam tak best kan. Tapi view persekitaran memang cantik Subhanallah.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****