Tuesday, 26 August 2025

Pengalaman Mengujakan Naik ATV Melawat Dusun Durian



Hari kedua di Duta Riang Villa - seawal pukul 7.30 pagi kami semua berkumpul bagi melakukan aktiviti lawatan ke dusun durian dengan menaiki ATV (All-Terrain Vehicle). Saya rasa teruja kerana ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki ATV, juga rasa sedikit berdebar walaupun cuma menjadi penunggang di tempat duduk belakang.

Sebelum memulakan aktiviti, staf resort beri penerangan cara menunggang ATV.

Deretan ATV bergerak memasuki kawasan dusun durian.

Laluan dalam dusun durian ini berbukit. Sesekali ATV perlu dibawa melalui permukaan tidak rata yang sedikit mencabar. Ketika ini juga, cahaya matahari pagi mula menyimbah bumi melalui celahan deretan pokok durian. Pemandangan yang indah!

Beginilah rupa ATV yang kami naiki. Masa ni kami semua berhenti di suatu tempat dan berkumpul bagi mendengar penerangan berkenaan penanaman dan penjagaan pokok durian di sini.

Penerangan diberi oleh anak pemilik dusun - seorang lelaki muda yang begitu mahir menerangkan dan menjawab setiap pertanyaan.

Tali bergantungan di pokok durian. Sebelum ini saya pernah melihat dari jauh - pokok durian ada banyak tali begini. Kali ini saya dapat menyaksikan dengan lebih dekat serta mengetahui fungsi tali tersebut.

Tali rafia warna hijau digunakan bagi mengikat buah durian supaya tidak gugur jatuh ke tanah. Manakala tali jenis lebih kukuh warna oren - berfungsi mengikat dahan pokok supaya tidak patah apabila banyak buah durian di dahan tersebut. Tak mudah ya nak mendapatkan hasil buah durian berkualiti, banyak kerja perlu dilakukan. 

Terdapat dua unit sprinkler di setiap pokok durian bagi tujuan penyiraman air.

Dusun durian yang sangat luas dan dijaga rapi. Seronok tengok.

Kami dibawa ke kawasan dusun berhampiran pusat pengumpulan buah durian.

Buah durian bergantungan di dahan pokok. Banyaknya!

Begini cara buah durian diikat.

Tiba masa buah durian gugur, ia akan tergantung tak terus jatuh ke tanah.

Macam mana cara nak turunkan atau ambil buah durian yang dah gugur ni? Kita perhatikan ikatan tali rafia, tali yang mengikat durian ini akan jadi tegang sebab memegang beban. Dah jumpa talinya, kita buka ikatan tali rafia pada dahan pokok dan turunkan buah durian tadi. Boleh tonton rakaman video pendek di hujung entri ini.

Buah durian yang berjaya saya turunkan. Kalau nak dapatkan tekstur dan aroma buah durian yang sedap, buah durian sedia dimakan selepas kira-kira 3 jam ia gugur.

Bahagia sungguh kalau dusun durian ini kami yang punya 😊. Bila dah elok gini memanglah nampak seronok kan, tentunya banyak modal telah dihabiskan dan pelbagai cabaran telah dilalui oleh pemiliknya.

Akhir sekali, kami ke pusat pengumpulan buah durian. Buah akan diasingkan mengikut gred.

Buah akan dijual dengan harga berbeza dan di tempat berbeza bergantung kepada gred buah. Contohnya - durian varieti Black Thorn gred A dijual pada harga RM65/kg, manakala gred rendah (saiz buah kecil, buah kena sengat) dijual di tepi jalan dengan harga RM15/kg.

Masa untuk kembali ke resort.

Lawatan kami di dusun durian ini selesai dalam masa lebih kurang 1 jam. Alhamdulillah! Suatu pengalaman yang seronok dan banyak hal berkenaan durian yang kami pelajari.

Tak mudah ya nak menghasilkan buah yang berkualiti, rumit kerjanya dan tinggi kosnya. Bukan buah durian je, begitu juga dengan buah-buahan lain. Hargai usaha para pekebun dengan membayar harga yang selayaknya.

Oh ya, jika kalian ke Duta Riang Villa bolehlah ambil pakej naik ATV di dalam dusun durian ini dengan bayaran RM100 untuk satu ATV dan RM70 jika menginap di vila.

Kalau perlukan info lanjut sila berhubung dengan pihak resort. Kami berpeluang naik ATV dan melawat dusun durian atas jemputan pemiliknya, jadi pengalaman kami ini mungkin tak sama dengan apa yang ditawarkan dalam pakej.


Video berdurasi 27 saat.







3 comments:

  1. X mudah..betul banyak belanja...nak tanam ank pokok pun dah keluar banyak modal...terima kasih info menarik...

    ReplyDelete
  2. Bestnya
    Tersusun pokok2 durian
    Kalau ciknur pun teruja ni

    ReplyDelete
  3. Modal besar tapi mampu menjana hasil lumayan.
    Kalau dusun ni Sy punya, tak sempat jual rasanya buah2 ni haha...

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****