Monday, 29 August 2022

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut

Bersambung kisah entri Cinta Pantai Merdeka. Perjalanan saya dan encik suami menaiki bot dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai cuma mengambil masa sekitar 3 minit. Sekejap saja sebab jarak antara dua tempat tersebut tidaklah jauh.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Jeti Tanjung Dawai.
Kami tiba di Jeti Tanjung Dawai sekitar pukul 11.20 pagi. Turun dari bot dan hulur bayaran RM3/orang kepada pemandu bot.

Dari sini kita akan nampak sebuah bangunan dua tingkat. Sebenarnya kami pun tak tahu nak menuju ke mana bila sampai di Tanjung Dawai. Dah kata boleh naik bot ke seberang, kami naik sajalah untuk ambil pengalaman. Lepas keluar dari jeti, kami ikut saja langkah kaki penumpang bot yang lain. Mereka menuju ke bangunan dua tingkat tersebut.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Arked Tanjung Dawai
Oh, rupanya inilah bangunan Arked Tanjung Dawai. Tingkat atas menempatkan kedai menjual produk hasil laut. Manakala tingkat bawah pula menempatkan kedai makan dan ada juga kedai pakaian. Tandas awam berbayar terletak di tingkat bawah, di hujung bangunan. Ada sebuah lagi tandas awam berbayar di luar bangunan arked ni.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Laksa bihun.
Disebabkan perut kami sudah rasa lapar, kami terus ke tingkat bawah arked untuk makan. Selepas berjalan melewati semua kedai makan yang ada, barulah kami masuk ke sebuah kedai makan pilihan.

Encik suami memesan laksa tapi mahu makan dengan bihun. Sejak berpindah ke utara, encik suami dah mula suka makan laksa tapi tak suka mi laksa, itu yang ganti dengan bihun. Saya pula memesan mi goreng. Kedua-duanya memuaskan selera. Semasa membayar di kaunter, wanita yang menjaga kaunter berkata, “Suka makan laksa dengan bihun ya? Ada juga pelanggan yang minta bihun goreng makan dengan kuah laksa”. Lebih kurang begitulah katanya dalam loghat utara sambil tersenyum.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Tingkat atas.
Perut dah kenyang, marilah kita naik ke tingkat atas bangunan Arked Tanjung Dawai ni. Beginilah rupa di bahagian atas (lihat gambar). Dari hujung ke hujung semuanya kedai menjual produk hasil laut. Laluan sempit sebab masing-masing memperagakan produk jualan mereka di luar kedai. Mujur juga kami datang masih awal, jadinya masih belum ramai pengunjung di sini. Itu pun sesekali hampir berlaga bahu juga bila kita melewati kedai yang sedang ada pelanggan.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pelbagai pilihan ikan masin.
Boleh dikatakan produk jualan setiap kedai lebih kurang sama saja - pelbagai pilihan ikan masin, ikan bilis, belacan dan produk lain. Ada juga produk yang dijual di kedai sini, tak dijual di kedai sana. Jadinya memang eloklah kita berjalan melihat-lihat dari satu kedai ke satu kedai. Berkenaan harga, semuanya lebih kurang saja. Kalau berbeza harga pun disebabkan saiz pek yang berbeza.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pelbagai pilihan ikan bilis.
Eh, ada ikan bilis mata biru. Saya pernah membeli ikan bilis mata biru di Lumut, rupanya di sini pun ada juga. Banyak sungguh pilihan ikan masin dan ikan bilis, rambang mata kami memilih.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Produk siap pek.
Asam jawa kepal pun ada. Menarik, tapi saya tak beli sebab dah biasa guna pes asam jawa Adabi.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Pekan Tanjung Dawai.
Pandangan sekitar pekan Tanjung Dawai dari tingkat atas arked.

Arked Tanjung Dawai - Syurga Produk Hasil Laut
Hasil membeli di Arked Tanjung Dawai - ada beberapa jenis ikan masin, sotong kering cumi, gula melaka bentuk bulat (orang tempatan panggil gula gerek) dan ikan bilis siap kopek. Harga semuanya sekitar RM60. Padahal ahli rumah cuma berdua, tapi sebab rambang mata jadinya itu nak ini pun mahu…haha! Insya Allah lain kali bolehlah kami membeli lagi di sini sebagai ole-ole bila balik kampung di Johor.

Satu pengalaman yang seronok dapat melihat dan membeli-belah produk hasil laut di Arked Tanjung Dawai ni. Selain banyak pilihan tersedia, ikan masin yang dijual nampak elok dan menarik untuk dibeli. Dari segi harga, saya tak pandai nak beri pendapat. Saya fikir tentu murah atau sekurang-kurangnya berpatutan sebab tempat ni memang jadi tumpuan orang mencari produk hasil laut.

Cuma keadaan laluan pejalan kaki di jeti kotor dengan sampah dan sisa makanan serta berbau tak menyenangkan. Ada juga bumbung yang hampir tercabut dan membahayakan pengunjung. Harapan saya agar pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani dapat segera memperbaiki keadaan demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Kalau kalian ada ke Kedah, bolehlah berkunjung ke Arked Tanjung Dawai - syurga produk hasil laut. Eloklah jika dapat datang awal untuk mengelakkan kesesakan. Selain menaiki bot dari Pantai Merdeka, kita boleh saja datang terus menaiki kereta ke sini. Boleh buat carian di aplikasi Google Maps - Arked Tanjong Dawai.


ARKED TANJUNG DAWAI
Tanjung Dawai, Merbok, Kedah.

Buka setiap hari : 9 pagi - 8 malam


—————————————————————————————————

Kemeriahan Pantai Merdeka

Saya sertakan juga di entri ini beberapa foto kemeriahan di Pantai Merdeka. Foto-foto ini saya rakam sewaktu balik dari Tanjung Dawai, iaitu sekitar pukul 1 tengah hari. 

Pantai Merdeka
Meriah dengan para pengunjung.

Pantai Merdeka
Ada yang siap berkhemah. Boleh bersantai seharian di sini.

Pantai Merdeka
Kedai makan sudah beroperasi. Ramai juga yang sedang menikmati hidangan di bahagian dalam sana. Perut kami masih kenyang makan di Tanjung Dawai. Insya Allah lain kali boleh cuba makan di sini.

Pantai Merdeka
Untuk kanak-kanak boleh sewa mainan basikal, kenderaan beroda tiga dan kenderaan empat roda. Banyak sungguh pilihan. Memang meriah.

Dalam perjalanan balik, kami singgah di Galeri Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Tadi semasa dalam perjalanan pergi memang dah ternampak papan tanda galeri. Itu yang kami singgah semasa balik. Tapi galeri tersebut ditutup sehingga ke satu tarikh yang tidak dimaklumkan kerana ada kerja-kerja ekskavasi. Tak dapatlah nak tengok rangka manusia yang digelar ‘Penang Women’





15 comments:

  1. Pelik makan laksa guna bihun.
    Agaknya yang pergi Tanning Dawai memang hendak beli hasil-hasil laut. Rasanya murah di sana banding tempat lain.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...pelik, tu yang orang kedai bertanya.

      Ya kot, Tanjung Dawai memang terkenal dengan hasil laut. Kami je baru tau.

      Delete
  2. bihun goreng bubuh kuah laksa mmg sedap...hasil laut yg dibeli tahan lama, berbaloi beli banyak..

    ReplyDelete
  3. Bila tgk byk hasil laut mcm tu teringat kt pasar philipin di KK... yg best kedah ni makan murah.. bestnya jjcm kat utagha ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya...kira masih rendah kos makan2 kat sini.

      Delete
  4. Saya pun leka tengok gambar segala ikan masin, ikan bilis dll. Seronoknya. Ujie macam saya juga hihiii.... tak sedar hanya bertiga, kalau jumpa makanan tak cukup sedikit! Nak beli banyak, sebab geram.

    ReplyDelete
  5. Kalau di sebelah Utara, makan bihun goreng dgn kuah laksa tu biasa puan :) PH pun kadang-kadang layan juga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh...patutlah orang kedai macam pelik, sebab suami mintak bihun, bukan bihun goreng 😄

      Delete
  6. perempuan kalau tempat boleh shopping gitu memang pantang jumpa ehehhe

    ReplyDelete
  7. puas fikir kat mana saya dengar perkataan Tanjung Dawai. lepas baca pasal Pantai Merdeka baru teringat dengar dari lagu. Asam jawa dan ikan bilis tu kalau mak saya ada memang habis dia borong

    ReplyDelete
  8. Kalau pergi tanjung dawai tempat wajib singgah semestinya arked tanjung dawai . Mudah nk beli jasil laut ..boleh minta tawar harga lgi .

    ReplyDelete
  9. Pertama kali dengar bihun dimakan bersama kuah laksa.. Menarik nie.. Nak cuba jugalah nanti.. Mesti rasanya unik..
    Sha tak pernah sampai Tanjung Dawai.. Ada juga jualan hasil laut ye..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****