Wednesday, 18 May 2022

Pengalaman Menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) Pada Gigi Geraham (Molar)

Dalam entri terdahulu, saya ada catatkan pengalaman menjalani rawatan gusi bagi masalah gusi susut - entrinya DI SINI dan DI SINI. Jadinya semasa doktor gigi melakukan rawatan deep cleaning (Root Surface Debridement), doktor dapati ada sebatang gigi geraham di sebelah kiri yang berlubang. Hasil x-ray yang dibuat sebelumnya juga menunjukkan gigi geraham tersebut bermasalah.

Dan sebenarnya, memang gigi tersebutlah yang kerap sakit secara ‘datang pergi’ sejak lebih setahun lalu. Dah dua buah klinik gigi yang berbeza saya pergi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tapi kedua-dua orang doktor gigi yang memeriksa saya gagal mengesan adanya lubang pada gigi - sebab kedudukan lubang tersorok dan tak dapat dikesan melalui pemeriksaan biasa. Kedua-dua doktor gigi bagitau kesakitan tersebut disebabkan masalah gusi susut. Saya diberi dua pilihan - cabut atau biarkan kekal (tapi akan terus mengalami rasa sakit secara ‘datang pergi’). Saya memilih bertahan, biarkan ia kekal selagi saya mampu menanggung kesakitan.

Sebabnya, jika kita cabut sebatang gigi di tengah tanpa ganti dengan gigi palsu/bridge/tanam gigi, kesannya gigi yang masih ada di sebelah kanan dan kiri mungkin akan terjejas sebab dah tak kukuh.

Berbalik kisah gigi geraham berlubang - setelah pemeriksaan dilakukan dan berdasarkan hasil x-ray gigi, Dr. Freeda (doktor gigi yang merawat saya) bagitau bahawa gigi geraham saya masih boleh diselamatkan kerana lubangnya tidak begitu besar dan struktur gigi masih kukuh. Tapi disebabkan lubang tersebut dah kena pada akar gigi, maka saya perlu menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) jika mahu mengekalkan gigi geraham tersebut.

Saya akur saja kepada saranan puan doktor walaupun terasa seram membayangkan proses rawatannya dan kos yang perlu dikeluarkan. Alang-alang dah buat rawatan gusi susut dengan Dr. Freeda, saya teruskan sajalah rawatan lain di sini.

Insya Allah selagi mampu dari segi kewangan, keberanian diri dan komitmen masa, segala rawatan yang perlu akan dibuat.

Apa Itu Rawatan Salur Akar?


Nak lebih mudah faham? Tonton je video ni.

Rawatan Salur Akar / Root Canal Treatment (RCT) merupakan rawatan alternatif bagi gigi yang telah rosak teruk di mana tisu pulpa telah dijangkiti atau telah mati, agar gigi tersebut tidak dicabut dan boleh terus kekal berfungsi di dalam mulut.

Apakah ciri-ciri gigi yang memerlukan rawatan akar?
  • Gigi yang rosak teruk atau mempunyai tampalan yang besar hingga melibatkan lapisan pulpa.
  • Gigi yang telah mati (non-vital).
  • Gigi yang mempunyai tampalan besar dan diindikasikan untuk pembuatan korona kadang-kadang perlu rawatan salur akar dilakukan terlebih dahulu untuk peletakan tiang dan teras.
Kenapa rawatan salur akar perlu dilakukan?
Rawatan salur akar dilakukan supaya gigi yang rosak dapat dibersihkan dan tidak perlu dicabut supaya gigitan dan fungsi gigi di dalam rahang dapat dikekalkan.

Apakah akibatnya jika rawatan salur akar tidak dilakukan?
  • Ketidakselesaan atau kesakitan akan bertambah teruk.
  • Jangkitan atau nanah akan terjadi pada gigi tersebut.
  • Gigi mungkin terpaksa dicabut dan kebiasaannya kehilangan gigi memerlukan penggantian.

Prosedur Rawatan Salur Akar



Sebanyak 3 kali janji temu diperlukan untuk saya menjalani rawatan salur akar pada gigi geraham pertama sebelah kiri (kedudukannya berada pada gigi kedua dari belakang, gigi geraham ketiga/bungsu dah dicabut). Saya catatkan secara ringkas menurut pemahaman saya berkenaan prosedur yang saya jalani :

1. Janji temu pertama | 25 Mac 2022 | Tempoh rawatan 1 jam 30 minit
  • Pembedahan kecil dilakukan pada gusi di antara dua gigi geraham, kerana bahagian yang berlubang berada pada kedudukan yang tersorok - di bawah gusi.
  • Gigi digerudi pada bahagian tengah gigi untuk proses pembersihan salur akar.
  • Tampalan sementara untuk menutup bahagian gigi yang telah digerudi.
  • Jahitan pada gusi selepas pembedahan kecil.
2. Janji temu kedua | 9 April 2022
  • Buka jahitan.
  • X-ray gigi.
  • Tampalan pada gigi dibuka dan proses pembersihan salur akar dilakukan.
  • Tampalan sementara dibuat.
3. Janji temu ketiga | 25 April 2022
  • Tampalan dibuka.
  • Proses pembersihan terakhir dilakukan.
  • Tampalan kekal dibuat pada gigi.
* tempoh rawatan janji temu kedua & ketiga lupa pulak saya nak catat, tapi seingatnya sekitar 1 jam je. Tak begitu lama macam rawatan pada janji temu pertama.

Alhamdulillah selesai satu hal. Secara keseluruhannya, Rawatan Salur Akar ni tidaklah menyakitkan sebab dah diberi suntikan bius setempat. Malah beberapa kali suntikan bius diberi sewaktu rawatan yang pertama - doktor akan bertanya tahap kesakitan, jika terasa sakit maka suntikan bius akan diberi lagi. Tetapi tetaplah ada pada keadaan tertentu di mana saya rasa sedikit sakit atau rasa tak selesa sewaktu rawatan dilakukan. Yelah…gigi yang nak dirawat tu berada pada kedudukan yang tersorok di belakang, doktor pun susah payah nak buat. Yang paling susah bagi saya - kena bukak mulut dan perlu berbaring dalam jangka masa yang lama. Lenguh!

Kos Rawatan Salur Akar

Berapa kosnya? Kos Rawatan Salur Akar adalah berbeza mengikut tahap kesukaran gigi yang perlu dirawat dan di klinik mana kita buat rawatan tersebut.

Hasil carian saya mendapati jika rawatan dilakukan di klinik pergigian kerajaan, caj paling mahal dikenakan adalah RM150 bagi sebatang gigi. Nak tahu lebih lanjut caj rawatan pergigian di klinik kerajaan? Klik DI SINI.

Manakala jika rawatan dilakukan di klinik swasta, caj dikenakan lebih tinggi iaitu sekitar RM600 - RM800 (bagi gigi hadapan) dan sekitar RM800 - RM1,800 (bagi gigi belakang).

Jadinya terpulang pada kita nak buat rawatan di klinik mana ya. Pun begitu, bukan semua klinik gigi boleh buat Rawatan Salur Akar bagi gigi geraham kerana tahap kesukarannya dan mungkin tiada kepakaran juga peralatan yang bersesuaian.

Pengalaman Menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) Pada Gigi Geraham (Molar)
Ini pula kos Rawatan Salur Akar bagi gigi geraham saya. Ubatan diberi sebab buat pembedahan kecil semasa janji temu pertama.

Kos keseluruhan rawatan saya - RM2,355. Telan air liur tiap kali menyebut harga rawatan ni. Tapi inilah pilihan saya - buat rawatan salur akar berbanding cabut je dan ganti dengan gigi palsu atau tanam gigi (implant). Manakala pilihan buat bridge pulak tak sesuai untuk kes gigi saya. Kalau ganti gigi palsu memang akan tak selesa, kena bukak pasang setiap hari dan mengunyah pun tak selesa seperti gigi asal. Tanam gigi? Kosnya lebih tinggi dan lebih banyak komitmen janji temu.

Apa pulak selepas ini? Demi melindungi gigi tadi, doktor sarankan saya pasang crown gigi. Kalau tak mahu pasang crown gigi? Ada kemungkinan gigi tadi mudah rosak/pecah sebab bahagian tengah dah pun digerudi, sekadar tampalan tidak memadai untuk jangka masa panjang.

Bila masa yang sesuai untuk pasang crown gigi? Iaitu selepas 2 minggu kita selesai menjalani Rawatan Salur Akar. Tak boleh awal sangat sebab kita perlu pastikan Rawatan Salur Akar yang dah dibuat sebelumnya tidak ada sebarang masalah. Kalau kita rasa sakit gigi selepas buat Rawatan Salur Akar, itu kemungkinan masih ada salur akar yang belum dibersihkan dengan baik.

Ok, selesai satu karangan panjang pasal gigi 😅. Saya perlu tulis selengkap mungkin untuk rujukan saya sendiri pada masa akan datang dan juga rujukan kepada yang memerlukan. Fakta dan info yang saya nyatakan adalah menurut kefahaman saya dan hasil carian sewaktu menulis. Mungkin ada yang tak tepat, tak betul atau tak sama dengan pengalaman orang lain.

Bagi yang belum ada masalah gigi, silalah amalkan penjagaan gigi yang baik dan jangan takut untuk buat rutin pemeriksaan gigi dengan doktor gigi. Jika gigi dah bermasalah, selagi boleh usahakanlah untuk menjalani rawatan berbanding terus cabut. Cabut memang lebih cepat dan kos rendah, tapi lepas tu kuranglah nikmat mengunyah makanan.




15 comments:

  1. ammi pernah buat RCT tapi tak sampai crowning la sbb mahalnya lahai. tapi 4 tahun selepas RCT gigi geraham tu pun terbelah dua. doctor selamatkan sebelah yang agak utuh. setahun selepas...sebelah yg utuh tu pun mulalah buat perangai..sudahnya ammi cabut je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kiranya lama jugak gigi geraham Ammi yang dah buat RCT tu bertahan walaupun tanpa crown.

      Delete
  2. Kalau saya pun sayang gigi. Mesti hendak selamatkan selagi mampu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lagi pulak gigi geraham, tak ada….susahlah nak kunyah makanan.

      Delete
  3. ngilu nyaaaaa!! hahaha cabut geraham bongsu pun sampai ke hari ni ngilunya masih ada lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..saya ni tak sempat nak trauma, asik kena tadah mulut kat doc je.

      Delete
  4. sebagai seorang yang fobia jumpa dentist, mohon dielakkkan masalah berkaitan gigi ni ~ ewanthology

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebab dulu saya fobia la, sekarang gigi dah bermasalah 😅

      Delete
  5. Saya doakan anda dipermudahkan urusan ya, at least kami tau rawatan gigi bukannya mudah. Melibatkan banyak masa dan duit juga ya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin..terima kasih atas doanya.
      Iya, memang sangat tak mudah. Dengan berdebarnya tiap kali gigi nak dikerjakan 😅

      Delete
  6. semoga ok gigi selepas rawatan RCT...bagus jg buat crown utk lindungi gigi...

    ReplyDelete
  7. kalau rawatan gg memang mahal kan kak..moga diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan

    ReplyDelete
  8. thanks kak share info. gigi asyik cabut pun sayang, nanti gigi sebelah atau atas tempat baru cabut tu takde 'kawan', dia akan senang rosak jugak. root canal ni pilihan yang baik cuma harganya dan rasa sakit extra tu menakutkan

    ReplyDelete
  9. Nak tanya, sebelum mulakan rawatan ada doctor bagi ubat untuk redakan sakit dahulu ke sebelum memulakan proses rct tu?

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****