Thursday 3 October 2024

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Nama hotel penginapan kami kali ini agak mengelirukan kerana tidak sama dengan nama hotel yang ditempah. Tambah mengelirukan, nama yang tertera pada bangunan hotel juga jauh berbeza. Itulah sebabnya mengapa kami menghadapi masalah untuk sampai ke hotel ini. Kisahnya saya catatkan di entri sebelum ini.

Hotel penginapan kami terletak di daerah Tianhe - salah satu dari 11 daerah di Guangzhou. Bangunan hotel ini bersambung dengan sebuah pusat beli-belah dan juga Stesen Gangding - stesen di Line 3, Guangzhou Metro (sistem kereta api bawah tanah). Mudahlah kami nak bergerak ke mana-mana, keluar dari pintu lif hotel terus menuju ke stesen Metro di pusat beli-belah.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Bahagian hadapan bangunan hotel. Saya terlupa nak rakam foto penuh yang menampakkan tulisan nama hotel sebab setiap kali keluar, kami naik Metro jadinya tak perlu lalu pintu hadapan hotel ni. Foto ini dirakam pada hari kami daftar keluar dan saya sudah berada dalam sebuah kenderaan.

Pada bangunan hotel tertera nama Elite Hotel dan James Joyce Coffetel. Memang jauh beza dengan nama hotel yang ditempah 😄

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Foto ketika kami mendaftar masuk pada pukul 4.08 pagi hari Ahad, 22 September 2024. Masa ni ada dua orang staf di kaunter, staf lelaki boleh berbahasa Inggeris dan staf perempuan menggunakan aplikasi translation untuk berkomunikasi dengan kami.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Ruangan lobi hotel bercantum dengan coffee bar. Terpesona saya dengan dekorasi gaya moden klasik hotel ini. Rasa selesa dan tenang. Tambah menarik dengan deretan susunan buku di rak tinggi, bersesuaian dengan nama James Joyce Coffetel.
James Augustine Aloysius Joyce (2 Februari 1882 – 13 Januari 1941) merupakan seorang penulis novel dan penyajak Ireland, dianggap sebagai salah seorang penulis paling berpengaruh pada zaman avant-garde moden awal abad ke-20. James Joyce paling dikenali dengan novel Ulysses (1922). Karya utamanya yang lain ialah koleksi cerpen Dubliners (1914), dan novel A Portrait of the Artist as a Young Man (1916) dan Finnegans Wake (1939). (Sumber : wikipedia.org)
 
Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Sebaik kaki melangkah masuk ke bilik penginapan, perasaan saya jadi teruja 😍. Biliknya luas dan nampak sangat selesa. Siap ada sliding door pemisah antara dua ruangan.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Simpan foto sebagai inspirasi. Mana tau ada rezeki boleh tiru rekaan begini di rumah sendiri 😃

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Tandas dan bilik mandi asing. Bagus dan selesa begini. Tapi tandasnya tak ada paip air. Saya tak terkejut sebab memang tahu tandas di negara China tak ada paip air kecuali tandas di masjid. Memang leceh jugalah kena sentiasa guna portable travel bidet.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Keadaan di dalam bilik. Lengkap dengan pelbagai kemudahan. Tv dengan skrin besar, tapi bila buka semua siaran bahasa Cina. Cerita orang putih pun cakap Cina 😄. Sesekali saya buka juga (walau tak menonton) bagi mewujudkan suasana berada di negara China.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Lampu dan pemetik suis gaya klasik.
Soket di sini berbeza, jadinya kami gunakan universal travel adapter.
Siap ada notis peringatan di tepi katil - Say no to pornography, gambling and drugs. Cherish life from danger. Lebih kurang gitulah terjemahannya.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Peti sejuk mini dan ada laci di atasnya yang memberi rasa hangat. Tak pasti ada alat pemanas di situ atau panas sebab kedudukan di atas peti sejuk mini. Yang pasti, minuman dan makanan yang saya letak di dalam ruangan seperti laci ini semuanya rasa panas (hangat).

Ulysses
Pertama kali saya jumpa hotel letak naskhah novel dalam bilik penginapan. Novel berjudul Ulysess ini merupakan karya terkenal oleh James Joyce. Tapi saya tak bacalah ya, sebab naskhah ini dalam bahasa Cina 😄

Pemandangan dari jendela bilik kami di aras 28.

Foto hasil zoom-in. Situasi kesesakan jalan raya pada pukul 6.16 petang, hari Isnin, 23 September 2024. Saya dapati, jalanan di sini tak pernah sunyi tanpa kenderaan. Pukul 3 pagi pun masih banyak kenderaan, tapi tidaklah sesak padat seperti waktu siang. Di sini juga kerap kedengaran bunyi hon (hon dibunyikan sebagai amaran kepada kenderaan lain). Syukurlah bilik kami berada di aras cukup tinggi, bunyi hon yang kedengaran tak begitu mengganggu.

Hiasan telefon klasik di pintu lif. Di sebelahnya pula disediakan pek kecil - antaranya ada mouthwash, dental floss stick dan glasses anti-fog wipes.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Penginapan di sini termasuk dengan sarapan. Kami cuma turun sarapan sekali je sebab tak banyak makanan yang diyakini halal untuk dimakan. Deretan pilihan makanannya memang nampak sedap, tapi hanya mampu dipandang sajalah. Naik bilik, kami makan roti dan kekacang yang di bawa dari tanah air 😁. Tapi kami tak kelaparan pun sebab setiap hari akan keluar makan di kedai makan Muslim.

The Mall, Tianyu Plaza - pusat beli-belah yang bersambung dengan hotel. Tak begitu besar tapi nampak lengkaplah semua ada.

Guangzhou Tianhe Taigu Huifen Ruipin Hotel
Kad bisnes hotel. Kami minta kad ini supaya memudahkan urusan, contohnya kalau nak naik teksi. Kebanyakkan orang di sini cuma memahami bahasa Cina, jadinya sangat penting kita tunjuk nama dan alamat hotel tulisan Cina.

Seperti yang saya nyatakan, nama hotel ini mengelirukan. Nama hotel yang ditempah secara online - Guangzhou Tianhe Taikoo Hui Zhefei Ruipin Hotel. Tapi lain pula nama pada bisnes kad dan juga yang tertera pada bangunan hotel. Maka, saya letak tajuk entri ini menggunakan nama pada bisnes kad mereka.

Secara keseluruhannya, saya sangat berpuashati menginap di sini selama 3 malam. Tiada sebarang masalah, malah rasa sangat selesa dengan segala kemudahan yang disediakan kecuali berkenaan tandas tanpa paip air (itu memang budaya di sini). Begitu juga dengan staf hotel dan petugas housekeeping yang mesra dan pantas memberikan servis walaupun terdapat halangan komunikasi.

Alhamdulillah.






.

2 comments:

  1. Apa nak buat tandas tanpa paip air, memang sudah begitu budaya di sana kan Ujie.
    Syukurlah tiada masalah sepanjang menginap di situ, dan rasa selesa pula.

    ReplyDelete
  2. Cantik giler hotel ni Kak Ujie 😍 Bersambung dgn mall jadi mudah nak berjalan2 dan membeli-belah. Mujur ada staff yg boleh berbahasa Inggeris kan. Oo.. kat sana tak boleh guna aplikasi Google ye? Jadi nak pakai google translate pun tak boleh la.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****