Saturday 5 October 2024

Guangzhou Metro dan Makan di Restoran Halal Depan Masjid Huaisheng, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Trip ke Guangzhou ini merupakan trip atas urusan Encik Suami dan ia trip mengejut (baca kisahnya DI SINI). Jadinya kami tak buat itinerari untuk aktiviti jalan-jalan, pergi dan redah sahaja ikut kesesuaian masa yang ada.

Urusan Encik Suami pada hari Isnin (hari kedua di Guangzhou), jadinya hari Ahad tersebut kami ada masa untuk berjalan-jalan. Kami daftar masuk hotel sekitar pukul 4 pagi, selepas itu barulah kami dapat melelapkan mata dan merehatkan badan. Tapi kena berjaga-jaga supaya tak terlepas waktu solat Subuh pada pukul 5 pagi.

Pukul 12 tengah hari barulah kami melangkah keluar dari bilik hotel, sebelum tu kami dah alas perut dengan minuman kopi Adabi dan roti Gardenia. Kami bawa juga pek kekacang dalam backpack kecil sebagai persediaan jika lapar semasa berjalan-jalan. Kopi Adabi, roti Gardenia pelbagai perisa dan kekacang - ini sajalah bekalan makanan yang kami bawa dari Malaysia.


GUANGZHOU METRO - PENGANGKUTAN AWAM YANG MURAH DAN MUDAH
Aktiviti jalan-jalan kami hari ini dengan menggunakan pengangkutan awam - Metro (sistem kereta api bawah tanah). Kelebihan naik Metro - liputan laluannya meluas jadi mudah nak ke mana-mana dan kadar tambang murah serendah 2 yuan (anggaran kadar tukaran semasa bersamaan RM1.20). 

Bersambung kisah di atas - keluar dari lif hotel, kami terus masuk ke pusat beli-belah yang bersambung dengan hotel. Lepas tu turun tangga menuju ke Stesen Gangding. Sangat mudah sebab kami tak perlu keluar bangunan.

Berbeza dengan pengalaman ke Guangzhou pada tahun 2015, pemeriksaan keselamatan untuk masuk kawasan stesen kali ini lebih ketat. Situasi hampir seperti pemeriksaan di lapangan terbang - beg besar perlu lalu alat pengimbas dan kita pula perlu lalu di pintu metal detector.

Saya pakai beg sandang kecil, cuma perlu buka beg untuk dilihat isinya. Lucunya, arahan diberi bukan dengan komunikasi lisan tetapi petugas keselamatan buat gaya buka zip beg. Jadinya selepas itu saya dah faham, setiap kali lalu pemeriksaan keselamatan saya akan terus buka zip beg.

Guangzhou Metro
Kami beli tiket di mesin tiket. Ada mesin untuk e-payment sahaja dan ada mesin untuk e-payment dan bayaran tunai. Pembayaran e-payment boleh dibuat menerusi e-CNY, Weechat dan Alipay.

Boleh juga beli kad Metro. Tapi kalau tak pasti berapa kerap akan gunakan Metro dan cuma sekejap je di sini (macam kami), tak perlulah beli kad. Mesin tiket ni pun ada banyak dan tak pernah lagi kami beratur semasa nak membeli tiket. Memang tak timbul sebarang masalah.

Pembayaran juga boleh dibuat menerusi Alipay dengan menggunakan Touch ‘n Go eWallet. Caranya - pada aplikasi TnG eWallet, pilih negara China. Automatik duit yang kita ada akan ditukar nilai ke mata wang China dan boleh terus digunakan di mana-mana tempat yang menerima pembayaran Alipay. Mudah!

Kami nak mencari kedai makan halal berhampiran Masjid Huaisheng yang terletak di Jalan Guangta. Jadinya kami perlu turun di Stesen Ximenkou yang berada di Line 1. Merujuk kepada peta laluan tren yang tertera di skrin mesin tiket, kami perlu turun di stesen pertukaran untuk ke Line 1.

Gangding → Tiyu Xilu → Ximenkou
Kadar tambang : 4 yuan / seorang

Guangzhou Metro
Stesen Gangding, stesen di Line 3 - perjalanan kami menaiki Metro bermula di sini.

Guangzhou Metro
Kemudian turun di Stesen Tiyu Xilu - stesen pertukaran untuk ke Line 1.

Guangzhou Metro
Turun di Stesen Ximenkou. Ada empat pintu keluar, kami nak ke Jalan Guangta (Guangta Lu) jadinya perlu ikut pintu D.

Selepas keluar di pintu D, kami agak terpinga-pinga tak tahu nak menuju ke mana 😅. Kami cuba berjalan ke arah kanan dan arah kiri untuk mencari laluan menuju ke Jalan Guangta. Cubaan menggunakan Google Maps menemui jalan buntu, ada direction tapi bila ikut arahan akan sampai tempat yang salah.


RESTORAN HALAL DEPAN MASJID HUAISHENG
Alhamdulillah setelah agak penat kaki melangkah ke sana ke sini, sampai jua kami ke tempat yang di cari iaitu Masjid Huaisheng. Keadaan sudah berubah…

Sekarang sudah ada papan tanda ‘Huaisheng Mosque’. Tetapi tiada lagi deretan kedai dengan perkataan ‘HALAL’. Boleh rujuk foto tahun 2015 di entri INI.

Carian saya mendapati, pada tahun 2019 pihak berkuasa mengeluarkan arahan membuang simbol dan perkataan yang berkaitan Islam atas alasan ia budaya luar. Berita lanjut DI SINI.

Bila tak ada perkataan halal dan tak ada simbol berkaitan Islam di luar premis, memang jadi agak susah kami nak memerhatikan mana satu kedai Muslim. Akhirnya kami masuk ke restoran yang pernah kami pergi hampir 9 tahun lalu - lokasinya di hadapan Masjid Huaisheng.

Suasana di dalam restoran.

Buku menu, tertera ‘Halal cuisine in Yarkant County’ pada kulit buku.

Tak banyak pilihan minuman, kami pilih segelas minuman yogurt.

Mi tarik, entah apa nama panjang menu ini. Hidangan di sini bersaiz besar, kami order satu saja supaya tak membazir kalau makanan tak kena selera. Semasa menghidang, mereka terus beri dua pinggan kosong serta sudu dan garfu. Biasanya di sini orang tak akan beri garfu tetapi chopstick. Agaknya mereka dah biasa terima pelanggan luar yang tak pandai guna chopstick, jadinya tanpa perlu diminta terus disediakan. Mudahlah sebab kami memang tak pandai guna chopstick 🤭

Kami order juga kebab kambing. Harganya 10 yuan satu cucuk, minima order dua cucuk. Nampak macam tak ada rempah sangat, tapi rasanya sedap dan lembut dikunyah. Kami tambah lagi dua cucuk 😄

Dah menambah makanan, tak cukup pulak minuman yogurt segelas. Kami tambah order chinese tea. Dapat satu teko begini boleh minum berkali-kali. Rasa chinese tea ni biasa je tak ada rasa pelik, kira sedaplah boleh minum habis.

Kedudukan saya menghadap pintu masuk restoran. Masa ni pintu di buka luas sebab pekerja bawa masuk barang-barang. Sempatlah saya merakam foto di atas.

Bangunan dengan gerbang hijau itulah Masjid Huaisheng, memang dekat je. Lelaki dengan kenderaan roda tiga tu menjual kekacang. Berdasarkan pemerhatian sejak sebelum masuk restoran, lelaki tersebut seorang Muslim. Kami berhasrat nak membeli jualannya sebaik keluar dari restoran. Tapi selepas kami siap makan, kenderaan roda tiga tadi tiada lagi di hadapan masjid. Tak ada rezekilah nampaknya.

Selesai makan, kami ke seberang jalan untuk tujuan ziarah masjid dan menunaikan solat jamak Zohor-Asar.






.

2 comments:

  1. Alhamdulilah.
    Jumpa juga makanan yang menepati selera.

    ReplyDelete
  2. Syukur restoran yg pernah disinggahi sebelum ni masih wujud. Kalau tak tercari² juga restoran halalnya ye PU since tak boleh display halal sign.
    Kebab tu mmg nampak sedap 👍

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****