Friday 16 December 2022

Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh

Lokasi terakhir aktiviti jalan-jalan tanpa dirancang di negeri Perlis, adik ipar dan suaminya membawa kami ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh. Pada mulanya saya sangka ia tempat sama yang pernah saya dan encik suami kunjungi pada awal tahun ini, iaitu Dataran Empangan Timah Tasoh. Ternyata kedua-dua tempat tersebut berbeza, tetapi masih berada di sekitar tasik yang sama iaitu Empangan Timah Tasoh.

Masuk tempat ni percuma je. Kawasan parkir juga percuma tetapi terhad.

Datang ke sini sekadar nak melihat-lihat dan menikmati suasana tasik saja pun boleh. Tetapi kalau nak pengalaman yang lebih seronok sambil merancakkan ekonomi komuniti nelayan darat di sini, bolehlah kita membeli produk atau perkhidmatan yang tersedia.

Boleh beli dedak ikan untuk merasai pengalaman bagi ikan makan atau beli ikan pekasam untuk dibawa pulang. Di sini juga kita boleh melakukan aktiviti berkayak, berkhemah atau menaiki bot untuk bersiar-siar di sekitar tasik.
Boleh juga duduk santai atau berbuai sambil menikmati suasana tasik.
Di hujung sana terletaknya kawasan perkhemahan. Menarik juga kalau dapat berkhemah di sini, ambil pengalaman berkhemah di tepi tasik.
Bagi yang membeli dedak ikan, bolehlah ambil pengalaman memberi makan ikan di sini. Yang lucunya, kami sangka ini adalah sangkar ikan. Sebab kami nampak sangat banyak ikan di sini, memang meriah setiap kali ada pengunjung yang mencampakkan dedak ikan. Tetapi rupanya tiada sebarang sangkar/jaring pun, ikan-ikan tersebut merupakan ikan yang bebas hidup di tasik ini.

Aktiviti kami - menaiki bot untuk bersiar-siar di sekitar tasik. Bayaran dikenakan sebanyak RM50 sebuah bot yang memuatkan 6 orang penumpang bagi tempoh bersiar-siar selama 30 minit.

Berbeza dengan pengalaman menaiki bot di lautan, perjalanan menaiki bot di tasik adalah lebih tenang dan santai. Selain faktor tiada ombak kuat seperti di lautan, bot kami juga dibawa perlahan.
Pemandangan tasik dengan latar Banjaran Nakawan yang menjadi pemisah negara Malaysia-Thailand. Di sebalik banjaran itulah negara Thai. Di sini juga kami dapat menyaksikan nelayan darat sedang menangkap ikan.
Sambil bersiar-siar, kami berbual bersama encik pemandu bot yang membawa kami. Beliau juga menunjukkan kawasan kampungnya suatu masa dahulu yang kini telah pun tenggelam di dasar tasik. Syahdu pula kami dengar.
Bot kami menghampiri kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan akuatik. Dari semasa ke semasa, akan ada pihak yang membersihkan tumbuhan ini supaya ia tidak menutupi permukaan tasik.

Bot kami berhenti seketika di sini. Encik pemandu bot mencadangkan kami berfoto di sini, berlatarkan Bukit Chabang di belakang kami. Bergilir-gilirlah kami 6 orang merakam memori di sini.

Sambil tu, mata saya sibuk memerhati tumbuhan akuatik yang terdapat di sini. Terdapat 2 jenis tumbuhan - pokok Keladi Bunting dengan bunga berwarna putih ungu dan pokok Setangki dengan bunga berwarna kuning. Daun pokok Setangki ni seakan pokok Semalu kerana kedua-duanya berasal daripada keluarga yang sama. Nak tahu info lanjut berkenaan pokok Setangki yang boleh dimakan ini, boleh baca entri di blog Wak Warisan Petani.


Sedikit gambaran suasana di sini menerusi paparan video berdurasi 0:37 minit.

Kalau kalian berkunjung ke Perlis, jemputlah datang ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh ini ya. Untuk ke sini, buat carian di Google Maps - Dataran Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh.

Tamatlah catatan jalan-jalan kami di Perlis pada bulan Oktober lalu. Tujuan asal cuma nak datang menziarahi adik ipar sekeluarga. Tapi jadi eksplorasi destinasi menarik di Perlis pula 😃. Masih ada lagi tempat menarik yang belum kami sampai di Perlis. InsyaAllah pada kunjungan akan datang.




29 comments:

  1. subhanallah tenang mata memandang tasik tu

    ReplyDelete
  2. Bagus la Kak Ujie & suami rajin meneroka tempat2 alam semulajadi kat Malaysia ni.

    ReplyDelete
  3. Bertambah menarik Timah Tasoh ada banyak aktiviti. Sekarang Perlis bukan macam dulu tak ada apa yang menarik. Sekarang ada macam-macam tempat menarik di Perlis. Itupun banyak tahu dari blog Kak Ujie ni. Boleh buat rujukan.
    Bot dia menarik ada hiasan. Tapi risau pulak kat keladi bunting tu. Saya ni aquaphobia, mudah terbayang something dalam air..huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh...camtu Fiza kena elak aktiviti air. Tapi masih boleh duduk santai menikmati keindahan tasik.

      Delete
  4. besarnya tasik dia... ada orang scuba dive tak?

    ReplyDelete
  5. best nya..suzie belum sampai sini lagi..masih dalam list JJCM ker perlis soon..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jemput datang ke Perlis Suzie, banyak tempat makan menarik & lokasi eko-pelancongan yang menarik untuk dikunjungi.

      Delete
  6. Bagi budak-budak tentu seronok dengan aktiviti bagi ikan makan. Elok juga adik ipar bawa ke Dataran Santuari Ikan Air Tawar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya..merasalah naik bot di tasik empangan. Hehe

      Delete
  7. Pernah sekali saja jejak kaki ke Perlis. Itu pun masa majlis perkahwinan adik saya.. Bilalah nak sampai sana lagi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pertama kali saya jejak Perlis pun sebab majlis kawin adik ipar.

      Delete
  8. Teringinnya nak naik bot di tasik ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah moga ada kesempatan untuk PH sekeluarga.

      Delete
  9. Baru saya tahu, Nakawan tu adalah nama banjaran. Sebab hari tu, ada nampak event lari, Nakawan Ultra. Cantik tempatnya, tenang je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada terbaca jugak pasal larian Nakawan tu. Tentu menarik.

      Delete
  10. cantik sangat bila ada banyak pokok buluh tu kak, nampak redup je keadaan nya. Kiranya ni tasik betul ke buatan ye kak, camne agaknya kampung boleh ditenggelami tasik tu? cantik pemandangan tengah tasik tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tasik buatan, terjadi sebab buat empangan. Itu yang tenggelam kampung orang.

      Delete
  11. Nasib akak sertakan dari blog wak WP pasal pokok setangki ni, sebijik rupa macam semalu tapi tak berduri halus mcm di sepanjang batang semalu yang menjalar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak pun baru tau ada beza. Ingatkan sama je. Hehe

      Delete
  12. MashaAllah, moga dapat bawak anako-anak datang ke sini. Aamin.

    ReplyDelete
  13. Subur sungguh keladi bunting dengan pokok setangki tu Ujie. Saya pernah nampak pokok setangki. Pada mulanya saya sangka poko semalu, rupanya bukan.

    ReplyDelete
  14. banyak tempat menarik di Perlis..

    ReplyDelete
  15. Bila balik Kedah macam tak ingat pula nak ke sini..
    Cantik la..
    Sayur.setangki tu saya suka sebab bau petai..hihihi
    Tapi dia punya batang pelepah daun tu agak liat..

    ReplyDelete
  16. Tarikan baru buat saya nak ke Perlis lagi ini..
    Tq share.. Cantik betul pemandangan..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****