Showing posts with label Thailand - Songkhla. Show all posts
Showing posts with label Thailand - Songkhla. Show all posts

Wednesday, 18 September 2024

Seketika di Bandar Hatyai

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla, Thailand | Ahad, 25 Ogos 2024]

Semasa dalam perjalanan pulang ke Perlis, konvoi kami singgah seketika di bandar Hatyai.

5.39 petang waktu Thai.
Aliran trafik sesak di bandar Hatyai.

Kami ke pusat beli-belah Central Hatyai. Geng konvoi sibuk membelek barang dan shopping, saya pada kebanyakan masa cuma duduk di bangku memerhati gelagat manusia.

Kami menghabiskan masa di sini sekitar 1 jam 30 minit. Satu hal yang menarik, pusat beli-belah ini tidak mengenakan caj parkir. “Percuma…”, seorang petugas perempuan di kaunter masuk parkir memaklumkan kepada kami. Kami cuma diberi sekeping kad yang perlu dipulangkan sewaktu keluar.

8.16 malam waktu Thai.
Kami singgah untuk menunaikan solat jamak Maghrib Isyak di stesen minyak PTT. Cantik dan bersih ruang solatnya. Ruang kecil ini tak berbau hapak sebab ada ventilation fan di siling. Tempat wuduknya pun bersih. Pendek kata, memang selesa singgah solat di sini.

Ikut rancangan awal, kami singgah di stesen minyak PTT ini untuk solat dan mengopi di Cafe Amazon. Tapi rupa-rupanya Cafe Amazon tutup awal. Tak ada rezekilah.

Kami ke 7-Eleven untuk membeli barangan, saya beli juga sekampit beras wangi Thailand - Royal Umbrella pek warna oren. Biasanya saya beli di Malaysia pek warna merah. Secara perbandingan (berdasarkan kadar tukaran wang semasa), harganya lebih murah tetapi tidaklah terlalu berbeza.

10.06 malam waktu Thai.
Tiba di pekan Danok, kami berhenti sekejap untuk mengisi perut. Ini merupakan kali pertama saya berada di Danok, sebuah pekan yang nampaknya cukup meriah walaupun sudah lewat malam.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke pintu sempadan di Sadao Border Checkpoint. Tak begitu jauh dari tempat kami makan tadi. Semasa dalam perjalanan, saya perhatikan terdapat kedai-kedai dengan suasana lampu suram. Mulanya saya hairan, kenapa buka kedai makan tapi lampu suram. Selepas itu barulah saya faham, ia bukan kedai makan biasa tetapi mungkin pusat karaoke dan seumpamanya.

Tambahan penceritaan - kediaman kami terletak tak begitu jauh dari sempadan Thai, memang agak biasa kami dengar bunyi muzik kuat pada waktu malam jika berada di luar rumah. Menurut jiran, bunyi tersebut datang dari Danok.

Catatan ‘day trip’ ke wilayah Songkhla, Thailand berakhir di sini. Alhamdulillah trip konvoi kami tiga kereta semuanya berjalan lancar. Memang terasa penat tapi seronok dapat melihat tempat orang.







Friday, 13 September 2024

Masjid Pusat Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla, Thailand | Ahad, 25 Ogos 2024]

Menyambung kembali catatan lawatan singkat ke Songkhla. Selepas menikmati hidangan di The Seaside Halal, konvoi kami menuju ke sebuah masjid yang terkenal di sini iaitu Masjid Pusat Songkhla (The Central Mosque of Songkhla).

Ia juga dikenali sebagai masjid ‘Taj Mahal’ kerana seni binanya dan juga dikenali sebagai masjid ‘orang Malaysia kahwin’ - suatu kenyataan yang tak sedap kita dengar.

Kami ke sini untuk menunaikan solat jamak Zohor-Asar, serta nak melihat sendiri rupa masjid besar yang menjadi lambang kewujudan agama Islam di wilayah Songkhla.

Semasa kami tiba, kelihatan beberapa buah bas diparkir di perkarangan bangunan masjid. Suasana petang tersebut agak meriah dengan pengunjung. Saya sempat berbual ringkas dengan salah seorang pengunjung, katanya mereka dari Jawa Barat, Indonesia.

Di suatu sudut (kedudukan jauh sedikit dari masjid), saya lihat ada sebuah makam. Carian saya mendapati, makam tersebut milik Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon yang meninggal dunia pada tahun 2023.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Pemandangan bahagian hadapan Masjid Pusat Songkhla. Foto-fotonya kurang menarik kerana cuaca mendung selepas hujan membasahi bumi.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Perlu mendaki anak tangga untuk masuk masjid. Kemudian perlu menuruni anak tangga untuk ke tempat wuduk dan tandas di tingkat bawah. Tak sesuai bagi mereka yang ada masalah lutut.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Bahagian dalam masjid - ruang solat utama. Sebelah kiri yang ada penghadang tu ruang solat muslimah. Masjid ini tak menggunakan karpet, terasa sejuk tapak kaki melangkah. Bagusnya lantai begini, lebih mudah penjagaannya dan tak perlu dana untuk ganti karpet usang.

Masjid Pusat Songkhla, Thailand
Seni bina yang dikatakan seperti Taj Mahal di India. Maka sebab itu masjid ini juga dikenali sebagai ‘Taj Mahal Thailand’. Tapi saya lebih suka jika kita tak menyebut satu-satu tempat itu dengan nama tempat lain. Setiap tempat adalah unik dan ada identitinya sendiri.

5 petang waktu Thai.
Mengabadikan memori di Masjid Pusat Songkhla. Berjalan dengan ‘kanak-kanak riang’ memang sentiasa aktif dan ceria 😀. Saya tiada dalam foto sebab jadi tukang foto.

Hari sudah menghampiri lewat petang. Acara jalan-jalan di wilayah Songkhla masih belum berakhir. Konvoi kami menuju ke bandar Hatyai pula. Bersambung pada catatan akan datang.







Wednesday, 4 September 2024

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Sedang elok konvoi kami tiga buah kenderaan bergerak meninggalkan Zoo Songkhla, hujan turun dengan lebatnya. Destinasi kami seterusnya - kedai makan halal.

Alhamdulillah kami ternampak sebuah kedai makan halal yang terletak di tepi jalan. Mudah dilihat. Macam mana tahu halal? Ada papan tanda tertera The Seaside Halal. Masa ni hujan dah reda, cuma gerimis masih membasahi bumi.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau dari jalan raya, akan nampak sebuah pondok kecil yang dijadikan surau. Pergi belakang sikit barulah nampak ruang makan yang menghadap tasik.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Awalnya saya menyangka kedai makan ini menghadap lautan. Tetapi rupa-rupanya inilah Tasik Songkhla - tasik semula jadi terbesar di Thailand dengan keluasan 1,040 km². 

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Kalau cuaca cerah, tentu cantik dapat berfoto di jeti ini.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Saya tertarik dengan atap kedai makan ini yang menggunakan daun, entah daun apa ya? Atap daun begini nampak klasik dan mewujudkan suasana nyaman.

Kami buat pesanan makanan berpandukan buku menu tulisan Thai dan bahasa Inggeris. Antara makanan yang kami order - tiga ekor ikan siakap dan ikan jenahak (berbeza jenis masakan), tomyam seafood dan sotong celup tepung. Pantas juga mereka memasak, tak perlu lama menunggu satu persatu hidangan kami tiba di meja makan.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Setiap gelas minuman dihiasi bunga telang.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Hmm…kecewa sungguh saya bila dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Bila dimakan, potongan sotong lerai dari tepung. Rasanya juga kurang memenuhi selera saya.

Sebenarnya, tempoh hari semasa kami makan di Satun pun dapat sotong celup tepung versi jemput-jemput/cekodok. Tapi masih boleh diterima sebab rangup luarnya dan sedap rasanya.

The Seaside Halal, Songkhla, Thailand
Alhamdulillah makanan lain semuanya memenuhi selera. Habis dimakan semuanya. Seronok jalan-jalan dengan geng yang sentiasa berselera, makan apa pun licin!


Destinasi seterusnya, kami ke masjid 'Taj Mahal'.








Monday, 2 September 2024

Zoo Songkhla, Thailand

[Catatan ‘Day Trip’ ke Wilayah Songkhla | Ahad, 25 Ogos 2024]

Zoo Songkhla menjadi destinasi pertama konvoi kami di wilayah Songkhla. Lucunya, masing-masing tak tahu akan ke zoo 😂. Rata-rata ahli konvoi belum pernah ke wilayah Songkhla, jadi kami ikut saja kenderaan paling hadapan selaku tour guide tanpa bertanya arah tujuan.

Zoo Songkhla terletak di kawasan bukit, perjalanan agak berliku dan mendaki. Di sudut tertentu, saya dapat menyaksikan panorama indah lautan terbentang di bawah. Selepas itu baru saya tahu, lautan tersebut sebenarnya Tasik Songkhla.

Zoo Songkhla, Thailand
Bayaran masuk Zoo Songkhla.
Harganya boleh tahan ya untuk pelancong asing 😅. Tapi sebab dah sampai depan pintu masuk zoo, maka kita teruskan jugalah.

Anggaran bayaran dalam tukaran semasa duit Malaysia - RM44 / bayaran masuk dewasa dan RM6 / bayaran bawa masuk kereta. Kalau tak nak bawa masuk kereta, boleh naik tram dengan bayaran tertentu. Nak jalan kaki je? Tak digalakkan sebab kawasan ni luas dan berbukit. 

Zoo Songkhla, Thailand
Peta Zoo Songkhla (sumber : songkhla.zoothailand.org)
Setiap kenderaan akan diberi peta zoo dan jadual pertunjukan / waktu memberi makan haiwan tertentu, ada yang percuma dan ada yang perlu bayaran tambahan.

Zoo Songkhla, Thailand
Haiwan pertama yang saya nampak sebaik turun dari kereta. Entah kenapa, saya rasa kasihan pulak melihatnya. Di sini pengunjung boleh membeli makanan untuk beri badak makan.

Sedap tidur tengah hari ya singa. Masa ni pukul 12.15 tengah hari waktu Thai.

Pukul 12.30 tengah hari, pengunjung boleh menyaksikan secara percuma aktiviti memberi makan harimau. Mula-mula makanan iaitu daging diikat dan dimasukkan dalam air. Harimau ikut masuk air dan berusaha mendapatkan daging yang digerakkan ke sana sini. Pengunjung bersorak dan bertepuk tangan apabila harimau berjaya mendapatkan makanannya.

Zoo Songkhla, Thailand
Dua ekor harimau sedang berusaha mendapatkan daging yang digantung pula.

Zoo Songkhla, Thailand
Tak terus diberi, daging tersebut digerak-gerakkan. Saya mula rasa kasihan.

Zoo Songkhla, Thailand
Seekor lagi harimau memanjat tinggi untuk mendapatkan makanannya.

Saya tak menunggu lebih lama lagi. Saya kurang senang dengan suasana bunyi muzik kuat dipasang dan makanan diberi seperti mempermainkan haiwan yang sedang lapar. Saya rasa kasihan pulak pada harimau-harimau ini. Menurut saya, boleh saja beri makanan tanpa perbuatan mengacah harimau. Itu pun dah cukup buat pengunjung teruja dapat menyaksikan bagaimana harimau menikmati makanannya.

Lemur
Ring-tailed lemur.
Kami kemudiannya memandu ke kawasan yang menempatkan lemur. Jenis lemur yang ada di zoo ini berbeza dengan lemur yang saya lihat sewaktu kunjungan saya ke Taman Negara Bako, Sarawak. Comel dan sangat menarik rupa ring-tailed lemur. Halus je bunyi sesuai dengan rupanya. Di sini pengunjung juga boleh membeli makanan untuk diberi kepada lemur. Patutlah semuanya berkejaran mendekati kami (di sebalik jaring besi), mungkin menyangka kami akan beri makanan. 

Sloth
Linne’s two-toed sloth.
Teruja saya apabila tahu di Zoo Songkhla terdapat sloth, haiwan mamalia paling perlahan di dunia! Haiwan penghuni hutan hujan Amerika ini aktif pada waktu malam. Maka, kecewa jugalah kami sebab tak berpeluang menyaksikan bagaimana sloth bergerak. Nak tengok rupa paras sloth pun tak nampak, cuma nampak bahagian belakang badannya yang sedang berehat di dahan pokok.

Geng konvoi 10 orang (saya dan seorang lagi tiada dalam foto) di kawasan rusa.

Zoo Songkhla, Thailand
Di sini kita dapat menyaksikan rusa lepas bebas, bukan dalam kandang. Tapi kita dilarang berada terlalu dekat dengan rusa. Belum sempat dekat pun, kawanan rusa dah beredar memanjat lereng bukit. Tak sempat nak berfoto sama 😄

Tumbuhan yang menarik perhatian saya - ada buah dan bunganya berwarna purple lembut.

Setelah menghabiskan masa kira-kira 1jam 30 minit, kami beredar dari Zoo Songkhla. Masing-masing dah kelaparan, tak boleh berlama-lama lagi. Kalau ikutkan luas kawasan zoo dan haiwan yang nak diperhatikan, mungkin perlu beberapa jam di sini.

Secara keseluruhannya, Zoo Songkhla menarik untuk dikunjungi terutamanya jika datang bersama kanak-kanak. Boleh menambah pengetahuan berkenaan haiwan dan memupuk rasa sayang terhadap haiwan. Pun begitu, secara peribadi terselit rasa kurang seronok bila saya lihat ada haiwan yang seperti tak cukup makan dan mengharapkan pemberian makanan oleh pengunjung. Harapnya tak berlaku sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan-haiwan ini.


**********************************

ZOO SONGKHLA
189 Songkhla-Natawi Road,
Moo 5, Khao Roop Chang, Muang Songkhla,
Songkhla, Thailand.

Waktu operasi :
Setiap hari | 8.30 pagi - 4.30 petang







Friday, 30 August 2024

‘Day Trip’ Ke Songkhla, Thailand | Masuk Melalui Pintu Sempadan Padang Besar, Perlis dan Keluar Melalui Pintu Sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah

[Catatan hari Ahad, 25 Ogos 2024]

Tu diaaa…bukan main panjang tajuk entri 😁

Jika hujung minggu sebelumnya, saya dan geng konvoi ke wilayah Satun balik hari (day trip). Hari Ahad lalu kami balik hari ke wilayah Songkhla pula. Sebabnya, salah satu jenis insurans (voluntary insurance - property damage) yang dibeli sah selama 9 hari dengan bayaran RM80. Rugi pulak kalau cuma gunakan sehari je kan, maka kita masuk Thai sekali lagi iaitu pada hari terakhir tempoh sah insurans tersebut.

Cadangan awal - kami nak bertolak hari Sabtu dan bermalam di bandar Hatyai satu malam. Lebih santai dan dapat pergi banyak tempat disekitar wilayah Songkhla. Disebabkan buat keputusan saat akhir, memang susahlah nak dapat hotel dengan bilik yang banyak untuk ahli konvoi seramai 10 orang dewasa. Maka, balik hari sajalah nampaknya.


WILAYAH SONGKHLA, THAILAND
Info ringkas wilayah Songkhla :
  • Songkhla merupakan sebuah wilayah (negeri) yang terletak di selatan Thailand dan bersempadan dengan Malaysia.
  • Nama asal bagi Songkhla adalah Singgora atau Singora yang bermaksud kota singa dalam bahasa Melayu.
  • Bandar Songkhla merupakan ibu negeri bagi wilayah Songkhla.
  • Bandar Padang Besar, Hatyai dan Sadao merupakan antara bandar-bandar di wilayah Songkhla. Bandar Hatyai merupakan bandar terbesar di Songkhla.

‘DAY TRIP’ KE SONGKHLA
Trip kami tidak fokus kepada tarikan di bandar Hatyai, tetapi kami pergi ke beberapa tempat lain di sekitar wilayah Songkhla. Saya tandakan perjalanan kami dan tempat yang sempat kami pergi dalam peta di bawah :

Lokasi kediaman kami di tanda dengan bulatan warna biru.
  • A - Masuk Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar, Perlis
  • B - Zoo Songkhla
  • C - Makan di The Seaside Halal
  • D - The Central Mosque of Songkhla
  • E - Central Hatyai (mall)
  • F - Makan di Dannok
  • G - Keluar Thailand melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

MASUK THAILAND MELALUI PINTU SEMPADAN PADANG BESAR, PERLIS
Ini merupakan pengalaman pertama saya melalui pintu sempadan di Padang Besar. Menariknya, Malaysia dan Thailand berkongsi nama tempat yang sama iaitu Padang Besar. Jadinya kalau nak sebut Padang Besar di kawasan sempadan, perlu sebut sekali nama negara supaya tak berlaku salah faham.

Songkhla Thailand
9.53 pagi waktu Malaysia | Pos sempadan Padang Besar, Thailand.
Urusan lancar di pos sempadan Malaysia, tetapi selepas itu kenderaan kami perlu ‘beratur panjang’ dalam keadaan sesak kira-kira 30 minit untuk ke pos sempadan Padang Besar, Thailand.

Prosedur di sini - kenderaan terus sahaja pandu lalu di pos imigresen. Kami (saya, Encik Suami dan seorang rakan lelaki) tak perlu keluar dari kenderaan, hanya hulurkan pasport/pas sempadan dan tunjukkan muka menghala kamera untuk proses imbasan. Tak perlu imbas jari dan tak perlu borang TM6 (white card) seperti pengalaman saya di pos sempadan Wang Prachan tempoh hari. Bayar overtime fee di kaunter ini (baca info overtime fee di entri INI).

Juga tiada pemeriksaan kenderaan. Pegawai kastam arahkan kenderaan parkir di tepi, Encik Suami kemudiannya perlu ke satu pos lain untuk urusan bawa kenderaan masuk Thailand (custom declaration form).

Tetapi, lain ceritanya dengan dua buah lagi kenderaan ahli konvoi kami. Kenderaan A dengan tiga orang penumpang - pegawai imigresen arahkan penumpang semua turun dan buat urusan cop pasport di bangunan passport control. Manakala kenderaan B pula, tidak diarahkan parkir tepi untuk urusan custom declaration form. Jadinya kenderaan B terus keluar meninggalkan pos sempadan dan menunggu kami di tepi jalan.

Songkhla Thailand
Wayar berselirat dan berjatuhan di tanah, pemandangan biasa di Songkhla.
Lokasi kenderaan B menunggu. Sebaik tiba di sini, Encik Suami turun dan maklumkan berkenaan kekeliruan yang berlaku. Apa lagi, terpaksalah kenderaan B berpatah balik. Custom declaration form merupakan dokumen penting dan perlu dikembalikan semasa meninggalkan Thailand.


TANDAS TANPA PAIP AIR DAN SISTEM ‘FLUSH’
Selesai urusan di pos sempadan, konvoi kami berhenti seketika di Stesen Minyak PTT yang terletak tak jauh dari pintu sempadan. Di stesen minyak ini terdapat kemudahan surau, tandas, Cafe Amazon dan 7 Eleven. Kami mengisi perut di sini - beli minuman di Cafe Amazon dan beli burger di 7 Eleven.

Saya rasa kagum tengok tandas di stesen minyak PTT sebab luas, bersih tanpa bau tak menyenangkan dan ada banyak unit tandas. Memang berbeza dengan tandas di stesen minyak negara kita.

Songkhla Thailand
Unit tandas di Stesen Minyak PTT.
Tetapi saya rasa terkejut sebab tandasnya tak ada paip air dan sistem flush 😄. Terdapat kolah mini di tepi tu, mungkin sama macam sistem tangki - air akan masuk apabila paras air berkurangan. Nampaknya lain kali kena bawa portable travel bidet, lebih selesa dan yakin digunakan untuk bersuci.


BANDAR PADANG BESAR
Songkhla Thailand
10.11 pagi waktu Thai | Padang Bezar City
Berkongsi nama yang sama dengan Padang Besar di Malaysia, tetapi di sini ada beberapa versi ejaan iaitu Padang Besa, Padang Bezar dan Padang Basar


BANDAR HATYAI
Kami tiba di bandar Hatyai setelah kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Padang Besar. Memang ketara perbezaan suasana kesibukan aliran trafik dan deretan bangunan tinggi di bandar paling besar di Songkhla ini.

Hatyai, Songkhla, Thailand
11.07 pagi waktu Thai | Hatyai

Hatyai, Songkhla, Thailand
Papan tanda arah tempat menarik di Songkhla.


KELUAR THAILAND MELALUI PINTU SEMPADAN BUKIT KAYU HITAM - SADAO
Pintu sempadan di Padang Besar hanya beroperasi sehingga pukul 10 malam (waktu Malaysia), manakala pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam (waktu Malaysia)

Memandangkan kami sibuk berjalan sana sini, memang tak sempatlah nak kembali ke pintu sempadan Padang Besar sebelum pukul 10 malam waktu Malaysia. Jadinya, kenalah keluar melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam (Malaysia) - Sadao (Thailand).

Sadao Border Checkpoint, Songkhla, Thailand
10.39 malam waktu Thai | Sadao Border Checkpoint, Songkhla, Thailand.
Kami tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam - Sadao kira-kira 30 minit sebelum pos sempadan ditutup pada pukul 12 tengah malam waktu Malaysia.

Tak banyak kenderaan pada ketika ini. Urusan lancar dan pantas - tak perlu berhenti untuk pemeriksaan kenderaan. Untuk urusan cop pasport/pas sempadan - terus saja pandu lalu di pos imigresen, semua orang perlu turun untuk imbasan wajah dan serahkan overtime fee. Kemudian Encik Suami turun menuju ke pos kastam untuk pulangkan custom declaration form. Kegagalan serah kembali borang akan dikenakan denda maksima 10,000 Baht.

InsyaAllah nanti saya akan buat entri berkenaan tempat-tempat yang kami pergi di Songkhla. Banyak sungguh entri yang tertangguh, antaranya catatan trip ke Kuching. Begitulah bila berblog ikut mood 😄