Wednesday, 25 May 2022

Sahaja Aku Menjadi Imam


Sahaja Aku Menjadi Imam
Judul : SAHAJA AKU MENJADI IMAM
Penulis : Andi Muhamad
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2019
Jumlah halaman : 136


Sahaja Aku Menjadi Imam merupakan sebuah naskhah catatan pengalaman penulis, seorang anak muda yang bangkit dari satu kesedihan sehinggalah bagaimana beliau diangkat menjadi imam besar Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan. 

Di samping itu, penulis turut berkongsi panduan dan juga nasihat berdasarkan pengalaman hidup yang telah dilalui beliau. Antaranya, cara untuk menghadapi kesedihan dan kecewa, nasihat buat pasangan yang bercinta dan panduan bagaimana untuk menjadi seorang imam yang baik.

Mengembaralah Bagi Mengubati Sedih dan Kecewa

Saya tertarik dengan bab Nasihat Imam #2 - berkenaan keluarlah mengembara bagi mengubati sedih dan kecewa. Penulis membawa kita berfikir tentang nilai pengembaraan dalam peristiwa Israk Mikraj. Ketika Rasulullah SAW diuji dengan pemergian Sayidatina Khadijah dan Abu Talib, juga diuji dengan penolakan dakwah baginda oleh majoriti masyarakat Quraisy Mekah, Allah telah memperjalankan baginda bagi mengubati kekecewaan yang bersarang dalam jiwa.

Saat hati remuk memikirkan kesedihan, keluarlah berkelana mencari makna. Nescaya kita temukan jalan keluar daripada kesedihan tersebut.


Tuntutan agama kita bukan sekadar pergi mengembara tetapi mencari hikmah di sebalik perjalanan tersebut. -petikan halaman 24.



Sahaja Aku Menjadi Imam
Buku ini bukan saja kisah perjalanan penulis menjadi imam kepada masyarakat, tetapi juga kisah penulis dalam usaha menjadi imam dalam sebuah rumah tangga.

Solat Bersama Keluarga

Satu lagi perkongsian yang menarik - bab Solat Bersama Keluarga. Sungguh pun seorang lelaki dituntut menunaikan solat berjemaah di rumah Allah, tetapi sebagai seorang ketua keluarga lelaki juga perlu mencari masa untuk solat berjemaah bersama isteri dan anak.

Kalau pun bukan pada solat fardu, bolehlah melakukan solat sunat secara berjemaah. Juga kalau pun tak mampu berjemaah bersama keluarga pada setiap hari, carilah masa seminggu sekali atau semampunya. Yang penting - ada waktu beribadah bersama keluarga.

Hampir semua saya tengok pasangan yang bercerai, apabila ditanya, mereka tidak punya masa beribadah bersama, tiada waktu untuk mereka solat bersama. -petikan halaman 109.


—————————————————————————-

Sahaja Aku Menjadi Imam - sebuah naskhah santai yang mengandungi pengajaran dan panduan buat para pembaca. Juga sedikit sebanyak dapatlah kita sebagai orang awam memahami kehidupan seorang imam, di mana tugasnya bukan sekadar menjadi imam solat fardu malah menjadi pusat rujukan segala permasalahan masyarakat setempat.

Menurut saya, buku ini merupakan bacaan yang tepat untuk anak muda yang berhasrat mahu menjadi imam - sama ada imam dalam masyarakat mahu pun imam dalam sebuah rumah tangga.



Ada yang nak dapatkan naskhah ini? Klik DI SINI.


7 comments:

  1. bacaan yg menarik ni kak.. sy suka baca hasil pengalaman yg memberikan motivasi mcm ni

    ReplyDelete
  2. bagus tema buku ni...banyak nasihat & pengalaman hidup..

    ReplyDelete
  3. Betul mengembara mengubati kekecewaan dan sedih.

    ReplyDelete
  4. Menarik kisah dalam buku tu kak

    ReplyDelete
  5. menarik. setuju part mengembara tu. dah lama tak mengembara ni, patutlah asyik sedih lately

    ReplyDelete
  6. Menariknya!
    Sedih pula memikirkan bila baca tiada waktu untuk solat bersama keluarga.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****