Tuesday 22 October 2024

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Dari masjid terbesar di Guangzhou - Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, kami meneruskan langkah kaki menuju ke Jalan Xiaobei (Xiaobei Lu) dengan menaiki Metro. Kami nak mencari makanan Muslim di Xiaobei seperti yang disarankan oleh lelaki Afrika yang kami temui di perkarangan masjid petang tadi.


PILIHAN TEMPAT MAKAN
Menurutnya lelaki tadi, terdapat pilihan makanan Muslim tempatan di bahagian luar masjid - ikut pintu North Gate (kami datang dari arah bertentangan iaitu South Gate). Jika mahu pilihan makanan Arab/Turki/Pakistan (tetapi harganya lebih mahal), kami disarankan ke Xiaobei. Kami nak mencuba pengalaman berbeza, jadinya kami memilih ke Xiaobei. Yang dekat ada, tapi pilih yang jauh 😄


NAIK METRO KE XIAOBEI
Dari Stesen Yuexiu Park di Line 2, kami perlu turun di Stesen Xiaobei di Line 5.

Perjalanan naik Metro kali ini terasa agak sukar dan memenatkan. Kami berdepan dengan keadaan sangat sesak dalam Metro dan pertukaran dari Line 2 ke Line 5 yang tak begitu mudah - perlu banyak naik turun tangga stesen dan berjalan di laluan panjang seperti terowong. Benarlah seperti apa yang dikatakan lelaki tadi, lebih mudah jika kami naik teksi berbanding naik Metro. Dah lalui sendiri, barulah boleh faham 😅

Turun di Stesen Xiaobei, keluar ikut pintu A.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Pintu A, Stesen Xiaobei.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Sebaik kami melangkah keluar di Pintu A, terus nampak jalan dan bangunan yang meriah ni. Rata-rata pengunjung di sini berwajah Afrika dan Arab. Kelihatan kenderaan mewah seperti Tesla diparkir di sini.

Buat pertama kali juga (sepanjang berkunjung di Guangzhou), kami dihampiri peminta sedekah. “Assalamuaikum…”, sambil tangannya menghulurkan bekas sumbangan ke arah kami. Yang lelaki berkopiah dan yang perempuan bertudung, mereka berwajah Cina - mungkin orang tempatan. Dua orang lelaki berpakaian seragam (mungkin anggota polis), kami lihat menghampiri peminta sedekah tadi - mereka bercakap-cakap dan memeriksa dokumen kecil yang dihulukan oleh peminta sedekah. 


DERETAN PILIHAN RESTORAN MAKANAN MUSLIM
Terdapat deretan pilihan restoran makanan Muslim di sini - di tingkat bawah dan juga tingkat atas bangunan. Tiada tanda atau simbol halal - sebab di China tak boleh pamerkan tanda atau simbol budaya luar. Tapi kami percaya sajalah apa yang lelaki Afrika tadi beritahu kami - pilih saja mana-mana restoran.

Keliru nak memilih entah mana satu pilihan yang terbaik, kami akhirnya masuk ke sebuah restoran di hujung bangunan yang berada di tingkat atas. Restoran ni tak ramai pengunjung, saya rasa lebih selesa. Seorang lelaki berwajah Arab menyambut kami dengan memberi salam.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Restoran Azal - makanan Arab dan Yaman, gitulah yang saya faham 😄

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Membelek buku menu. Tak tahu nak makan apa.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Pilihan nasi.

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Servis di sini pantas, tak lama menunggu sampailah hidangan makan malam kami. Pilihan saya - Zubaidi grill. Sambil makan, saya buat carian ikan Zubaidi. Rupa-rupanya ia sejenis ikan bawal, nama Arabnya - Zubaidi 😄

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Encik Suami pilih makan nasi. Lupa pulak saiz hidangan nasi Arab biasanya memang besar. Memang tak habis makanlah banyak begini 😅

Sajian Makanan Muslim di Xiaobei Lu, Guangzhou
Foto di atas ni sebenarnya saya nak tunjuk suasana dan dekorasi di Azal Restaurant, bukan nak tunjuk Encik Suami perah limau 😂. Masa ni saya tak banyak merakam foto sebab dah keletihan dan lapar. Bila nak buat entri, baru perasan…eh tak ada foto suasana dalam restoran.

Secara keseluruhannya, makanan yang kami makan semuanya sedap tetapi bukanlah makanan yang betul-betul memenuhi selera saya. Dari segi kos, memang agak mahal sesuailah dengan tempat makan begini. Para pelayan berwajah tempatan semuanya elok memakai seragam, tetapi yang melayan kami semuanya muka ketat. Sebenarnya memang susah nak jumpa orang tempatan bermuka manis di sini, mungkin budaya mereka begitu.

Selesai makan malam, kami menaiki Metro untuk pulang ke hotel penginapan. Alhamdulillah pada pukul 9.30 malam kami selamat sampai di bilik hotel. Ke sana ke sini sepanjang hari, jam tangan saya mencatatkan rekod 14,290 langkah kaki. Letih sungguh!







2 comments:

  1. Teringin juga nak ke China..

    ReplyDelete
  2. Adoi, kelakar pulak ikan nama Zubaidi.. adoi.. rasa nak melekek² ketawa pulak. Tapi, memang nampak sedap nasi arabnya. Baru tahu di sana tak boleh pamer logo halal ya.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****