Monday, 25 May 2020

Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H

Selamat Hari Raya kepada semua sahabat blogger!
Alhamdulillah...semalam kita dah melalui 1 Syawal yang penuh bermakna dan pastinya begitu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lebih terasa berbeza bagi yang terhalang oleh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk pulang beraya di kampung halaman. Semuanya menjadi satu catatan sejarah dalam lipatan kisah hidup kita. Warna-warni kehidupan, mungkin pahit untuk dilalui namun ada kemanisan tersendiri untuk dikenang.

Atas halangan PKP, raya tahun ni saya dan suami tak pulang beraya di kampung kami di Johor. Sebenarnya ini bukan kali pertama kami beraya berdua, seawal tahun pertama berkahwin kami dah merasa beraya berdua sebab suami perlu bertugas pada 1 Syawal. Masa tu kami tinggal di kuarters pekerja, jadi saya cuma menjemput jiran-jiran pekerja asing untuk datang makan juadah raya (yang saya sediakan dengan susah payah sebab itu pengalaman pertama masak segalanya sendiri). Untuk kali kedua ni, takdelah jemput jiran kan...sebab PKP.


Catatan Sejarah 1 Syawal 1441H Bagi Diri Saya :

1. Tiada kesibukan di malam raya. Tiada aktiviti masak-masak dan kesibukan lainnya yang membuat letih badan yang kadang-kala berlarutan hingga lewat malam. Santai dan tenang.

2. Malam raya yang aman dan bebas sakit hati. Tiada 'serangan' mercun bertalu-talu yang menggegar bagai letupan bom, ia berlaku saban tahun sama ada di rumah mak saya atau di rumah mertua. Sehingga hampir tercetus pergaduhan dek bumbung rumah mertua yang rosak dihujani mercun dan tingkap nako rumah mak saya yang pecah (serta ada kesan terbakar pada langsir) dek lontaran mercun jiran. Anak saudara yang masih bayi pun terkejut dari lena dan menangis. Aduan polis? Pernah adik saya telefon mengadu, tapi jawapannya menghampakan. Masalah tak selesai. Hiduplah kami tahun demi tahun dengan perangai manusia yang pentingkan diri sendiri dan tak terima teguran, hanya masa mampu menyelesaikannya.

3. Menu raya yang sedikit. Pagi raya selepas solat Subuh, saya memulakan kerja memasak. Nasi impit segera dah pun dimasak semalam dengan cara yang mudah dan pantas - menggunakan PPC (Philips Pressure Cooker). Pagi raya selepas solat Subuh, saya terus ke dapur mengukus ketupat palas frozen, memasak Daging Masak Sate menggunakan PPC (daging sudah diperap dengan bahan perapan sejak semalam) dan memasak Lodeh. Bila berdua saja tak perlulah bermacam menu. Saya masak Daging Masak Sate sebab tu makanan kegemaran suami dan merupakan semacam hidangan wajib keluarga sebelah suami. Masak Lodeh pula sebab nak ada kuah dan sayuran, juga sebab ia antara hidangan tradisi bagi orang Jawa Johor. 

4. Menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah di rumah. Kami mulai solat sekitar pukul 9.20 pagi. Terlewat sedikit daripada jadual asal sebab nak selesaikan hal di dapur. Terasa lain perasaannya bila solat sunat raya kali ini berimamkan suami.

5. Mendengar khutbah raya daripada suami. Pada awalnya saya sangkakan tiada khutbah raya (bukan syarat sah solat sunat raya, tak mengapa tak buat). Tapi semasa saya sibuk di dapur memasak awal pagi tadi, rupanya suami pula sibuk berlatih membaca teks khutbah JAKIM di ruang tamu. Alhamdulillah...buat pertama kali dalam hidup dapatlah pengalaman mendengar khutbah raya yang dibacakan oleh suami. Kadang saya nak ketawa sebab rasa macam kelakar dan comel pulak suami baca khutbah, mujur dia tak perasan reaksi saya dek khusyuk menjalankan tugas.

6. Buat video ucapan raya dan video call untuk Mak/Mertua di kampung. Disebabkan internet di rumah Mak saya tak berapa baik untuk kami buat video call, saya pilih untuk rakam video. Selesai solat sunat raya - kami duduk berdua di kerusi ruang tamu, pasang handphone pada tripod dan mula buat video pendek. Terus send ke Mak. Mak reply melalui voice note sambil ketawa-ketawa. Senang hati saya dengar suara Mak bukan dalam nada sedih. Kemudiannya kakak yang berpeluang balik kampung turut berkongsi gambar-gambar raya bersama Mak kami dalam grup WhatsApp keluarga. Manakala untuk mertua, terus buat video call. Walaupun ada gangguan suara, tapi dapatlah saling melihat wajah satu sama lain. Alhamdulillah adanya teknologi membuat kita selalu dekat.

7. Ziarah raya versi PKP. Rumah kami tak berapa jauh dari rumah adik saya (tak sampai 10 minit pemanduan). Tiada perancangan beraya bersama memandangkan adik ipar tak berapa sihat. Jadinya kami ke rumahnya sekadar nak berkongsi juadah raya yang saya masak, hantar depan pintu saja. Tapi kemudiannya kami masuk jugak ke rumah adik memenuhi pelawaannya. Tiada sentuhan fizikal, kami tak bersalaman - raya norma baru.

8. Membeli-belah di Aeon Nilai. Memang tak pernah dibuat seumur hidup - saya ke pusat membeli-belah pada 1 Syawal. Saya dan suami pergi selepas Asar. Orang tak sesak, tapi ramai jugaklah. Masing-masing masih berbaju raya - baju kurung, baju melayu, jubah dan lain-lain. Ramai juga yang sibuk berfoto sana-sini. Satu pemandangan yang asing dan kelakar juga. Kami pula hanya berpakaian santai dan datang dengan tujuan membeli sedikit keperluan kerja suami. Walaupun mulanya agak malas keluar rumah, tapi memandangkan 2 Syawal dah rancang nak berpuasa dan 3 Syawal suami perlu bekerja rentas negeri, maka gagahkan diri ke Aeon pada petang raya.

9. Air fryer raya! Dah agak lama berkira-kira nak beli air fryer, saya dan suami sama-sama dah buat perbandingan dan perbincangan. Dah pilih model apa nak beli. Dah tau harga diskaun terbaik ditawarkan. Jadinya semasa ke Aeon, kami sempat melihat-lihat di bahagian air fryer. Dan...air fryer yang kami nak tu memang sedang beri harga diskaun. Terus jelah beli...hehe.

10. Hari raya yang sangat santai, tak memenatkan dan tak banyak makan. Jauh berbeza dengan raya tahun-tahun sebelumnya. Biasanya selama beberapa hari Syawal tu akan kepenatan berziarah ke rumah sanak saudara dan perut sentiasa sendat dengan juadah raya.


Saya akhiri 1 Syawal dengan rasa syukur kepada Tuhan pemilik alam ini. Yang menghantar wabak juga beserta dengan segala hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan sebaik-baik perancang. Kita masih berada di Malaysia, tetapi COVID-19 telah mengubah hidup kita sekelipan mata - kita meraikan Syawal bagai berada di negara asing. Tiada masjid untuk menunaikan solat, tiada kemeriahan ziarah raya cara Malaysia, tiada istilah raya pertama kedua dan seterusnya. Hanya ada raya 1 Syawal, di lingkungan sendiri. Begitulah takdir hidup berjalan dengan penuh misteri.

Juadah 1 Syawal kami. Ringkas je, cukuplah untuk dua orang makan. Masak lebih untuk jiran dan adik. Biskut raya pun beli satu jenis, lagi satu jenis adik yang beri.

Suasana dalam Aeon Nilai, sana-sini orang berbaju raya. Mungkin ada keperluan atau mungkin sekadar menghabiskan masa pada 1 Syawal. Pengisian hari raya yang berbeza dari biasa.


Bagaimana dengan catatan sejarah 1 Syawal sahabat-sahabat blogger semua?

10 comments:

  1. Selamat Hari Raya, maaf zahir batin..

    Betul, raya tahun ni sgt santai & tak byk makan..tapi bunyi mercun tetap meriah..cuma adik 2 keluarga je dtg beraya..

    ReplyDelete
  2. Wah! 10 catatan bersejarah di hari raya!

    ReplyDelete
  3. salam aidilfitri 2020 makcik ujie tuuuh., maaf zahir batin ;p

    ReplyDelete
  4. Selamat Hari raya Aidilfitri. Maaf zahir batin ye.

    Jemput mai rumah tak boleh so jemput mai blog ja la. hehe

    ReplyDelete
  5. Selamat hari raya kak ujie.. mmg terasa kak ujie.. rumah adik sy ade dekat kl..sy di selangor pn rs risau nk menziarah .sb die ade bby.. 19 hilang .aaamiin.. maaf zahir batin kak uji.. ;).

    ReplyDelete
  6. selamat hari raya Aidilfitri.

    ReplyDelete
  7. SELAMAT HARI RAYA!!! bestla entry ini.. done follow u, follow me back :) http://acuyuhan.blogspot.com/

    ReplyDelete
  8. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat Ujie..

    ReplyDelete
  9. Maaf zahir batin Ujie....Bila difikir fikirkan ada bestnya jugak beraya kat rumah sendiri ni, tak penat hahhaa.... kalau kat kg nanti adik beradik dtg rumah mak pagi Raya, penat jugaklah.... kurang hasam betul adik mcm ni hahaha....
    Senangnya ada pressure cooker ye Ujie....sekejap je masaknya. Mcm nak carik jugaklah seketul

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****