Thursday 17 October 2024

Bahagian 1 | Masjid As-Sahabi Abi Waqqas, Guangzhou

[Catatan Trip ke Guangzhou, China | September 2024]

Selepas mengunjungi masjid tertua di China iaitu Masjid Huaisheng, saya dan Encik Suami menuju ke sebuah lagi masjid yang terdapat di Guangzhou. Kami ke masjid terbesar di Guangzhou, juga paling besar di wilayah Guangdong (Guangzhou merupakan ibu negeri bagi wilayah Guangdong) iaitu Masjid As-Sahabi Abi Waqqas.

Semasa kali pertama ke Guangzhou, kami gagal menemukan lokasi masjid ini. Kali ini saya berharap dapat melunaskan hasrat yang tak kesampaian pada kunjungan terdahulu. Alhamdulillah rupa-rupanya bukan sekali, malah saya berkesempatan ke masjid ini sebanyak dua kali pada hari berbeza 😊

Catatan berkenaan masjid ini saya buat dua entri kerana kami datang pada dua waktu berbeza - lewat petang membawa ke malam dan waktu tengah hari.


CARA KE MASJID AS-SAHABI ABI WAQQAS
Dari Stesen Ximenkou di Line 1, kami menaiki Metro ke Stesen Yuexiu Park di Line 2 dengan kadar tambang 2 yuan / seorang. Sampai di stesen, keliru pulak nak keluar ikut pintu mana satu untuk ke masjid. Kami keluar ikut pintu yang salah. Berkerut kening memerhati sana sini dan berfikir mana satu arah nak dituju. Masa ni pulak gerimis halus mulai membasahi bumi.

Pendek cerita, kami akhirnya berjaya sampai di lokasi yang dicari. Jika naik Metro macam kami, begini caranya :

Community Police Station. Foto dirakam sewaktu dalam perjalanan balik.
Keluar melalui Pintu B2 di Stesen Yuexiu Park. Sebaik saja keluar, kita boleh nampak bangunan dengan seni bina bercirikan tradisional Cina iaitu Community Police Station. Ia terletak bersebelahan dengan Canton Orchid Garden.

Teruskan berjalan menuju ke arah bangunan tersebut yang terletak di lorong pertama yang kita temui. Kemudian ambil arah ke kiri. Teruskan berjalan sehingga ke penghujung lorong. Pintu masuk masjid terletak di sebelah kanan, di hujung jalan.


MASJID AS-SAHABI ABI WAQQAS - MASJID DI DALAM TAMAN DAN MAKAM SA’AD BIN ABI WAQQAS

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Kedudukan pintu masuk masjid di sebelah kanan, di penghujung jalan. Mulanya kami keliru jugak sebab laluan ke hujung ni terlindung dengan kerja-kerja baik pulih jalan.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Masuk ikut pintu kecil.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
South Gate | 5.20 petang hari Ahad, 22 September 2024.
Tiba di pintu gerbang. Alhamdulillah sampai jua 😁. Bangunan masjidnya tak nampak lagi, tapi saya yakin ini lokasi yang betul sebab mengenali rupa pintu gerbang ni sewaktu buat carian internet berkenaan masjid ini. Kemudian baru saya tahu ini merupakan South Gate. Ada satu lagi pintu masuk dari arah bertentangan iaitu North Gate. 

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Wah! Saya rasa macam berjalan dalam sebuah taman rekreasi, tempat ini luas dan indah dengan hijau alam. Ketika ini jugak rintik hujan bertambah lebat. Kami melangkah lebih laju mencari bangunan masjid. Tak sempat saya nak menikmati suasana sekitar.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Tanda arah. Kami datang dari arah South Gate.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Dari laluan pejalan kaki, bangunan masjid terletak di sebelah kiri. Kami meniti anak tangga untuk menuju ke bangunan masjid. Terdapat dua buah khemah besar di perkarangan masjid. Kelihatan beberapa orang pengunjung lain (menurut pemerhatian saya, mereka juga pelancong luar seperti kami) sedang duduk di kerusi di bawah khemah. Kami ikut duduk untuk melepaskan lelah seketika dan menunggu hujan teduh.

Selesai melakukan solat sunat tahiyyatul masjid dan sementara menantikan masuknya waktu solat Maghrib, sempatlah kami melihat-lihat di sekitar kawasan masjid.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Papan tanda masjid dengan tulisan bahasa Arab dan bahasa Cina. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Rupa bahagian hadapan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas. Seni binanya sama seperti Masjid Huaisheng - bercirikan tradisional Cina. Bezanya, terdapat simbol bulan sabit di atas bumbungnya yang menonjolkan ciri-ciri Islam.
INFO | Binaan asal masjid ini telah dibina pada zaman Dinasti Tang. Binaan yang ada kini merupakan binaan semula pada tahun 2010 bagi menampung jemaah semasa berlangsungnya Sukan Asia 2010. Ruang solat masjid dua tingkat ini mampu menampung seramai 3,000 orang jemaah dalam satu-satu masa.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Pandangan dari sudut sisi masjid. Barulah jelas binaan masjid ini dua tingkat.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Di sisi bertentangan terdapat bangunan yang menempatkan tandas/tempat wuduk lelaki di bahagian bawah dan pejabat pentadbiran (kalau tak silap saya) di bahagian atasnya.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Tandas/tempat wuduk perempuan pula terasing jauh. Tak berani saya nak pergi sendirian.


SIANG BERTUKAR MALAM | Pukul 6.10 petang, keadaan mulai gelap. Jemaah masjid sudah mulai berkumpul. Kebanyakkan mereka datang dari arah North Gate. Saya perhatikan rata-rata jemaah yang datang mungkin bukan orang tempatan - mereka berwajah Pakistan, Afrika dan Arab.

Pukul 6.23 petang (entah nak sebut petang atau malam sebab di sini dah gelap 😄), kedengaran laungan azan Maghrib berkumandang. Syahdu pulak saya rasa bila mendengar azan di negara bukan Islam. 

Video azan Maghrib.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Keindahan Masjid As-Sahabi Abi Waqqas pada waktu malam.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Suasana di dalam masjid. Alhamdulillah ramai juga yang datang untuk solat berjemaah.

Masjid As-Sahabi Abi Waqqas Guangzhou China
Pukul 6.39 petang, kami melangkah meninggalkan kawasan masjid. Di dalam hati, saya berharap moga ada kesempatan sekali lagi ke sini sebelum kami kembali ke Malaysia. Datang pada waktu siang cerah, supaya cukup masa untuk saya memerhati dan menikmati suasana di sini. Juga ke bahagian makam sahabat Nabi yang hanya sempat saya pandang dari jauh.

Alhamdulillah hasrat saya tercapai, catatan seterusnya pada entri Bahagian 2.


MALAYSIA? | Ketika kami berada di perkarangan masjid lewat petang tadi, seorang lelaki muda berwajah Afrika datang menyapa kami - “Assalamualaikum…Malaysia?”.

Katanya dia pernah ke Malaysia dan terkandas ketika pandemik melanda. Kami berbual seketika. Sebelum berpisah, kami bertanya berkenaan lokasi makan halal. Sajalah tanya sebab katanya dia menetap di sini.

Dari masjid, kami berjalan kaki ke stesen Metro terdekat iaitu Yuexiu Park. Seterusnya, kami ke Xiaobei untuk mencari restoran halal seperti yang disarankan oleh lelaki tadi.






4 comments:

  1. Seronok rasa berjalan ke masjid dengan suasana macam ni. Sejuk mata memandang. Pengalaman yang menarik dapat ke sini dan dapat menunaikan solat sekali.

    ReplyDelete
  2. Lewat senja pun cantik view perkarangan dan masjid ni.

    ReplyDelete
  3. Kalau dekat luar negara ni...kalau ada masjid / islamic center....pasti ada kedai makanan halal berdekatan. Seronok dapat jumpa muslim walaupun berlainan bangsa.

    ReplyDelete
  4. Cantik dan mendamaikan, semoga Islam akan terus terpelihara di segenap pelusuk alam, aamiin

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****