Thursday, 25 June 2020

Taman Negara Pulau Pinang | Rentis Ke Pantai Kerachut

Ahad | 21 Jun 2020

Inilah destinasi tujuan saya dan suami ke Teluk Bahang - TAMAN NEGARA PULAU PINANG. Taman Negara ini terletak di bawah seliaan Jabatan PERHILITAN dan mula dibuka semula kepada pelawat pada 15 Jun lalu.

Kami ke sana berpandukan Google Maps - buat carian ‘Taman Negara Pulau Pinang’.

1. Dari jauh kelihatan kerumunan pelawat di kaunter pendaftaran. Kereta kami membelok ke bahagian kanan jalan ini dan memasuki kawasan parkir milik Persatuan Nelayan. Bayaran RM4 dikenakan. Suami minta resit bayaran, penjaga tersebut kata ‘Nanti letak di kereta’. Hmm...baliknya kami tengok takde pun letak. Penjaga pun dah tiada.

2. Notis yang diletak pada pintu masuk Taman Negara. Inilah sebabnya kami berpagi-pagian masuk ke pulau, bimbang tak dapat masuk kalau dah cukup 160 orang tu.

Kami kemudiannya terus menuju ke kaunter pendaftaran, masuk laluan untuk warganegara, ambil handphone dan scan QR Code tersedia. Isi borang elektronik, dah siap tunjuk kepada staf bertugas dan boleh terus masuk ke pintu masuk Taman Negara. Tiada bayaran dikenakan, PERCUMA!

3. Sebelum masuk, kita fahamkan dulu peta ringkas Taman Negara Pulau Pinang ni. Juga masuk ke tandas  untuk selesaikan apa yang patut.

4. Pintu masuk ke Taman Negara Pulau Pinang. Perjalanan kami bermula pada pukul 9.18 pagi.

5. Perjalanan bermula dengan santai, disambut dengan bunyi hempasan ombak di pantai yang terletak di sebelah kanan laluan. Inilah salah satu keunikan Taman Negara Pulau Pinang - kita masuk hutan tapi ada pantai di sebelahnya.

6. Kami berhenti sekejap menikmati keindahan pantai yang bersih dan kelihatan dijaga dengan baik.

7. Seterusnya, kita akan melalui jambatan gantung Jambatan Pasir Pandak.

8. Melepasi Jambatan Pasir Pandak, laluan akan berpecah dua. Kanan atau kiri. Kami memilih untuk ke kiri - rentis ke Pantai Kerachut. Tertera pada papan di atas bahawa jarak untuk ke Pantai Kerachut adalah sejauh 2.92 km.

9. Selain melalui binaan bertangga, kita juga akan melalui laluan sebegini. Pada mulanya saya agak hairan bagaimana terbentuknya laluan hutan begini, macam jalan dalam longkang besar. Menurut papan info tersedia, laluan ini dikenali sebagai ‘Jalan Penarikan’. Ia bukanlah terhasil daripada aliran air semula jadi, tetapi ia adalah lorong yang terbentuk akibat kerja-kerja membawa keluar kayu balak menggunakan kerbau. Ia berlaku sekitar tahun 1940-an di mana pada masa tersebut masyarakat menggunakan kayu pokok dari kawasan ini untuk membina rumah dan bot. Begitulah sejarahnya...

10. Kalau tadi di awal perjalanan kita jumpa pantai. Sekarang kita jumpa anak sungai pula. Dari jauh dah kedengaran bunyi aliran air sungai, bagai memanggil-manggil saya supaya mempercepatkan langkah untuk ke sini. Inilah anak sungai pertama yang kita lalui, dan selepas ini kita akan menemui banyak lagi anak sungai. Sesekali kami akan berhenti untuk membasuh tangan atau muka, airnya jernih dan sejuk menyegarkan.

11. Walaupun tanpa juru pandu, Insya Allah kita tak sesat sebab ada banyak papan tanda arah disediakan.

12. Jika tadi kita melalui laluan ‘Jalan Penarikan’, kali ini kita melalui laluan yang dikenali sebagai ‘Bukit Belah’. Menurut sejarahnya, bukit ini telah ‘dibelah’ menggunakan cangkul dengan tujuan memudahkan proses membawa keluar kayu balak yang ditarik dengan kerbau.

13. Pukul 10.07 pagi, kami tiba di papan tanda ini - Bukit Batu Itam Trail. Tapi bukanlah kami akan ke Bukit Batu Itam, sebab jaraknya lebih jauh dan memerlukan juru pandu.

14. Beginilah rupa jambatan mini yang disediakan untuk kita menyeberangi anak-anak sungai. Diperbuat daripada konkrit, kukuh dan selamat. Kami cuba mengira berapa kali kami dah melalui jambatan begini, tapi tiap kali tu terlupa ni ke berapa. Haha...ini menunjukkan bahawa ada banyak anak sungai yang perlu kita lalui untuk tiba ke Pantai Kerachut.

15. Yeayy...lagi 1km je nak sampai Pantai Kerachut! Bunyi macam dekat je kan? Haha...1km jalan dalam hutan, memang terasa jauh.

16. Kat sini ada satu simpang ke kiri, bagi mereka yang nak ke Teluk Kampi dan tapak perkhemahan.

17. Laluan bertangga paling menguji mental dan fizikal saya masa nak berpatah balik, sebab mendaki. Entah berapa anak tangga, tapi memang jauh nun ke bawah tu. Ni masa turun oklah kan, nak naik tu memang terasa seksa.

18. Papan tanda ni kata lagi 100 m, 5 minit. Hmm...tipu sungguh tau, sebab catatan masa saya sekitar 10 minit. Suami kata, tu renjer hutan yang jalan memanglah dia dapat buat 5 minit je. Kita ni siapa? Haha...

19. Ini gambar pandangan sebelah kiri laluan kami, ada tasik! Satu lagi keunikan Taman Negara Pulau Pinang.

20. Alhamdulillah! Bila kita jumpa Jambatan Pantai Kerachut ni bermaksud kita dah pun tiba ke penghujung perjalanan. Jambatan gantung yang panjang dan kukuh.

21. Dari atas jambatan gantung tadi, ini pemandangan sebelah kanan. Lautan terbentang luas. Cantik!

22. Kita lihat sebelah kiri pulak, inilah sebahagian tasik yang kita nampak masa dalam perjalanan tadi. Tasik ni unik tau, bukan biasa-biasa. Air dari laut (sebelah kanan) memasuki tasik ni.

23. Tasik Meromiktik (Meromictic Lake) - tasik yang mempunya dua lapisan air berbeza suhu dan ketumpatan, di mana air laut berada di bahagian bawah (lebih tumpat) manakala air tawar berada di bahagian atas.

24. Kita terus ke depan lagi, sampailah ke Pantai Kerachut. Pantai yang cantik, bersih. Nampak ada jeti kat depan lagi tu. Tapi kami dah penat, malas nak melihat-lihat apa ada di depan sana. Terus cari tempat nak berehat dan makan bekalan di bawa. Tiada kemudahan tandas kat sini (info hasil berborak dengan seseorang yang kami temui dalam perjalanan tadi).

Lepas kumpul tenaga semula dan melihat-lihat sekitar, kami memulakan perjalanan untuk kembali ke pintu masuk Taman Negara. Jika tadi masa pergi kami banyak berhenti sebab saya sibuk memerhati tumbuhan dan mengambil gambar, masa baliknya saya simpan handphone dan fokus pada perjalanan je. Tenaga pun makin kurang, rasa menyesal pulak tak amik bot untuk balik..haha.

Tips :
  • Selain melalui rentis hutan, pelawat juga boleh memilih untuk naik bot (samada pergi-balik, atau pergi/balik sahaja) untuk ke Pantai Kerachut. Caranya - lepas daftar diri di kaunter pendaftaran, boleh terus ke kaunter jualan tiket bot yang ada di situ. Lupa pulak saya nak tengok kadar bayarannya.
  • Bawa air dan makanan secukupnya, simpan dalam beg supaya tak jadi perhatian monyet (kami bertemu kumpulan monyet pada awal perjalanan je, lepas tu tak jumpa dah).
  • Trekking pole (tongkat) sangat membantu untuk mendaki anak-anak tangga yang banyak.
———————————————————————-

Rekod perjalanan saya melalui rentis hutan ke Pantai Kerachut, bermula dan berakhir di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang. Perjalanan pergi sekitar 1 jam 55 minit, manakala baliknya sekitar 1 jam 25 minit. Tak termasuk masa rehat dan makan di Pantai Kerachut.

Alhamdulillah...selesai satu misi hutan! Setelah lebih tiga bulan, saya kembali menikmati hutan 🥰. Masih ada lagi rentis lain yang boleh kita cuba di Taman Negara Pulau Pinang ni. Insya Allah lain masa pulak.

Perjalanan yang seronok walaupun memenatkan dan kadangkala rasa seksa. Memerhati hutan dan segala isinya adalah terapi buat saya. Juga seronok bertemu orang baik-baik. Sepanjang perjalanan kami saling berbalas sapaan pelawat lain - memberi salam / ucap selamat pagi, saling mengucapkan terima kasih jika ada yang memberi laluan, sempat juga berborak mesra bagai dah lama kenal. Tak kira bangsa - Melayu, Cina, India dan orang putih. Beberapa kali juga saya ditanya dari negeri mana, mungkin sebab tak bercakap loghat utara. Seronok tengok Cina pun cakap loghat utara...hehe.

Jom...nikmati khazanah alam di Taman Negara Pulau Pinang!

12 comments:

  1. kalau dana di beri pilihan dana lebih pilih pantai dari kene masuk hutan baru jumpa pantai hehehhe...
    cantik la tasik tuh, boleh nampak ke camne rupa perbezaan air tu ke kak ek

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yg akak perasan, ada perbezaan warna & kekeruhan air kat bhg awal air laut masuk ke tasik.

      Yg kat tasik luas tu, tak nampak beza.

      Delete
  2. tak tahu ada tempat macam ni kat P.Pinang.. buleh jadi tempat aktiviti dengan kawan2

    ReplyDelete
  3. bestnya taman negara ada pantai, ada hutan..cantik pantai kerachut..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dan ada anak sungai, tasik.
      Sume la ada. Pakej lengkap..hehe

      Delete
  4. wahh., menarik tu ke pantai kerachut penang., jalan2 dibawah lembayung pokok2 hutan ;p

    ReplyDelete
  5. dah lama izzati tak datang sini. banyak berubah ye tempatnyer.

    ReplyDelete
  6. ni bru btol2 terapi minda..

    ReplyDelete
  7. bestnya taman negara ni dekat dengan pantai, menarik betul

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****