Monday 28 October 2024

Bahagian 2 | Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Alhamdulillah, sekali lagi saya berkesempatan ke Masjid As-Sahabi Abi Waqqas pada hari ketiga di Guangzhou. Sebelum ini kami datang waktu lewat petang membawa ke malam, tak banyak yang dapat diperhatikan apabila keadaan mulai gelap. Entrinya DI SINI.

Kali ini kami datang waktu tengah hari. Tetapi keadaan di Guangzhou ketika itu sedikit mendung dan basah selepas hujan, jadinya foto-foto yang dirakam agak gelap.

Catatan bahagian kedua ini saya fokus pada keindahan lanskap taman di persekitaran masjid dan bahagian makam yang terdapat di dalam kompleks masjid ini.


KEINDAHAN LANSKAP TAMAN

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Kami masuk ikut South Gate, sama seperti sewaktu kali pertama ke sini kelmarin.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Laluan pejalan kaki menuju ke masjid. Seronok melayan mata memerhatikan pokok-pokok di sini, semuanya kelihatan segar selepas disimbahi hujan pagi tadi.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Eh, jumpa budak comel ni sekali lagi. Lucu tengok gaya kakinya 😆

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Terdapat laluan kecil untuk kita jalan-jalan menikmati kehijauan alam di sini.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya tertarik dengan pokok buluh ni. Tak tinggi, tapi cantik merimbun. Entah spesis apa.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Unik rupa pokok ni - ada ruangan di tengahnya. Nampak macam spesis pokok Ara.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Bunga-bunga warna merah yang menambah seri taman. 

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya pandang ke atas, eh…ada buah bergantungan. Saiznya besar macam buah limau bali, warna kuning kehijauan.


MAKAM SAAD BIN ABI WAQQAS DAN PARA SAHABAT
Masjid As-Sahabi Abi Waqqas bukan sahaja terkenal kerana ia merupakan masjid terbesar di Guangzhou, tetapi turut dikenali kerana di sini dikatakan terletaknya makam sahabat Nabi SAW iaitu Saad bin Abi Waqqas.

Beliau ialah sahabat Nabi SAW yang terawal menerima Islam. Beliau juga merupakan komander yang telah membawa agama Islam ke negara China.

Makam Saad bin Abi Waqqas | Ada pendapat yang mengatakan makam beliau terletak di Guangzhou, ada juga pendapat mengatakan makam beliau terletak di Madinah. Apa pun, ia bukanlah isu besar. Paling penting - kita ambil tahu sumbangan beliau, menghargai usaha serta pengorbanan beliau dalam menyebarkan Islam dan mengambil semangat perjuangan beliau dalam menegakkan agama Allah.

Ketika kunjungan saya ke masjid ini, berlaku sedikit kekeliruan berkenaan kedudukan makam. Maklumlah, ini trip mengejut jadinya saya tak mengatur itinerari dan tak membuat carian terperinci. Sewaktu tiba di sini, saya memerhati sekitar dan terpandang binaan kubur di suatu sudut.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Pintu gerbang di kawasan perkuburan. Saya sebut kawasan perkuburan sebab ada lebih kurang 10 buah binaan kubur di sini.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Saya tak masuk melepasi pintu gerbang, sekadar merakam foto dari luar pintu gerbang.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Perhatikan bentuk susunan binaan kubur di sini, unik. Mungkin ada maksud disebaliknya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Ini pula binaan kubur yang terletak di bahagian sisi. Hasil menggunakan Google Lens, tertera terjemahan tulisan yang menyatakan ‘rebuilt in May 1998’ pada binaan yang terdapat simbol bulan bintang. Perkataan lain gagal diterjemahkan - sama ada gagal diterjemahkan dengan perkataan yang sesuai dengan kuburan atau tiada sebarang terjemahan - mungkin kerana menggunakan bahasa lama.

Saya minta bantuan kawan Encik Suami - orang Cina Malaysia bagi menterjemahkan info pada batu kecil di sudut hadapan kuburan. Ringkasnya, ini ialah kuburan para tentera pada zaman dahulu.

Jadinya, di mana kedudukan makam yang dikatakan milik Saad bin Abi Waqqas? Pada masa sama, saya nampak ada sebuah bangunan dengan pintu kecil berhampiran kuburan ini. Tapi saya tak pergi masuk melihat-lihat kerana menyangka entah bangunan apa. Rupa-rupanya, di situlah letaknya makam tersebut. Saya hanya mengetahui selepas beredar dari masjid, selepas membuat carian internet 😄

Aduhai…saya rasa sedikit terkilan sebab dah sampai tempatnya tapi tak pergi ke kawasan makam tersebut. Apa pun, dari awal memang niat saya cuma nak ziarah/solat di masjid. Ziarah ke makam hanyalah sampingan.


AZAN ZOHOR DAN SOLAT JEMAAH LEWAT DARI WAKTUNYA
Saya selit sedikit pengalaman waktu solat Zohor di sini. Masuk waktu solat Zohor pada pukul 12.20 tengah hari, tetapi azan dan solat jemaah dilakukan pada pukul 1.30 tengah hari. Ini berbeza dengan pengalaman waktu solat Maghrib sebelum ini yang dilakukan tepat pada masanya.

Carian saya mendapati, azan dan solat jemaah dilakukan lewat dari masuk waktu Zohor kerana mengikut kesesuaian waktu rehat orang bekerja. Ia juga merupakan amalan biasa di negara-negara bukan Islam - azan dan solat jemaah dilakukan ikut kesesuaian waktu di mana ramai jemaah boleh hadir ke masjid. Satu pengalaman baru buat saya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou
Sebelum beredar, saya dan Encik Suami berfoto kenangan di hadapan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas.

Video pendek - laungan azan Zohor di bumi Guangzhou.







.

No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****