Tuesday, 2 June 2020

Rentas Negeri Sewaktu PKP - Selamat Tinggal Negeri Sembilan!

Sewaktu saya menulis catatan ini, saya sudah berada di Pulau Pinang untuk hari ke-4. Lebih tepat lagi bermula hari Sabtu 30 Mei lalu, saya dan suami sudah menjadi penduduk di Pulau Pinang untuk sekurang-kurangnya selama dua tahun. Tuntutan kerja suami membawa kami berpindah dari Negeri Sembilan ke salah sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia ini.

Disebabkan proses berpindah ini memerlukan kami merentas negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami ke Balai Polis terdekat untuk membuat permohonan rentas negeri bagi dua orang. Tertera pada pintu balai ‘Tiada Permohonan Rentas Negeri. Tiada Borang’. Suasana di Balai Polis agak lengang dan ini memudahkan urusan kami. Suami hulurkan surat arahan kerja kepada pegawai polis bertugas dan menerangkan keperluan berpindah untuk kami berdua. Setelah menjawab beberapa pertanyaan, surat tersebut dicop dan diturunkan tanda tangan. Pegawai polis juga menulis tarikh perjalanan dibenarkan, sebab rentas negeri dan nombor pendaftaran kenderaan dinaiki.

29 Mei - petang hari terakhir di rumah Negeri Sembilan, jiran-jiran memberikan hadiah perpisahan. Beberapa hari sebelum tu pun masing-masing dah memberikan ucapan dan doa di grup WhatsApp. Ada yang terus mesej secara peribadi dengan kata-kata yang membuat saya terasa sedih nak meninggalkan kejiranan yang mesra ni. Setelah lebih enam tahun menetap di situ, malah menjadi penduduk terawal berpindah masuk, memang cukup berat hati nak berpindah. Insya Allah ada rezeki saya akan kembali ke Negeri Sembilan selepas dua tahun.

Rentas Negeri : Dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang
30 Mei - kami bergerak meninggalkan rumah di Negeri Sembilan sekitar pukul 8.05 pagi. Perlu bergerak awal sebab risau jalan sesak dek sekatan jalan raya, juga sebab nak melawat beberapa rumah yang bakal di sewa. Proses pindah rumah kali ini jauh berbeza dari sebelumnya, kami pindah hanya dengan isi muatan sebuah kereta dan kami masih tiada rumah untuk diduduki di Pulau Pinang.

Kami tak berkesempatan cari rumah sebab sewaktu tawaran kerja diterima, PKP Fasa 1 bermula. Diringkaskan cerita, kira-kira seminggu sebelum 1 Syawal suami dapat arahan masuk kerja  di Pulau Pinang (walaupun PKP masih belum berakhir). Bermulalah detik-detik kesibukan menguruskan itu ini - nak meninggalkan rumah hampir 400 kilometer tanpa tahu bila boleh kembali (sebab bergantung kepada PKP).

Bertemu sekatan jalan raya (SJR) yang pertama - lokasi di Sepang (sebelum susur keluar bandar Serenia). Kenderaan tak banyak, tak perlu beratur lama.

Lebuhraya pada keseluruhannya agak lengang, perjalanan lancar. Tapi hati-hati jangan memecut, sebab ada polis trafik menunggu di pembahagi jalan tu...hehe.

Bertemu sekatan jalan raya (SJR) yang kedua (juga terakhir) - lokasi di Behrang. Masa ni perlu menunggu agak lama untuk melepasi sekatan.

Kira-kira pukul 11.50 pagi, kami berhenti untuk makan di R&R Bukit Gantang, Perak. Saya bawa bekalan yang di masak semalam dan dipanaskan awal pagi tadi. Kami makan di dalam kereta. Saya kemudiannya sempat memerhati sekitar R&R sewaktu nak ke tandas, keadaan sunyi dan lengang. Semua tempat duduk, gazebo, kedai dililit dengan pita merah putih. Hanya terdapat sebuah kedai makan beroperasi. Di dalam tandas juga dipasang pita merah putih pada sinki untuk penjarakan sosial. Segalanya menjadi berbeza dek kerana serangan wabak 😟

Alhamdulillah perjalanan lancar. Sekitar pukul 1.20 tengah hari, kami tiba di sini...terus menuju ke rumah sewa untuk tujuan lawatan. Sebelumnya, suami dah pun buat dua temujanji dengan dua orang ejen untuk melawat rumah sewa. Walaupun badan terasa penat, mata mengantuk, tapi perlu gagahkan diri untuk misi mencari rumah sewa pulak. Kot boleh terus masuk memang rezekilah, kot tak boleh masuk kami akan menginap di hotel bajet berhampiran. Dan kalau dua-dua rumah ni kami tak berminat, misi pencarian akan diteruskan esok pula. Fuh...

15 comments:

  1. Fuhhh...mencabar tu kak ujie...pindah masa PKP ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pengalaman sungguh 😅
      Tak sangka kena berpindah masa2 gini.

      Delete
  2. Selamat jadi orang Penang..semoga dipermudahkan segala urusan..

    ReplyDelete
  3. semoga dipermudahkan segala urusan di penang... saya pernah bercuti selama seminggu di penang.. nmpk menyeronokkan terutama di kawasan Georgetown dan batu feringghi. tapi bercuti dengan bekerja dan menetap sepenuhnya di sana adalah 2 perkara yg berbeza kan.. anyway, selamat meng'explore' penang :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih doanya.
      Ramai yang kata begitu...Penang seronok.
      Saya anggap lah ni satu percutian...eksplorasi sebelah utara pulak :)

      Delete
  4. seronoknya dapat balik
    tak sabar nak balik kampung

    ReplyDelete
  5. aduh mencabarnya berpindah di musim PKP ini kak, dahla jauh sangat tu... kalau takat negeri sembilan ke johor atau ke kuantan kira dekat lagi... dahla penat tak habis nk cari rumah sewa lepas tu nak mengemas pulak... huhuhu sangat mencabarnya kak, harap di permudahkan semuanya ya kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul dana...Memang sgt mencabar fizikal dan mental. Akak zikir dan doa byk2 mintak Allah bantu.
      Terima kasih doa dana :)

      Delete
  6. tak dapat bayangkan rnr yang sentiasa sesak dengan orang tiba2 takde orang dengan pita merah putih di kebanyakan sudut. sungguh berbeza..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang terasa sangat asing. Rnr kosong, tandas kosong...terasa sayu pun ada.

      Delete
  7. Semoga selesa dan gembira menetap di Pulau Pinang

    ReplyDelete
  8. Akak. Lepas akak ke penang tu, untuk hari2 seterusnya akak stay di penang ke untuk misi cari rumah sewa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah masa hari sampai tu, terus dapat rumah sewa yang berkenan.

      Tido 1 mlm di hotel berhampiran, esoknya baru dapat kunci rumah sewa.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****