Judul : USTAZAH ZAMAN DULU-DULU
Penulis : Maisarah Mohd. Pauzi
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan pertama 2018
Jumlah halaman : 186
Judul asal naskhah ini adalah Wanita-Wanita Merdeka. Ia kemudiannya diberi judul baru, iaitu Ustazah Zaman Dulu-Dulu kerana tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat dalam naskhah ini sememangnya mempunyai latar belakang pendidikan agama selayaknya seperti ustazah pada zaman sekarang.
Penulisan naskhah ini dibahagikan kepada lima bahagian :
- Tokoh Kemerdekaan
- Peristiwa
- Novel Emansipasi Wanita Tanah Melayu
- Citra Wanita dalam Karya Seni & Sastera
- Sejarah Silam Perempuan Nusantara
Tokoh Kemerdekaan
Bahagian yang paling menarik bagi saya adalah bahagian yang memperkatakan berkenaan empat orang tokoh kemerdekaan wanita. Saya kongsikan secara ringkas berkenaan empat orang tokoh tersebut :
- Ibu Zain atau nama asalnya Zainun Munshi Sulaiman, tokoh yang memperjuangkan pendidikan untuk anak perempuan. Beliau telah menubuhkan Kolej Tengku Ampuan Mariam (KTAM) di Johor Bahru atas tujuan membantu anak-anak perempuan untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.
- Aishah Ghani selaku Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia (1973 - 1984), beliau antara yang telah merangka undang-undang baru pentadbiran keluarga Islam yang memperketat syarat poligami. Beliau jugalah yang telah menukar nama institusi seperti Pusat Pemulihan Akhlak kepada Pusat Perlindungan Seri Puteri. Walaupun nampak kecil, tetapi sebenarnya pertukaran nama tersebut memberi kesan kepada penghuni institusi terbabit.
- Shamsiah Fakeh, seorang tokoh wanita yang sanggup berjuang dengan mengangkat senjata demi menentang penjajah British dan memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Sewaktu Undang-undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, gerakan yang menuntut kemerdekaan telah diharamkan. Disebabkan UMNO (gerakan yang tidak diharamkan British) pada masa tersebut masih belum memperjuangkan kemerdekaan, maka beliau tiada pilihan selain terpaksa menyertai komunis. Apabila jalan diplomasi sudah tertutup dan beliau pula enggan berkompromi dengan penjajah British, maka satu-satunya jalan adalah dengan mengangkat senjata.
- Khatijah Sidek, digelar sebagai Ibu Kemerdekaan Nusantara kerana perjuangan beliau bermula di tanah kelahirannya di Indonesia sehinggalah berkembang di Malaya. Pernah menyertai UMNO dan kemudian tersingkir atas satu fitnah.
Di antara empat orang tokoh di atas, Khatijah Sidek merupakan tokoh yang tidak saya kenali atau tidak tahu berkenaan beliau. Manakala tokoh yang paling menarik perhatian saya ialah Shamsiah Fakeh kerana jalan perjuangan beliau yang radikal dan cukup berani. Menurut saya, jalan diplomasi dan perjuangan mengangkat senjata kedua-duanya diperlukan demi mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan tanah air.
Saya pernah membaca dua buah naskhah berkenaan Shamsiah Fakeh dan membuat perkongisan di blog. Jemput baca Shamsiah Fakeh : Pejuang, Pemimpin & Perempuan dan Memoir Shamsiah Fakeh : Dari AWAS ke Rejimen Ke-10
Perempuan Pemimpin Serambi Mekah
Pembacaan menjadi seronok apabila kita mengetahui suatu perkara baru yang menimbulkan rasa kagum. Begitulah perasaan saya sewaktu membaca bab Perempuan Pemimpin Serambi Mekah pada bahagian akhir naskhah ini. Penulis membawa kita mengenali tokoh-tokoh wanita yang memperjuangkan kemerdekaan di tanah Acheh, negeri yang digelar sebagai Serambi Mekah.
Teruja saya apabila mengetahui di kepulauan Melayu ini dahulunya pernah mempunyai pemerintah wanita, iaitu Sultanah Safiatuddin Tajul Alam Shah. Baginda merupakan sultanah pertama Acheh. Lebih mengagumkan, Acheh juga mempunyai laksamana wanita iaitu Laksamana Kuemalahayati. Bukan setakat itu, Acheh juga mempunyai srikandi ulung yang memimpin pasukan gerila menentang Belanda dalam Perang Acheh. Beliau ialah Cut Nyak Dien.
Isi buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu : Jejak Wanita-Wanita Merdeka. |
Secara keseluruhannya, naskhah ini sesuai untuk kita mengenali secara ringkas tokoh-tokoh wanita di negara kita khasnya dan di kepulauan Melayu amnya. Mereka ini mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, dengan ilmu mereka bangkit penuh semangat menentang penjajah demi mencapai kemerdekaan. Pada hari ini selepas hampir 65 tahun kita merdeka dari penjajah, kita juga perlu penuh semangat memperjuangkan kemakmuran tanah air melalui kata-kata dan tindakan kita.
Memetik kata-kata Buya Hamka :Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.
Didikan dulu2 melahirkan generasi kaum wanita yang hebat. Semoga saya jugak berjaya mendidik anak2 perempuan saya menjadi orang2 yang hebat.
ReplyDeleteSaya baru tahu juga Acheh pernah diperintah seorang wanita. Hebat juga ada laksamana dan pemimpin gerila perempuan juga.
ReplyDeletewanita wanita hebat yg patut dicontohi wanita2 zaman sekarang
ReplyDeleteMenarik bukunya. Wanita macam ni yang patut dibanggakan, bukan pejuang feminist yang merepek-repek
ReplyDeleteHebat perjuangan dan pengorbanan wanita zaman dahulu. Bila difikirkan, belum tentu kita mampu hidup di zaman mereka. Tumpah segala airmata, keringat dan darah demi tanah air tercinta.
ReplyDeleteCover bukunya juga sangat menarik perhatian
ReplyDeletemenarik la bunga ini untuk kita telaah dan baca
ReplyDeletelebih suka tajuk yang asal, lebih menepati genre buku ni...Shamsiah Fakeh yg kontroversi..ada yg anggap dia sebagai pejuang, ada yg anggap sebagai petualang negara....hebat sumbangan wanita2 ni utk tanahair tercinta..
ReplyDeleteHebat isinya.. Terima kasih berkongsi..
ReplyDelete