Wednesday, 6 August 2025

Terbang Pulang Dengan Japan Airlines



Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat Japan Airlines (JAL) dijadualkan pada pukul 11.30 pagi (waktu tempatan) dan dijangka tiba pada pukul 6.20 petang (waktu Malaysia). Sebelum menaiki pesawat, saya dah siap berwuduk sebagai persediaan menunaikan solat jamak di dalam pesawat  - waktu Zohor masuk pada pukul 11.32 pagi.

Keadaan di dalam pesawat.

Pesawat Boeing 787-9 dengan susunan kerusi 2-4-2 bagi kelas ekonomi. Kami duduk berdua di sebelah kiri pesawat.

Tempat duduknya selesa dengan ruang kaki luas.

Pesawat berlepas kira-kira pukul 11.50 pagi. Dari jendela pesawat, saya dapat menyaksikan puncak Gunung Fuji yang dilitupi salji memutih. Tidak begitu jelas, tetapi tetap mengujakan.


TIADA ‘MUSLIM MEAL - MOML’ UNTUK SAYA
Permintaan bagi makanan halal dalam penerbangan JAL sudah pun dibuat menerusi panggilan telefon dengan pihak Malaysia Airlines (MAS). Kami beli tiket dengan MAS, jadi semua urusan hanya dengan MAS.

Tetapi berlaku kesilapan sistem di pihak MAS, nama saya tercicir bagi permintaan makanan Pre-Order Meal sewaktu penerbangan pergi dengan MAS dan juga permintaan makanan halal bagi penerbangan balik dengan JAL. Saya katakan ia kesilapan sistem sebab saya berada di sebelah Encik Suami semasa panggilan telefon dibuat. Saya dengar jelas semuanya, nama saya dan nama Encik Suami disebut. Entah macam mana, nama saya tiada dalam sistem mereka.

Setelah lebih 1 jam penerbangan, pramugari menghidangkan makanan ke tempat kami. Menyedari berlaku kesilapan dalam sistem - Encik Suami seorang saja yang dapat Muslim Meal, beliau berkali-kali meminta maaf kepada saya dan katanya akan buat report berkenaan hal ini.

Pramugari tadi berusaha membantu saya, beliau datang kembali dengan membawa beberapa keping kad kecil tertera nama menu serta bahan-bahannya. Posisi badannya direndahkan sambil menerangkan kepada saya menu yang ada. Setelah diteliti - tiada makanan yang boleh saya makan kerana cuma ada pilihan daging atau ayam juga campuran wine dalam masakan.

Beliau kemudiannya datang kembali dengan membawa kad kecil menu Dietery Meal. Alhamdulillah, tiada bahan-bahan yang meragukan.

Hidangan Muslim Meal (MOML) untuk Encik Suami. 

Nasi dan kari ayam. Sedap!

Cop halal oleh Japan Islamic Trust.

Yuzu sorbet.

Hidangan Dietery Meal untuk saya. Pramugari minta tunggu sekejap, beliau datang kembali dengan membawa set sudu garpu plastik (pakai buang) bagi menggantikan set sudu garpu besi yang tersedia.

Nasi putih, kari sayur dan salad kosong. Walaupun cuma makan ringkas begini, saya rasa sedap. Entah sebab perut lapar atau memang betul sedap 😄. Maklumlah, sejak dari pagi tadi saya belum makan makanan berat. Alhamdulillah ada juga rezeki saya walau cuma Dietery Meal.

Saya dan Encik Suami berkongsi makanan yang ada, jadi bolehlah sama-sama merasa dua jenis hidangan ini.

Empat jam kemudian, Encik Suami dapat burger sebagai hidangan minum petang. Sekali lagi pramugari minta maaf sebab kali ini tiada makanan yang boleh diberikan kepada saya.

Awalnya saya rasa geram dan kecewa dengan masalah yang timbul, tapi kemudiannya terubat rasa dengan layanan mesra dan bersungguh-sungguh oleh pramugari JAL.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya - berkenaan pemakaian pramugari JAL. Pakaian seragam mereka menonjolkan gaya profesional dan sopan - pakaian tidak sendat dan skirt melepasi paras lutut.

Saya tertanya-tanya juga sebab nampak pemakaian mereka berbeza, rupa-rupanya memang ada pilihan pakaian. Siap boleh berseluar panjang, tapi saya tak perasan pramugari berseluar panjang dalam penerbangan yang saya naiki.

Penerbangan pulang dengan JAL yang cukup selesa - saya habiskan masa dengan menonton Detective Conan, pramugari yang sangat membantu, makanan sedap dan tandas pesawat dilengkapi dengan washlet (electronic bidet toilet seat). Iya, buat pertama kali saya guna tandas pesawat tak perlu bawa portable bidet. Hal kecil yang membahagiakan!

*

Alhamdulillah…setelah terbang selama kira-kira 7 jam 10 minit, pesawat kami selamat mendarat di KLIA T1 pada pukul 6 petang waktu Malaysia - awal dari jangkaan. 

Kami bermalam di rumah NS sebelum kembali ke rumah Perlis pada esok harinya.







5 comments:

  1. Ujie, kalau sy mesti nangis sebab nama tercicir untuk makanan tu. Mujurlah ada menu lain yg halal ya.

    ReplyDelete
  2. alahai macamana boleh tercicir...alhamdullilah selamat kembali ke malaysia.

    ReplyDelete
  3. bila pramugari bersungguh sungguh minta maaf, terubat juga hati yang kecewa

    ReplyDelete
  4. Selesa nampak naik JAL ni. Aduh, kesilapan teknikal pulak akak tak dapat MOML tu. Tapi dorang ni kalau berlaku kesilapan memang bersungguh minta maaf dan selesaikan dengan berkhemah. Ada hikmahnya tu dapat sama-sama merasa kedua-dua hidangan. Sayangnya burger meal tu tak ada gantian meal lain.

    ReplyDelete
  5. alahai kesilapan teknikal. sedih jugak tak dapat makan. mujur la staf dapat handle situasi dengan baik. takdela kita ni nak marah sangat. cuma kecewa tu ada la kan.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****