Judul : KEMBARA MENALAR DIRI, LEGASI IMAM BIRGIVI
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2022
Jumlah halaman : 440
Sebuah lagi karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang selesai saya baca sekitar bulan Ramadan lalu. Karya ini pernah diterbitkan buat kali pertama pada tahun 2014 oleh KarangKraf, kini diterbitkan semula dan dikemaskini dengan penambaikan teks oleh rumah penerbitan Jejak Tarbiah. Kulit buku edisi kemaskini ini begitu menarik dan nampak segar. Rasa bersemangat saya nak membacanya.
Kembara Menalar Diri, Legasi Imam Bergivi merupakan sebuah travelog yang merakamkan perjalanan penulis sebagai murid sejarah. Sebuah kisah pengembaraan mencari kebenaran yang bertitik tolak daripada penyelidikan penulis terhadap seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16, iaitu Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi.
Penulis mengembara ke Turki, ke lapangan lokasi sejarah, bertemu dengan kepelbagaian ragam manusia dan menyelongkar sisi yang tidak ditemukan dalam karya asing. Segala pengalaman ini menuntun penulis untuk menalar erti kehidupan seorang insan sebagai hamba serta khalifah Allah SWT di muka bumi ini.
Memetik kata-kata penulis dalam satu posting di laman Facebook beliau berkenaan buku ini :
“Pada tahun 2013, saya memandu 1000 km pergi balik merentas banjaran untuk akhirnya tiba di sebuah pusara di bawah sepohon pokok tua yang rendang, tempat bersemadinya tokoh itu, semenjak tahun 1572 yang lalu.Semasa itu, yang saya temui bukanlah Imam Birgivi, kerana beliau sudah pergi.Yang saya temui adalah diri saya sendiri, melalui Imam Birgivi. Dengannya saya mengubah perjalanan hidup dan mengembalikan makna diri hidup tanpa kejujuran terhadap diri, adalah fatamorgana lagi ilusi.”
SIAPA IMAM BIRGIVI?
Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi merupakan seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16. Beliau dilahirkan di Balıkesir pada tahun 1523 Masihi, dua tahun selepas pertabalan Sultan Suleyman al-Qanuni. Hampir keseluruhan hidup beliau adalah dalam era sultan ini, dengan dua tahun terakhir hayatnya di bawah pemerintahan Sultan Selim II.
Keluarga Birgivi mempunyai latar belakang tradisi sufi dan kesarjanaan Islam yang kukuh. Bapanya, Pir Ali merupakan seorang tenaga pengajar muderris dan shaykh dalam gerakan Tarekat Bayrami.
Perjalanan kehidupan Imam Birgivi daripada seorang anak kampung di Balıkesir kepada sarjana muda di Istanbul dan seterusnya meniti tangga kerjaya di Edirne, beliau tidak alpa untuk sentiasa menyaring diri dan persekitarannya.
Imam Birgivi nekad untuk meninggalkan kemasyhuran semasa berada di kemuncak kejayaan, berhijrah ke daerah Birgi di perut Anatolia dan menyampaikan Islam yang “jernih” ke akar umbi masyarakat.
Pengalaman Imam Birgivi banyak memberi jawapan kepada penulis untuk kembali menilai diri dan perjuangan.
ANTARA ISI PENTING BUKU INI :
1. Saya tertarik dengan pendapat penulis dalam bab Sunnah : Antara Teknik dan Fitrah (halaman 16 - 23) mengenai pelbagai kursus teknik yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Secara peribadi, saya agak kurang senang bila ternampak iklan kursus atau jualan buku dengan tajuk atau judul ‘teknik Nabi’ atau ‘gaya Nabi’. Seperti ada yang tak kena, tapi dengan keterbatasan ilmu dan pemikiran maka saya gagal menangkap apa yang tak kena dengan kewujudan produk begitu.
- Secara ringkasnya, penulis menjelaskan bahawa seruan Islam dan pendekatan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membetulkan dalaman diri manusia (akidah). Kemudian, segala perilaku positif dan betul dalam mendidik, memimpin dan berinteraksi dengan manusia lain terjadi secara sejahtera malah tidak terbatas kepada satu dua cara sahaja.
- Penulis memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Umat kita dilanda bukan masalah mati pucuk, tetapi masalah mati akar. Akar spiritual yang dicabut daripada intelektual, emosional dan fizikal atas nama sebuah teknik.”
2. Perihal sikap suka meminta-minta (halaman 72 - 74).
- Islam mengajar kita berdikari. Suka membantu, tetapi tidak suka meminta-minta dibantu tanpa keperluan. Ini bukan sahaja penting untuk memupuk sikap lebih berusaha, malah Allah SWT mahu hamba-Nya menjadi manusia yang memelihara maruah dan menjadi orang yang lebih baik.
3. Tentang sifat malu (halaman 207 - 209). Penulis berkongsi tazkirah oleh Imam Birgivi, antaranya menyebut :
- Peraturan pertama untuk sifat malu yang mulia adalah dengan berasa malu di hadapan Tuhanmu tentang perbuatanmu yang disisi-Nya, ia adalah keji dan dosa. Kemudian barulah rasa malu yang seterusnya pula muncul, terhadap kelakuan-kelakuan yang rendah, seperti kegagalan untuk peduli terhadap perasaan orang lain, hak mereka dan kehidupan yang mereka miliki.
- Sifat tidak tahu malu adalah petanda kepada keangkuhan, rohani yang lemah dan tercicirnya keseriusan dan kesedaran dalam beragama.
4. Berkenaan isu Wahabi dalam bab Lima Tiang Pensejarahan Dakwah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab (halaman 210 - 218). Penulis menafikan tuduhan beliau seorang Wahabi. Beliau juga mengajak pembaca mengkaji pensejarahan ‘Wahabi’. Menurut penulis :
- Topik Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan gerakannya tidak terbatas kepada topik akidah dan fiqah untuk kita secara pantas dan langsung membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, mengetahui asal usul istilah tersebut dan perkara sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahabi itu sendiri. Sesungguhnya, topik ini terlebih dahulu merupakan topik sejarah.
- Mungkin dengan kajian yang adil tentang Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, tidaklah mengurangkan pendirian kita membantahnya. Namun, sekurang-kurangnya tidaklah sampai mengkafirkan sesama Muslim, menasihati jemaah umrah dan haji agar solat di bilik atau jika di masjid sehingga bermufaraqah daripada imam, serta lain-lain tindakan yang memporak-perandakan ummah, ratusan tahun selepas matinya insan yang dibantah.
5. Bab Taubat Seorang Televangelis Muslim (halaman 246 - 256) memperkatakan perihal agamawan dan dunia populariti. Juga bagaimana selangkah demi selangkah penulis berundur diri dari dunia populariti.
- Televangelism ialah fenomena penceramah-penceramah Kristian menggunakan medium televisyen dan medium media sosial semasa sebagai saluran untuk mereka menyebarkan ajaran mereka. Fenomena ini banyak dibahaskan oleh dunia Barat mengenai pro dan kontranya.
- Penulis menceritakan ketidakselesaan beliau apabila perlu muncul di kaca tv - wajah dipakaikan compact powder, percakapan perlu dikawal, sensitiviti mesti dirai, hitungan masa untuk memberi laluan kepada mesej komersial serta wajah yang perlu sentiasa sedap dipandang senyumnya. Penulis juga berasa terbeban apabila orang berebut mahu bergambar bersama beliau, yang mana ini bukan kesan yang sepatutnya lahir daripada sebuah dakwah.
- Penulis berkongsi pesanan Imam Birgivi tentang mengenal pasti kejahatan di halaman 253. Saya sertakan sedikit petikan pesanan tersebut yang menyebut bahawa, “Kemunafikan itu menyelinap masuk ke hatimu melalui tiga pintu - keinginan agar kebaikanmu diketahui orang ramai, harapanmu agar engkau dipuji serta dianugerahkan dengan kemuliaan serta kedudukan sebagai ganjaran perbuatanmu, dan keakuranmu dan rasa enak terhadap kemasyhuran dan ganjaran yang engkau peroleh…”
6. Terdapat tujuh sebab mengapa kita belajar sejarah (halaman 267 - 270). Saya kongsikan secara ringkas tujuh sebab tersebut :
- Akar - ilmu kita seperti pokok. Sejarah ialah akarnya. Tanpa akar, pokok akan layu dan mati.
- Memahami - sejarah membantu kita lebih memahami dunia tempat kita menumpang hidup, memahami manusia dan memahami kesan tindak-tanduknya.
- Sebab musabab - belajar sejarah melatih keupayaan untuk mengenal pasti cause and effect (sebab musabab) kepada satu situasi, menganalisa dan menjadikannya sebagai panduan untuk tindak-tanduk kita seterusnya.
- Ideologi dan idea - belajar sejarah menjadikan kita lebih menghargai kepelbagaian pendapat manusia. Kita akan memahami bahawa ideologi seseorang berasal daripada idea yang terbit daripada fikiran, perasaan, pemerhatian terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya.
- Pemikiran kritis - sejarah membuatkan kita berfikir di luar kotak dan tidak secara literal semata.
- Menilai bahan bukti - sejarah bukan hanya meletakkan asas sesuatu benda yang mesti dibuktikan, malah bahan bukti itu juga perlu dinilai kekuatannya untuk diterima sebagai bahan bukti.
- Mengaitkan semalam dan hari ini - memahami semalam adalah kunci untuk memahami semasa. Mereka yang buta semalam, akan terjebak dalam bencana mengulangi kesilapannya.
7. Kritikan penulis tentang novel berinspirasikan sejarah Islam yang hanya menggunakan sedikit fakta dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang. Hal ini menyebabkan perkara yang masuk dalam minda pembaca novel tersebut hanyalah imaginasi pengarang dan bukan hakikat sebenarnya. Novel sebegini disangka sedang berbakti untuk sejarah, tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran.
BUKAN SEKADAR TRAVELOG
Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi bukan saja sebuah buku travelog tetapi ia juga buku pemikiran. Huraian pendapat oleh penulis banyak membantu saya menjelaskan beberapa kekeliruan isu tertentu.
Pun begitu, ada topik yang sukar untuk saya faham dan hadam. Tetapi tidaklah sampai mengganggu keseronokan membaca buku ini.
Semoga perkongsian catatan bacaan saya ini memberi manfaat bagi diri saya dan kalian yang membaca. Buku yang bagus, tetapi kalau nak mengulang baca tentu bukan mudah bagi saya. Dengan adanya catatan ringkas begini memudahkan saya mengingat kembali sebahagian kecil isi buku setebal 440 halaman ini.
“…medan populis.
Medan yang memberikan banyak perkara yang saya perlu, tetapi semakin menjauhkan saya daripada perkara yang saya mahu. Medan yang memberikan masyarakat banyak yang mereka mahu, tetapi semakin menjauhkan mereka daripada perkara yang mereka perlu.” - petikan halaman 418.
Dah lama sy tak baca nukilan Ust Hasrizal...
ReplyDeleteSaya suka penulisan beliau, itu yang banyak kumpul buku-buku beliau.
DeleteMenarik kupasan Kak Ujie tentang isi kandungan buku ni. Gambar di kulit muka depan pun mempesonakan.
ReplyDeleteTerima kasih Carneyz.
DeleteKulit bukunya cantik, rasa semangat nak membelek buku.
Bila baca buku, Ujie suka catat isi penting dalam buku nota, ye?
ReplyDeleteBuku sebegini, macam susah sikit saya nak faham. Contoh perkataan seperti menalar, jargon, retorik. Tebal tu, 440 halaman.
Tak catat dalam buku, saya guna kaedah tagging. Mana-mana isi penting atau kata-kata menarik, saya letak tag di muka surat tu. Senang nak rujuk semula.
DeletePerkataan yang saya tak faham, saya buat carian lepas tu terus catat di buku tu. Kira conteng la, guna pensil.
Uncle terus gugel 'menalar'... hehehe
ReplyDeleteTerbaik ni 😀
Deletemenarik juga buku ini dan agak ilmiah untuk difahami...saya belum kuat lagi baca buku
ReplyDeleteSaya ni pun ambik masa lama nak habiskan bacaan 😄
DeleteKalau tengah hilang minat membaca, boleh mula semula dengan bahan bacaan ringan macam novel.
Kontroversi juga pasal dahulu pernah Ustaz Hasrizal tegur kisah sejarah dijadikan novel. Ada ikuti.
ReplyDeleteBuku tulisan begini memang berat dan perlukan kefahaman. Baca kemudian berhenti untuk hadam. Hehr terfikir kalau dapat dipermudahkan gaya bahasa.
bkn setakat mengembara tp ada tauladan di setiap peristiwa
ReplyDeletetulisan Ustaz Hasrizal ni mmg menarik, membuat kita berfikir & merenung hikmah yg tersirat...
ReplyDeleteyg no. 5 tu bagi pendapat saya, pendakwah perlu flexible, content tak berubah, cuma method & approach perlu sesuai, nak tak nak kena guna medsos sbb zaman ledakan IT..sekrg ni anak muda jarang tengok TV..pendakwah lbh bebas berdakwah guna medsos...
bukan calang-calang tokoh. no wonder ustaz sangat mengagumi insan warak lagi berilmu seperti imam birgivi
ReplyDeletebenarlah jata org jauh perjalanan luas pandangan... ustaz betul2 menghayati setiap langkah pengembaraannta
review👍👍👍insya allah kalau sy singgah pesta buku nnt sy try cari buku ni