Sambungan entri terdahulu —> Menginap 2 Hari 1 Malam di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka
Semasa menginap di Duta Riang Villa (DRV), saya dan Encik Suami diberi penginapan di vila D198 Kim Hong - vila yang terletak paling hadapan.
Tetamu vila boleh bawa kenderaan masuk di kawasan vila dan parkir berhampiran vila sekiranya ada kekosongan ruang parkir. Disebabkan tak ada ruang parkir kosong, kenderaan kami cuma berhenti untuk turunkan beg pakaian di vila dan kemudian berpatah balik ke kawasan parkir utama.
Vila D198 Kim Hong. Reka bentuk vila dengan konsep tradisional Melayu dan rustik. Setiap vila diberi nama sempena varieti durian premium. Inilah antara keunikan yang ditawarkan di DRV.
Jom kenali durian D198 Kim Hong | Varieti durian klon yang berasal dari Johor, didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2013 dengan kod rasmi D198. Dikenali sebagai durian Kim Hong atau Golden Phoenix. Buahnya berbentuk bulat dan sedikit lonjong. Berat buah di antara 1 kg - 2.2 kg sebiji. Rasa buahnya pahit manis seimbang. Saiz bijinya kecil hingga sederhana.
Kalau nak tengok rupa buah dan isi durian Kim Hong, boleh baca entri Durian Kim Hong D198 oleh sahabat blogger Wak - Warisan Petani yang berpengalaman menanam sendiri durian varieti premium ini.
Laluan pejalan kaki menuju ke empat buah vila lain. Semuanya terdapat lima buah vila di sini.
⏵ VILA D198 KIM HONG
Vila penginapan kami - sebuah rumah besar dua tingkat dengan lima buah bilik tidur dan tiga bilik air. Sebaik melangkah masuk, saya terpegun melihat keindahan seni bina vila yang berkonsepkan tradisional Melayu dan rustik. Gabungan yang menghasilkan suasana santai, tenang dan dekat dengan alam.
Sebuah rak kasut dengan deretan susunan selipar untuk kegunaan dalam vila turut disediakan di bahagian hadapan vila.
Foto aras bawah vila - terdapat dua buah bilik tidur, dua buah bilik air dan mini pantri.
Kami menginap di salah sebuah bilik di aras bawah (dalam foto - di sebelah kanan berhampiran mini pantri). Mungkin master bedroom kerana bilik kami lebih luas dan dilengkapi dengan bilik air di dalamnya.
Ruang tengah iaitu ruang santai vila berkonsep terbuka, tiada dinding. Tidak kelihatan dalam foto di atas - di sebelah kanan dan kiri terdapat dua buah meja besar untuk tetamu duduk berkumpul. Sambil duduk bersantai di ruang tengah, dapatlah kita menikmati suasana di resort ini.
Terdapat dua buah tangga untuk kita naik ke aras atas.
Sudut pandang dari aras atas, boleh nampak kolam renang yang terletak di hadapan empat buah vila lain. Terdapat tiga buah bilik tidur dan sebuah bilik air di bahagian atas. Ruang santai di atas lebih menarik dan berangin sebab berada pada kedudukan lebih tinggi.
Setiap sudut vila sangat cantik dan sesuai bagi mereka yang gemar berfoto.
Aneka jajan disediakan atas meja di ruang tengah.
Mini pantri - terdapat sinki, kelengkapan buat air panas dan peti sejuk mini. Kemudahan ini cuma terdapat di aras bawah. Kalau orang atas nak buat minuman panas, kenalah turun ke bawah ni.
Deretan minuman Coca Cola disediakan dalam peti sejuk mini.
⏵ BILIK PENGINAPAN KAMI YANG CUKUP SELESA
Masya Allah…cantik bilik yang kami dapat ni. Terdapat banyak sumber pencahayaan semula jadi membuatkan bilik ini terasa lebih luas dan kita tak rasa ‘terperangkap’ duduk dalam bilik.
Bilik ini juga dilengkapi dengan tempat gantung baju, meja untuk letak beg pakaian, meja serba guna dan sebuah cermin besar dengan lampu LED di sekelilingnya.
Tilam dan bantalnya empuk, selesa tidur. Ada pilihan alat pendingin hawa dan kipas. Juga terdapat penanda arah kiblat yang tepat (saya buat semakan arah kiblatnya). Sangat memudahkan orang Islam yang datang menginap di sini.
Pun begitu, rekaan siling kayu begini ada sedikit kekurangan - kita boleh dengar setiap kali orang di bilik atas berjalan dan berbual. Apa pun, ini cuma hal kecil pada saya kerana cuma satu malam sahaja menginap di sini.
Kelebihan menginap di bilik utama - ada bilik air dalam bilik penginapan kami. Kalau penghuni bilik tidur lain, mereka perlu berkongsi bilik air yang terletak di luar bilik.
Bilik airnya juga luas, selesa dan lengkap dengan segala kemudahan. Paip bidet terletak di sebelah kiri - agak kurang selesa digunakan sebab saya dominan tangan kanan.
Ruang mandi tak begitu luas tetapi memadai.
Secara keseluruhannya, saya rasa selesa sepanjang menginap di bilik ini. Berbanding dengan Encik Suami yang banyak menghabiskan masa berkumpul bersama kawan-kawannya, saya ada banyak masa bersantai di dalam bilik cantik ini.
⏵ SUASANA MALAM YANG INDAH
Berbeza dengan waktu siang, suasana malam di sini lebih indah. Deretan vila dengan konsep tradisonal Melayu dan rustik kelihatan lebih menawan.
Vila penginapan kami di waktu malam.
Deretan empat buah vila lain.
Salah satunya dengan nama durian D101 Johor Mas. Jangan terkeliru ya, varieti D101 Johor Mas berbeza dengan varieti D168 yang dikenali sebagai durian IOI.
Kolam renang boleh digunakan hingga waktu malam.
Saya bergerak jauh sedikit bagi mendapatkan foto dari sudut ini - deretan empat buah vila.
Berapa kadar harga vila penginapan di sini? Harganya berbeza mengikut jumlah bilik yang tersedia dalam setiap vila. Penginapan kami di vila D198 Kim Hong dengan lima buah bilik tidur berharga RM2,600 untuk satu malam. Terkejut saya bila tahu harganya 😅
Harga penginapan sudah termasuk sarapan pagi dan dapat diskaun bagi aktiviti melawat dusun durian menaiki ATV - harga biasa RM100, jimat RM30 jika menginap di sini.
Kalau difikirkan, kadar harga tersebut bersesuaian dengan pengalaman menginap di vila yang sangat cantik dan selesa serta berada dalam kawasan dusun durian. Suatu pengalaman unik! Lokasi ini sangat sesuai bagi percutian istimewa bersama keluarga atau acara reunion bersama kawan-kawan.
Kalau kalian berminat, boleh hubungi pihak Duta Riang Villa di 019-470 8899 atau e-mel di info@dutariangvilla.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****