Tuesday, 19 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Aktiviti Memerhati Helang & Menelusuri Sungai Kilim

Pada kunjungan kali ini, saya meletakkan aktiviti Mangrove Tour di Kilim Karst Geoforest Park sebagai aktiviti utama. Sekiranya sempat, teringin juga nak naik SkyCab untuk ke SkyBridge (saya pernah naik SkyCab pada tahun 2014, tapi masa tu SkyBridge belum wujud).

Berdasarkan semakan ramalan cuaca, berkemungkinan hujan pada pagi Isnin. Sedangkan aktiviti air perlu bermula pada waktu pagi. Memandangkan kami cuma ada dua waktu pagi di Langkawi (pagi Ahad dan pagi Isnin), kami buat keputusan pada pagi Ahad buat aktiviti Mangrove Tour dan pagi Isnin kalau tak hujan bolehlah ke SkyBridge.


AHAD | 03.07.2022

Menerusi carian pakej Mangrove Tour di internet (saya berurusan menerusi WhatsApp sebelum tiba di Langkawi), kami pilih pakej lawatan selama 2 - 3 jam, berserta makan tengah hari dan berkongsi bot dengan harga RM65 / dewasa. Bayaran deposit diperlukan, bakinya kita bayar sebelum naik bot. Kalau nak lebih privasi atau datang bersama kumpulan besar, bolehlah sewa satu bot terus ya.

Pakej lawatan ni sebenarnya tak perlu tempah awal pun, sampai di Langkawi kita boleh pilih dari mana-mana agen pelancongan. Nak terus ambil di jeti pun boleh, tapi pastikan datang awal sebelum lawatan bermula pada pukul 10 pagi. Kalau sewa satu bot, tak kisah nak mula pukul berapa asalkan tak melepasi waktu operasi bot. Tapi saya lebih suka tempah awal sebab mudah nak buat pemilihan pakej, perbandingan harga dan rasa senang hati dah urus awal.

Jomlah kita mulakan lawatan…

Langkawi Mangrove Tour
Jeti Tanjung Rhu, Langkawi.
Kami berkumpul di Jeti Tanjung Rhu sekitar pukul 9.45 pagi. Cari pengendali lawatan kita, selesaikan baki bayaran dan kemudiannya kita diberi satu pelekat tertera maklumat pengendali. Lekatkanlah di bahagian yang mudah dilihat.

Langkawi Mangrove Tour
Bot yang kami naiki, ada 13 orang pelancong.
Dalam bot kami ni semuanya orang Malaysia, ada Melayu dan Cina. Pelancong asing dikumpulkan di bot berbeza, mungkin untuk memudahkan komunikasi. Saya orang pertama naik bot, terus pilih tempat duduk depan sekali supaya mudah nak merakam foto dan video. Sangat teruja!

Langkawi Mangrove Tour
Puncak Gorila - puncak bukit dengan bentuk seakan gorila.
Encik Mahadi selaku pemandu bot merangkap jurupandu lawatan bertanya kepada kami, “Nampak tak puncak bukit tu macam bentuk apa?”. Disebabkan sebahagian besar bentuk muka bumi di Kilim ni terhasil daripada batu kapur dan telah mengalami hakisan sejak jutaan tahun lalu, maka kita akan dapat menyaksikan pelbagai formasi batuan unik di kawasan ini.

Langkawi Mangrove Tour
Aktiviti memerhati burung helang.
Perjalanan bot diteruskan ke suatu kawasan habitat burung helang. Encik Mahadi kemudiannya ‘membuang’ kulit ayam dipermukaan air untuk menarik perhatian kawanan helang. Meriahlah kawasan tersebut apabila kawanan helang mula menyambar makanan yang diberi. Sememangnya ia suatu pemandangan yang begitu mengujakan.

Pun begitu, secara peribadi saya kurang bersetuju dengan perbuatan memberi makan helang. Saya lebih suka jika kita dapat memerhati helang dalam kehidupan semula jadi. Bersesuaian dengan tujuan lawatan ekopelancongan, iaitu supaya kita belajar mengenal alam dan menghargai setiap hidupan yang ada tanpa membuat gangguan.

Langkawi Mangrove Tour
Burung Helang Merah.
Encik Mahadi menunjukkan kepada kami burung Helang Merah yang berada di dahan pokok bakau berhampiran dengan bot kami. Helang Merah inilah yang menjadi ikon bagi pulau Langkawi dan asal nama bagi Langkawi, iaitu lang - helang dan kawi - warna kemerahan. Helang Merah mempunyai kepala, leher dan dadanya berwarna putih. Manakala sayap dan bahagian badan yang lain berwarna coklat kemerahan. Memang cantik. Saya rasa seronok dapat memerhatikan helang secara dekat begini di habitatnya. 

Langkawi Mangrove Tour
Burung Helang Siput
Selain burung Helang Merah, kami juga dapat memerhati burung Helang Siput. Saiz badannya lebih besar berbanding Helang Merah. Kepala, dada, bahagian bawah sayap dan ekornya berwarna putih. Manakala bahagian badannya yang lain berwarna kelabu kehitaman. Bagaimanapun, jumlah Helang Siput adalah berkurangan berbanding Helang Merah. 

Langkawi Mangrove Tour
Aktiviti menelusuri Sungai Kilim.
Seterusnya, kami dibawa menelusuri Sungai Kilim. Suatu pengalaman yang cukup menarik sewaktu bot yang kami naiki membelok masuk di celahan hutan bakau. Masya Allah begitu indah pemandangan alam. Memang luas kawasan hutan bakau di Kilim ni dan banyak celahan, ada yang kecil (mungkin muat laluan satu bot kecil) dan ada yang luas (seperti dalam gambar di atas).

Langkawi Mangrove Tour
Memerhati hidupan di hutan paya bakau.
Bot kami berhenti di suatu kawasan yang terdapat banyak monyet. Kumpulan monyet ini bagai sudah bersedia menunggu kedatangan para pelancong dengan ‘menunggu’ di tepi sungai. Entah siapa yang nak memerhatikan siapa ni? Hahaa…

Kalau perasan, dalam gambar ni ada seekor monyet yang sedang berenang. Kisahnya, ada ahli rombongan bot kami yang memberi makan cebisan roti (dengan kebenaran Encik Mahadi). Tapi bila dibaling tu cuma jatuh dalam air sajalah sebab ringan. Monyet lain cuma memerhati, tapi monyet nan seekor ni gigih berenang. Geli hati juga tengok gelagatnya. Tapi kalau tanya saya, memang saya tak bersetuju kita beri makanan kepada monyet. Bahaya untuk kita. Seolah-olah kita mengajar monyet ni untuk mendapatkan makanan dari kita.

Cebisan roti tadi juga rupanya mengundang ikan-ikan lain datang menghampiri bot kami. Leka juga saya memerhati beberapa jenis ikan yang berebut makanan. Ada kawanan ikan jenjulung dengan muncung panjang macam ikan todak, tapi tidaklah tajam macam todak. Juga ada ikan buntal yang cantik (berwarna kuning kalau tak silap ingatan saya), berbadan hampir bulat dengan corak berbintik.

Selesai di sini, lawatan kami diteruskan ke gua-gua pula. Gua dengan nama-nama haiwan. Bersambung cerita pada entri seterusnya.





11 comments:

  1. Rupanya nama Langkawi daripada telang kawi.
    Banyak ilmu dapat belajar ketika jelajah hutan bakau

    ReplyDelete
  2. sisi lain menjelajah langkawi .. selalu nampak org share aktiviti tepi pantai sahaja ... dgn beli coklat.

    ReplyDelete
  3. cantik gambar helang tu. mungkin bagi makan supaya nak umpan helang supaya keluar kot kalau tak helang ni pemalu. eh memandai je. haha. lawa gambar. samalah kita, apa-apa suka book awal. main terjah ni risau lah

    ReplyDelete
  4. Cantiknya... last menjejakkan kaki di sini tahun 2009 dulu... skrg dh tahun 2022... hmm.. blom ada rezeki lg nk ke sana

    ReplyDelete
  5. Percutian yang bermanfaat ni. Ada tempah tour lagi.
    Ha ah, macam gorila tersenyum lebor. Tiber, teringat cerita Kong the Skull Island. :)
    Burung helang memang cantik. Bila saya tengok live, takut pun ada. Sebab rupa helang yang garang, dan saiz lebih besor dari burung biasa.
    Saya juga setuju dengan Ujie, tentang bagi makan pada haiwan ni. Itu yang bila takde makan, dia akan keluar dari habitat tu, sampai masuk kejiranan orang, cari makan.

    ReplyDelete
  6. Tour yg paling menarik kat sini!

    ReplyDelete
  7. bestnya dpt tgk real helang tu
    view menenangkan jiwa setenang pemandangan

    ReplyDelete
  8. Best tour macam ni Kak. Boleh masuk list nanti kalau jejak Langkawi lagi. Baru tahu asalnya Langkawi tu. Menarik rupa helang merah tu.

    ReplyDelete
  9. Yes pernah jugak sampai sini sekali dulu.. cantik kawasan dia.. bot pun tak dibawa dgn laju supaya tak rosak kan keadaan sekeliling.. dan kitrg dibawa ke sebuah gua.. tak ingat dah apa nama nya

    ReplyDelete
  10. Sungguh mengasyikkan!
    Pemandangan hutan bakau yang menghijau, langit biru dengan awan putih bersih! Saya suka meneroka suasana alam seperti ini. Memukau.

    ReplyDelete
  11. menarik aktiviti mcm ni..ha'ah, bahaya bagi makan pd monyet..kalau helang takpe, sebab depa sambar then pergi...tapi ikan2 yg datang oklah kan...hehe...dgn monyet buat aktiviti pandang-memandang..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****